jump to navigation

PAS mahu pinggirkan Hadi? Mac 22, 2007

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarRencana PAS mula memikirkan pengganti presidennya sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat tidak begitu berkesan sebagai seorang pemimpin sebagaimana terbukti dengan kekalahan teruk dan memalukan dalam pilihanraya umum 2004.

Dengan barisan pemimpin yang sedia ada, PAS dikhuatiri gagal mengulangi kecemerlangan baru dalam pilihanraya umum ke-12 yang dijangka diadakan tahun ini atau tahun depan.

Terengganu, selepas berjaya dikuasai selama lima tahun sejak 1999 bawah kepemimpinan Abdul Hadi, tewas teruk dengan 28 kerusi dikembalikan kepada Umno, sementara empat kerusi sahaja berjaya kekal di tangan PAS. Ketewasan yang paling buruk sejak 1990.

Sementara Kelantan, negeri tradisi PAS, tinggal nyawa-nyawa ikan sekarang dengan baki majoriti satu kerusi selepas Pengkalan Pasir jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Dua pemimpin puncak parti Islam itu kini dalam fokus utama pengamat di luar parti dan juga pemimpin serta aktivis PAS.

Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang kerap jatuh sakit akhir-akhir ini, sering dispekulasi akan meninggalkan jawatan Menteri Besar Kelantan. Kemungkinan besar jawatan itu jatuh kepada tokoh muda, seorang exco negeri dan juga naib presiden PAS Datuk Husam Musa.

Jika Nik Aziz berundur daripada jawatan aktif dalam parti, kedudukannya sebagai Mursyidul Am dikatakan ingin diserahkan kepada Abdul Hadi, bukan timbalannya sekarang Datuk Dr Haron Din.

Malah kekosongan jawatan Mursyidul Am mahu dijadikan alasan terbaik untuk meminggirkan Abdul Hadi daripada kedudukannya sekarang.

Penulis ini difahamkan rancangan seumpama itu sedang bergerak di kalangan pemikir-pemikir parti, cuma tidak pasti sejauh mana ia boleh direstui oleh sebahagian besar barisan pemimpin PAS di peringkat negeri dan kawasan.

Reaksi terbaik pemimpin negeri dan kawasan, serta ahli akar umbi, akan dapat dilihat jika pemilihan tahun ini berjaya diadakan. Nik Aziz baru-baru ini mencadangkan pemilihan 1 Jun nanti ditangguhkan, memandangkan bahang pilihan raya umum yang semakin terasa.

Sementara ada pengamat melihat idea memindahkan Abdul Hadi kepada jawatan Mursyidul Am akan gagal jika pemilihan diadakan seperti dijadualkan kerana parti ingin mengekalkan status quo memandangkan ia tidak bersedia berdepan dengan kekalutan menjelang pilihanraya umum ke-12.

Tetapi pokok persoalannya, presiden PAS sekarang diragui boleh membawa parti ke suatu era lebih cemerlang – maka beliau harus digantikan dengan tokoh lain.

Sekali pun Abdul Hadi berjaya disudutkan kepada jawatan Nik Aziz kini, bagaimana pula PAS berdepan dengan kekosongan jawatan presiden?

Selain cakap-cakap di kalangan penggiat parti, keresahan tentang kualiti kepemimpinan tertinggi PAS kini mula menunjukkan isyarat awal di ruang siber bulan ini.

Seorang penulis blog terkenal di kalangan pemimpin dan penyokong PAS mengapungkan idea tentang kepentingan menyiapkan barisan baru pemimpin.

Tulisan ini asalnya diterbitkan dalam Siasah, tabloid dwibulanan yang berpengaruh besar di kalangan penyokong PAS selepas Harakah.

“Rakyat sudah pasti mahu melihat satu barisan yang fresh (segar) dan meyakinkan. Ahli-ahli dan pimpinan PAS perlu berjiwa besar, dan bersedia menawarkan bukan hanya partinya (yang memang sudah dikenali itu) tetapi juga saf kepimpinan baru yang fresh dan meyakinkan,” kata penulis blog itu (n32.blogspot.com) yang dikenali Roslan SMS pada 2 Mac.

“Kesanggupan untuk membuka ruang dan membuat perubahan ini dalam kes PAS perlulah bermula daripada mereka yang berada diteraju teratas.”

“Sekiranya ini berlaku maka rakyat akan tampak yang PAS bersungguh bersedia dan serius mahukan perubahan untuk membela mereka dan Malaysia bagi berhadapan dengan cabaran dan tuntutan global,” tulisnya lagi dalam artikel bertajuk “PKR dan PAS perlu tukar pemimpin untuk ulang kejayaan tahun 1999”.

Susulan catatan awal itu, dua lagi ulasan muncul di laman web baru Detikdaily (www.detikdaily.net) yang dipercayai ada hubungan dekat dengan Ahmad Lutfi Othman, ketua pengarang Harakah sekarang.

Artikel pertama mengalu-alukan ulasan Roslan dan menyerahkan diskusi tentang isu penggantian pemimpin kepada ahli dan penyokong parti tersebut.

Tanpa mengulas panjang, penulis artikel “Ustaz Hadi diminta lepaskan jawatan Presiden PAS?” (4 Mac) menerbitkan kembali beberapa perenggan utama gesaan Roslan yang menjurus kepada maksud agar Abdul Hadi meletakkan jawatannya.

Nampak gayanya penulis tersebut berfikir sejalan dengan Roslan atau cuba memancing perhatian PAS agar desakan menolak Abdul Hadi daripada jawatannya kini dapat disegerakan.

Namun sehari selepas itu, seorang penulis menyanggah idea Roslan dan sekaligus mempertahankan Abdul Hadi dengan menyifatkannya sebagai pewaris sistem kepemimpinan ulama.

Selain di Detikdaily, tulisannya turut disebarkan kepada Tranungkite Online (www.tranungkite.net), satu lagi laman web berpengaruh luas di kalangan ahli PAS milik Pemuda PAS Dungun, dan juga ruang diskusi senarai mel (mailing list) Harakahdaily, akhbar web parti.

Secara tersirat penulis itu beranggapan membincangkan isu penggantian Abdul Hadi secara terbuka seumpama catatan Roslan SMS sebagai langkah yang memudahkan musuh-musuh PAS menyerang parti itu.

Dia juga menyalahkan aktivis daripada beberapa gerakan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang menyertai PAS sebagai pihak yang boleh menghuru-harakan parti.

Penulis itu, bagaimanapun, tidak menafikan PAS yang diketuai Abdul Hadi bergerak agak lembab sejak kekalahan teruk pada 2004.

Ketewasan itu, menurut penulis artikel “Idea Roslan SMS … disanggah” (5 Mac), memunculkan bermacam-macam reaksi termasuklah mengaitkannya dengan kelemahan kepemimpinan ulama yang gagal menguruskan pendidikan keahlian dengan baik.

“Sebilangan yang lain pula mendakwa, kekalahan itu berpunca daripada kelemahan strategi yang dipelopori mereka yang bergelar sebagai profesional,” tambahnya.

Dalam ketegangan antara ulama-profesional itu, menurut penulis itu lagi, Abdul Hadi berjaya mengawal parti dengan berkesan.

Kemunculan tulisan-tulisan ini dipercayai sengaja dirancang menjelang musim pemilihan dua bulan lagi bagi mencari barisan pemimpin era 2007-2009 selepas era 2005-2007 menyaksikan gelombang baru “kebangkitan kaum profesional” yang didahului oleh Nasharudin Mat Isa sebagai timbalan presiden dan tiga naib presiden Husam, Mohamad Sabu dan Datuk Dr Hassan Ali.

Menurut seorang pengamat politik, jika Abdul Hadi mahu digantikan, PAS bakal berdepan dengan “krisis kepemimpinan” kerana keempat-empat tokoh utama di bawah ideolog dari Rusila itu mempunyai kelemahan masing-masing yang sukar diterima ramai dalam parti.

Nasharudin, sewaktu memegang jawatan setiausaha agung, dilihat gagal menjalankan tugasnya itu dengan baik.

Walaupun sekarang diberikan beban kepemimpinan yang lebih besar, dan sangat penting, bekas pensyarah itu dianggap masih terlalu muda dan tidak cukup berwibawa. Sering juga beliau dianggap pemimpin “tanpa pengikut akar umbi.”

Tetapi ada pula pengamat menganggap PAS tiada pilihan kecuali mengambil Nasharudin sebagai presiden bagi mendekatkan dua golongan utama dalam parti – ulama dan profesional.

Dr Hassan pula, walaupun popular dengan kem motivasinya, dilihat sebagai “orang luar” yang tercampak ke dalam parti dengan membawa gaya dan budaya asing daripada kelaziman PAS, kata seorang pengamat lain.

Beliau sering mahu diketepikan sejak menyertai PAS mulai krisis politik nasional 1999 tetapi masih mampu mengekalkan jawatan naib presiden dalam pemilihan pada 2005 lalu gara-gara “pakej profesional” bersama arus Nasharudin, Husam dan Mohamad.

Kemungkinan besar pemilihan sekali lagi bakal menyaksikan pengguguran Dr Hassan daripada kepemimpinan tinggi PAS.

Mohamad, seorang penceramah yang memikat dan penjana utama kutipan derma PAS, sejak dari awal mengalami masalah kredibiliti diri dan juga perpecahan puak.

Imejnya yang pro-Iran atau pro-Hizbullah Lubnan yang ditonjolkannya sejak awal 1980-an masih kekal dalam ingatan beberapa kumpulan yang tidak selesa dengannya. Warisan imej ini menjadikannya seorang tokoh PAS yang “hidup segan, mati tidak mahu” dalam saf kepemimpinan PAS.

Walaupun popular dan berjasa sejak lebih 20 tahun, tetapi beliau sentiasa gagal meraih sebarang jawatan penting yang dicalonkan kecuali naib presiden pada pemilihan dua tahun lalu — suatu keputusan yang mengejutkan.

Namun, ada pengamat dalam PAS melihat Mohamad gagal memainkan peranan barunya sebagaimana yang diharap-harapkan.

Sekarang tinggal Husam, yang diharapkan memimpin Kelantan, dan apakah beliau sekali gus boleh mengepalai PAS?

Husam hari ini dilaporkan berkata “akan tiba masanya orang muda mesti diberikan pendedahan secukupnya untuk menggantikan golongan veteran” sewaktu ditanya sama ada parti itu berminat membariskan calon-calon muda dalam pilihan raya umum akan datang jika berlaku perubahan dalam pemilihan parti nanti.

“Sekaranglah masanya untuk pembaharuan dalam PAS,” katanya.

Di negerinya sendiri, tokoh muda lulusan Universiti Malaya ini harus berdepan dengan beberapa puak yang dibayangi tokoh lama dan perjalanannya ke pejabat Menteri Besar masih lagi berliku.

Jika Husam mahu ditonjolkan sebagai presiden, apakah beliau dibiarkan tanpa disaingi Nasharudin?

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline pada 22 Mac 2007.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: