jump to navigation

Memahami Kezaliman ISA (13) Februari 17, 2007

Posted by ummahonline in ISA, Kolum.
trackback

Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini menerusi abuurwah@gmail.com.

DIJATUHKAN HUKUMAN PADA HARI DITANGKAP

“Kamu Telah Memudaratkan Keselamatan Negara”

Di mana sahaja anda ditahan, pada saat itu jugalah ISA di bawah peruntukan S.73(1), menurut apa yang dipercayai oleh pihak polis, anda telah dijatuhkan hukuman.

Pada saat pegawai polis yang membuat tangkapan menggenggam tangan anda dengan tangannya, beliau akan mengucapkan ungkapan-ungkapan seolah-olah beliau adalah seorang hakim dengan mengatakan bahawa anda ditahan kerana “telah memudaratkan keselamatan negara”.

Selepas itu beliau akan menggari anda dan bermula dari saat itulah bermulanya mimpi ngeri anda, keluarga anda dan mereka yang anda sayangi dan yang menyayangi anda.

Jika anda ada sedikit bernasib baik, kerana mungkin ditahan di hadapan anak isteri, anda mungkin tidak digari pada saat itu.

Tidak Diberitahu Sebab Mengapa Anda Ditangkap

Anda tidak diberitahu oleh pegawai-pegawai yang menangkap anda pada masa itu di atas sebab apa anda ditangkap. Mereka hanya memberitahu bahawa anda telah “memudaratkan keselamatan negara”.

Oleh itu semasa anda dibawa pergi oleh mereka, sama ada dalam kenderaan anda atau pun kenderaan polis, pasti anda mengenangkan dan menjangka bahawa anda ditahan tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana aktiviti anda yang kritikal dan membangkang dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan.

Jika anda seorang aktivis sosial dan pejuang kebenaran dan keadilan serta yakin dengan prinsip-prinsip perjuangan anda, bawalah dan pertahankanlah sebab-sebab yang anda sangka kenapa anda ditangkap oleh pegawai-pegawai SB itu sepanjang penahanan 60 hari anda di bawah mereka.

Keyakinan dan sangkaan ini bakal menjadi bekalan yang amat berguna sepanjang sesi soal-siasat kelak. Keyakinan itu pertahankanlah sehabis-habisnya. Insya’ Allah, ia adalah teman ceria anda sepanjang tempoh 60 hari sesi soal-siasat yang meletihkan, membosankan dan mungkin boleh mematahkan semangat anda.

Dalam Keadaaan Apa Mereka Gemar Menangkap Anda?

Pada ketika anda ditangkap oleh polis, penangkapan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Ada yang ditangkap di kawasan letak kereta hospital, di lapangan terbang, di bahu lebuh raya selepas adegan kejar mengejar yang penuh drama atau di dalam rumah anda sendiri.

Biasanya 72 jam atau tiga hari berterusan sebelum anda ditangkap, pihak SB akan secara berterusan akan memantau seluruh pergerakan anda.

Jika mereka mengunjurkan bahawa anda besar kemungkinan akan berada di rumah, dan mereka merancang untuk menahan anda di rumah anda, mereka akan menjadikan penangkapan itu sedramatik dan “se-real” yang boleh.

Dua hari sebelum anda ditangkap ketika anda dan keluarga tidak ada di rumah, mereka akan datang dan mengambil foto rumah anda dari luar.

Beberapa buah kereta polis, biasanya Proton Wira putih, akan berada di tepi jalan berdekatan rumah anda. Tujuan operasi ini lebih ditujukan kepada jiran-jiran di sekeliling anda.

Pihak polis hanya mahu menakut-nakutkan jiran-jiran anda dan memberi gambaran kepada jiran-jiran anda bahawa anda telah melakukan aktiviti yang telah memudaratkan keselamatan negara dan amat wajar ditangkap.

Adegan Penangkapan yang Memberi Kejutan Maksimum

Sekiranya mereka telah membuat perancangan untuk anda ditangkap di rumah, mereka akan tetap dengan perancangan tersebut.

Seorang tahanan yang menjangkakan SB menghendakinya memandangkan ramai rakan-rakannya telah ditangkap, telah pergi menyerah diri kepada polis. Beliau telah disuruh balik.

Tetapi pada malamnya, sepasukan polis dengan bilangan yang agak besar telah datang seperti menggempur rumah beliau untuk menangkapnya.

Seorang lagi tahanan yang ditangkap di rumahnya telah diserbu oleh sejumlah pegawai-pegawai SB yang agak besar bilangannya. Serbuan yang dibuat seolah-olah mahu menggambarkan kepada isteri, anak-anak dan ibu bapanya bahawa beliau telah benar-benar melakukan aktiviti yang telah memudaratkan keselamatan negara, sedangkan selama ini keluarganya tidak mengetahui atau menyangka beliau ‘seganas’ itu!.

Ada antara mereka yang diarah untuk menanggalkan semua pakaiannya di hadapan isteri, anak-anak dan ibu bapanya, dan ada kalangan pegawai-pegawai SB yang memanjat ke atas siling rumahnya seolah-olah mahu mencari sesuatu yang merbahaya yang disembunyikan oleh sang suami!

Seorang tahanan wanita telah ditahan dan dibawa keluar dari rumahnya pada tengah malam dan meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil untuk dijaga oleh pembantu rumah, sedangkan suaminya sudah pun terlebih dahulu ditahan di bawah ISA dan merengkok di Kem Kamunting.

Upacara Menggeledah dan Menggemparkan Keluarga Anda

Jika anda ditangkap di rumah anda, sekumpulan pegawai-pegawai SB akan diarahkan oleh ketuanya untuk menggeledah rumah anda.

Untuk menunjukkan anda terlibat dalam rancangan ‘subversif’, sasaran utama adalah dokumen, fail nota-nota anda serta diari atau buku harian anda.

Kalau di rumah anda terdapat komputer, mereka akan memasangkan dan cuba menyalin (copy) beberapa fail daripada komputer anda tersebut. Biasanya mereka tidak membawa disket dan terpaksalah anda ‘menginfaqkan’ satu dua atau tiga disket kepada pegawai-pegawai SB tersebut.

Itu pun mujur kalau anda bernasib baik mereka hanya menyalin fail daripada komputer ke dalam disket yang telah anda infaqkan kepada mereka.

Jika anda kurang bernasib baik, komputer-komputer anda itu sendiri diangkat oleh mereka bersama-sama anda sekali!. Tapi apa yang hampir pasti, jika terdapat komputer ‘laptop’ atau ‘notebook’ di dalam rumah anda, komputer seperti itu pasti diangkut keluar oleh mereka.

Sekiranya semasa menggeledah itu mereka tidak jumpa apa-apa yang ‘menggemparkan’, mereka akan punggah keluar juga sesuatu walaupun ia merupakan buku-buku bacaan biasa ataupun tep video atau CD.

Sepanjang pegawai-pegawai SB itu berada di dalam rumah anda tidak seorang pun ahli keluarga anda atau sesiapa yang berada di dalam rumah anda dibenarkan keluar. Tiada seorang pun dibenarkan masuk. Semua panggilan telefon dipantau.

Jika anda memiliki telefon bimbit, alat itu akan mereka pegang. Jika ada panggilan telefon di rumah anda pada masa itu anda dilarang mengangkat dan menjawabnya.

Merampas IC dan Pasport Anda

Sebelum anda dibawa keluar rumah, ketua pasukan SB yang memasuki rumah anda akan memastikan kad pengenalan anda sudah berada di tangan mereka.

Untuk lebih memudahkan kerja mereka, mereka turut meminta anda menyerahkan pasport antarabangsa anda jika anda memilikinya. Ini adalah bagi tujuan mengetahui perjalanan antarabangsa dan negara-negara luar yang telah anda lawat.

Kalau anda bernasib baik, pegawai-pegawai SB tersebut akan membenarkan anda memeluk dan mencium isteri dan anak-anak yang anda kasihi sebelum anda dibawa ke lokasi mimpi ngeri anda!

Dibawa untuk Urusan di Balai Polis

Meninggalkan rumah anda biasanya anda akan dibawa memasuki kereta rasmi polis. Anda akan duduk di tempat duduk belakang dengan diapit kanan dan kiri oleh pegawai-pegawai SB.

Paling teruk pada masa itu anda hanya digari. Kalau nasib baik, kerana tidak mahu mengganggu emosi isteri dan anak-anak anda kononnya, maka anda tidak akan digari pada masa meninggalkan rumah anda.

Anda akan terus dibawa ke balai polis yang menjadi balai polis utama yang bertanggungjawab merangkumi kawasan tempat tinggal anda.

Di situ anda akan mengisi beberapa borang, diambil cop jari dan terpaksa menunggu beberapa jam bagi membolehkan pegawai-pegawai SB yang memasuki rumah anda tadi merekodkan segala khazanah yang baru saja dipunggah di rumah anda.

Semasa berurusan di balai polis, bagi merekodkan bahawa tidak terdapat kesan-kesan tertentu yang baru di anggota badan anda, ketua pasukan SB yang menangkap anda akan meminta anda menanggalkan pakaian dalam sebuah bilik.

Anda boleh memprotes untuk tidak membuka pakaian dan cukup menanda tangan satu borang dengan rajah anggota tubuh manusia dengan mengatakan tiada kesan atau tanda baru di anggota badan anda.

Sepanjang anda berurusan di balai polis, anda masih dihamburkan dengan senyuman manis berjela-jela oleh pegawai-pegawai polis yang menggeledah rumah anda beberapa jam tadi.

Jika anda bernasib baik dan mereka bermurah hati, semasa di balai polis itu anda akan disajikan oleh mereka dengan teh tarik, kopi o dan sedikit kuih muih.

Kalau tak bernasib baik tak ada apa-apalah yang anda terima.

Sepanjang tempoh menunggu itu anda akan terasa seolah-olah anda masih insan bebas yang masih bebas melakukan apa yang anda biasa lakukan.

Tetapi sebaik saja anda berada di lokasi mimpi ngeri anda, pegawai-pegawai SB yang tadinya melemparkan senyuman manis panjang berjela-jela itu tiba-tiba menjadi manusia bengis yang menengking-nengking, melontarkan kata-kata keji dan hina serta membuat bermacam-macam ancaman kepada anda.

Bermulanya Perjalanan ke Lokasi Mimpi Ngeri Anda

Setelah urusan anda selesai di balai polis bermulalah babak pertama dalam perjalanan anda yang gelap gelita seolah-olah tiada penghujungnya itu. Anda akan digari, dipakaikan penutup mata gelap dan bermula dari saat itu hidup anda adalah hanya mendengar dan mematuhi arahan : “tunduk”, “langkah naik”, “masuk lagi”, “duduk”.

Itulah antara yang anda terima untuk menaiki kenderaan yang akan membawa anda ke lokasi yang dikatakan sebagai : “Bang, kalau tak ada tempat ini tak aman negara ini”, oleh pengawal-pengawal di situ. Tempat puaka itu adalah PRC – Police Rehabilitation Centre.

Sepanjang perjalanan itu, jika buat kali pertama anda pasti akan mengalami keganjilan yang amat sangat. Ini kerana, jika anda berada di kawasan Kuala Lumpur, anda akan melalui beberapa kali kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas, selepas itu anda akan merasakan pecutan yang laju dan seolah-olah jauh, selepas itu beberapa lagi kawasan sesak dan selepas itu perjalanan yang laju.

Tujuan perjalanan seperti ini bertujuan untuk membuat anda hilang arah dan tidak tahu di mana anda berada.

Sepanjang perjalanan yang mengelirukan itu pastinya anda cenderung untuk memikirkan tentang nasib yang bakal anda hadapi, anak-anak dan isteri yang ditinggalkan di rumah.

Saya syorkan, sekiranya anda ditahan ISA dan melalui fakta ini, luputkanlah kenangan seperti ini. Hilangkan wajah-wajah isteri dan anak-anak anda daripada ingatan anda buat seketika.

Sebaik-baiknya berbekalkan keyakinan anda bahawa anda ditahan tidak lain dan tidak bukan disebabkan kerana aktiviti-aktiviti anda yang menentang penyelewengan dan pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh pemerintah dan buatlah perancangan dengan hujah-hujah untuk mempertahankan prinsip perjuangan anda.

Manfaatkan perjalanan itu, jika di kawasan Kuala Lumpur pun akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam untuk melakonkan dalam minda anda apa yang anda akan lakukan semasa soal-siasat bermula nanti.

Jika anda seorang muslim, berzikirlah dan bacalah apa-apa ayat Al-Quran yang anda hafaz serta berdoa agar Allah melindungi dan memberi kekuatan kepada anda.

Jika anda seorang penganut mana-mana agama lain, amalkan apa yang diajarkan oleh agama atau kepercayaan anda yang akan membantu meningkatkan kekuatan spiritual anda.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: