jump to navigation

HAMAS vs Fatah: Apakah yang sebenarnya berlaku di Palestin? Januari 30, 2007

Posted by ummahonline in Pelbagai.
trackback

Oleh: Maszlee MalikSepertimana masyarakat dunia yang lain, masyarakat Malaysia juga tidak ketinggalan merasa kecewa dengan apa yang berlaku di Palestin hari ini. Di kala rakyat Palestin dihukum oleh AS dan kuasa-kuasa barat kerana pilihan demokratik mereka, HAMAS dan Fatah kelihatan bercakaran sesama sendiri.
Tatkala pihak rejim Zionis mencabuli tempoh bertenang (tahdi ah) dan membunuh rakyat Palestin melalui operasi “Summer Rains”, mereka pula berbunuhan sesama sendiri. Hal ini memerlukan penelitian, apakah yang membawa kepada pertelingkahan yang memalukan tersebut. Apakah mereka ini sekumpulan manusia yang degil dan tidak faham bahasa seperti tanggapan kebanyakan rakyat Malaysia terhadap bangsa Arab?, ataupun mereka sememangnya dilahirkan untuk bergaduh dan mengganas seperti tanggapan ramai dari kalangan masyarakat barat terhadap bangsa Arab? Atau terdapat sesuatu yang tidak dapat difahami oleh semua?

Punca kekecohan

Semenjak terletusnya Intifadah al-Aqsa (2000), rakyat Palestin telah menjadikan usaha menentang penjajah Zionis sebagai agenda uatama mereka. Segala usaha penangkapan ke atas para pejuang Palestin dari pelbagai fraksi yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Palestin telah terhenti kerana kehangatan Intifadah tersebut. Muhammad Dahlan, menteri keselamatan dalam negara yang dilantik oleh Yaser Arafat merupakan orang yang bertanggung jawab di atas usaha tersebut. Suasana Intifadah telah menyebabkan Dahlan kehilangan kuasa untuk bertindak sewenang-wenangnya. Yaser Arafat sendiri telah bersikap lunak terhadap para pejuang yang ditahan. Kebanyakan mereka yang ditahan oleh pihak keselamatan Palestin, pastinya akan dilepaskan selepas tempoh tertentu. Sehingga detik kematian Arafat, pilihan rakyat Palestin adalah untuk menentang penjajah Zionis.

Selepas kematian Arafat, keadaan di dalam Fatah dan PLO sudah menjadi tidak keruan. Hatta di akhir-akhir hayat Arafat sekalipun, para pemimpin Fatah dan PLO telah mula menunjukkan belang masing-masing. Mahmoud Abbas selaku Perdana Menteri pada waktu itu telah meletakkan jawatannya. Muhammad Dahlan telah menyuruh Arafat supaya meletakkan jawatan. Lain-lain pemimpin Fatah dan PLO juga terpengaruh dengan suasana tersebut. Menurut pengamat politik Asia Barat, suasana tersebut dipengaruhi oleh pendirian rejim Zionis yang melihat pentadbiran Arafat sudah tidak lagi menguntungkan mereka. Sharon sendiri telah mengisytiharkan kematian Oslo, beliau juga menyifatkan Arafat sebagai pengganas. Sehingga detik saat kematian Arafat, Fatah dan PLO berada di tahap yang tidak bersatu.

Keadaan semakin parah selepas kematian Arafat. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Arafat diburu oleh ramai pihak dari Fatah dan PLO. Walaupun Mahmoud Abbas telah dipilih untuk menjadi pemangku kepada jawatan berkenaan, namun jelas kelihatan wujudnya persaingan untuk jawatan tersebut. Kekecohan di dalam meletakkan calon pilihanraya majlis-mejlis perbandaran (Baladiyaat) dan juga pilihanraya majlis legaslatif menjadi bukti terhadap analisis ini. Persaingan di antara golongan muda dengan golongan veteran Fatah bukan lagi rahsia. Persaingan di antara golongan veteran yang mempunyai agenda masing-masing lagi bukan lagi rahsia. Kekelahan Fatah di dalam pilihanraya majlis legaslatif pada Januari yang lalu menjadi pukulan maut kepada Fatah. Hal ini amat merisaukan rejim Zionis yang telah kehilangan “rakan damai” dari pihak Palestin. Bukan mudah bagi mereka untuk mendapatkan individu-individu yang sanggup melepaskan dan menggadaikan hak mereka demi habuan tertentu selain para pemimpin Fatah.

HAMAS perlu dijatuhkan!

Kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya, seterusnya menerajui kerajaan PNA bukanlah sesuatu yang disenangi oleh AS dan rejim Zionis. Rakyat Palestin yang telah faham dengan apa yang bakal mereka terima kerana pilihan tersebut sanggup menaggung akibat dari tindakan mereka. Malangnya, tidak seperti rakyat negara-negara lain di dunia, demokrasi yang ingin diterapkan ke atas rakyat Palestin adalah demokrasi berdasarkan citarasa AS dari kaca mata rejim Zionis. Walaupun rakyat Palestin keseluruhannya menghendakkan pilihan mereka, namun jika ianya bertentangan dengan citarasa AS dan Zionis, maka ianya tidak dianggap sebagai demokrasi yang sah!

AS dan Zionis telah memulakan kempen untuk menghalang pilihan rakyat Palestin semenjak pra-pilihanraya lagi. EU juga turut memainkan peranan yang sama dengan memberikan ugutan kepada rakyat Palestin. Menjelang pilihanraya, AS juga telah menyalurkan dana yang banyak kepada calon-calon bukan HAMAS demi memastikan rakat Palestin tidak memilih HAMAS. Malangnya segala usaha mereka tidak berjaya membendung hasrat hati dan juga pilihan rakyat Palestin. Melalui pilihanraya yang demokratik dan bersih, 25 Januari 2006 telah menyaksikan kemenangan HAMAS. Memandangkan demokrasi yang diamalkan oleh rakyat Palestin ini tidak menepati kehendak AS dan Zionis, maka mereka telah melangkah setapak ke hadapan. Mereka telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas rakyat Palestin. Sehingga kini, sekatan tersebut masih lagi berjalan dan telah memporak perandakan kehidupan seharian rakyat Palestin. Amat malang sekali, tiada sebuah negara Arab mahupun muslim pun yang sanggup mencabar sekatan yang zalim ini. Sekali lagi mereka menemui kehampaan apabila para pemimpin kerajaan Palestin yang diterajui HAMAS berjaya mengadakan kempen sedunia untuk mendapatkan bantuan. Lebih malang lagi sokongan rakyat kepada HAMAS tidak terjejas. Hal ini memaksa AS dan rejim Zionis menggunakan strategi yang baru. Maka lahirlah ide untuk mewujudkan kekecohan dari dalam Palestin sendiri.

Percubaan awal mereka adalah seawal bulan Mac. Beberapa pemuda Palestin yang mengaku menjadi pejuang Fatah telah berjaya di”biayai” untuk menimbulkan kekecohan. Pejabat-pejabat kerajaan menjadi sasaran mereka. Jalanraya-jalanraya Gaza menjadi kecoh akibat perbuatan para pemuda yang terdesak tersebut. Beberapa pemimpin Palestin juga hampir menjadi mangsa kumpulan ini. Keadaan tersebut telah memaksa para pejuang Palestin mengadakan satu kejutan agar rakyat Palestin tidak terpengaruh dengan usaha jahat yang cuba dilakukan oleh anasir yang tidak bertanggungjawab itu. Akhirnya operasi “al-Wahm al-Mutabaddid” yang dilancarkan oleh gabungan komando HAMAS, Alwiyat al-Nasir Salahuddin (serpihan Fatah) dan al-Jaiysh al-Islamiy (bebas) telah berjaya menggagalkan kekacauan yang cuba ditimbulkan tersebut. Rakyat Palestin terpaksa bersatu semula untuk menentang keganasan rejim Zionis.

Melalui operasi “Summer Rains” yang dilancarkan oleh pihak rejim untuk membebaskan tentera mereka yang ditawan, ribuan rakyat Palestin yang menjadi mangsa. Pihak rejim telah menangkap para menteri-menteri kabinet dan juga ahli parlimen-ahli parlimen HAMAS. Pejabat-pejabat kementerian telah diserang dan dihancurkan. Kesemuanya itu menjadi alat kepada rejim untuk menjatuhkan kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Pihak rejim juga mengadakan serangan-serangan ke atas penempatan rakyat Palestin. Kemuncak kepada operasi tersebut merupakan peristiwa Beit Hanun pada 8 November 2006. Keganasan tersebut telah menyaksikan lebih daripada 70 orang rakyat Palestin gugur syahid, manakala 270 yang lain telah cedera. Kebanyakan mereka terkorban di dalam rumah akibat bedilan meriam-meriam rejim Zionis ke atas rumah-rumah mereka di waktu awal pagi.

Strategi baru

Walaupun usaha menimbulkan kekacauan dalaman oleh sekelompok anggota Fatah yang dibiayai oleh rejim Zionis gagal, mereka tidak berdiam diri. Mahmoud Abbas pula muncul dengan pelbagai usaha hasil tekanan dari AS dan rejim Zionis untuk meletakkan HAMAS di dalam keadaan serba salah. Beliau bermula dengan dokumen para tahanan yang dikemukakan oleh tokoh Fatah yang berada di dalam tahanan rejim Zionis , Marwan al-Barghouti. HAMAS bukan hanya dapat menerima dokumen tersebut, malah berjaya mendapatkan kesepakatan daripada para tahanan yang terlibat untuk bersama-sama menolak usaha untuk mengiktiraf kedaulatan negara penjajah di bumi Palestin. Dokumen yang pada awalnya telah digunakan oleh Abbas untuk membawa HAMAS untuk mengiktiraf penjajahan Zionis itu tidak berjaya dijadikan alasan untuk memberikan tekanan kepada pihak HAMAS.

Abbas kemudiannya muncul dengan ide kerajaan campuran bersekutu dan juga kabinet teknokrat. Bagaikan memulangkan paku buah keras, ide tersebut telah dilontarkan oleh HAMAS seawal kemenangan mereka di dalam pilihanraya legaslatif. Malangnya, Fatah melalui Saeb Erekat telah menolak pelawaan HAMAS dan mendakwa bahawa mereka akan menjadi pembangkang yang setia (Mu’aradat al-Muwaliyah). PFLP yang merupakan agen utama menghasut fraksi-fraksi lain agar tidak menyertai kerajaan HAMAS pada awalnya, tiba-tiba menjadi begitu agresif menyokong cadangan Abbas untuk kerajaan campuran. HAMAS tidak keberatan menerima cadangan tersebtu dengan syarat-syarat tertentu berdasarkan kehendak rakyat Palestin. Melalui kutipan suara yang telah mereka lakukan, sebanyak 80% dari kalangan rakyat Palestin enggan mengiktiraf penjajahan Zionis. Maka, HAMAS meletakkan syarat bahawa kerajaan campuran tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajahan Zionis. HAMAS juga meletakkan syarata agar wakil-wakil kementerian di kabinet dipilih berdasarkan peratusan kerusi di parlimen kerana itu merupakan pilihan rakyat. HAMAS melangkah ke hadapan demi menunjukkan kesediaan mereka dengan tawaran Ismail Haneyya untuk meletakkan jawatan dan memberikannya kepada tokoh akademik Muhammad Sybeir yang juga merupakan rektor Universiti Islam Gaza.

Di awal perbincangan, Abbas sering memberikan respon positif kepada media berhubung perkara tersebut. Malangnya, selepas pertemuannya dengan Condoleeza Rice, beliau telah mengatakan bahawa perbincangan mengenai kerajaan campuran telah menemui kegagalan. Kenyataan media yang dibuat beliau itu telah mengejutkan ramai pihak. Fraksi-fraksi yang terlibat di dalam perbincangan termasuk HAMAS berasa pelik, hairan dan terperanjat dengan kenyataan tersebut. Mereka juga mengecam Abbas yang tidak membuat apa-apa rundingan bersama sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut. Akhirnya mereka sedari bahawa Abbas hanyalah mengikut arahan dari “tuan”nya. Malang sekali apabila seorang pemimpin negara terpaksa tunduk dengan arahan pihak asing dan membelakangkan kehendak dan pilihan rakyat.

Kegagalan yang dicipta oleh Abbas ini telah membuka ruang kepada para pengganas di dalam Fatah untuk bertindak. Akhirnya, “tentera maut” yang terdiri daripada pasukan keselamatan di bawah pimpinan Abbas sendiri telah memulakan kekacauan. Individu yang dikenal pasti menjadi dalang kepada onar tersebut adalah Muhammad Dahlan, mantan menteri keselamatan dalam negeri era Arafat. Beliau yang juga dikenali sebagai “Imbrator Gazzah” (Maharaja Gaza) telah mempersiapkan kumpulan tersebut seawal kemenangan HAMAS lagi. Bukan rahsia lagi, beliau telah menjadi dalang melatih pasukan tersebut untuk tujuan berkenaan seperti mana yang telah dilaporkan oleh al-Markaz al-Filistini li al-I’laam semenjak bulan Ogos yang lalu. Kini, tatkala kerajaan pimpinan HAMAS sedang berusaha mendedahkan penyelewengan beratus juta wang kerajaan zaman Arafat yang telah digelapkan oleh beliau, Dahlan mula bertindak. Kekacauan yang timbul telah mengalihkan perhatian rakyat daripada isu tersebut.

Faktor Muhammad Dahlan

Dahlan telah memeranjatkan ramai pihak apabila beliau diwawancara oleh Televisyen Palestin pada 15 Disember 2006 (laporan: Markaz al-I’laam al-Filistini, 16/12/2006) berkaitan percubaan membunuh konvoi Perdana Mentari Palestin, Ismail Haneyya. Beliau yang telah dituduh oleh banyak pihak sebagai dalang serangan tersebut telah mengatakan “Itu merupakan kerja yang mulia yang saya tidak melakukannya”. Kelancangan beliau menyifatkan percubaan membunuh tersebut sebagai “kerja yang mulia” telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Kelancangan Dahlan bukanlah baru. Di kalangan pemimpin Fatah yang lebih moderat, ramai yang tidak menyukai beliau. Tindakan beliau menyuruh mantan Presiden Palestin, Yasser Arafat untuk meletakkan jawatan sewaktu hayat Arafat telah menimbulkan kemarahan ramai pemimpin Fatah. Bagaikan kacang melupakan kulit, beliau yang telah diambil oleh Arafat untuk menjadi menteri keselamatan dalam negeri sewaktu berusai 33 tahun dahulu telah menunjukkan sikap biadap terhadap Arafat.

Bagi pengamat isu Palestin juga, Dahlan terkenal sebagai seorang “rakan karib” rejim Zionis. Beliau juga terkenal dengan maki hamun, fitnah dan cercaan yang sering dikeluarkan terhadap HAMAS dan fraksi-fraksi perjuangan Palestin yang lain. Kini, kelemahan Abbas telah memberikan beliau peluang untuk membuktikan kesetiaan beliau kepada rejim Zionis.

Kini, beliau menjadi semakin berani apabila melihat segala usaha untuk menumbangkan HAMAS melalui usaha tekanan luar gagal. Usaha penangkapan para menteri HAMAS oleh pihak rejim juga tidak menemukan kejayaan. Beliau kini sedang berusaha keras untuk mewujudkan kekecohan dan keadaan tidak stabil di dalam wilayah Gaza terutamanya. Harapan beliau dan mereka yang berkongsi harapan dengannya, hal yang sedemikian akan memberikan alasan yang munasabah kepada Abbas untuk mengadakan pilihanraya yang baru. Natijah kekecohan yang ditimbulkan oleh Dahlan ini amat memberangsangkan. Abbas akhirnya muncul dengan ide untuk mengadakan pilihanraya awal. Harapan beliau, rakyat akan memilih Fatah kembali selepas mereka hilang kepercayaan terhadap HAMAS.

Bantahan dari fraksi-fraksi perjuangan Palestin

Fraksi-fraksi Palestin yang berpusat di Damsyik pada 13 Disember yang lalu telah membantah cadangan pegawai-pegawai PLO kepada presiden Mahmoud Abbas yang menyeru agar pilihanraya presiden dan parlimen diadakan lebih awal. Mereka mendakwa bahawa ia adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi Palestin.

Enam buah fraksi yang mengadakan sidang akhbar di pusat bandar Syria secara jelas mengkritik presiden yang disifatkan telah menyekat pembentukan kerajaan campuran. Mereka mengecam Abbas kerana tunduk kepada tekanan luar serta memberi amaran mengenai pertikaian dalaman Palestin. Timbalan Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr.Mousa Abu Marzouk berkata bahawa Abbas sentiasa merujuk kepada pihak luar dalam setiap tindakan yang mahu diambil. “Kami mahukan satu proses yang bebas dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat Palestin.,”tegas beliau yang merujuk kepada pengumuman Abbas mengenai kegagalan dialog pembentukan kerajaan campuran. Abbas telah membuat kenyataan tersebut ketika sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice. Amat mengejutkan kerana sehari sebelum perjumpaan tersebut, beliau mengatakan proses tersebut berada di tahap yang terakhir.

Dalam pada itu, ahli Biro Politik PFLP, Talal Naji, mendedahkan bahawa ketua jabatan politik PLO, Farouk Kaddoumi telah menghantar mesej kepada Salim Al-Zanon iaitu Pengerusi Majlis Kebangsaan Palestin bahawa ahli jawatan kuasa eksekutif PLO adalah tidak sah berikutan ketidakhadiran satu pertiga daripada ahlinya.

Kesemua fraksi itu bersetuju bahawa cadangan ahli jawatankuasa PLO telah memberi ruang kepada lebih tekanan dan perpecahan di dalam arena Palestin. Mereka berkata bahawa pembentukan kerajaan campuran adalah untuk kepentingan rakyat untuk menghadapi cabaran sambil menambah bahawa dokumen perpaduan kebangsaan adalah asas kepada pembentukan kerajaan baru itu nanti. Mereka turut memberi amaran sekiranya pembentukan kerajaan itu dirujuk kepada persetujuan Washington mahupun pihak Quartet.

Bantahan dari “para pejuang” Fatah

Di dalam hiruk pikuk tuntutan PLO yang kemudiannya disuarakan oleh Abbas agar pilihanraya segera diadakan, muncul pula Farouk Qadumi. Sebagai ketua jawatankuasa politik PLO, beliau telah menolak dan menentang cadangan supaya pilihanraya majlis legaslatif diadakan di dalam tempoh yang terdekat. Pendirian tersebut telah dinyatakannya di dalam kenyataan bersama fraksi-fraksi perjuangan Palestin di Damsyik, Syria. Beliau telah diserang hebat oleh para pemimpin Fatah yang lain di dalam media Palestin. Sehinga kini, beliau masih lagi kekal dengan pendirian tersebut.

Pendirian beliau telah mendapat sokongan daripada sayap ketenteraan Fatah dari semua briged mereka yang ada. Briged Syuhada al-Aqsa, al-Majlis al-Askari al-A’laa, Briged Khalid Abu ‘Aker, Quwwat al-Sa’iqah, Briged Tauhid (Fatah), Briged Ahmad Abu Rish, adalah di antara kumpulan di dalam Fatah yang memberikan sokongan kepada Qadumi. Kumpulan-kumpulan tersebut telah menyatakan sokongan mereka terhadap Qadumi dan juga kepada fraksi perjuangan yang lain. Mereka telah menyatakan pendirian tersebut pada 17 Disember 2006, di dalam satu kenyataan mereka yang telah dilaporkan oleh laman web http://www.palestine-info.info. Mereka juga meminta agar masyarakat Palestin dan masyarakat dunia dapat membezakan siapakah Fatah yang sebenarnya.

Apa yang berlaku dengan jelas membuktikan kepada kita niat jahat sesetengah pihak yang berselindung di sebalik gerakan Fatah. Sesuatu yang pasti juga, di sebalik suasana kekecohan yang berlaku ini, ada pihak ketiga yang memainkan peranan lebih aktif. Malangnya, masyarakat dunia yang telah dikaburi dengan laporan agensi-agensi berita barat yang telah dimaklumi kecenderungan mereka telah berjaya ditipu. Akhirnya, ramai yang merasa kecewa, muak dan meluat dengan tanggapan bahawa rakyat Palestin tidak tahu bersatu dan sepatutnyalah mereka ditimpakan bala.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: