jump to navigation

Cabaran Baru PengIslaman Ilmu: Menggabungkan Fizik dan Metafizik Mac 10, 2007

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Shahidan Radiman.

Dalam kertas ini saya ingin menekankan bahawa selama ini banyak perbincangan pengIslaman ilmu masih bersifat teoretik malah bagi sesetengah bidang masih konseptual sedangkan dunia moden memerlukan hasil yang empirik dan memberikan impak sosioekonomi untuk menampakkan hasilnya.

Kita harus bergerak daripada memaparkan sains yang merupakan “perbuatan Allah s.w.t” (af’alNya, hukum-hukum fizik) kepada kalam Allah s.w.t” (hermeneutik atau tafsir ayat Kauniyah) yang terzahir dalam alam semesta dari persoalan Kosmologi Kuantum kepada Nanobiologi dan pengkuantuman Biologi. Jadi, selama ini bukanlah proses Pengislaman Ilmu itu tidak berkesan, tetapi kurang berkesan sehinggakan impaknya kepada masyarakat Islam, khasnya para ahli sains Islam adalah minimal. Maka kita mesti bermula dari beberapa tokoh yang terdahulu yang memberikan impak yang hebat sebagai titiktolak.

Di antaranya ialah konsep kesebaban yang dipanggil kesempenaan (occasionalisme) oleh Al-Ghazali, teori Ishraqi oleh Suhrawardi Maqtul dan dinamik kebenaran dalam pengalaman dzauqi oleh AynQudat al-Hamadani. Ketiga-tiga tokoh ini sebenarnya telah mencuba menonjolkan tasawuf sebagai norma utama dalam pemahaman alam semesta dan alam yang menjangkauinya sehinggakan mereka boleh dinamakan al-arif billah.

Ini kerana fizik merupakan sebahagian kecil dari metafizik, baik fizik yang dikenali sebagai sains empirik sekarang mahupun fizik teoretik yang menjadi kajian utama ahli fizik teori dalam memahami hakikat alam semesta melalui zarah asas dan daya-daya interaksinya. Melalui fizik konsep yang selari boleh digunakan untuk memahami peristiwa di alam ghaib, alam akhirat dan alam mithal termasuk alam barzakh. Dalam Islam, peristiwa yang akan datang, dalam dunia dan alam yang berbeza yang dipanggil alam akhirat, bahan dan peristiwanya lebih kekal daripada alam ini yang akan hilang sejarahnya melalui proses al-kiyamah.

Walaupun sebahagian daripada konsep selari ini telah dibincangkan oleh Ibnu Arabi melalui hikmah nubuwah para nabi-nabi dan kajian yang hebat dijalankan di seluruh dunia antaranya oleh Hirstentein, Addas, Chockiewiecz, Chittick, Leaman, Schimmel, Izutzu, Beneito dan lain-lain tentang Ibn Arabi saja, maka saya rasa perlu melihat tiga tokoh tadi untuk diterapkan modus operandi pengIslaman ilmu dalam bidang sains terkini khasnya sains teras yang bersifat batasan (frontier). Ini sangat perlu jika kita inginkan Wacana Sains Islam itu menjadi lebih bermakna.

Ke-empat tokoh yang disebutkan di atas telah pun berjaya membina satu sistem Sains Islam yang berjaya digunakan pada zaman mereka dan telah menggungguli sistem lain seperti yang dibangunkan oleh Ibn Rushd (tidak memasukkan mukjizat dan karomah dalam sistem metafiziknya), kaum Muktazilah (tidak mempercayai alam ghaib) atau Ibnu Sina (tidak mempercayai wujudnya jin Ifrit) atau al-Farabi yang tidak menyentuh langsung hal-hal tentang alam ghaib dalam falsafah mereka.

Sains merupakan satu-satunya cabang ilmu moden yang mengkamirkan ilmu matematik, logik, fizik, kimia dan biologi (dipanggil sains tulen) dan bidang sebelumnya ini dengan ekonomi dan sains sosial (dipanggil sains lembut) yang oleh itu telah dapat menjelaskan fenomena fizikal alam semesta sehingga nilai kebolehramalannya dapat digunapakai untuk membangunkan teknologi moden.

Dalam aspek kegunaan, sains kejuruteraan dan teknologi telah dapat dibangunkan berdasarkan kepada prinsip dan hukum fizik yang telah dikenal pasti. Sebagai contohnya prinsip dalam teori elektromagnet telah dapat dibangunkan untuk membekalkan tenaga elektrik melalui loji janakuasa hidroelektrik dan sistem telekomunikasi jarak jauh termasuk melalui satelit. Teori graviti Newton telah dapat digunakan untuk meramalkan pergerakan planet dan berlakunya gerhana matahari, bulan dan planet dan oleh itu penentuan kalendar yang berdasarkan matahari atau bulan.

Hukum termodinamik banyak digunakan untuk merekacipta loji janakuasa nuklear atau enjin kenderaan dan seterusnya hukum-hukum hidrodinamik banyak digunakan untuk merekacipta kapalterbang jet dan juga kapal laut dan bot laju. Pengkamiran ilmu matematik dengan bidang-bidang lain menjadi semakin rancak dengan penggunaan komputer sebagai alat untuk membuat simulasi berdasarkan teori fizik dan kaedah matematik yang telah dibangunkan untuk tujuan ini. Algoritma yang semakin canggih juga dibangunkan agar kadar pengiraan berkomputer dapat dipercepatkan dan kejituan serta kepersisan pengiraan yang dikehendaki untuk menjamin kualiti hasil rekacipta tercapai.

Ilmu berdasarkan akal (khasnya Sains) tidak merangkum semua ilmu

Ilmu yang berdasarkan akal adalah yang menerangkan fenomena fizikal yang mengikuti hukum yang ditentukan oleh Allah s.w.t yang kita panggil hukum tabii. Contohnya ialah hukum graviti Newton, teori kerelatifan khas dan am Einstein, teori kuantum dan lain-lain teori dalam bidang fizik, kimia dan biologi. Ilmu boleh dibahagikan kepada naqli dan aqli. Ilmu naqli adalah berdasarkan al-Quran dan Sunnah yang oleh itu memerlukan seorang Nabi untuk menyampaikan kepada manusia.

Sebaliknya, ilmu aqli yang berdasarkan kepada akal hanya perlu dibangunkan secara berkelompok melalui institusi pendidikan atau penyelidik. Namun hubungan antara kedua-dua ilmu naqli dan aqli adalah begitu rapat sekali. Ini kerana walaupun ilmu aqli ini banyak digunakan untuk menerangkan fenomena alam dan hukum-hukum tabii, disebalik semua yang fizikal ini terdapat alam ghaib yang lebih luas yang sebenarnya juga memainkan peranan penting dalam alam fizikal. Contohnya ialah peranan malaikat dalam mengatur dan menjalankan tugas agar hukum tabii ini berjalan dengan baik atau jika memerlukan sesuatu mukjizat atau karomah untuk berlaku ( sesuatu yang berlawanan dengan hukum tabii). Tanpa peranan malaikat sudah tentu perkara seperti mukjizat, karomah atau maunah tidak dapat berlaku kerana sistem fizik alam ini harus mengikuti hukum tabii yang sudah tetap dan kekal.

Contoh lain ialah tentang kewujudan alam semesta ini sendiri. Mengikut Teori Deguman Besar ( Big Bang Theory) alam ini bermula dari suatu titik dan seterusnya mengembang seperti belon sehingga kini. Namun hukum fizik tidak dapat menerangkan dari mana tenaga untuk menjana letupan itu berlaku dan seterusnya bagaimana kehidupan manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang dapat wujud di muka bumi. Malah terdapat satu prinsip yang dipanggil Prinsip Anthropik (Anthropic Principle) yang diyakini oleh ramai ahli sains Barat bahawa alam semesta ini mempunyai banyak pemalar fizik yang mempunyai nilai yang sangat sesuai untuk kewujudan manusia di bumi ini.

Ambil contoh nilai pemalar graviti, g = 9.8 ms-2, jika nilainya tinggi sedikit kita akan merasa sukar untuk bergerak, sebaliknya jika nilainya rendah sedikit kita akan terasa terapung dan mengubah kebolehan untuk mendengar dengan baik disebabkan cecair dalam gegendang telinga kita terapung sedikit atau jarak di antara bumi dan matahari yang secara tepat membolehkan bumi menampung kehidupan berdasarkan fotosintesis dan peredaran haba dengan baik, sebaliknya jika jaraknya terjauh atau terdekat sebanyak 20 km sudah menjadikan perubahan iklim dunia menjadi lebih ganas dan merbahaya untuk kehidupan.

Oleh itu sebenarnya penciptaan alam semesta ini sudah ditentukan oleh Yang Maha Pencipta iaitu Allah s.w.t sendiri agar ia benar-benar sesuai bagi manusia yang dilantikNya sebagai khalifah di muka bumi.

Sains Islam menggabungkan ilmu naqli (wahyu) dengan ilmu naqli

Para ilmuwan Islam pada kurun yang lepas telah membangunkan Sains Islam yang menggabungkan kedua-dua ilmu naqli (yang berdasarkan wahyu) dan ilmu aqli (yang mana sebahagiannya di ambil dari tamadun Yunani, India, China dan Parsi) yang sudahpun diajarkan melalui tradisi setempat seperti di Parsi.

Contohnya ilmu logik atau mantik diambil dari Plato dan Aristotle dan menjadi bahan kajian utama ilmuwan seperti Ibnu Sina, Al-Kindi dan Ikhwan As-Safa. Penerapan dan kepelbagaian kaedah pengkamiran ilmu naqli dan aqli ini telah melahirkan aliran-aliran pemikiran yang berbeza contohnya Suhrawardi Maqtul telah membangunkan aliran Hikmah al-Ishraqi dengan mengkamirkan ilmu wahyu dengan ilmu tradisi Parsi dan Ibnu Sina serta pengikutnya membangunkan aliran pemikiran yang dipanggil Masyaiyyun (Peripatetik).

Apabila ilmu Kalam berkembang dengan pesat dan teori atom dibangunkan, hukum sebab-musabab (causality) telah dikaji dengan mendalam sehingga timbul teori Kesempenaan (Occasionalisme) bagi menerangkan fenomena yang berlaku di luar hukum tabii seperti mukjizat dan karomah. Malah bentuk teori Occasionalisme ini yang digunakan oleh Imam al-Ghazali dalam buku Tahafut Al-Falasifahnya untuk menerangkan hukum sebab-musabab dalam alam semesta terus kepada sebab asal iaitu Allah s.w.t, namun telah memberikan asas penting dalam bidang Mekanik Kuantum iaitu sifat jirim dan jirim itu sendiri terpisah, hanya bersatu apabila pengukuran (pencerapan) dilaksanakan.

Penggabungan kedua-dua ilmu naqli (wahyu) dengan ilmu aqli (yang diterajui oleh ilmu sains) merupakan projek PengIslaman Ilmu yang gagasannya telah diterokai oleh Allahyarham Prof. Dr. Ismail Faruqi, Ziauddin Sardar dan lain-lain di peringkat antarabangsa, oleh Prof. Dr. Shaharir Mohd Zain (khasnya melalui Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)), Prof. Dato’ Dr. Osman Bakar, Prof. Wan Ramli Daud dan lain-lain di peringkat Malaysia.

Terdapat dua ciri penting sains Islam dalam gagasan ini, pertama ialah penggabungan ilmu wahyu dengan ilmu akal dan logik dan kedua ialah pemurnian ilmu iaitu semua ilmu sebenarnya berasal dari Ilmu Allah s.w.t yang Maha Esa dan Maha Mengetahui. Oleh itu, tidak ada manusia atau tamadun yang berhak untuk mengatakan sesuatu ilmu (termasuk teknologi yang dibangunkan) itu adalah haknya, dalam erti lain ilmu sains dan teknologi adalah untuk kebaikan manusia sejagat.

Di antara akibat yang menarik di antara penggabungan dua bentuk ilmu tadi ialah tiada berlakunya percanggahan dari segi pandangan alam fizikal dan pandangan alam spiritual, etika dan juga moral sebab Islam, melalui ilmu wahyu menekankan aspek spiritual dan moral (akhlak). Seterusnya, kalau dari pandangan sekular (ilmu tanpa wahyu) berlaku pengotakan ilmu (compartmentalised knowledge) melalui gabungan ini ilmu tidak lagi terkotak dalam kategori aqli sahaja dan oleh itu mewakili realiti yang sebenar.

Contohnya berlaku pandangan (atau falsafah) berlawanan di antara realisme dan positivisme dalam bidang Mekanik Kuantum, tetapi jika Mekanik Kuantum mengambil kira worldview Islam maka hanya realisme yang boleh diterima. Malah banyak ahli fizik teori dalam bidang ini percaya bahawa alam semesta mempunyai Independent Realitynya sendiri (kadangkala dipanggil Veiled Reality).

Masa depan ilmu sains dan teknologi

Banyak kajian sains masa kini sudah membuktikan beberapa hukum yang agak semesta (universal) yang merentas pelbagai bidang. Sifat kesemestaan itu menunjukkan satu sifat kesatuan atau tauhid bahawa sebab-musabab yang terakhir adalah dari Yang Maha Pencipta iaitu Allah s.w.t sendiri.

Sebaliknya, dari segi kepelbagaian bidang yang lahir dari sesuatu cabang sains contohnya Nanoteknologi, kita lihat bidang ini memerlukan seseorang penyelidik mengetahui ketiga-tiga bidang fizik, kimia dan mungkin biologi atau sains bahan untuk benar-benar menjadi seorang pakar nanoteknologi yang baik. Para ilmuwan Islam kurun awal telah menunjukkan sifat keseberbolehan (polymath) ini.

Contohnya Ibnu Sina bukan saja merupakan seorang ahli falsafah, ahli Fizik dan ahli Kimia tetapi juga seorang pakar perubatan. Begitu juga dengan Imam Fakhruddin al–Razi yang merupakan bukan saja pentafsir al-Quran (kitabnya Mafatih Al-Ghaib sangat terkenal) tetapi seorang pakar matematik dan fizik serta ahli kalam. Dengan pembangunan sains dan teknologi yang begitu pesat kini dan keperluan pengetahuan merentas pelbagai cabang ilmu termasuk keperluan membuat simulasi komputer, pembangunan sains semakin mencabar dan memerlukan falsafah yang kuat untuk lebih maju disamping melakukan penyelidikan dengan lebih bermoral (khasnya dalam penyelidikan genetik manusia).

Oleh itu, ilmu sains yang juga dikaitkan secara negatif dengan perlumbaan senjata nuklear, pembuangan sisa toksik industri dan pelbagai kemalangan mega amat memerlukan ilmu wahyu sebagai gandingannya untuk terus memberi manafaat kepada manusia sejagat dengan cara dan matlamat yang sepatutnya. Falsafah penggunaan dan pembangunan teknologi serta pengurusan sains perlu menggunakan ilmu wahyu seperti ilmu fiqh dan usuluddin bagi membangunkan ilmu sains yang benar-benar bermanafaat untuk manusia.

Jika sistem ekonomi boleh diIslamkan melalui subsistem perbankan dan sistem pengurusan Islam, saya lihat ilmu sains dan teknologi lebih mudah untuk diIslam memandangkan bahawa pemikiran sekular dan ateistik sudah tidak mampu untuk membawa ilmu sains ke realiti dan soal dasar yang lebih jauh. Ini terbukti demikian dalam bidang kosmologi kuantum yang terpaksa berhadapan dengan persoalan dari mana datangnya tenaga asal untuk menzahirkan ruang dan masa dan bagaimana Letupan Besar boleh berlaku dari suatu kesingularan ruang-masa dan tenaga .

Fizik dan Metafizik

Kajian Fizik adalah satu proses mencerap, mentaakul dan menghuraikan sesuatu fenomena alam fizikal berdasarkan kepada hukum-hukum tabii yang ditemui atau dipostulatkan. Hukum-hukum ini ditulis dalam bentuk persamaan, ketaksamaan atau lain-lain pernyataan matematik dan huraian hukum itu didapatkan berdasarkan selesaian persamaan tersebut. Soal interpretasi hasil selesaian dan wujudnya selesaian yang banyak sering ditimbulkan sebagai salah satu masalah “songsangan” yang inheren dalam sains tabii. Ini menjadi begitu jelas dalam Mekanik Kuantum sehinggakan masalah “interpretasi” yang asalnya hanya dikhasnya bagi selesaian persamaan Schrodinger sekarang ini menjalar kepada masalah “pengukuran” dan masalah “kewujudan pencerap”.

Metafizik pula adalah kajian tentang alam ghaib, fenomenanya yang dicerap di alam nyata ( secara langsung atau tidak) dan kaitannya dengan hukum-hukum tabii alam fizikal. Disebabkan alam ghaib itu lebih luas, lebih tidak diketahui dan sukar diketahui atau kita katakan bahawa alam fizikal (tabii) ini tertanam (embedded) dalam alam ghaib ini dalam topologi yang kita masih tidak ketahui, maka sudah pastinya kajian metafizik menjadi begitu “sukar” mungkin untuk disaintifikkan.

Bagi umat islam jelas bahawa alam ghaib ini menjadi sebahagian daripada rukun keimanan dan oleh itu pandangan alam (worldview) mereka tidak akan lari daripada perspektif metafizik betapa hebatnya penyelidikan fizik atau biologinya. Malah di sebalik setiap penemuan baru sains dan disebalik semua penemuan dan pengetahuan baru kita dapati peroslan yang semakin mendalam timbul—di manakah akhirnya, apakah hukum dan model yang lebih tepat dan menyeluruh, dan siapakah yang merancang dan membuatnya sebegitu rupa?

Kalau dulu cerita tentang ulamak Melayu, Tok Kenali boleh berada dilebih dari satu tempat pada sesuatu masa (1) membuatkan masyarakat merasa begitu pelik, penemuan baru dalam Mekanik Kuantum (2) membuktikan bahawa satu ion beryllium boleh berada dalam dua tempat—paket gelombang terpisah sebanyak 80 nanometer sedangkan saiz ion beryllium itu sendiri bersaiz 0.1 nanometer. Ujikaji lain (dilakukan oleh Alain Aspect di Institut d’Optique, Paris pada tahun 1980an) terhadap apa yang dipanggil sebagai teori lokal objektif menunjukkan bahawa bagi sesuatu ensembel (kumpulan) zarah, sifat keterikatan (entanglement) zarah-zarah boleh menyebabkan sifat individu zarah tidak wujud lagi.

Apa yang menarik ialah jika hasil ini dipadankan dengan masalah jasad dan roh, jelas bahawa sebahagian sifat kita ada dalam roh dan sebahagiannya dalam jasad kita. Kita tidak boleh meletakkan seratus peratus sesuatu sifat “fizikal” semata-mata pada jasad. Ini dapat disahkan dalam banyak pengalaman “spiritual” mereka yang bernasib baik untuk mengalaminya.

Islam dan Sains: Dulu dan Sekarang

Ujikaji dan teori harus saling menyandar dan Ibn Haytham dalam Kitab al Manazir telah menggunakan kata istiqra’ untuk ujikaji dan i’tibara untuk menganalisis data berdasarkan teori. Al Battani (858-929) seorang ahli astronomi telah meneruskan tradisi ibn Haytham ini engan menggunakan kata mihna untuk mengumpul data dan i’tibar untuk membandingkan pengiraan dengan data astronomi. Al Biruni dalam Ifrad al Maqal menggunakan kata imtihan dan i’tibar. Dalam pemahaman alam semesta secara rasional dan tradisional, Ibn Rushd vs Al-Ghazali sangat terkenal sedangkan perkara yang sama berlaku dalam agama Yahudi di antara Saadia vs Maimonides dan dalam agama Kristian di antara Bonaventure vs Aquinas. Menurut Muzaffar Iqbal (3):

“This debate is by no means over yet. In the contemporary science-religion discourse , this debate has expanded to include mathematics, physics, biology, cosmology , philosophy and theology and questions such as the nature of infinity , the beginning of time , the origin and destiny of the universe and the nature of God’s role in the cosmos.”

Kesemua bidang dan hal yang disebutkankan oleh Muzaffar Iqbal tadi semuanya termaktub dalam bidang Kosmologi Kuantum. Oleh itu penerokaan dalam bidang ini oleh saintis Muslim amat penting dilaksanakan. Pembangunan falsafah atau hikmah baru dalam abad kegemilangan Islam (sekitar zaman Khalifah Abbasiyah) sangat diperlukan sebagai menolak beberapa tren yang dianggap anti-Islam.

Contohnya, aliran Muktazilah menolak kewujudan jin Ifrit, Ibnu Sina menolak kewujudan jin dan al-Farabi tidak memasukkan mahluk ghaib atau fenomena ghaib dalam sistem metafiziknya. Dalam erti lain, alam ghaib tidak dimasukkan dalam sistem metafizik yang merangkumi fizik, hikmah atau falsafah menyebabkan al-Ghazali, Suhrawardi Maqtul dan tokoh-tokoh lain memasukkannya untuk membangunkan sistem metafizik yang sesuai dengan al-Quran dan hadith.

Cabarannya sekarang (zaman moden ini) ialah membangunkan satu korpus ilmu yang membangunkan fizik dan metafizik sekaligus dalam kerangka wacana yang menggabungkan pandangan al-Ghazali, Suhrawardi Maqtul, AynQudat Hamadani, Ibn Arabi dan lain-lain arif-billah. Kita lihat misalannya konsep bayang-bayang dan konsep “celupan Allah” (sibgatullah) yang ada di dalam al-Quran dan pandangan kebanyakan ahli Sufi bahawa alam ini (termasuk diri kita) merupakan cerminan karya Maha Pencipta.

Dalam Fizik Teori prinsip Holografi telah pertama dicadangkan oleh G. t’Hooft pada tahun 1993 dan kini digunakan dalam teori supermembran (atau teori-M, lebih itlak dari teori supertali). Pada tahun 2002, Marcadena telah menemukan satu perkaitan (correspondence) di antara teori-M dan adS/CFT (ruang model anti-de Sitter) yang membuktikan prinsip holografi ini sangat penting. Misalannya, dalam 4-dimensi, ruang-masa kita merupakan sempadan kepada ruang 5-dimensi ( contohnya teori Yang Mills dengan kumpulan tolok SU(N=5)).

Hikmah Ishraqi ( Suhrawardi dan Shahrazuri)

Shams alDin Muhammad al-Shahrazuri (meninggal 1288) adalah seorang pemuka Hikmah Ishraqi yang dipelopori oleh Shihab al-Din Yahya ibn Habash Ibn Amirak Abul Futuh Suhrawardi (1154-1191). Beliau telah mengembangkan lagi hikmah ishraqi dalam kitabnya al Shajarah al-ilahiyah atau Pohon Ilahi. Terdapat lima risalah dalam kitab ini, tetapi risalah kelima tentang Metafizik adalah antara yang terpenting. Antara perkara terpenting yang dinukilkan Shahrazuri (lihat Hossein Ziai (4), 1996):

”The ontological position upheld is the primacy of quiddity (asalat al –mahiyyah) . Briefly stated , this position holds existence (wujud) to be a derived mental concept while essence (mahiyyah) is considered to be primary and real.”

”According to Shahrazuri, demons (ifrit, nasnas etc) dwell in the mundus imaginalis, where true dreams occur. It is beyond the world of sense perception and beyond extended space but below the realm of the intellect (alam al-aql). In this mundus imaginalis, archetypes of all known things on earth exist as luminous forms…there are numerous multiple levels in this realm and only God knows their number.”

Shihabudin Yahya ibn Habash ibn Amirak Abul Futuh Suhrawardi dilahirkan di Parsi pada tahun 1154 dan meninggal dunia dipancung (Maqtul) di Aleppo, Syria pada tahun 1191. Dalam usia yang begitu muda beliau telah menukilkan banyak tulisan antaranya Hikmat al Ishraqi dan al Mashari’ wal mutarahat (disiapkan 1183), al Talwihat, al Muqawamat dan beberapa tulisan lain yang kurang terkenal seperti Hayakil al Nur, al Alwah al imadiyyah dan banyak tulisan berbentuk risalah, contohnya Risalat at Tayr dan Fi haqiqat al ishq. Menurut Suhrawardi sendiri beliau menulis kitab Hikmat al Ishraqi disebabkan keperluan untuk menerangkan secara saintifik keadaan-keadaan yang tidak boleh dihuraikan oleh kaedah fizik yang dibangunkan oleh para ahli falsafah masyaiyyun seperti yang dipelopori oleh Ibnu Sina dan al Rais.

Oleh itu isi kandungan kitab Hikmah Ishraqi ini dibahagikan kepada dua: satu, metafizik am dan kedua, metafizik khas. Metafizik am menghuraikan tajuk seperti kewujudan, kesatuan, masa, pergerakan dan lain-lain sedangkan metafizik khas menghuraikan masalah supra-rasional seperti kewujudan Tuhan, pengalaman kebatinan, mimpi yang benar, alam al-khayal (seperti yang di ketahui para ahli Sufi) dan banyak perkara yang berkaitan dengan tajuk-tajuk ini.

Shihabudin Yahya Suhrawardi melalui tulisannya dalam Hikmat al Ishraq, al Talwihat, al Muqawamat dan al Mashari wal mutaharat telah menggariskan kaedah falsafah terhadap kedua-dua kajian fizik dan metafizik. Kajian fizik dan fenomena alam dibahagikan dibawah “metafizik am” ( metaphysica generalis) sedangkan perkara metafizik seperti huraian tentang mimpi benar, kebolehan untuk meramal dan lain-lain hal yang melawan adat (khawariqul adah) diletakkan di bawah metafizik khas (metaphysica specialis). Secara amnya beliau menyarankan keunggulan mod pengalaman sendiri sebagai epistemologi yang utama selain daripada memberi impak dalam bidang semantik (ilm dalalat al-alfaz), modaliti beriterasi (iterated modalities) dan teori kategori.

Untuk kajian zaman moden ini, dimanakah agaknya hasil tulisan Suhrawardi dapat memberikan arah panduan seterusnya? Pertama, kita lihat bahawa apabila banyak fenomena fizik dihuraikan dengan menggunakan perkataan atau sebutan-sebutan cahaya, secara tersirat kita dapati fenomena fizikal itu berlaku dengan perbuatan yang melibatkan malaikat sebab malaikat adalah makhluk yang bercahaya; kedua, program PengIslaman Ilmu terhadap ilmu sekular menjadi otomatis disebabkan huraikan secara saintifik fenomena khawariqul adat itu dilaksanakan. Ketiganya, teori beliau yang menekankan pentingnya pengalaman penyelidik sendiri—dalam erti lain, ia mengambilkira kesan pengukur terhadap apa yang diukur, suatu perkara yang hanya timbul dalam 30-40 tahun kebelakangan ini disebabkan oleh masalah pengukuran dalam bidang Mekanik Kuantum.

Dalam kajian Falsafah Kuantum kita juga lihat bagaimana soal dasar bidang Mekanik Kuantum cuba diselesaikan menggunakan kaedah semantik, lojik dan juga modaliti. Contohnya dalam masalah interpretasi Mekanik Kuantum, Interpretasi Modal meletakkan vector—keadaan mengikuti evolusi yang linear dan unitari serta mempunyai satu set sifat yang membenarkan peristiwa tertentu untuk berlaku di peringkat makroskopik termasuk hasil tertentu ujikaji tanpa mencabuli teorem Kochen-Specker.

Teori Suhrawardi tentang kemungkinan-kemungkinan di masa depan (qaidat imkan al asahraf) mungkin dapat dilihat kembali sebagai mewakili satu interpretasi kewujudan “keupayaan” dalam sistem Mekanik Kuantum, dan oleh itu sejajar dengan teori keupayaan Bohm-Hiley (Bohm Interpretation of Quantum Mechanics). Dalam teori kategori Suhrawardi yang kemudiannya dikembangkan oleh Sadr al-Din Shirazi sebagai al harakah al jawhariyyah atau pergerakan dalam kategori jirim, kita dapati bahawa konsep tenaga (dalam pergerakkan) tersirat dalam sesuatu jirim telah dihuraikan yang mana ini mendahului teori Einstein melebihi 600 tahun.

Secara peribadi, Suhrawardi menukilkan bahawa beliau sendiri pernah bermimpi berjumpa dengan Aristotle yang menjelaskannya bahawa falsafah masyaiyyun (peripathetic) tidak akan mencapai hikmah yang sama dengan para ahli Sufi seperti Abu Yazid Bistami dan lain-lain disebabkan para ahli Sufi telah berhubung terus dengan Tuhan dan oleh itu tidak lagi terlibat dengan pemfalsafahan yang disandarkan kepada fikiran sahaja, malah meletakkan pengalaman peribadi (contohnya dalam proses pencerahan) sebagai paling utama. Dalam pandangan Hikmah Ishraqi untuk mendapatkan ilmu yang sejati memerlukan tiga langkah: pertama “meninggalkan dunia“) untuk menerima “ pengalaman “.

Tahap kedua, penyelidik atau pencari akan mengalami pancaran nur Ilahi (ilham dan sebagainya); ketiganya, mendapat ilmu yang tidak kehabisan (al ilm ishraqi) dan keempat, menukilkan atau mendokumentasikan pengalaman pencerahan ini dalam bentuk tulisan. Cahaya pencerahan itu datang dalam bentuk “ al anwar al sanihah” secara berterusan dan melaluinya ilmu sains yang sebenar ( al ulum al haqiqiyah) diterima dan kemudiannya disebarkan. Paradigma Ishraqi ini melibatkan subjek ( mawdu’), kesedaran (idrak) terhadap subjek dan kekreatifan (khallaqiyyah). Semua pengalaman yang tidak didapatkan melalui pemikiran berlaku dalam alam al mithal ( mundus imaginalis).

Berlawanan dengan falsafah Muktazilah yang meletakkan akal sebagai sumber utama (asalat al aql) ilmu, kaedah Ishraqi lebih menekankan hubungan hati (qalb) dengan Tuhan dan meletakkan alam al-mithal setara dengan alam fizikal. Malah masalah dasar dalam bidang Mekanik Kuantum telah dinyatakan oleh Niels Bohr (pendukong Interpretasi Copenhagen) sebagai berikut:

”It is my personal opinion that these ( interpretational) difficulties are of such a nature that they hardly allow us to hope that we shall be able , within the world of atoms , to carry through a description in space and time that corresponds to our ordinary sensory perceptions.” ( lihat J.Honner (5), 1982).

Ini menunjukkan bahawa keperluan “menggunakan” alam al-mithal (mundus imaginalis) sebagai penghubung interpretasi dalam masalah Mekanik Kuantum ini. Malah dalam konteks teori kategori (yang mungkin boleh juga dikaitkan dengan kategori yang di ketengahkan oleh Suhrawardi) sejenis teori kategori yang dipanggil teori Topos sudah mula dicuba untuk digunakan dalam menyelesaikan masalah Graviti Kuantum (khasnya oleh C.J Isham dan pekerjanya Imperial College, England) disebabkan oleh masalah untuk mengelakkan penggunaan kerangka ruang-masa.

Secara sepintas lalu, kita dapat simpulkan bahawa Hikmah Ishraqi yang dipelopori oleh Suhrawardi Maqtul telah mengkamirkan kedua-dua bidang fizik (kajian alam fenomena) dan bidang metafizik (kajian alam ghaib) disatukan dalam satu korpus teori. Keduanya, penggunaan kaedah lojik dan semantik serta teori kategori dalam Hikmah Ishraqi berkemungkinan besar boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah dasar dalam bidang Mekanik Kuantum dan khasnya Graviti Kuantum.

Namun, usaha yang gigih dan mendalam oleh ahli sains Muslim diperlukan untuk mencapai hasrat ini. Yang paling penting, kita dapat lihat bagaimana Hikmah Ishraqi dapat mengaitkan ilmu yang timbul melalui pencerahan hati (mikrokosmos) dengan alam fenomena fizikal yang luas (alam semesta = makrokosmos) , sebagaimana satu kesatuan fenomena seperti yang disebutkan dalam al Quran (surah 41 ayat 53):

”Akan Kami perlihatkan kepada mereka dalil –dalil kekuasaan Kami disegenap penjuru alam dan di dalam diri mereka sendiri , sehingga jelas bagi mereka bahawa apa yang Kami yahyukan itu adalah benar.”

Hakikat penciptaan alam semesta dan manusia

Kitab suci Al-Quran yang tertulis didalamnya firman Allah s.w.t dipanggil Qur’an tadwini , sedangkan alam semesta yang terbentang luas ini dipanggil Qur’an taqwini. Tulisan di dalam al-Qur’an dipanggil ayat yang bererti tanda atau simbol. Melalui al-Qur’an Allah s.w.t memperlihatkan tanda-tanda kewujudanNya, kekuasaanNya dan kesempurnaanNya. Tanda-tanda ini diterjemah sebagai wujud dengan af’al tertentu di cakrawala (alam kabir) dan dalam diri manusia ( alam saghir). Keserupaan di antara kedua alam ini digambarkan melalui istilah-istilah lahiriah (kosmologis) dan batiniah (ontologis). Kewujudan Allah s.w.t sebagai Maha Pencipta dan peranan alam semesta yang diciptakannya dan seterusnya peranan manusia sebagai hambaNya telah dinyatakan oleh Mahmud Shabistari (6) sebagai berikut:

Antara Ahmad dan Ahad
Terletak huruf Mim
Lalu seluruh alam semesta ini
Terpendam dalam huruf ini.

Seterusnya, beliau menyatakan ,

Lihatlah Satu, Katakan Satu dan Kenalilah Satu
Dengan ini, terkuncilah cecabang pohon Iman.

Sunan Bonang (7) dalam “Suluk Wujil” mensyairkan: Jangan terlalu jauh mencari keindahan
Keindahan berada dalam diri
Malah alam semesta terbentang dalam diri
Agar dapat memandang dunia
Jadikan seluruh dirimu cinta.

Semua pengalaman yang dilalui oleh ahli Sufi diatas bersesuaian dengan konsep ilmu huduri (knowledge by presence) yang dihuraikan secara panjang lebar oleh Suhrawardi Maqtul. Jelaslah bahawa hakikat alam semesta dan manusia itu berkait rapat. Malah dalam Islam peranan manusia jelas—sebagai khalifah di muka bumi (sebagai hamba Allah yang bertaqwa), sedangkan dunia (alam semesta dan isikandungannya) ditundukkan untuk manusia yang benar-benar menjadi hamba Allah. Hadis qudsi menyebutkan:

Aku adalah perbendaharaan tersembunyi. Aku ingin dikenal, maka Aku mencipta dan dengan demikian Aku dapat dikenal.

Dalam nada yang sama, Allah berfirman dalam al-Quran:

Tidaklah Aku menciptakan manusia dan jin melainkan supaya mereka beribadat kepada Ku.

Ibnu Abbas r.a mentafsirkan “supaya mereka beribadat kepada Ku” sebagai “supaya mereka mencapai pengetahuan-Ku “. Oleh itu manusia akan mengenal Tuhannya melalui ilmu, iaitu ilmu yang diwahyukan melalui para Nabi a.s dan ilmu yang disampaikan melalui para walinya mahupun ilmu yang diberikan terus oleh Allah s.w.t. Apabila manusia mula mengenal Tuhannya, maka dia akan mencintaiNya. Namun, menurut Ibnu Arabi (lihat Futuhat al Makiyyah), ilmu (pengetahuan) lebih unggul dari cinta, maka sebab itulah Allah s.w.t memerintahkan NabiNya supaya diminta tambahi ilmunya yang berasal dariNya.

Beliau juga menyatakan bahawa cinta makhluk kepada Allah s.w.t bersumber dari pendengaran kata-kata “Kun” (Jadilah!) yang membawa makhluk-makhluk itu menempati alam kejadian. Al-Qunawi rah. pula menyatakan bahawa: Allahlah yang Tanzih (Transenden) dan Yang Tasybih (Immanen) . Transenden mengisyaratkan bahawa sebagai Zat Mutlak Allah tidak memiliki keserupaan dengan apapun dan Immanen mengisyaratkan bahawa Dia dapat dikenal melalui ciptaan-ciptaanNya. Maka, jelas bahawa ciptaan-ciptaannya menggambarkan Sifat dan Af’alNya .

Penyelidikan sains tentang hakikat alam semesta

Menurut Sahl al-Tustari (8), makna zahir ayat-ayat mutasyabihat itu indah dan makna batinnya mendalam – makna zahirnya hadd dan makna batinnya mathla’. Sedangkan pencerapan zahir hanya melihat fenomena fizis sebagai hukum/ketentuan di alam syahadah ( fizikal), pentadbiran alam syahadah ini sebenarnya berlaku di alam malakut— ini adalah disebabkan alam syahadah ini tertanam (embedded) dalam alam malakut yang lebih luas. Proses pelaksanaan qada’ dan qadar bermula di alam malakut.

Terdapat kelestarian ( parallelism) di antara alam syahadah dan alam malakut—contohnya, cahaya alam syahadah adalah foton sedangkan cahaya alam malakut adalah Nur Allah (seperti yang dihuraikan oleh Imam Al Ghazali dalam Misykat al Anwar). Cahaya Nur Allah inilah yang menerangi penglihatan batin mereka yang bertaqarrub dengan Allah s.w.t. Dengan penglihatan batiniah ini seseorang penulis dapat membaca bakal pembacanya dan si pembaca pula dapat “berguru langsung” dengan penulis kitab yang dibacanya.

Untuk memahami alam syahadah (alam tabii) dari ilmu wahyu seseorang harus menggunakan ilmu ta’wil yang bermula dengan Imam Ja’far al Shadiq. Menurut as Sulami, Imam Jaafar membahagikan ayat-ayat al-Quran kepada empat jenis: (i) ayat-ayat ibarah, yang boleh ditafsirkan secara harfiah, (ii) ayat-ayat isyarah untuk mereka yang memiliki pengetahuan ( khawas) dan boleh melakukan tafsir melalui fikiran, (iii) ayat-ayat lathaif (halus) yang hanya boleh difahami oleh para auliya’ dan (iv) ayat-ayat haqaiq yang makna-maknanya hanya diketahui oleh para-para Nabi a.s sahaja (melainkan disampaikan kepada manusia oleh mereka sendiri).

Kesimpulan

Ahli-ahli sufi mengenali hakikat alam semesta ini dan menghuraikannya melalui puisi dan syair mereka yang merupakan sebahagian besar dari seni Islam. Sebagaimana puisi sufistik adalah zikir-zikir dan pujian terhadap Allah s.w.t dan juga doa, sepantasnya juga penyelidikan sains yang dilakukan oleh orang Islam, khasnya dalam sains asasiah seperti astrofizik dan graviti kuantum merupakan dapat menimbulkan mujahadah, musyahadah dan inabah dalam diri sendiri (iaitu melahirkan transendensi, kontemplasi (tafakur) dan transformasi diri).

Sifat inilah yang akan melahirkan sifat tawadu’, mawas diri dan bermacam-macam sifat kebaikan yang dapat membawa seseorang itu hampir dengan Allah s.w.t sehinggakan menjadikannya sebahagian dari khawasul khawas iaitu kaum muqarrabin seperti yang disebutkan dalam al-Quran bahawa para ulamak itu adalah mereka yang paling takut terhadap Allah s.w.t. Ini adalah disebabkan mereka sudah mengenaliNya.

Oleh itu, hikmah yang banyak yang dijanjikan kepada mereka yang mendapatkannya (dan inilah satu cabaran yang besar) seperti yang dijanjikan Allah s.w.t dalam al-Quran, ialah bagi mereka yang membangunkan sistem metafizik yang merangkumi fizik dan semua ilmu sains dan teknologi moden, sehinggakan ilmu para nabi dari dulu sehingga sekarang dapat dimanafaatkan untuk pembangunan ummah khasnya dan manusia amnya. Arah pandang kita kepada empat tokoh Sufi di atas untuk mengambil contoh pembangunan korpus baru ini tidak salah, kerana James Morris (9) sendiri pernah menulis:

“The history of Islamic thought subsequent to Ibn Arabi (at least down to the 18th century and the radically new encounter with the modern West) might largely be construed as a series of footnotes to his work.”

Saya ingin mengakhiri perbincangan di atas dengan kata-kata hikmah dari tulisan Sachiko Murata (10) di bawah perbincnagan, Mikrokosmos lwn Makrokosmos.

”Mikrokosmos adalah individu manusia. Segala sesuatu dalam makrokosmos tercermin di dalam mikrokosmos . Kedua-duanya iaitu mikrokosmos dan makrokosmos mewujudkan Metakosmos – inilah Prinsip Kesetaraan ( Correspondence Principle). Tujuan pencari kebenaran adalah menyatukan ketiga-tiga realiti ini “ membuat mereka menjadi satu “ iaitu tauhid. Jika makrokosmos adalah dunia “ di luar sana” , mikrokosmos adalah dunia “ di sini”. Para ahli kosmologi Muslim melihat acuan pada ketiga realiti itu dan mengkamirkan ketiganya dalam ayat al Quran ( surah 41 ayat 53):Akan Kami perlihatkan kepada mereka dalil-dalil kebenaran Kami di segenap penjuru alam dan pada diri mereka sendiri , sehingga jelas bagi mereka bahawa yang Kami wahyukan itu adalah benar.

Realiti yang relatif dari tanda-tanda dalam makrokosmos dan mikrokosmos itu menunjukkan satu realiti Mutlak dari yang Nyata, iaitu Metakosmos. Ketika seseorang pencari bersungguh-sungguh menyedari bahawa “ Tidak ada sesuatu yang nyata melainkan Yang Nyata “ bererti dia telah mencapai tauhid.”,

Rujukan:

1. Abdullah Saleh Al-Qari, 1985. Tok Kenali Dalam Kenangan, Hisbi Pub.(K.Lumpur)

2. C. Monroe et al, 1996. Experimental observation of the Schrodinger’s Cat states, Science 272, 1131-1135.

3. Muzaffar Iqbal , 2002. Islam and Science, Ashgate Publication.

4. Hossein Ziai, bab 29: The Illuminationist Tradition dlm History of Islamic Philosophy suntingan S. H. Nasr dan O.Leaman (Routledge, 1996).

5. J. Honner, 1982. dalam Stud. Hist. Phil. Sci. 13(1), 1-29.

6. Mahmud Shabistari, The Walled Garden of Truth (terjemahan).

7. A.Rahimsyah, Riwayat Wali Sembilan.

8. Christine Zahra Sands , The Sufi Exegesis of the Quran.

9. James Morris, 1987. Ibn Arabi and His Interpreters, J. of the American Oriental Soc. 106, 539-51, 733-756; 107,101-119.

10, Sachiko Murata dlm Mukadimah Bab 8, The Tao of Islam (State Univ. of New York Press, 1992)

Catatan Tambahan:

11. Tentang sumbangan Imam Ghazali lihat tulisan Shahidan Radiman: Peranan Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam Kemajuan Sains Kini, dalam Seminar Pengajian Bersanad dan Sains Islam Malaysia ( Shah Alam, 5-6 Ogos, 2006) anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara, PENGKAJI, Pusat Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun dan Kidi.

12. Tentang Aynqudat Hamadani lihat Hamid Dabashi, bab 27: Aynqudat Hamadani and the intellectual climate of his times dlm History of Islamic Philosophy suntingan S. H. Nasr dan O. Leaman (Routledge, 1996)

13. Tentang tulisan lain yang berkaitan tajuk dia atas sila lihat juga: Shahidan Radiman , 2006. Penerapan Tauhid dalam Sains dan Teknologi dan juga, Mekanik Kuantum dan Kesufian dalam buku Manifesto: Intisari dan Rahsia Pemikiran dan Pengamalan Islami oleh Mohd Zaidi Abdullah, Kurnia Ilham, K. Lumpur (2006).

14. Tentang asal usul Hikmah Ishraqi, terutamanya epistemology yang bermula dengan Al-Ghazali lihat buku Hikmah Ishraqi: Dari Fizika ke Aestetika oleh Mohd Zaidi Abdullah, Kurnia Ilham, Kuala Lumpur (2004).

15. Tentang Ibn Arabi, lihat tulisan Shahidan Radiman: Tradisi Akbar dalam Keilmuwan Islam, Prosiding Seminar Mengenang Jasa Prof. Dr. Shaharir Mohd Zain, 150-157. Penyunting Ummu Khair Salma Din et al ( ISBN 983-2975-22-0) dan juga Mekanik Kuantum dan Sufisme, 74-78 prosiding yang sama.

Nota: Dr Shahidan Radiman merupakan professor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Manakala makalah ini pertama kali dibentangkan ketika Bengkel Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Jumaat 9 Februari, 2007 di Puri Pujangga, UKM.

Komen-komen»

1. Pak Din - Ogos 6, 2008

Salam

Saya telah menyalin semula artikel ini di Blog saya. Semua dipersetujui. Terima kasih.

2. S023 Dari Blog Ummahonline. Fizik dan Meta. « Sharudin.com - September 14, 2008

[…] Cabaran Baru PengIslaman Ilmu: Menggabungkan Fizik dan Metafizik Mac 10, 2007 Posted by ummahonline in Artikel. Oleh: Shahidan Radiman. [Bagi memudahkan rujukan saya meletakan nombor perenggan. […]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: