jump to navigation

Syafaat Qiyadah Jun 2, 2007

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Murtadha Muthahhari

Di dalam al-Qur’an, Allah berfirman, “Pada hari ketika setiap manusia dipanggil dengan Imam-Imam mereka” (17: 71). Maksudnya bahawa setiap orang dihimpun berserta qudwahnya (yang menjadi contoh ikutannya) yang mengilhamkannya dan yang memberinya petunjuk dalam beramal.

Ini sebagaimana juga Fir’aun akan benar-benar menjadi qudwah kaumnya di akhirat. Allah berfirman,”Ia (Fir’aun) berjalan di muka kaumnya di Hari Qiamat, lalu memasukkan mereka ke dalam neraka….”( 11: 18).

Fir’aun yang sesat di dunia dan menjadi teladan bagi mereka yang sesat, yang diikuti oleh kaumnya selangkah demi selangkah, di akhirat akan dijadikan seorang Imam dan pemimpin. Dengan demikian, Fir’aun bukan sahaja menjadi syafi’ (pemberi syafa’at) dan perantara bagi kaumnya di dunia tetapi juga di akhirat. Di dunia, Fir’aun menjadi syafi’ kerana dia telah menyeret kaumnya untuk berbuat dosa dan kesesatan, dan menjadi syafi’ di akhirat, kerana dia telah menjadi perantara bagi keterjerumusan kaumnya ke dalam neraka. Keperantaraan dan syafa’at Fir’aun di akhirat untuk memasukkan kaumnya ke dalam neraka adalah sejalan dengan keperantaraannya di dunia dalam menyesatkan mereka.

Perkara yang perlu diperhatikan dalam ungkapan al-Qur’an yang tersebut di atas adalah firmanNya yang mengatakan bahawa Fir’aun yuradu (memasukkan) kaumnya ke dalam neraka Jahanam. Ungkapan ini mengisyaratkan pada pengaruh Fir’aun secara fizikal dalam menyesatkan kaumnya. Sebagaimana Fir’aun telah menggiring kaumnya kepada kesesatan di dunia, maka di akhirat Fir’aun juga memasukkan kaumnya ke dalam neraka. Bahkan, barangkali, cara memasukkan kaumnya ke dalam neraka pun persis seperti ketika Fir’aun menggiring mereka kepada kesesatan di dunia.

Jelasnya, sebagaimana bermacam-macam dan bercabang-cabangnya kepimpinan yang benar dan batil di dunia, maka seperti itu pulalah halnya di akhirat. Misalnya, semua orang yang mendapat petunjuk Rasulullah SAW dan yang mengikuti syariatnya, kelak pada Hari Qiamat mereka akan berada di belakang beliau SAW. Rasulullah SAW memimpim mereka dengan membawa “Panji Muhammad”.

Dengan pengertian syafa’at seperti itu, Rasulullah SAW menjadi syafi’ bagi Amirul Mukminin dan Fatimah az-Zahra; dan keduanya menjadi syafi’ bagi Hasan dan Husayn. Setiap Imam menjadi bagi Imam yang lain, murid-muridnya, dan para pengikut mereka. Rangkaian urutan tersebut terjaga, dan semua yang dimiliki oleh para Imam maksum diperolehi melalui perantaraan Rasulullah SAW yang mulia.

Atas dasar itu, maka para ulama yang memberi petunjuk dan yang menjadi pemimpin, adalah syafi’ bagi orang-orang yang mengikuti dan yang menerima petunjuknya. Rangkaian ikatan ini begitu bercabang-cabang dan di dalamnya terdapat kelompok-kelompok kecil yang terkait oleh kelompok-kelompok yang lebih besar sampai berakhir pada puncak rangkaian tersebut, iaitu Nabi SAW.

Seperti yang ditegaskan di dalam Hadith, Imam Husayn akan menjadi syafa’at kepada orang ramai. Tafsirannya adalah bahawa aliran pemikiran Husayniyyah menjadi sebab bagi dihidupkannya kembali agama dan memberi petunjuk kepada ramai orang di dunia.

Imam Husayn menjadi syafi’ bagi mereka yang mengikuti jalannya dan mendapatkan petunjuk dari sejarah perjuangannya. Imam Husayn tidak akan menjadi syafi’ bagi mereka yang menjadikan jalannya sebagai alat ke arah kesesatan.

Salah satu yang tidak boleh diabaikan ialah bahawa sebagaimana halnya dengan al-Qur’an yang telah membuat sebahagian manusia memperolehi petunjuk dan sebahagian lain menjadi sesat kerana (menentangnya), maka seperti itu jugalah halnya dengan jalan Imam Husayn. Dengan sebahagian orang mendapatkan petunjuk, akan tetapi sebahagian yang lain malah menjadi sesat. Yang demikian ini bergantung kepada orang-orang itu sendiri, dan tidak ada hubungannya dengan jalan tersebut. Di dalam al-Qur’an, Allah berfirman,”Dengan perumpamaan ini banyak orang disesatkan oleh Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberiNya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan olah Allah, kecuali orang-orang yang fasiq”( 2: 26).

Mengenai tema ini, ar-Rumi membuat perumpamaan dengan syair yang sangat indah: “Mintalah kepada Tuhanmu agar engkau mampu melewati ujian ini hingga kau gapai tujuannya tanpa tergelincir, betapa banyaknya orang yang tersesat kerana membaca al-Qur’an, dan turun dengan tali ini ke dasar perigi, dosa itu bukanlah dosa tali, wahai pengingkar, kerana tali juga boleh digunakan untuk memanjat”.

Dengan perantaraan tali, kita boleh keluar dari kegelapan perigi sebagaimana kita boleh masuk pula ke dasarnya yang paling dalam. Semuanya bergantung kepada usaha kita.

Al-Qur’an dan madarasah Husayniyyah merupakan tali yang boleh kita gunakan untuk keluar dari perigi kesesatan dan naik ke tingkat istiqamah. Yang satu tali dari Allah, dan yang lain tali dari manusia. Namun demikian, apabila seseorang menggunakan keduanya untuk dimanfaatkan dengan cara-cara yang tidak dibenarkan oleh syarak, maka yang berdosa bukanlah keduanya, tetapi mereka sendirilah yang tidak mahu naik ke ufuk yang luhur. Mereka tidak digiring turun ke neraka Jahanam oleh al-Qur’an dan madarasah Husayniyyah . Hakikat seperti ini akan menjelma di akhirat dalam bentuk dilemparkan ke dalam neraka Jahanam. Inilah yang dimaksudkan bahawa al-Qur’an itu “pembahagi syurga dan neraka”.

Dalam sebuah riwayat, Nabi SAW bersabda,”Sesungguhnya al-Qur’an itu syafi’ yang memberi syafa’at, yang suci dan membenarkan”.

Al-Qur’an adalah syafi’ yang syafa’atnya diterima dan pengusaha yang berhasil dalam usahanya. Alangkah indahnya ungkapan di atas. Al-Qur’an yang mulia merupakan syafi’ bagi orang-orang yang beriman dan berbuat baik untuk meraih syurga dan kebahagiaan. Tetapi, ia juga merupakan musuh bagi orang-orang kafir dan orang-orang yang berdosa, akan melemparkan mereka ke neraka Jahanam. Ia menjadi perantara mereka untuk masuk ke syurga, sekaligus menjadi perantara mereka untuk masuk ke neraka.

Dengan begitu, maka syafa’at ini layak dinamakan “syafa’at qiyadah”. Kita juga boleh menyebutnya “syafa’at amal”, kerana amal menjadi faktor utama kejayaan atau kegagalan. Yakni amal soleh (baik) dan amal toleh (buruk). Syafa’at semacam ini jelas tidak bertentangan dengan keadilan Tuhan, bahkan mendukungnya.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: