jump to navigation

Berembang Telah Menjadi Saksi Mac 19, 2007

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Nurumairoq

Bahang panas yang hampir membakar Kuala Lumpur dan Ampang, turut melanda seluruh negara. Ianya terlalu terik hingga ubun-ubun kepala seperti mendidih dan amarah manusia kian menggelegak. Namun bagi kondominium di Bukit Antarabangsa, atau banglo di Taman Tun, mereka hanya sekadar perlu kuatkan ‘aircond’ hingga suhu 16 darjah Celcius, dan perapkan diri dalam rumah.

Sekiranya mahu juga keluar ke Bandar, mereka hanya sekadar perlu sejukkan kereta mewah mereka dengan ‘aircond’, pada tahap beku. Namun ianya berbeda bagi penduduk setinggan, yang rata-ratanya berada pada tahap sederhana dan, ada yang pada paras kemiskinan. Mereka sekadar bersabar, tatkala atap zink, menjadikan rumah setinggan itu bagaikan ketuhar yang membakar.

Keadaan ini mengingatkan aku tentang tragedi Berembang I dan tragedi Berembang II. Tatkala setinggan Kampung Berembang, di sana diruntuhkan sesuatu yang amat menyedihkan menyentuh perasaanku. Ini kerana aku sebenarnya rasa terlalu rapat dengan kehidupan setinggan. Kerana aku juga budak setinggan. Setinggan Kampung Berembang, adalah jiran yang agak dekat dengan setinggan kampung aku, iaitu Kampung Bumiputra. Kampong Berempang merupakan ‘port’, aku melaga ayam. Juga tempat mencari ‘spider’ untuk tujuan lawan ‘spider’. Juga hubungan rapat budak setinggan Bumiputra dengan musuh-musuh ’team’ bola sepak budak Berembang.

Bagi aku, budak Berembang jugak banyak yang terdiri dari geng kepala masam, dan memang selalu sangat kami bergaduh dengan budak-budak Berembang.

Aku tidak tahu, bila setinggan Berembang wujud atau juga bila setinggan Kampung Bumiputra wujud. Namun yang aku tahu, sejak aku mengenal bulan dan matahari, Kampung Berembang dan Kampung Bumiputra sudah wujud. Kehidupan setinggan bukan terlalu indah sewaktu sekitar 70-an dahulu. Bayangkan ada dua paip air yang terpaksa dikongsi oleh kira-kira 60 keluarga. Juga kehidupan tanpa elektrik di sepanjang masa. Hanya lampu gasolin yang dihidupkan apabila senja menjelma. Bayangkan rumah tanpa perparitan yang sempurna. Malahan bayangkan jamban yang tidak sempurna, rumah yang berasak-asak dan sempit. Kehidupan yang serba tidak sempurna, dengan gaji atau pendapatan yang kecil. Cik Ro yang menjadi tukang sapu, atau Pak Cik Ghani Udang yang bekerja di pasar menjual udang. Juga Abang Abu yang hanya buruh kontrak, yang pastinya banyak bangunan di Kuala Lumpur ini hasil dari tangannya.

Aku masih ingat lagi, bila melihat anak-anak Abang Abu, iaitu kawan-kawan sekolahku, yang makan nasi berkuah air garam. Namun Abang Abu tetap setia, membanting tulang berkerja di Kuala Lumpur. Juga masih aku ingat tatkala Cik Ro, yang dilanggar hingga kakinya kanannya dipotong sewaktu sedang meyapu di Jalan Semarak. Tanpa mendapat rawatan yang sempurna, kaki Cik Ro membusuk serta nanah yang bercampur darah keluar dari kaki Cik Ro. Antara ingat dan tidak, masih terngiyang-ngiyang di telingaku.

’Sakitnya, tak tahan Ro nak tanggung derita ini’. Suara sebak menahan kesakitan yang amat sangat oleh Cik Ro.

Namun dalam keadaan kesakitan dan kepedihan yang amat sangat. Cik Ro, sesekali menyatakan kebimbangngan siapa yang akan menyapu sampah di Jalan Semarak. Dia bimbang kawasan itu, tidak ada orang yang akan bersihkan.

Namun begitu umur Cik Ro masih panjang, Cik Ro sembuh selepas 2 tahun menderita. Bayangkan selepas itu dengan kaki palsu, Cik Ro meneruskan amanahnya, menyapu dan membersihkan Kuala Lumpur.

Dengan gaji atau pendapatan yang tak seberapa, mereka sebenarnya menderita di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Sewaktu itu Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya juga sebenarnya baru membangun. Hakikatnya yang membangunkan Kuala Lumpur adalah orang-orang yang tinggal di kawasan setinggan, dan sewaktu itu Kuala Lumpur bukanlah apa-apa. Merekalah yang hidup derita untuk membangunkan pusat bandar di Malaysia. Merekalah peneroka bandar yang membuka bandar ini. Namun yang paling biadap apabila Kuala Lumpur sudah dibangunkan dan khidmat dan penderitaan seisi keluarga mereka tidak diperlukan. Mereka dihalau bersama keluarga mereka bagaikan anjing kurap yang tiada nilai pada mata mereka. Memang tindakan yang biadap dan kurang ajar.

Kita cuba memisahkan manusia dengan istilah tanah T.O.L ( Temporary Occupation Licence ), tanah bergeran, tanah milik kerajaan, tanah adat, tanah wakaf,setinggan haram dan banyak jenis tanah lagi. Namun bagaimana sekalipun status tanah itu, bagi orang yang puluhan tahun duduk menderita, membangunkan kawasan sekelilingnya aku berani menyatakan tanah itu milik mereka. Kerana tatkala itu, semua orang tidak mahu berkongsi penderitaan mereka ketika membangunkan Kuala Lumpur.

Malahan yang meruntuhkan rumah-rumah mereka serta surau tempat mereka bersolat, juga pastinya mereka yang belum tentu memberi sumbangan terhadap pembangunan Kuala Lumpur dan Ampang sendiri. Peristiwa ini merupakan satu kezaliman serta sifat tamak manusia. Di mana bila konflik antara pemaju yang hendak sangat membuat untung yang besar dalam jangkamasa yang pendek, memperkakaskan segala agensi dan apa juga apparatus negara, bagi mencapat matlamat mereka.

Bagaimana sebenarnya polisi kita terhadap setinggan dan mereka yang tinggal di tanah T.O.L. Adakah dengan memindahkan mereka di rumah panjang, atau rumah baru yang jauhnya berpuluh kilometer dari kawasan asal mereka dan tempat mereka mencari pendapatan. Atau sekadar memberi mereka rumah sewa, agar mereka terus menyewa sehingga mati. Atau juga seperti di Tanjong Tokong, Pulau Pinang memberi sebuah keluarga yang anak lapan, untuk menghuni sebuah rumah sempit, yang hanya ada satu bilik.

Jelas orang lain telah membuat duit berjuta ringgit, hasil kemiskinan dan penindasan terhadap manusia yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara ini. Mereka yang menindas ini cuba mewujudkan jurang yang semakin melebar antara kelompak masyarakat ini, seperti mewujudkan kasta dalam masyarakat. Orang-orang seperti mereka yang tinggal di setinggan seperti ini, terlalu kaya dengan kemiskinan.

Khalifah Omar telah dilaporkan pernah berkata pada hari-hari terakhir beliau menjadi Khalifah, bahawa seandainya dahulu beliau tahu perkara yang beliau tahu pada masa itu, tentang semangat kesaksamaan Islam, sudah tentu beliau mengambil seberapa banyak lebihan yang boleh daripada golongan kaya dengan paksaan, sebanyak mana yang diperlukan bagi memenuhi keperluan dan asas golongan yang tidak berada.

Seperti mereka yang di Tanjong Tokong dari segi sejarahnya tanah yang didiami mereka, memang hak milik mereka, warisan nenek moyang mereka. Namun proses penjajahan Inggeris yang kemudian diteruskan oleh agensi UDA (Perbadanan Pembangunan Bandar), yang sepatutnya bertanggungjawab membangunkan Tanjong Tokong ini. Keadaan ini telah meminggirkan dan menafikan hak milik Tanjong Tokong kepada pewaris yang membuka Tanjong Tokong ini.

Juga apa kurangnya setinggan di Kuala Lumpur dan Selangor. Warga setingganlah yang membangunkan bandar-bandar besar ini.

Ketamakan kelompok pemodal yang hanya mementingkan untung semata-mata ini, dan politikus yang mempunyai kepentingan peribadi ini, bukan sahaja menindas kelompok setinggan ini. Namun ia telah memberi kesan langsung terhadap institusi keluarga. Bayangkan keluarga yang dipindahkan untuk tinggal di rumah panjang, atau rumah satu bilik untuk didiami oleh 8 orang anak beranak. Kita bukan sahaja telah merosakkan keluarga tersebut malahan merosakkan juga masyarakat dengan gejala sumbang mahram, seks bebas, mat rempit dan seribu satu masalah yang timbul dalam masyarakat Semua ini telah timbul akibat polisi perumahan gila, yang dibuat oleh kita.

Namun disuatu sudut, terdapat ahli politik yang mempunyai kepentingan dan berpura-pura prihatin serta cuba mengatasi masalah yang berlaku ini. Namun masalah yang datang dan menjadi wabak dalam masyarakat ini sebenarnya adalah polisi mereka sendiri sebenarnya. Polisi naif dan berkepentingan peribadi oleh mereka.

Aku juga ingin berpesan kepada teman-temanku, yang ingin menjadi ahli politik, jangan jadi munafik. Menindas orang lain, merosakkan masyarakat dan kemudian berbicara soal pemulihan masyarakat.

Malahan konsep kepimpinan, itu sendiri membawa erti kita memberi khidmat kepada masyarakat. Kepimpinan itu bukan bererti mengambil kesempatan kepada masyarakat. Ini jelas seperti digambarkan, dalam sebuah peristiwa selepas Hijratul Rasul ke Madinah. Mereka ketika itu tidak mempunyai keperluan air untuk digunakan. Ketika itu seorang Yahudi yang mempunyai sebuah perigi mengambil kesempatan dengan menjual air dari perigi yang dimilikinya.

Seorang sahabat iaitu Uthman, telah membeli perigi dengan hartanya, dengan harga 12,000 dirham dengan syarat mereka bergilir, satu hari perigi itu hak Yahudi, dan satu hari Hak Uthman.

Selepas itu pada hari giliran Uthman, semua orang akan mengambil air untuk keperluan 2 hari. Ini menyebabkan Yahudi itu, merasa rugi kerana tidak ada orang lagi yang membeli air pada hari gilirannya. Selepas itu Yahudi itu, menjual terus perigi itu kepada Uthman dengan tambahan 8,000 dirham.

Ini lah yang dimaksudkan kepimpinan, memenuhi kebutuhan asas masyarakat. Walaupun menggunakan segala usaha dan wang sendiri. Kita juga perlu tahu bahawa perpaduan dapat diperkukuhkan sekiranya keperluan asas masyarakat dapat dipenuhi. Bukan dengan memindahkan mereka, jauh dari tempat kerja mereka.

Selain itu, beberapa peristiwa rampasan tanah, dan kemusnahan alam yang berlaku di merata tempat. Ianya telah memberikan aku definisi erti tanah, sungai dan alam kepada kehidupan seorang petani, nelayan dan masyarakatnya. Aku cuba merasakan dengan jelas dan sejelas-jelasnya penghayatan dan nilai tanah, sungai dan alam dalam kehidupan mereka. Bagi petani, tanah adalah kedaulatan dan kehidupan masyarakat. Sungai dan bakau bagi nelayan adalah nadi dan nyawa kepada semua kehidupan sungai serta laut dan seisinya.

Seperti kes rampasan tanah yang berlaku di Kerpan, telah menjadi saksi.

“Bagaimana kami boleh duduk di rumah, kalau padi yang menguning ini serta tanah, yang menjadi nyawa kami akan dirampas. Kalau ingin tangkap suami kami, Sila ambil semua isteri-isteri disini dan anak-anak kecil disini. Penjarakan kami juga. Biar sejarah ditulis kami mempertahankan hak kami!”. Tengking Mak Cik Su.

‘Sabar mak cik’. Pinta seorang polis muda.

‘Sebab sabarlah kami kami ada disini.’ Suara Mak Cik Su yang makin meninggi.

‘Mak Cik!, jangan paksa kami penjarakan semua!!’. Tengking seorang polis yang berpangkat Sarjan,

‘Penjarakanlah! Esok lusa anak saya yang di dalam buaian pula akan menggantikan tempat saya dan suami untuk mempertahankan hak mereka!.’ Jelas Mak Cik Su lagi.

Selepas itu polis-polis itu terdiam dan membisu seribu bahasa. Namun tanpa disangka jentolak masuk juga untuk memusnahkan padi-padi mereka yang masak meranum.

Hingga seorang mak cik, tua mengambil tindakan menahan dengan tangannya, sebuah jentolak . Sehingga sejarah tertulis yang ia telah cuba sedaya upaya, mempertahankan tanah dan harga dirinya. Dan petang itu sekitar 30 orang termasuk wanita yang kebanyakannya sudah tua telah diangkut dengan ‘Black Maria’, ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam. Mereka telah di penjarakan, tanpa perasaan kemanusiaan.

Ini digambarkan sebagai syajaah, yang membawa makna keberanian. Dan syajaah inilah yang mampu membangkit kesedaran masyarakat dari penindasan yang berlaku. Ianya juga yang menggelombangkan arus perubahan dalam masyarakat ini. Ia juga mengingatkan aku kepada apa yang dikhabarkan oleh, Abou Tayeb al-Mutannabi : ‘Orang pengecut matinya beribu kali, orang berani matinya hanya sekali’.

Apa yang berlaku di Berembang, dan Kerpan ini, sebenarnya secebis kisah kecil penderitaan masyarakat. Berembang juga telah menjadi saksi, inilah penderitaan yang berlaku dalam masyarakat. Konsep pembangunan masyarakat yang ada sekarang ini, jelas mendatangkan penderitaan kepada mereka yang miskin dan tinggal di kawasan yang termiskin. Namun percayalah, mereka yang tertindas inilah yang akan mengubah dunia dan konsep pembangunan gila yang semakin rosak ini. Pastinya juga perubahan hanya boleh dan akan dilakukan oleh orang yang lapar dan yang merasai kelaparan orang lain.

Hakikatnya, aku bukan sekadar teringatkan pengalaman lawan bola sepak antara budak Berembang dengan budak Bumiputra. Atau bukan sekadar teringat pengalaman mencari ‘spider’ di Berembang atau bukan sekadar pengalaman bergaduh dengan budak-budak Berembang dulu. Tapi juga wajah-wajah mereka yang hidup melarat dan menderita di setinggan, mereka yang menjadi buruh kasar membangunkan Kuala Lumpur. Yang pernah hidup di bawah lampu gasolin. Yang berangkut air kerana air yang sering putus. Yang satu jamban, dikongsi 25 keluarga. Juga aku teringatkan petani Kerpan, yang menyediakan beras untuk semua masyarakat makan, sedangkan mereka selalu tidur dalam keadaan perut mereka dan anak-anak yang lapar.

Aku termenung panjang melihat KLCC, dari jendela rumahku. Mengingatkan juga Ampang Point yang penuh dengan mereka yang bertali leher dan berseluar jeans ketat, juga melihat highway di hadapan rumah aku. Aku termenung lebih panjang, melihat masyarakat yang derita dan terus derita dengan konsep pembangunan hari ini. Dan Berembang Telah Menjadi Saksi.

Advertisements

Komen-komen»

1. ina - April 26, 2008

Kuala Lumpur telah menyaksikan pembangunan yang terlalu pesat membangun sehingga kini kita hampir ketandusan tanah. Susulan perkara ini, bukan semua pembangunan perumahan awam yang dibina untuk menempatkan semula penduduk2 setinggan dapat dibina di kawasan berhampiran dengan tempat asal mereka.

Bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tidak mampu untuk menyewa atau membeli rumah di Kuala Lumpur, mereka terpaksa menyewa atau membeli rumah jauh dari tempat kerja mereka. Bagaimana pula dengan mereka? Kalau kita nak berbicara tentang ketidakadilan, maka tidak adil juga bagi mereka sedangkan mereka perlu membayar setiap bulan untuk kediaman sedangkan penduduk setinggan tidak perlu membayar sebarang sewa atau bayaran ansuran rumah.

Saya akui kadangkala terdapat beberapa polisi kerajaan yang menjerut rakyat. Ada sebarang cadangan, bagaimana kita boleh membangunkan tapak-tapaksetinggan di Kuala Lumpur tanpa meminggirkan hak-hak penghuninya?


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: