jump to navigation

Serangan Dr Mahathir tempias pada Anwar Julai 2, 2007

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarDi medan terbuka, konflik yang dapat dilihat ialah antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Umno. Di medan tertutup, ketegangan politik ini rupa-rupanya turut menggoncang pembangkang, khususnya bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan kongsinya PAS.

Ia bermula gara-gara pertemuan pada Sabtu dua minggu lepas di Hulu Kelang — Dr Mahathir dituduh cuba bersekongkol dengan parti-parti pembangkang, khususnya melihat pada kehadiran beberapa pemimpin utama PAS, termasuk timbalan presidennya Nasharuddin Mat Isa.

Minggu lepas, akhbar-akhbar melaporkan keresahan beberapa pemimpin penting Umno dan juga perang mulut antara Dr Mahathir dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz.

Mereka rata-ratanya tidak senang apabila bekas pemimpin negara ini mendedahkan isu-isu kelemahan kerajaan di depan barisan pemimpin pembangkang dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara Dr Mahathir, dengan gaya jawapannya yang klasik, berkata “jika mereka hendak datang, saya tidak boleh berkata jangan”.

“Saya memberi ceramah kepada NGO dan mereka datang. Ia bukan dianjurkan oleh saya. Saya pergi ke situ dan mereka berada di sana…,” beliau dipetik sebagai berkata.

Di pertemuan pembangkang awal minggu lepas, Anwar melahirkan suara tidak berpuas hatinya pada pemimpin-pemimpin PAS yang menyertai kempen Dr Mahathir tersebut.

Bagi Anwar, alasan beberapa pemimpin kanan PAS, termasuk naib presiden Datuk Husam Musa, untuk “mendengar sendiri” maklumat terkini daripada mulut Dr Mahathir “tidak boleh diterima.”

Bagi orang-orang Anwar, maklumat eksklusif politik tidak bergerak di majlis terbuka seumpama itu, ia disalurkan di belakang pintu tertutup.

Majlis itu, menurut sumber-sumber dekat dengan Parti Keadilan Rakyat, sejenis kempen politik yang membawa imej positif kepada Mahathir — seolah-olah seluruh rakyat kini di belakangnya dalam usaha mendepani serangan dan kritikan balas beberapa pemimpin Umno.

Kira-kira dua minggu sebelum pertemuan di Hulu Kelang, Anwar awal-awal lagi memberikan “amaran” bahawa kritikan keras bekas Perdana Menteri itu terhadap kerajaan bukan agenda pembangkang dan boleh memalingkan fokus gerakan reformasi yang ditajanya.

Memetik kenyataan Anwar, Suara Keadilan edisi 12 Jun memaparkan di halaman depan “Sengketa Dr Mahathir-Abdullah bukan fokus kita: Jangan Terpedaya”.

Nada yang sama dilaungkan lebih awal oleh pembantu peribadinya Azmin Ali, juga sebagai naib presiden Keadilan, pada awal bulan lepas.

Azmin mengingatkan pemimpin-pemimpin pembangkang dan orang ramai agar “tidak terperangkap” dalam isu pertelagahan Dr Mahathir dengan Abdullah dan juga berkhutbah agar mereka tidak “mendewa-dewakan bekas Perdana Menteri itu,” lapor Harakahdaily.net, media rasmi dalam talian milik PAS. Tetapi seruan Keadilan ini, di mata PAS, berlalu begitu sahaja.

Mungkin sikap inilah yang membingungkan Anwar. Suara beliau nampaknya sudah tidak diendahkan oleh teman-teman dekatnya sendiri?

Beliau menyatakannya dengan jelas kepada parti Islam itu dalam pertemuan dengan pucuk pimpinan tertinggi parti (kecuali Husam yang tidak hadir) pada Selasa minggu lepas, sehari sebelum bertemu DAP.

Apatah lagi suluhan media besar-besaran pada majlis di Hulu Kelang itu, dan siri-siri kritikan balas antara Dr Mahathir dengan kerajaan sejak beberapa bulan kebelakangan, seolah-olahnya meminggirkan lagi Anwar dalam kancah politik nasional.

Beliau memang memilih berdiam diri selama ini tetapi akhirnya bersuara pada pertengahan minggu lepas, selepas dilihat tersisih daripada isu tersebut.

Walau tidak menyokong dasar-dasar Perdana Menteri sekarang, beliau dianggap terhutang budi pada Abdullah khususnya ekoran pembebasannya dari penjara pada penghujung 2004.

Lagipun menurut Anwar, Dr Mahathir tidak memperjuangkan reformasi politik; bekas Perdana Menteri ini hanya mahu beberapa projek yang diilhamkan pada zamannya diteruskan, dan jika dibatalkan, Abdullah harus menjawab langsung kepadanya.

Jika tidak, Dr Mahathir berniat mencari jawapan sehingga “ke lubang cacing,” satu ungkapan yang cukup kuat semangatnya.

Ekoran perkembangan ini, bibit-bibit tidak berpuas hati pun berkembang dalam Keadilan, di kalangan penyokong, aktivis dan beberapa pemimpin yang dekat dengan Anwar — suatu kegelisahan terpendam yang selama ini tenggelam timbul antara PAS dengan rakan-rakan kongsinya.

Awal bulan lepas, dalam ucapan utama di muktamar Dewan Pemuda PAS, ketuanya Salahuddin Ayub juga pernah mengeluarkan kenyataan yang dianggap boleh menyinggung Keadilan, khususnya Anwar. Secara berlapik, Salahuddin menganggap tokoh itu seorang “pemimpin elit.”

“Anwar tidak seharusnya terus menjadi pemimpin elit,” kata Salahuddin, “sebaliknya beliau mesti menjadi pemimpin rakyat yang mengetuai gelombang kedua reformasi setelah lebih lima tahun rakyat berjuang untuk menegakkan keadilan buat beliau.

“Kini rakyat sedang menunggu giliran beliau pula memacu keadilan untuk rakyat.”

Mungkin lebih memburukkan keadaan, wakil rakyat Kubang Kerian itu menyuarakannya senafas dengan mengalu-alukan kemunculan kembali Dr Mahathir yang dianggapnya “Ketua Pembangkang Negara”, satu jolokan yang boleh jadi sinis, boleh jadi jujur.

Tetapi Anwar dikhabarkan tidak senang dengan label “pemimpin elit” selepas beliau selama ini dianggap ikon besar pembangkang sejak dipecat dan dipenjara pada September 1998.

PAS sendiri meraih keuntungan besar akibat krisis politik dalam pilihan raya umum 1999 walau kuasa sakti Anwar itu tidak lagi menjadi dalam pilihan raya 2004, selepas Abdullah menggantikan Dr Mahathir, seteru utama politik Anwar.

Di pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin PAS tersebut, Salahuddin dikhabarkan “memohon maaf” kepada tokoh itu.

Ada pula suara-suara menggesa agar Keadilan “berdiri sendiri” dalam pilihan raya umum ke-12, kemungkinan berlangsung sekitar 2008 nanti.

Apakah kita akan menyaksikan perpecahan gabungan PAS-Keadilan sebagaimana penarikan diri DAP daripada Barisan Alternatif pada 2001?

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline (kolum Pojok) pada 04 Julai 2006.

Komen-komen»

1. musang berjanggut - Julai 15, 2008

kita hanya memandang, tapi berat lagi bahu memikulnya. dan setiap manusia di dunia ini tidak ada yang sempurna, masing-masing ada kelemahannya, jadi janganlah kita saling bertelingkah antara satau sama lain. yang baik jadikan teladan yang jahat jadikan sempadan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: