jump to navigation

Bani Israel: Pengkhianatan demi pengkhianatan Mac 12, 2007

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee MalikSetiap kali rakyat Palestin menghulurkan tangan mereka untuk berdamai, setiap kali itulah rejim Zionis Israel akan mengkhianatinya. Samada perdamaian itu di dalam bentuk gencatan senjata, perjanjian damai mahupun persefahaman. Oslo 1993 yang berat sebelah itupun telah mereka khianati.

Walaupun rakyat Palestin kerugian dan ditipu melalui Oslo 1993, rejim Zionis tersebut tidak berasa puas. Akhirnya mantan PM Israel, Ariel Sharon telah mengumumkan “mati”nya Oslo pada tahun 2002.

Pasca Intifadah 2000, kita telah menyaksikan bagaimana rejim Zionis telah mengalami kejutan demi kejutan. Pengunduran dari Gaza, kekalahan kepada Hizbullah dan lain-lain lagi memaksa mereka untuk bersetuju dengan gencatan senjata. Malangnya setiap kali pihak Palestin menerima gencatan senjata, setiap kali itulah mereka menyerang semula. Semanjak tahun 2005 sehingga kini, rejim Zionis tidak kenal erti menghormati pihak musuh.

Keadaan seperti ini mengundang kembali senario di zaman Rasulullah SAW. Walaupun kaum Yahudi Zionis yang berada di bumi Palestin hari ini bukanlah 100% berketurunan Bani Israel, namun sikap mereka tidak ubah seperti golongan berkenaan sewaktu berada di al-Madinah al-Munawwarah.

Ya, mungkin ramai yang terkejut jika dikatakan kaum Yahudi yang menjajah bumi Palestin bukanlah dari keturunan Bani Israel. Hakikat ini telah didedahkan oleh Arthur Koestler di dalam bukunya “13th Tribe”. Hakikat ini jugalah yang diakui oleh para sejarawan Yahudi sendiri. Yahudi Ashkenazi yang membentuk 70% daripada kaum Yahudi yang wujud di muka bumi hari ini adalah berasal dari keturunan Khazaria di Laut Hitam Rusia. Mereka bukanlah dari keturunan Bani Israel, mereka hanya memeluk agama Yahudi pada kurun ke-7 Masehi.

Perbezaan keturunan ini, walau bagaimanapun tidak menjadikan mereka berbeza dari sikap. Perlu difahami di sini, umat Islam bukanlah umat yang fasis, apalagi bersikap perkauman. Al-Quran dan juga Rasulullah SAW tidak pernah mengajar kita membenci seseorang kerana keturunan mahupun bangsanya.

Malah di dalam surah al-Mumtahanah, Allah SWT ada menyebutkan: “Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik kepada mereka yang tidak melarang kamu dan tidak memerangi kamu kerana agama” (Surah al-Mumtahanah: ayat 8). Sejarah juga telah merekodkan sikap dan pekerti mulia Rasululullah Saw kepada golongan Yahudi yang wujud di bumi Madinah. Sejarah juga telah merekodkan sikap dan pekerti mulia para sahabat kepada golongan Kristian di bumi Syam, di utara Afrika, terutamanya golongan Kristian Koptik dan lain-lain lagi.

Seperkara yang lebih menarik, golongan Yahudi yang diseksa dan dizalimi di bumi Eropah pun hanya menemui kemanan apabila berada di negara-negara Islam seperti Andalus, Maghribi, Baghdad dan Yaman. Sejarah mencatatkan sedemikian, para sejarawan juga akur, hanya mutakhir ini sahaja terdapat usaha untuk mengubahnya. Seorang aktivis politik haluan kiri, dan mantan ahli Knesset rejim Zionis Israel, Uri Avnery juga mengakui hal ini. Beliau telah menyebutkannya di dalam artikel beliau yang tersebar ke seluruh dunia bertajuk “Muhammad’s Sword”. Artikel itu ditulis demi membalas tuduhan sembrono Pope Benedict ke-16 bahawa Islam tersebar ke seluruh dunia menggunakan mata pedang.

Fakta yang tidak dapat ditolak oleh mana-mana individu Yahudi ialah kehidupan nenek moyang mereka di zaman Andalus merupakan zaman keemasan mereka. Moses Ben Maimon, dan lain-lain nama yang gah dan mahsyur di dalam sejarah Yahudi merupakan produk dari sikap toleransi umat Islam kepada penganut agama lain. Di kala kaum Yahudi disembelih, dizalimi, dibenci, dipulaukan, dihina dan diperlaku sesuka hati di benua Kristian Eropah, mereka yang hidup bersama masyarakat Islam hidup dengan penuh kemewahan.

Di Andalus, mereka boleh menjawat jawatan menteri, di Baghdad, mereka diberikan keprcayaan yang tinggi oleh Khalifah, malah di negara Syam pasca Salahuddin, mereka juga hidup bersama arus perdana umat Islam. Hal yang sedemikian merupakan mimpi bagi kaum Yahudi yang tinggal di dalam masyarakat Katolik Eropah. Alasan kaum Katolik mudah sahaja, kaum Yahudi merupakan pembunuh Jesus. Kota Vatican di zaman pra-Pencerahan sendiri telah menyaksikan sebuah Ghetto Yahudi bersebelahan kota tersebut. Ghetto tersebut telah dijadikan tempat untuk para penganut agama Kristian melepaskan geram mereka. Bagi sesiapa yang menunaikan ziarah ke kota berkenaan, mereka pasti akan melemparkan telur, melepaskan kata-kata kesat dan juga 1001 ritual yang lain demi melepaskan geram ke arah keturunan “pembunuh Jesus”.

Sentimen anti Semitik di Eropah berasal dari titik tolak aqidah dan keagamaan. Islam tidak pernah mengajarkan kita perkara yang sedemikian. Malah Islam mengiktiraf semua manusia sebagai saudara. Rasulullah SAW mengatakan : “Kamu semua adalah dari Adam, dan Adam berasal dari tanah” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Tarmidhi, dan al-Bayhaqi di dalam Syu’ab al-Imaan, al-Albaani mengkategorikannya sebagai Hassan). Kita semua diciptakan untuk mengenali dan menjalinkan persahabatan di antara satu sama lain, menurut ajaran Islam. Allah SWT mengatakan: “Wahai manusia, Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari sepasang lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan juga berkabilah-kabilah, untuk kamu berkenalan…”(Surah al-Hujuraat: ayat 13).

Islam tidak pernah mengajar kita untuk membenci kaum Yahudi kerana mereka dilahirkan Yahudi. Islam tidak pernah mengajar kita untuk membenci kaum Yahudi kerana mereka beragama Yahudi. Agama merupakan pilihan individu, Islam memgiktiraf perbezaan agama. Prinsip ini perlulah difahami oleh setiap umat Islam. Seperkara yang lebih istimewa lagi, kaum Yahudi telah diberikan layanan yang khas dan istimewa berbanding agama lain di dalam al-Quran. Mereka telah digolongkan ke dalam golongan Ahli Kitab. Umat Islam dibenarkan memakan sembelihan mereka dan juga berkahwin dengan wanita mereka.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana pula dengan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang kejahatan Bani Israel?, Ataupun ayat-ayat yang menceritakan tentang sikap buruk mereka?, Atau juga ayat-ayat yang menyuruh kita agar tidak mengambil mereka menjadi rakan, pembantu dan juga orang yang boleh dipercayai ?

Jawapannya mudah sahaja. Al-Quran sebagai kitab petunjuk kepada semua umat manusia tidak mengecualikan bangsa Bani Israel daripada dakwah mereka. Apabila al-Quran menceritakan tentang sikap buruk Bani Israel di zaman para Nabi dan Rasul-rasul terdahulu, ianya merupakan peringatan kepada kaum Yahudi di Madinah tentang sikap buruk sekumpulan daripada datuk nenek mereka yang telah mengundang kemurkaan Allah.

Maka, mereka perlulah mengambil iktibar dan jangan mengulanginya lagi. Teks-teks tersebut tidak boleh dilihat sebatai anti-Semitik, kerana kitab perjanjian lama pun ada menyebutkan sebilangan besar insiden-insiden yang sama. Sepertimana kisah Bani Israel diceritakan, kisah-kisah kaum lain seperti ‘Aad, Thamud, kaum Tubba’ dan lain-lain juga turut dirakamkan oleh al-Quran.

Al-Quran juga telah merakamkan sikap buruk A’rab, iaitu golongan Badwi, di dalam ayat “A’rab (Badwi) itu mempunyai sifat kekufuran dan kemunafikan yang melampau” (Surah al-Taubah: ayat 97). Ayat tersebut bukanlah bermaksud Islam membenci kaum Badwi ataupun bersikap anti-Badwi. Hal yang sama juga berkaitan dengan ayat-ayat yang menceritakan perihal buruk kaum Bani Israel. Ayat-ayat yang menceritakan tentang sikap buruk kaum Yahudi sebenarnya bertujuan menceritakan perkara-perkara buruk mereka yang perlu mereka tinggalkan.

Mengenai ayat-ayat yang menceritakan tetang keburukan mereka yang telah mengkhianati umat Islam dan sikap curang pula, ianya bertujuan menceritakan sikap kaum Yahudi di Madinah di zaman tersebut. Begitu juga halnya dengan ayat-ayat yang memerintahkan agar mereka dibunuh dan diperangi adalah merupakan balasan terhadap pengkhianatan kaum Yahudi Madinah terhadap perlembagaan Madinah itu sendiri. Ayat-ayat tersebut perlu difahami melalui konteksnya, berdasarkan Asbab al-Nuzul (sebab turun ayat). Memahami ayat-ayat tersebut tanpa melihat kepada Asbab al-Nuzul hanya akan membawa kepada salah faham dan sikap perkauman seperti golongan Katolik.

Bagaimana pula dengan sikap kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi di Madinah?

Jika diamati, setiap peperangan yang telah dilancarkan oleh Raulullah SAW ke atas kaum Yahudi di Madinah adalah bersikap politik. Kesemua operasi-operasi tersebut adalah berdasarkan “Rule of Law” dan juga mempunyai asas-asas perundangan. Mengapa tidak?, bukankah setiap peperangan yang dilancarkan itu adalah kerana pelanggaran perlembagaan Madinah. Perlembagaan Madinah yang terjasad pada Sahifah al-Madniah. Kaum Yahudi, yang merupakan sebahagian daripada “ummat” di Madinah telah terlibat bersama merangka perlembagaan tersebut. Sebagai “social contract” yang dipersetujui bersama oleh seluruh anggota masyarakat madinah, ianya mempunyai unsur “keluhuran” yang perlu dihormati bersama. Sebarang pelanggaran kepada artikel-artikel perlembagaan Madinah merupakan “act of treason” (pengkhianatan).

Berdasarkan prinsip “perlembagaan” inilah, operasi-operasi memerangi kaum Yahudi di Madinah telah dilancarkan. Operasi memerangi Bani Nadhir, operasi memerangi Bani Qurayzah, operasi memerangi Bani Ghatafan, operasi memerangi Yahudi Khaybar dan lain-lain operasi adalah bertunjangkan semangat “perlembagaan” ini. Barangsiapa yang mentafsirkan semua peristiwa-peristiwa tersebut selain daripada pentafsiran ini adalah salah. Barangsiapa yang mentafsirkan peristiwa tersebut dengan alasan perbezaan agama ataupun dari titik tolak perkauman, merupakan tafsiran yang dangkal dan bersalahan dengan Ruh Syariat Islam itu sendiri.

Realiti hari ini di Palestin juga perlu dilihat dari perspektif yang sama. Fakta ini bertepatan dengan apa yang telah difatwakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam fatwa-fatwa beliau berkaitan isu Palestin dan Yahudi. Kita memerangi rejim Zionis Israel adalah kerana mereka telah memerangi kita dan merampas bumi Palestin serta masjid ketiga suci kita, iaitu Masjid al-Aqsa.

Kita bukannya memerangi mereka kerana mereka berbangsa Yahudi ataupun kerana mereka beragama Yahudi. Jika mereka tidak menjajah bumi umat Islam, jika mereka tidak memerangi umat Islam, jika mereka tidak berusaha merobohkan masjid ktiga suci kita, kita tidak mempunyai masalah dengan mereka. Cukuplah lembaran-lembaran sejarah menjadi saksi, bahawa umat Islam merupakan pelindung kaum Yahudi di zaman kegelapan Eropah dahulu!

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: