jump to navigation

Gerakan Gulen: Neo-Tradisionalis Islam April 29, 2007

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Mohamad Ridhwan Bin Alias

Saya tertarik dengan tulisan saudara Aqil Fithri (sila lihat: Tradisionalisme atau Neo-Tradisionalisme) tentang neo tradisionalisme. Bagi saya, gerakan neo tradisionalis mestilah bertunjangkan intelektual atau satu gerakan intelektual.

Di Turki, Fethullah Gulen merupakan pemimpin neo tradisionalis yang paling berjaya. Gulen hampir sama dengan ustaz Ashaari, Rufaqa atau al Arqam dan Aa Gym, Manajemen Qalbu di Indonesia. Aa Gym dan Ashaari lebih menzahirkan diri sebagai seorang ulama tetapi Gulen seorang berjiwa ulama dimana beliau memakai pakaian seperti sekularis lain. Pendekatan mereka adalah sama iaitu pendekatan tasawuf yang menguasai hal ehwal dunia seperti perniagaan, pendidikan dan kebajikan.

Gulen berkiblatkan kepada aliran yang diperjuangkan oleh Said Nursi. Ia dikatakan penerus kepada gerakan Nursi atau Nurcu. Sekarang Gerakan Gulen hampir menguasai seluruh jentera atau organisasi yang berkaitan dengan urusan hidup masyarakat Turki. Gerakan Gulen seumpama gerakan IRC (JIM) yang bergerak dalam pertubuhan-pertubuhan lain tetapi mempunyai hubung kait di antara satu sama lain. Dalam perniagaan (MUSIAD), pendidikan, media massa (akhbar Zaman) dan politik (Saadet Party dan AKP). Paling menarik pengikut Gulen telah menjadikan Turki sebagai tapak perhimpunan Parti politik Islam dan NGO negara umat Islam peringkat internasional. Union of Non-Governmental Organizations of the Islamic World (Malaysia diwakili oleh ABIM) dan satu pertubuhan parti politik Islam internasional (saya lupa namanya tetapi Malaysia diwakili oleh PAS).

Komuniti Gulen lebih dikenali sebagai cemaat merupakan kumpulan dalaman yang menguasai organisasi lain. Gulen sendiri secara aktif menguasai Yayasan Penulis dan Wartawan. Ada tiga tujuan utama gerakan Gulen iaitu Islamisasi ideologi nasionalis rakyat Turki; Turkifikasi dengan Islam dan Islamisasi terhadap modeniti. Gulen tidak cuba meruntuhkan sistem sekular secara radikal tetapi menghakis sedikit demi sedikit sistem sekular yang dilindungi yang para birokrasi, hakim dan tentera itu. Nah, sekarang bakal Presiden Turki kemungkinan dilantik Abdullah Gul (seorang pemimpin gerakan Islam-AKP) jika tiada rintangan daripada sekularis.

Gulen cuba menyatukan manusia Islam berbahasa Turki melalui pendidikan. Beliau telah menaja pelajar dan menubuhkan sekolah berpengantar bahasa Turki di Asia Tengah. Cita-cita beliau mengembalikan kegemilangan Uthmaniyyah dibawah satu nama baru iaitu Republik Turki Asia Tengah. Di Kazakhstan terdapat 30 sekolah tinggi dan 1 universiti dan di Turkmenistan terdapat 14 buah sekolah tinggi dan 1 universiti. Kurikulum sekolah diintegrasikan di antara Islamik dengan sains dan moden.

Dari segi keagamaan, Gulen dikenali sebagai Hujjah Efendi setaraf dengan Ayatollah (Iran), Maulana (India), Kiai (Indonesia), Tuan Guru (Malaysia) dan Syeikh (Arab). Pakaian beliau tidak mengambarkan beliau seorang ulama. Beliau adalah seorang ulama-pemikir yang berwatak tasawuf dan mencintai dialog peradaban. Dari segi orientasi pemikiran, Gulen, 67, banyak dipengaruhi oleh penyair Muhammad Lutfi Efendi (d. 1954) dan Bediuzzaman Said Nursi (d. 1960). Corak penulisan beliau menggambarkan keselesaannya membahaskan konsep-konsep falsafah Barat.

Dalam ekonomi, jaringan ekonomi di bawah MUSIAD, satu kumpulan usahawan Islam Turki semakin berkembang. Dikatakan terdapat 1000 anggota gerakan Gulen berupaya mengeluarkan zakat RM 1 juta seorang. Dalam tahun 1999, aset gerakan ini dianggarkan USD 25 million dolar.

Neo Tradisionalis di Malaysia: Satu Tajdid

Sebenarnya, dari segi ketokohan, kita telah mempunyai golongan neo tradisionalis seperti lebai Jawi, Dr. Uthman Muhammadi. Walaubagaimanapun, ulama ini masih berkecelaruan fikrah. Dulu dalam Rahmaniyyah lain ideologinya, pulang ke Kelantan(menubuhkan satu perkampungan Islam Tradisionalis) lain juga, kini bersama kerajaan menepuk tangan berberhalakan Islam Hadhari. Ulama ini sukar untuk dicari ketulenan identitinya.

Seorang lagi tokoh ialah Syed Naquib al-Attas. Masalah tokoh ini ialah beliau memilih untuk menyepi dan bertapa dengan tesis-tesis ilmiah. Begitulah juga dengan Siddiq Fadzil, Osman Bakar dan Dr Wan (ISTAC dan ATMA). Bukan salah menyepi dan mengurungkan diri tetapi muslim yang kuat ialah muslim yang mempunyai keterlibatan dengan problemika masyarakatnya. Jangan jadikan anda sebagai kerugian ummah wahai cendikiawan Islam. Contohilah Tareq Ramandan dan Dr Zakir Naik yang begitu aktif berdakwah melalui lisan dan laman web.

Ustaz-ustaz ialah Dr Luqman Abdullah dari Pondok Lubok Tapah, Zaidi Abdullah (Pondok Lubuk Tapah) dan Baihaqi Atiqullah Pondok Pasir Tumbuh adalah pelapis warisan neo tradisionalis jika digilap. Untuk menjayakan golongan neo tradisionalis di Malaysia. Insan neo tradisionalis terlebih dahulu perlu dicari. Ciri-ciri mesti berupaya seperti fetullah Gulen.

Dalam ekonomi, Saya melihat Rufaqa adalah neo tradisionalis yang berjaya. Sungguh mengagumkan keupayaan Rufaqa bangkit setelah al Arqam diharamkan. Di Malaysia, saya cukup mengharapkan ulama-ulama rabbani yang tradisi bangkit memajukan organisasi keusahawanan. Penubuhan Pusat Pembangunan Pondok Berhad(PPPB) adalah satu manifestasi ke arah kejayaan. Cuma pengurusan PPPB harus lebih profesional dan dipantau oleh ulama rabbani untuk menjaga kualiti syariatnya. PPPB harus mencari model perniagaan seperti MUSIAD jika mahu berjaya.

Sistem pendidikan Islam perlu diperkasakan. Penubuhan Maahad Tahfiz Sains (kerajaan Islam Kelantan) dan Kolej Sains dan Teknologi al Quran (KOSTAQ-di bawah Kerajaan Islam PAS Terengganu) cukup menarik kerana ada integrasi ilmu dunia dan akhirat. Golongan Neo Tradisionalis harus mempelopori institusi pendidikan seumpama ini bagi mendepani cabaran modeniti. Satu yayasan pendidikan seperti Yayasan Sains dan Teknologi al Quran (YaSTAQ) boleh diwujudkan. Kita perlu manusia berjiwa ulama rabbani bukannya manusia berkerjaya ustaz-ustazah cari makan.

Jika ulama silam menulis kitab dan mengadakan kelas, ulama neo tradisionalis mesti berusaha secara istiqamah dalam menyebarkan dakwah melalui media massa termasuk internet. Kehadiran laman web Al-Buti, Wahbah Zuhayli, Habib Omar, Dar Mustapa, Tarim, Yaman dan al-Qaradhawi haruslah ditauladani. Kemuflisan e-pondok sangat mendukacitakan. Sepatutnya ilmu dari Tuan Guru-tuan guru haruslah diperluaskan dalam epondok. Bukan berlegar di sekitar pondok sahaja. Sebarkan ilmu Tuan Guru Hashim Pasir Tumbuh dan TG Abdullah Lubok Tapah ke serata dunia. Di sinilah peranan neo tradisionalis mendekatkan teknologi maklumat dengan para ulama. Medium ini cukup penting bagi dakwah pada zaman moden.

Kesimpulan

Golongan Neo Tradisionalis adalah golongan ulama rabbani-pemikir yang menelusuri zaman yang berubah dengan fleksibel bertunjang intelektual yang benar berasaskan al Quran dan hadis. Ia juga adalah ulama penggerak bukannya petapa, ulama keterlibatan dengan masyarakat bukannya penfatwa di bilik mufti dan ulama yang beramal secara istiqamah dan ikhlas dalam peribadatan dan kehidupan. Semoga neo tradisionalis dapat menangani golongan wahabi, syiah, sekular dan liberal ekstrem yang semakin menular di Malaysia ini.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: