jump to navigation

Masalah PKR hakis karisma Anwar April 2, 2007

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarApabila Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di penjara, tidak sedikit orang yang berharap kehadirannya dalam arena politik selepas menjalani hukuman akan dapat membawa kesan positif yang lebih besar.

Bekas timbalan perdana menteri itu selama ini sering dilihat sebagai faktor penentu, atau setidak-tidak tokoh menarik, dalam percaturan politik — ia disebut ‘faktor Anwar’, yang dikatakan membawa kejayaan besar bagi PAS dalam Piliharaya Umum 1999 sehingga menawan Terengganu. 

Selepas lebih dua tahun dibebaskan iaitu sejak Sept 2004, hari ini harapan itu mulai pudar, apatah lagi siri pergelutan kuasa dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhir-akhir ini membayangkan Anwar kehilangan kawalan terhadap partinya, termasuk beberapa pemimpin kanan.

Rustam A Sani, pengamat politik yang dekat dengan pembangkang, menyebut pengaruh Anwar selepas dibebaskan “tidak cukup kuat” untuk menyelesaikan perselisihan antara dua parti besar pembangkang, PAS dan DAP.

Dua buah parti ini, bersama PKR, bergabung dalam Barisan Alternatif lapan tahun lalu sewaktu Anwar dipenjara.

“Berbanding dengan tahun 1999, pihak pembangkang kali ini sekurang-kurang mempunyai suatu unsur tambahan – yakni kehadiran Anwar yang kini sudah keluar dari penjara,” tulis Rustam di blognya (lokakarya-rustam.blogspot.com).

“Meskipun Anwar dihargai sebagai ikon oleh PAS, DAP dan lebih-lebih lagi PKR namun pengaruhnya tidak cukup kuat untuk membawa ketiga-tiga pihak itu (khususnya DAP dan PAS) duduk semeja untuk berbincang.”

Kegagalan Anwar merapatkan dua gergasi tradisi pembangkang ini antaranya, bagi bekas pensyarah itu, mengurangkan winning combination bagi berdepan Barisan Nasional.

Sementara dua pengamat lagi bersetuju dengan faktor Anwar sebagai sumbangan kepada pembangkang tetapi pengaruhnya kini merosot, kalaupun tidak diragui, khususnya selepas muncul satu demi satu pergolakan dalam PKR akhir-akhir ini.

“Masalah dalam PKR menimbulkan tanda tanya dan memberi mesej yang salah kepada pengundi,” kata seorang wartawan kanan di sebuah akhbar pembangkang.

Beliau menyebut kes penarikan diri bekas ketua Angkatan Muda PKR Mohd Ezam Mohd Noor daripada semua jawatan parti dan kemudiannya bergerak aktif bersama sebuah badan anti-rasuah.

“Orang sering menduga, Ezam sebagai orang kanan Anwar tidak akan berbuat sesuatu tanpa keizinan Anwar. Walaupun, dalam politik, selalu juga keputusan seseorang tidak dirujuk kepada pemimpin utama.”

Apatah lagi pembangkang kini berdepan dengan kepemimpinan negara yang baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, tidak sama temponya bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat “musuh utama” Anwar yang menggelegakkan politik negara pada 1999.

Bagaimanapun, tambah penulis politik itu, pemimpin dan ahli PAS dalam keadaan sekarang masih mengharapkan Anwar memberi “bonus” dalam kempen politik mereka, misalnya dengan mengundang bekas tokoh Umno itu bertanding di Kelantan yang kini menghadapi risiko jatuh ke tangan Barisan Nasional.

“Cuma kadang-kadang ada keraguan sejauh mana setianya Anwar pada pembangkang,” katanya, dengan menambah tidak sedikit orang PAS masih dihantui kemungkinan bekas timbalan perdana menteri itu kembali kepada Umno.

Seorang wartawan kanan yang lain pula tidak lagi percaya Anwar sebagai faktor utama, misalnya keupayaannya untuk memindahkan undi daripada penyokong Barisan Nasional kepada pembangkang.

“Apatah lagi dengan masalah dalam PKR,” katanya.

Editor di akhbar harian utama itu berkata, Anwar mensia-siakan peluang sejak dibebaskan apabila mengambil terlalu lama — lebih setahun — untuk bergiat cergas dalam politik nasional sehingga dipersoalkan oleh pembangkang dan penyokong Anwar sendiri.

Dalam waktu tidak pasti itu kartunis politik Zunar, kini wartawan kanan di akhbar PKR, melakarkan kartun empat petak dengan maksud sinis menyindir sikap Anwar itu.

Pemimpin itu digambarkan mempunyai siri perlawanan aktif dalam politik, misalnya bersama “demonstrasi” pada 1974, melaungkan “demokrasi” 1986, “reformasi” 1998 tetapi hanya mampu berkata “wait and see” selepas dibebaskan.

Sesudah mula bergiat cergas dalam negara, termasuk membawa masuk beberapa tokoh seperti Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk K. S. Nallakaruppan, isu “politicking” pula yang muncul, bermula dengan pengunduran Ezam bulan lalu.

Bekas setiausaha Anwar itu dilaporkan tidak senang gelagat beberapa pemimpin peringkat pusat yang didakwanya “kehilangan fokus, berfikiran sempit, pentingkan diri sendiri dan hanya mahu dekat dengan Anwar.”

Kenyataan senada itulah yang diulang oleh penggerak awal PKR Kelantan, Saufi Daud, sewaktu keluar parti baru-baru ini. Anuar Shaari, ketua bahagian PKR Permatang Pauh, satu-satunya kawasan parlimen yang masih di tangan parti itu, mengambil keputusan mengejut itu di depan presidennya sendiri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Gelombang baru krisis dalam PKR ini menjadikan kecaman bekas bendahari PKR Abd Rahman Othman, yang meletakkan jawatan Julai lalu, semakin relevan. “Mereka menentang korupsi di luar tetapi membisu terhadap korupsi dalam parti. Paling malang ialah nasib ahli dan penyokong peringkat bawah. Mereka diperdaya oleh pemimpin tertinggi,” katanya.

Sekarang Abd Rahman dicalonkan untuk jawatan presiden sewaktu ada gerakan rasmi menggantikan Dr Wan Azizah sekarang dengan Anwar.

Setuju atau tidak, nama Abd Rahman itu satu bentuk “bantahan simbolik” oleh kumpulan tertentu dalam parti, khususnya di Kedah, sama ada terhadap Anwar atau beberapa individu yang dekat dengannya.

Memang PKR, sejak awal penubuhannya pada April 1999, dipenuhi intrig politik luar biasa tetapi mampukah Anwar membawa partinya itu dan menonjolkan karisma kepemimpinannya dalam pilihan raya umum ke-12?

Dengan kata lain, apakah Anwar masih lagi satu faktor yang perlu diperhitungkan atau bukan lagi faktor yang perlu diberikan perhatian?

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline pada 2 April 2007.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: