jump to navigation

Mampukah PKR cari pengganti Ezam? April 13, 2007

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris Omar

Mohamad Ezam Mohd Noor, bekas ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), mungkin sahaja dikritik sebagai seorang pemimpin yang “gagal” tetapi sepanjang sejarah perjuangan parti pembangkang ini, tiada sesiapa boleh menafikan ketokohannya.

Setidak-tidaknya sebagai seorang pemimpin muda pembangkang, khususnya era awal PKR (dulu dikenali Parti Keadilan Nasional) sejak 1999 sehingga beliau ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001.

Sepanjang gelombang demonstrasi, Ezam tidak ubah “the angry young man”, macam juga citra zaman muda penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum menyertai Umno pada 1982.

Sekarang Ezam, telah pergi, bukan sahaja daripada Angkatan Muda tetapi juga daripada barisan kepemimpinan parti. Sejak beberapa bulan lalu, bagaimanapun, jejak dan “campur tangan” Ezam dalam PKR serta gerakan muda parti itu masih lagi kuat terasa.

Malah, menurut sumber atasan parti, peletakan jawatan beberapa pemimpin baru-baru ini turut dikaitkan dengan permainan politik Ezam. Pemimpin muda yang pernah menggegarkan negara dengan dakwaan “enam kotak rahsia” kerajaan dulu, walau tidak pernah didedahkan, dikatakan masih berkempen untuk beberapa calon.

Pendek kata namanya sukar dilupuskan daripada PKR walaupun sewaktu bercakap kepada mStar Online pada Februari lalu, Ezam enggan mengulas apa-apa tentang parti tersebut.

Menurut sumber-sumber itu, beliau bertapak kukuh dalam Angkatan Muda, termasuk pemangkunya Shamsul Iskandar Mohd Akin dan beberapa anak didiknya seperti Sd Johari Md Yassin dan Badrul Hisham Shaharin.

Barisan exco pergerakan itu majoritinya dikatakan masih berkiblatkan Ezam atau pemimpin muda yang berhubungan dengan bekas setiausaha Anwar itu.

Malah, Ezam mengumumkan peletakan jawatannya Oktober lalu sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu, antara agendanya membariskan semula barisan pemimpin apabila beliau dan timbalanya Faizal Sanusi meninggalkannya.

Shamsul dan Badrul, bersama aktivis gerakan reformasi Hasmi Hashim, kini dicalonkan untuk mengganti tempat yang ditinggalkan Ezam. Sementara Johari pula dicalonkan untuk jawatan timbalan ketua Angkatan Muda, bersama Fariz Musa dan Nurul Izzah Anwar.

Shamsul, seorang peguam dan bekas pemimpin siswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA), berpasangan dengan Johari; manakala Badrul, seorang bekas guru yang aktif bersama demonstrasi, mengambil Fariz. Keempat-empatnya pernah bersama Ezam.

Berbeza dengan pergerakan pemuda parti-parti lain, PKR selepas terpengaruh dengan struktur dan cara fikir Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyatukan lelaki dan perempuan bawah umur 40 tahun dalam pergerakan orang muda.

Dan, satu lagi keganjilannya, tidak semua bahagian PKR mempunyai Angkatan Muda – selalunya dianggap sayap parti yang paling digeruni lawan.

Sebahagian kelemahan ini, sekali lagi, dibebankan atas kegagalan Ezam, khususnya percaturannya dari dalam penjara Kamunting, Perak yang melemahkan barisan muda parti itu sewaktu bertimbalankan Saifuddin Nasution Ismail, bekas wakil rakyat Lunas, Kedah. Pemimpin pemuda era ini sama ada sudah tidak aktif atau meninggalkan PKR.

Jadi muka-muka baru ini, kecuali Shamsul, yang kini bersaing tiga penjuru menggalas beban “reformasi” besar untuk memperkasakan semula parti, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Reformasi besar” kerana Angkatan Muda PKR terus merosot akibat sikap Ezam yang gagal merapatkan saf anak muda setelah dibebaskan pada 2003. Sementara ura-ura kemasukannya ke Umno terus kedengaran, termasuk apabila melepaskan semua jawatan parti dua bulan lepas.

Hubungan positifnya dengan seorang atau dua tokoh Pemuda Umno bukan sahaja membabitkan dirinya sendiri tetapi turut dikaitkan pada Anwar – sehingga bekas timbalan perdana menteri itu terpaksa berkali-kali menafikannya.

Walaupun sudah selesa sebagai penyandang, Shamsul anehnya dikatakan bimbang dengan “pendatang baru” Hasmi, bukan Badrul, kerana kedua-duanya pernah berada bawah kepemimpinan Ezam dan dikatakan masih bertaut erat dengan bekas bos mereka.

Badrul, anak muda Negeri Sembilan yang kini belajar di Korea Selatan, pula diramal memberi laluan kepada Shamsul jika dinasihatkan oleh bekas ketuanya itu, khususnya di saat-saat akhir.

(Badrul – masih bersama Gerak, badan yang diketuai Ezam – melepaskan jawatan timbalan ketua penerangan Angkatan Muda hujung tahun lepas dengan mendakwa Shamsul terlibat penggunaan wang yang tidak telus. Bagaimanapun Shamsul menafikannya dan ada ura-ura untuk menyaman Badrul. Dalam mesyuarat sewaktu isu tersebut meledak, majoriti exco tetap bersama Shamsul.)

Apatah lagi Johari, seorang aktivis muda Shah Alam yang paling setia pada Ezam, membawa pengaruh besar ke dalam kotak undi Shamsul. Badrul akan bertembung dengan Johari jika meneruskan hasratnya bergandingan dengan Fariz, seorang exco Angkatan Muda.

Jika berdegil dengan niatnya itu, Badrul akhirnya terpaksa memilih sama ada Johari atau Fariz. Apakah Fariz atau Johari sanggup dikorbankan?

Hasmi, seorang penyair yang bergiat bersama perkumpulan anak muda pro-demonstrasi “Universiti Bangsar Utama” atau UBU sejak 1999, pertama kali memunculkan nama anak sulung Anwar dalam persaingan ini – di Melaka pula, negeri asal Shamsul.

Bagaimanapun Shamsul dan Badrul dipercayai tidak akan menampakkan sebarang masalah dengan kehadiran anak Anwar itu. Persoalannya Nurul Izzah, yang kini hamil, dikatakan harus mendapat restu bapanya – hingga saat ini menjadi teka-teki.

Selain pernah bertugas di akhbar parti Suara Keadilan, Hasmi turut menyediakan teks ucapan untuk pemimpin tinggi PKR dan menganjurkan siri pertemuan antara Anwar dengan beberapa kumpuan tokoh.

Hairannya kenapa dia mengambil Nurul Izzah, nama yang sebelum ini berada di luar struktur Angkatan Muda. Apakah langkah ini bermakna ada “usaha baru” dalam PKR untuk memulihkan secara drastik Angkatan Muda?

Seperti Nurul Izzah, yang diungkit berada “di luar struktur”, Hasmi terpaksa berdepan dengan tapak pengaruh Shamsul sejak terpilih naib ketua Angkatan Muda dan barisan exconya.

Selain itu, Hasmi berdepan juga dengan “bayang-bayang” Ezam di negeri-negeri tertentu yang memberi pencalonan untuk Shamsul dan Badrul. Untungnya, kerana tidak pernah bersama barisan Ezam dalam PKR, hubungan Hasmi dengannya dikatakan tidak berkonflik.

Hasmi juga dikatakan mendapat sokongan beberapa pemimpin di peringkat atasan, termasuk Majlis Pimpinan Tertinggi, tidak jauh bezanya Shamsul dan Badrul – seolah-olahnya pertandingan tiga penjuru ini membayangkan persaingan proksi, khususnya dengan kemunculan langsung elemen-elemen PRM sebagai satu blok pengaruh, selain saki-baki Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), aktivis demonstrasi, bekas ahli Umno, dan juga Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Pengaruh tersebut sedikit sebanyak menyebabkan Hasmi ketinggalan dalam pencalonan berbanding Shamsul atau Badrul. Sebagai nama baru, beliau juga sukar mendekati pemimpin-pemimpin negeri yang bimbang dilihat bermasalah dengan penyandang, Shamsul.

Dengan jumlah pencalonannya yang ada sekarang, sebagai “tokoh baru”, Hasmi bagaimanapun dikatakan berpuas hati untuk meneruskan kempennya sehingga pemilihan parti penghujung Mei nanti – khususnya bersandarkan harapan pada aktivis-aktivis Angkatan Muda yang masih jujur beridealisme untuk mengukuhkan kembali pergerakan yang semakin dipertikaikan itu.

Sama ada Shamsul, Hasmi atau Badrul – calon yang menang nanti tidak boleh mengelak daripada memikul cabaran besar untuk lebih cemerlang daripada Ezam, sekali gus menjadi sayap PKR sewaktu parti ini dilihat tidak mampu lagi menggugat apabila musuh lamanya Tun Dr Mahathir Mohamad digantikan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline pada 12 April 2007.

Komen-komen»

1. Pemuda Gagah Berani - Jun 13, 2008

apa yg nak digusarkan…pda saya tiada apa yg hendak diberi pertimbangan. AMK hanya gah dizaman ezam…slpas zman ezam semuanya hanyut mengikut peredaran masa..ezam adalah spirit kpd AMK, kerna ezam yg memulakan langkah AMK. kini beliau tiada, maka AMK bolehlah dikatakan mati.
lihat shj barisan AMK skarang, SIAPA MEREKA. Tidak ternama dan tidak dikenali ramai dlm erti kata lain tidak glomour..mungkin dikenali disesetengah kelompok yg bersama dgn mereka, ttpi hakikatnya tidak secara keseluruhan.Pemimpin AMK mereka hanya sibuk mengejar keduniaan..dalam erti kata lain DUIT…Jika begitu, apa bezanya AMK dgn Pemuda UMNO….selagi bernama MANUSIA, semuanya sama shaja.Retorik semata2.
Hakikatnya AMK kini baik sesiapa shj yg menerajuinya telah lama mati..lihat shja AMK dinegeri2 semenanjung malaysia kita, seperti ibarat hidup segan mati tidak mahu.. Saya khuatir, kita hanya syok sendiri, merasakan diri kita betul, hakikatnya tidak begitu. Lihat shj, isu kenaikan minyak baru2 ini, apa tindakan AMK pusat dan negeri2. Semuanya diam MEMBISU. Apabila ada perhimpunan 100k rakyat, ketika itulah mereka menunjukkan kejaguhan mereka..kata mereka, mereka lah penganjur itu dan ini, hakikatnya berlindung di belakang PAS. tunggu dan lihat sahaja permainan politik AMK ini..Apabila bersuara, tunggu isu..tiada isu tiadalah suara…MANA SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT DAN SUMPAH PEMUDA…HANYUT DITELAN ZAMAN.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: