jump to navigation

Menilai Semula Agama Mac 12, 2007

Posted by ummahonline in Kolum, Vox Pop.
trackback

Oleh: Haris Zalkapli Agama sedang berdepan saingan hebat di semua lapangan. Dalam kehidupan manusia seharian, negara sekular seperti Perancis mengenakan pengharaman pemakaian hijab di sekolah awam.

Dalam bidang sains, agama diserang idea-idea yang personifikasinya muncul dalam bentuk tokoh-tokoh seperti Richard Dawkins dan ramai lagi. Dalam bidang seni, terutama dalam arus perdana budaya popular, agama sentiasa dipersembahkan sebagai sekurang-kurangnya membosankan, antikebebasan, malah bersifat fasis.

Ini hanyalah beberapa contoh saingan terhadap agama, atau menurut alarmis, ancaman atau serangan terhadap agama. Globalisme dan pasaran bebas idea hari ini telah meletakkan semua idea termasuk tafsiran agama di bawah mikroskop untuk dikritik. Perkembangan ini mengejutkan agamawan yang duduk dalam ruang selesanya.

Hakikat bahawa ramai agamawan – terutama Muslim – terkejut dan tersinggung dengan perkembangan ini mendedahkan keadaan selesa yang dialami kelompok pentafsir agama selama ini, terutama di negara majoriti Muslim seperti Malaysia.

Golongan pentafsir agama, yang meliputi mereka yang digelar ulama dan juga ahli politik Islamis, tidak dapat dinafikan memegang kuasa yang besar. Gugatan terhadap wacana agama yang telah diperkukuhkan selama ini pasti sekaligus ialah ancaman terhadap autoriti kelas pentafsir agama ini.

Bagi mereka yang sudah mempunyai jawapan untuk semua hal melalui wacana agama dominan, perkembangan terbaru ini sangat mengejutkan kerana tiba-tiba apa yang mereka pegang sebagai kebenaran dipersoalkan.

Kesilapan terbesar dalam hal ini ialah tafsiran agama yang sebahagian besarnya bersifat arkaik dan tidak mentafsirkan agama untuk kehidupan dunia yang jauh berbeza daripada tempat dan masa yang dijadikan rujukan utama golongan agamawan. Kritikan ini bukan baru dan telah banyak kali dikemukakan.

Wacana dominan golongan agama ini juga, seperti yang banyak dilihat di banyak negara majoriti Muslim seluruh dunia, sebenarnya bersifat sekular, kerana memisahkan apa yang disebut agama dengan kehidupan seharian, walaupun kelompok ini sangat memusuhi sekularisme.

Dapat dilihat dengan jelas pemisahan domain yang disebut sebagai agama dan “dunia” oleh kelompok ini. Walaupun menurut tafsiran mereka sendiri setiap tindakan manusia di dunia ini dinilai oleh Tuhan dan boleh dikira sebagai ibadat, pemisahan ini sebenarnya memang diwujudkan dan sentiasa diperkukuhkan, contohnya pembahagian “hal agama” dengan “isu politik,” walaupun telah mereka tegaskan agama dan politik tidak boleh dipisahkan.

Wacana seperti ini telah menjadikan hal yang diberi perhatian oleh kelompok agamawan terhad, kerana akhirnya, keutamaan tetap akan diberikan kepada apa yang disifatkan sebagai “agama,” dan bukan tafsiran agama tentang dunia hari ini. Kesilapan ini hampir menjadikan agama tidak praktikal.

Dalam banyak kes, golongan agamawan lebih berminat dengan konsep-konsep abstrak walaupun ketika mengulas isu-isu spesifik seperti dasar ekonomi neoliberal yang menuntut penswastaan barangan atau perkhidmatan yang sepatutnya tidak menjadi milik persendirian.

Satu lagi masalah wacana agama yang dominan ialah penolakan rasionaliti. Akibat tafsiran yang sempit, peranan akal yang sihat sering dikesampingkan malah dimusuhi, dengan alasan akal perlu tunduk kepada wahyu. Tetapi ini menimbulkan persoalan, apakah yang mendorong kepelbagaian tafsiran agama Islam yang pelbagai di seluruh dunia dan sepanjang sejarah?

Walaupun tidak dinafikan peranan penting golongan autoriti pentafsir agama, rasionaliti perlu diberikan peranan yang sangat kritikal dalam tafsiran agama. Wacana yang berlegar pada hukum tidak akan membawa ummah kepada kemajuan.

Apa yang berlaku hari ini ialah seolah-olah rasionaliti hampir tidak ada tempat langsung dalam wacana agama. Rasionaliti dalam agama sering kali pula dikaitkan dengan kesesatan.

Wacana dominan yang menolak rasionaliti ini telah mewujudkan dan menyuburkan fanatisme yang terlalu kritikal terhadap persoalan-persoalan sukar yang sah. Pelbagai isu melibatkan ummah juga tidak berupaya ditekuni dengan mendalam dan sering kali respons yang tercetus sangat bersifat terburu-buru, contohnya tindakan sesetengah Muslim ketika menangani kes karikatur Nabi Muhammad s.a.w. di Eropah.

Salah satu simptom akibat daripada rasionaliti tidak diberikan peranan penting ialah terhakisnya moral (akhlaq) daripada mereka yang dilihat sangat dekat dengan agama. Kelompok agama sering menegaskan agama sebagai sumber akhlaq. Ironinya, sering kali akhlaq terkorban di tengah-tengah keghairahan “melaksanakan agama,” seperti menguatkuasakan “peraturan agama” dan bersuara dalam isu-isu melibatkan hal ehwal ummah.

Akibatnya, sangat mudah untuk dicari akhlaq atau etika yang lebih murni di kalangan bukan agamawan atau mereka yang tidak melaksanakan ritual agama dalam kehidupan seharian, malah juga di kalangan yang menolak agama. Mungkin inilah saingan sebenar kepada agama.

Akhirnya, kebaikan yang menjadi matlamat agama-agama lebih mudah diperhatikan di kalangan mereka yang tidak beragama. Timbul persoalan apakah gunanya agama (seperti ditafsirkan agamawan Muslim sebagai al-din atau sistem yang menguruskan kehidupan, sumber nilai dan sebagainya) sekiranya hal tersebut dapat dicapai tanpa agama?

Kini, mudah saja untuk dikemukakan moral tanpa agama kerana gejala yang berleluasa di kalangan manusia beragama seperti ekstremisme dan pelbagai penyelewengan lain.

Ini membawa kepada persoalan definisi agama seperti yang difahami sejumlah besar Muslim hari ini. Bagi ramai orang biasa, dapat dilihat pembehagian jelas kehidupan agama dengan kehidupan seharian. Tindakan mereka menunjukkan agama hanya bermula di tangga masjid atau ketika berpakaian kain pelikat dan baju Melayu untuk beribadat.

Hal ini hampir menjelaskan definisi agama bagi ramai Muslim. Malah turut berlaku di kalangan agamawan. Walaupun menegaskan, contohnya, agama dengan politik tidak dapat dipisahkan, atau pekerjaan juga boleh dikira sebagai ibadah, banyak tindakan tidak menunjukkan apa yang ditegaskan ini. Apa yang terzahir ialah sekularisme yang lahir daripada wacana agama yang sempit.

Sekiranya agama terancam, ancaman terbesar ialah wacana sempit dan kelesuan intelektual ummah. Agama perlu didefinisikan semula agar tidak sekadar menjadi sekumpulan ritual dengan wacana yang lemah berdepan pasaran bebas idea dan tidak mampu menangani persoalan kontemporari. Untuk mencapainya, agama perlu ditafsirkan dengan lebh rasional. Peranan rasionaliti dalam agama perlu ditegaskan kembali.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: