jump to navigation

Bahasa Antara Dua Nusa Februari 8, 2007

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: AbrarMalaysia adalah negara jiran Indonesia. Sebagai sebuah negara yang berjiran, tentu sedikit sebanyak ada hubungan yang boleh mempengaruhi antara satu sama lain, terutamanya dalam masalah bahasa. Sebagai sesama rumpun Melayu, bahasa Melayu hampir sama dengan bahasa Indonesia.

Walau bagaimanapun, ada beberapa perkatan yang tidak lazim digunakan oleh sesetengah pengguna bahasa tersebut. Misalnya, terdapat beberapa perkataan yang biasa dipakai dalam bahasa Indonesia ternyata tidak lazim dipakai dalam bahasa Melayu. Meskipun demikian, telah berlaku asimilasi antara bahasa Melayu dan Indonesia sehingga ada perkataan-perkataan yang boleh difahami oleh kedua belah pihak.

Proses asimilasi bahasa ini terjadi secara spontan, dalam makna tidak ada kesepakatan sebelumnya bagi pengguna kedua-dua bahasa tersebut. Namun ini terjadi kerana adanya interaksi yang kerap antara warga Indonesia dengan warga Malaysia, sama ada di Malaysia sendiri mahupun di Indonesia. Media televisyen dan radio sangatlah berpengaruh dalam hal ini. Banyaknya penayangan drama-drama bersiri Indonesia di saluran televisyen Malaysia tentunya akan memberikan kesan. Radio-radio juga tidak mahu ketinggalan untuk memutar lagu-lagu yang dibawakan oleh artis-artis Indonesia.

Di sini perlu ditekankan, bahawa tidak semua perkataan mempunyai makna yang sama dalam kedua-dua bahasa tersebut. Hal seperti ini kadang-kala menimbulkan masalah bagi pengguna bahasa tersebut, terutamanya bagi pendatang baru Indonesia di Malaysia. Sebagai pelajar asing yang baru pertama kali datang ke Malaysia banyak ayat atau perkataan yang kadang-kala menggelikan kerana dirasakan janggal serta lucunya bunyi ayat atau perkataan tersebut.

Pertama kali datang ke Malaysia ini saya diambil oleh sepupu saya ke Terminal Tambang Murah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LCCT). Beredar dari LCCT saya sengaja dibawa untuk tidak melalui lebuh raya, tetapi melalui jalan-jalan kampung di Sepang, Banting dan Bangi Lama. Pada tempat-tempat tertentu, di jalan-jalan yang lengang dan bersimpang siur, saya melihat papan tanda yang tertulis “Kawasan Kemalangan”. Sepintas lalu, terpancar rasa takut dari hati saya, kerana boleh jadi saya sedang berada dalam suatu kawasan yang boleh merenggut nyawa saya secara tiba-tiba, atau bagi orang yang melalui kawasan tersebut akan selalu ditimpa kemalangan. Ini kerana dalam bahasa Indonesia “kemalangan” memiliki erti ditimpa suatu bencana. Setelah sekian lama, maka teka-teki tersebut barulah terjawab, dimana erti dari tulisan pada papan tanda tersebut menunjukkan bahawa kawasan tersebut adalah kawasan berbahaya. Justru itu bagi yang melaluinya adalah disarankan agar berhati-hati kerana telah banyak berlaku kemalangan di kawasan tersebut. Kemalangan dalam pengertian seperti ini, dalam bahasa Indonesia selalu dipakai perkataan “kecelakaan”.

Setelah sampai di rumah, saya pun mandi. Ketika di bilik air, saya terpandang sebuah pek serbuk pencuci. Di bahagian bungkusan pek serbuk pencuci tersebut, didapati sebuah ayat “Serbuk pencuci ini mengandungi Linear Alkilbenzen Sulfanat yang memelihara tangan tetap lembut”. Pada kami, pengguna bahasa Indonesia merasakan kekeliruan dalam penggunaan ayat ini. Kekeliruan ini berlaku ekoran penggunaan perkataan “mengandungi”. Berdasarkan pemahaman orang Indonesia, mengandungi masih ada kaitannya dengan mengandung atau memiliki janin yang sedang membesar di dalam rahim seorang ibu. Ini boleh difahami seperti contoh ayat berikut: “Sewaktu mengandungi anaknya yang ketiga, Rohana selalu mengidamkan dapat mobil mercedez ”. Di dalam suatu akhbar juga didapati tulisan yang isinya hampir sama : “Anggota parti Demokrat dan Republikan di Senat Amerika Syarikat mencapai kompromi malam tadi mengenai satu kandungan resolusi yang membantah rancangan Presiden Bush untuk menambah askar AS di Iraq.” Dalam bahasa Indonesia perkataan kandungan di atas mungkin lebih tepat jika digantikan dengan perkataan “isi”.

Menurut kamus dewan, mengandungi bermakna “berisi atau memuat”. Secara harfiahnya, perkataan tersebut – mengandungi – di Indonesia juga boleh diterima. Tetapi perkataan tersebut tidaklah lazim digunakan, dan dianggap kasar penggunaannya. Maka, untuk tujuan tersebut digunakan perkataan “hamil” yang bermakna lebih sesuai. Untuk menyatakan kandungan dari suatu benda, terutama makanan dan minuman, selalu menggunakan perkataan “komposisi” yang merupakan istilah pinjaman dari bahasa Inggeris. Namun, untuk contoh serbuk pencuci tersebut lebih lazim dipakai perkataan kandungan, dengan sedikit ubahan pada susunan ayatnya.

Secara umum perkataan “mengandungi” di atas diterima oleh kedua-dua pengguna bahasa, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. Namun, perbezaan akan tampak ketara apabila telah dimasukkan ke dalam ayat. Kadang-kadang pengguna bahasa Indonesia merasakan bahawa bahasa Melayu ini hampir sama seperti bahasa Indonesia yang belum dibakukan. Susunan perkataan demi perkataan yang membentuk ayat seakan-akan seperti puitis atau seperti lazimnya bahasa yang biasa digunakan oleh seniman.

Pada kesempatan lain, saya juga menemukan ayat dalam suatu akhbar, yang bagi kami pengguna bahasa Indonesia merasa geli setelah membaca ayat tersebut. Ayat tersebut adalah : “Sedia batalkan rundingan FTA jika terus diugut kuasa besar itu”. Erti sebenar dari ayat tersebut adalah Malaysia akan bersedia untuk membatalkan rundingan FTA dengan AS jika diugut terus oleh AS. Penggunaan perkataan “sedia” tidaklah lengkap, kecuali bila ditambahkan lagi awalan ber. Jadi, dalam kaedah bahasa Indonesia yang baik dan betul, maka ayat tersebut seharusnya menggantikan perkataan “Sedia” kepada perkataan “Bersedia”. Ini kerana perkataan “sedia” biasanya digunakan di kedai-kedai kopi untuk menuliskan senarai menu yang mereka jual. Di kedai-kedai kopi di Indonesia selalu ada perkataan ini: “sedia: mi goreng, nasi goreng, mi sup” dalam senarai menu yang ada di kedai tersebut.

Di rumah sepupu saya terdapat sebuah bekas yang berisi peralatan kecemasan serta ubat-ubatan yang sentiasa dipakai ketika masa kecemasan. Perhatian saya tertumpu pada sebuah botol yang berisi krim (gel herba) yang terdapat tulisan “sapu dada ke atas”. Pada masa itu fikiran saya terganggu dan bertanya apakah maksud sebenar dari ayat ini. Jika diertikan perkata demi perkataan tentulah saya mempunyai penafsiran penyapu untuk bahagian atas dada, kerana perkataan “sapu” bagi kami adalah suatu benda yang digunakan untuk menyapu. Namun, tidaklah mungkin krim kita gunakan untuk menyapu. Secara tidak sengaja, saya juga menyangka bahawa ini adalah perintah untuk menyapukan dada ataupun menyapukan bahagian atas daripada dada. Bagi saya, ayat ini tidaklah lengkap. Kalaula sememangnya ayat ini bersifat perintah untuk menyapukan, maka mestilah ayat ini berbunyi “sapukan dari bahagian dada ke atas”. Dari ayat ini, tentulah kita akan memahami bahawa cara penggunaan krim tersebut adalah dengan menyapukannya mulai dari bahagian dada sampai ke muka.

Penggunaan perkataan atau ayat yang salah masih banyak kita temukan di tempat-tempat awam, seperti jalan raya, hentian bas, stesen kereta api, pasar raya dan lain-lain yang sentiasa dikunjungi oleh pelancong Indonesia. Hal seperti ini tentu saja memberikan imej yang buruk terhadap bahasa Melayu. Sebagai contoh, perkataan bandar raya selalu digabungkan menjadi satu perkataan, yang seharusnya dipisahkan menjadi dua perkataan. Namun, di semua penjuru Kuala Lumpur perkataan inilah yang selalu tertulis di papan-papan tanda. Sehingga akan muncul pertanyaan, di manakah penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul itu? Apakah hanya digunakan sewaktu kuliah, majlis-majlis rasmi atau mesyuarat raja-raja sahaja? Tentulah ini merupakan pertanyaan yang sering dan tidak terselesaikan bagi mereka. Mengapakah ini boleh berlaku? Kerana, setelah mempelajari bahasa Melayu, barulah saya mengetahui bahawa ayat-ayat yang ada pada papan tanda itu masih banyak kesalahannya apabila ditinjau dari segi tata bahasa serta penulisannya.

Dari beberapa kes di atas boleh disimpulkan bahawa kadang-kala terdapat ketidakselarasan di antara bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia. Hal ini sebenarnya merupakan hal yang kecil, kerana sangat banyak kesamaan bahasa Melayu dan Indonesia. Namun, kerana perbezaan yang sedikit itulah boleh berlaku hal-hal yang tidak diinginkan.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: