jump to navigation

I.S.A: Penghakisan Hak Asasi Manusia Julai 6, 2007

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Sheikhryz

Demokrasi atau dari segi etimologinya berakar kata daripada perkataan Yunani iaitu “Demos” yang bermaksud pemerintahan dan “Kratia” yang bermaksud rakyat. Jika dua perkataan ini digabungkan menjadi satu, ia akan membentuk makna kata pemerintahan oleh rakyat.Ia juga membawa konotasi pemerintahan oleh yang terbanyak atau massa.

Proses ke arah demokrasi telah melalui satu sejarah yang panjang di seluruh dunia, baik di benua barat mahupun di dunia Islam, walaupun pemikiran politik Islam terlebih dahulu mendahului sistem demokrasi di dalam memancarkan keadilan sejagat. Demokrasi yang di katakan sebagai warisan Tamadun Yunani telah di warisi secara turun-temurun.

 Secara umumnya, acap kali dikatakan bahawa demokrasi merupakan penanda aras kepada kejayaan sesebuah pemerintahan, samada corak pemerintahan mahupun jua kerajaan nya. Ini bermaksud, jika sesebuah negara itu tidak melaksanakan atau tertinggal salah satu penanda aras demokrasi seperti pilihanraya yang bersih, rakyat yang di berikan hak berpendapat, berpersatuan dan sebagainya, sesebuah negara itu di kira sebagai tidak demokratik. Acap kali kedengaran segelintir daripada pemimpin kita bahkan daripada masyarakat kita sendiri yang lantang bersuara mengenai seruan kearah demokrasi yang tulen. Namun realitinya ialah para pemimpin itu sendiri tidak memahami apakah yang di maksudkan dengan demokrasi. Oleh kerana kedangkalan kita akan pengertian dan aplikasi demokrasi, seringkali tercetus perbalahan atau polemik diantara pihak yang menyatakan demokrasi selari dengan agama dan terdapat sesetengah pihak pula mengatakan bahawa demokrasi itu suatu instrumen pemikiran politik yang di gagaskan oleh Yahudi demi agenda mereka untuk menakluk jagat raya.

Di dalam memikirkan persoalan demokrasi ini, saya amat tertarik dengan pendapat yang di nyatakan oleh Rachid Ghanouchi mengenai demokrasi di dalam Islam. Beliau menyatakan di dalam bukunya yang bertajuk “Al-Hurriyyah Al-Ammah Fid Dawlah Al-Islamiyyah (Kebebasan-kebebasan awam di dalam negara Islam)”, bahawa Islam itu sendiri sebenarnya mempunyai elemen-elemen demokrasi yang menjadi salah satu intipati agama bahkan Islam itu sendiri jauh mendahului barat di dalam persoalan hak asasi manusia dan kebebasan-kebebasan. Namun, beliau juga menyatakan bahawa demokrasi yang ada sekarang adalah demokrasi yang sudah di resapi elemen sekular dan terlalu mendaulatkan manusia sehingga tertuntas penindasan sesama manusia. Jika kita cerap dengan cermat, sebenarnya setiap gerakan Islam itu bergerak berlandaskan saluran demokrasi, namun acap kali berlaku pertembungan diantara gerakan Islam dan prinsip demokrasi sekular yang di amalkan oleh gerakan-gerakan politik sekular. Implikasinya ialah, gerakan Islam telah di tindas dan di tekan seperti yang berlaku di Turki ketika Parti Refah pimpinan Dr Neccemtin Erbakan yang di haramkan oleh pendukung demokrasi sekular dan juga HAMAS di Palestin yang di nafikan hak pemerintahan oleh pihak barat dengan nyalakan pengkhianat Islam dari parti FATAH. Ini terjadi lantaran intipati demokrasi menurut Islam adalah berdasarkan keesaan ALLAH S.W.T dan kegemilangan manusia, sedangkan demokrasi sekular adalah berdasarkan manusia semata-mata yang akhirnya menyebabkan tertuntasnya penindasan sesama manusia.

Esei ini bukanlah bertujuan untuk menjelaskan hukum demokrasi menurut Islam atau perbandingan perlaksanaan demokrasi di negara-negara Islam, tetapi esei ini akan menjelaskan dan menghujahkan berkenaan penghakisan hak asasi manusia oleh manusia itu sendiri melalui instrumen undang-undang. Peruntukan undang-undang yang di bahaskan di sini ialah akta keselamatan dalam negeri(ISA). Ini kerana, di atas nama demokrasi yang sebenarnya telah di resapi prinsip-prinsip sekular dan di atas nama keselamatan negara, manusia telah melakukan penindasan sesama sendiri. Selain itu, esei ini akan meninjau sejauh mana pertentangan diantara Islam dengan perlaksanaan ISA dan menghujahkan adakah benar dakwaan sesetengah pemerhati politik, politikus dan pengamal undang-undang yang menyatakan bahawa ISA itu penting demi ketenteraman negara dan masyarakat dari ancaman anasir-anasir jahat.

Sejarah Penggubalan Dan Perlaksanaan ISA

Peruntukan undang-undang zalim iaitu akta keselamatan dalam negeri telah melalui suatu jangka masa yang panjang di dalam penggubalan nya. Jika di telusuri seawal cadangan penggubalan nya, kita akan bertemu dengan suatu iklim politik yang kurang baik iaitu keadaan sebuah negara yang baru merdeka yang sudah pastinya mengalami perbagai jenis ancaman dari penentang-penentangnya. Jika di lihat dari sudut pensejarahan, ISA bersusur-galur dari undang-undang darurat 1948( Emergency Ordinance 1948), iaitu suatu peruntukan undang-undang untuk membasmi kegiatan subversif pra merdeka. Melalui EO 1948, kerajaan berhak menahan para penentang yang di sifatkan radikal. Sebenarnya, bukan sahaja para pengganas yang di tahan di bawah EO 1948, tetapi ia juga merangkumi para pejuang nasionalis Melayu yang radikal seperti Ahmad Boestamam dan sebagainya.

Pasca merdeka 1957, kerajaan yang di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman memang di akui mengalami ancaman demi ancaman daripada para penentang nya, dan salah satu penentangan yang bisa mengoyahkan negara ialah datangnya dari pihak komunis. Subky(2006) menyatakan bahawa ancaman komunis yang kepada negara Malaya yang baru mencapai kemerdekaan itu sebenarnya sudah pun lumpuh menjelang akhir tahun 50an, dimana pentadbiran Tunku Abd Rahman memang terkenal tegas di dalam membasmi kegiatan komunis. Komunis yang tinggal hanyalah saki baki yang tidak mampu memberikan ancaman kepada negara dan dianggarkan hanya seramai 583 atau lebih anggota sahaja dan itu pun hanya terbatas di perbatasan Malaya dan Thailand. Kerajaan yang di terajui oleh Parti Perikatan dan di tunjangi oleh Parti nasionalisme Melayu yang terbesar iaitu UMNO pada penghujung dekad 50an bersetuju mengantikan peruntukan EO 1948 dengan suatu peruntukan undang-undang yang baru iaitu Internal Security Act (ISA). Pengubalan ISA ini pada penerangan yang telah di berikan oleh Tun Razak adalah bertujuan sekadar mengelakan dan mengurus saki baki komunis yang secara teorinya sudah mulai lemah dari bertapak kembali menjadi ancaman negara.

Maka, kerajaan telah mengupah seorang pakar perundangan British yang bernama Hugh Hickling sebagai penggubal dan penasihat kepada pihak kerajaan di dalam menggubal draf ISA. Hugh Hickling yang merasakan betapa bahaya jika undang-undang baru ini di salah gunakan kerana ia memberikan kuasa yang luas kepada pihak kerajaan di dalam bertindak. Beliau telah mengingatkan Tun Razak agar tidak menyalahgunakan peruntukan undang-undang ini untuk menindas kerana kuasa nya terlalu luas berikutan peruntukan yang tidak jelas. Ini dapat di buktikan melalui frasa(terjemahan):

“Kerajaan Melalui Menteri Dalam Negeri berhak dan berkuasa mengambil tindakan menahan mana-mana orang yang di curigai melakukan perbuatan subversif dengan niat mengancam keselamatan negara dan awam “.

Kekaburan yang di maksudkan di sini ialah kerana ia tidak menyebut apa jenis kegiatan subversif samada komunisme atau apa-apa sahaja yang mengancam ketenteraman awam. Oleh kerana ia tidak bersifat spesifik makanya potensi penyalahgunaan kuasa oleh sang penguasa amatlah besar. Oleh sebab menyedari akan bahaya dari peruntukan ini, maka ahli Parlimen konsistuen Bachok dari Parti Islam Semalaysia(PAS) iaitu Professor Zulkifli Mohammed telah bertindak membahaskan ia secara mendalam dan meminta agar pihak pemerintah mengkaji kembali kewajaran perlaksanaan nya. Ini kerana beliau bimbang jika ia di salahgunakan demi mengekalkan kuasa politik yang sedia ada. Prof Zulkifli menyedari perkara ini kerana dari penelitian beliau, ISA berpotensi menggugat dan mengakis hak asasi manusia dan amat bertentangan dengan apa yang di anjurkan oleh Islam. Begitu juga dengan ahli Parlimen PAS dari konstituen Tanah Merah iaitu Othman Abdullah yang mana beliau juga menzahirkan kebimbangan nya akan bahaya ISA di salahgunakan. Sebagai contoh perlanggaran hak asasi manusia oleh ISA seperti berikut…

Fasal 7 Bahagian (3): “Any Articels in respect of which an offence has been committed under this section may be seized and destroyed or otherwise dealt with as the minister may direct, whether or not the identity of the offender is known and whether or not any prosecution has been commenced in respect of the offence”.

Jika anda seorang yang faham akan peruntukan undang-undang, anda akan sedar betapa sedari awal peringkat bacaan pertama di Parlimen lagi akta ini adalah berlawanan dengan prinsip keadilan sejagat. Melalui frasa tersebut, belum pun lagi seseorang itu di buktikan salah, maka pihak berkuasa mempunyai kuasa merampas dan seterusnya memusnahkan mana-mana bahan yang di rasakan bersifat subversif. Andai kata penulis seorang yang berkerja sebagai penganalisis politik, ketika serbuan polis itu penulis ditahan dan semasa di dalam serbuan itu pihak polis merampas buku-buku yang bernilai tinggi seperti karya-karya klasik Imam Mawardi (Al-Ahkam Al-Sultaniyyah) dan Machiavelli (The Prince) ataupun karya-karya penulis yang sedang di dalam pembikinan dan langsung tidak di pulangkan malah di musnahkan dan andai kata di takdirkan penulis di bebaskan melalui writ Habeous Corpus (satu-satunya peruntukan undang-undang yang boleh mencabar penahanan ISA oleh pihak kerajaan), kepada pihak manakah perlu penulis rujuk untuk mendapatkan kembali barang-barang yang di rampas. Jika barang-barang tersebut sudah di musnahkan, kepada siapa pula penulis harus meminta ganti rugi?. Dari sini kita dapat melihat dimana hak asasi seseorang itu untuk menikmati karya-karya ilmiah telah di rampas dan tindakan ini sekaligus mencalarkan prinsip demokrasi yang kita amalkan.

Kerana menyedari bahaya sebegini, maka Prof Zulkiflee Mohammed menyatakan amaran dan kegusaran beliau jika akta ini di salahgunakan. Namun setelah mendapat jaminan dari Tun Razak yang ketika itu bertindak sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang mana Tun Razak menyatakan bahawa ISA hanya di perlukan untuk menguruskan saki baki komunis yang tinggal dan jangka masa perlaksanaan ini hanya akan memakan masa satu atau dua tahun, maka ahli-ahli Parlimen yang lain akhirnya bersetuju mengundi agar ISA di laksanakan. Namun perlu di ingat, jaminan Tun Razak hanyalah bersifat hansard Parlimen dan ia bukan lah suatu peruntukan undang-undang, maka tanggal 31 julai 1960 Parlimen sebulat suara meluluskan menamatkan peranan Ordinan Darurat 1948 di dalam menjaga keselamatan negara dan ia kemudian nya di gantikan dengan Internal Security Act 1960 dan ia mula di kuatkuasakan pada 1 ogos 1960.

ISA secara teorinya mengandungi 4 bahagian, 12 bab dan 85 seksyen ini merupakan undang-undang yang secara mudahnya membenarkan tindakan penahanan tanpa bicara. Ini bermaksud, seseorang tahanan yang di tahan di bawah ISA akan di tahan tanpa memerlukan waran tangkap, tanpa perlu di hadapkan ke hadapan majistret di dalam tempoh 24 jam untuk mendapatkan perintah reman, tidak akan di bicarakan di mahkamah awam diatas segala pertuduhan dan akan terus di tahan selagi di atas PERKENAN Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Secara teknikalnya ISA di dalam bahagian II telah memberi peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan keselamatan dalam negeri, di mana di dalamnya termaktub peruntukan kuasa-kuasa bagi penahanan untuk tujuan-tujuan pencegahan(preventive), atau penahanan tanpa bicara(Detention without trial). Bahagian II juga turut memperuntukkan kuasa-kuasa khas yang berkaitan dengan penerbitan dan penyebaran bahan-bahan subversif. Manakala bahagian III memberi peruntukan-peruntukan khas yang berkaitan dengan tempat-tempat keselamatan di Malaysia, di mana di dalamnya terkandung kesalahan-kesalahan yang melibatkan senjata api, peluru dan bahan-bahan letupan. Bahagian IV pula memberikan peruntukan yang amat luas kepada pihak polis untuk membuat tangkapan terhadap mereka yang DI SYAKI dan DI PERCAYAI telah atau boleh memudaratkan keselamatan negara. Terdapat 2 seksyen dalam bahagian I, 45 seksyen dalam bahagian II, 25 seksyen dalam bahagian III dan 14 seksyen dalam bahagian IV.

Pemberian kuasa yang luas keatas ISA ini merupakan salah satu contoh pencabulan hak asasi manusia oleh puak pemerintah. Kekaburan peruntukan kuasa kepada ISA ini juga mendorong kezaliman dan penindasan oleh manusia keatas manusia yang lain dengan membelakangkan perintah ALLAH S.W.T dan keluhuran perlembagaan negara Malaysia. Ini dapat di buktikan melalui peruntukan-peruntukan paling kontroversi yang tercatat di bawah ISA. Antaranya ialah melalui seksyen 8, 22, 57 dan 73. Jika kita fahami dengan jelas melalui seksyen ini, ia jelas merupakan perlanggaran kepada hak asasi manusia oleh puak pemerintah. Ini kerana ia memberikan kuasa yang begitu luas kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan pihak polis untuk melakukan penangkapan dengan sewenang-wenangnya. Melalui seksyen-seksyen yang kabur ini, pihak kerajaan di berikan kuasa yang penuh untuk melakukan tangkapan yang konon nya bersifat pencegahan kepada mana-mana individu yang melakukan perkara subversif yang mana kuasa ini hanya di berikan ketika waktu darurat sahaja. Namun, di bawah seksyen-seksyen tersebut, penahanan tanpa bicara di bolehkan. Ini jelas merupakan perlanggaran kepada hak asasi seseorang warganegara. Sebagai contoh, bekas penasihat undang-undang kumpulan Al-Arqam iaitu encik Zabidi Mohammed yang pernah di tahan di bawah ISA menyatakan bahawa beliau di tangkap di bawah seksyen 73(1) ISA tanpa waran. Hanya selepas beliau pulang daripada menikmati satay kajang! Tanpa sempat memberitahu perkara tersebut kepada pihak keluarganya untuk memaklum yang beliau di tangkap, pihak polis terus sahaja membawa beliau pergi ke suatu tempat yang tidak di ketahui dan akhirnya hanya di maklumkan sebagai Police Remand Centre (PRC) sebelum di bawa ke Kem Kamunting.

Seperti yang di nyatakan sebelum ini, penahanan seperti ini adalah bersifat bahaya. Kerana apa-apa perkara sahaja boleh terjadi sepanjang tempoh penahanan dan bagaimana jika berlaku kematian dan sebagai nya, jika pihak keluarga tidak di maklumkan mengenai penahanan dan tiada akses melawat, kepada pihak mana kah perlu di tujui untuk mendapatkan penjelasan dan keadilan ?. Ini sudah cukup untuk membuktikan mengapa pihak-pihak seperti GMI menentang dan menuntut agar pihak kerajaan memansuhkan undang-undang laknat ini.

Faktor Iklim Politik Semasa

Jika kita mengambil kira faktor iklim politik dunia yang dwipolar ketika zaman ISA di gubal memang kita akan berasa wajar ISA di wujudkan. Kerana ketika era tersebut berlaku pertembungan ideologi liberal dan komunisme yang mana liberal berpaksikan Amerika Syarikat(AS) dan komunisme pula berpaksikan kepada USSR. Jika melihat kepada dasar luar Malaya pada ketika itu memang benar yang Malaya meletakan dasar luarnya pro kepada barat kerana keadaan negara sebagai baru bebas dari belenggu penjajahan dan juga faktor Tunku Abd Rahman yang rapat dengan pemikiran politik liberal barat. Kemaraan kuasa dan pengaruh komunis ketika itu memang amat dahsyat sehingga ada penganalisis politik yang mengatakan pengaruh komunis akan bertapak di rantau Asia Tenggara seperti jatuhnya buah domino dan ini mewujudkan teori domino. Namun, perlu kita ambil kira bahawa selepas Tunku Abd Rahman mengambil alih pentadbiran iaitu semenjak tahun 1955, sehinggalah kepada penggubalan ISA pada tahun 1960, pengaruh komunis sebenarnya sudah lumpuh dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan di catatkan bahawa komunis pada ketika itu hanya aktif bergerak di perbatasan Malaya dan Thailand kerana di hambat oleh para tentera kedua-dua buah negara.

Secara jelasnya, komunis secara fizikalnya sudah tiada, namun masih terdapat komunis yang melekat di dalam pemikiran. Kerana itulah ISA di gubal iaitu bertujuan menyekat pemikiran komunis. Namun persoalan nya ialah kebanyakan mangsa ISA ini ialah bukan sekadar komunis bahkan kebanyakan nya adalah dari golongan Islamis, nasionalis dan sosialis atau penentang dasar kerajaan termasuklah para mahasiswa. Jika di tinjau, kebanyakan mereka-mereka yang di tahan adalah terdiri daripada pejuang hak rakyat dan penentang korupsi. Jika kita teliti, kebanyakan penggunaan ISA oleh pihak kerajaan adalah berdasarkan kepada situasi politik, bukan berdasarkan kepada isu-isu keselamatan. Sebagai contoh, Almarhum Ibrahim Libya yang di bunuh di Baling oleh pihak polis, sebelum itu beliau menjadi buruan ISA kerana perkara bersifat politik iaitu pengaruhnya yang besar di kalangan masyarakat bawahan di Kedah. Beliau di ancam untuk di tahan bukan kerana beliau mengancam negara. Logikkah seorang guru agama di sebuah daerah mundur di Kedah yang mana masyarakatnya pernah bangkit berdemonstrasi akibat kebuluran pada tahun 70an, di katakan oleh kerajaan sebagai mengancam negara. Beliau di katakan sebagai menyebar falsafah radikalisme kepada orang awam, namun tuduhan itu tidak pernah di buktikan di mahkamah. Ini membuktikan bahawa beliau di tahan kerana politik, bukan kerana mengancam keselamatan negara. Isu-isu keselamatan hanyalah menjadi batu loncatan kepada alasan menghalalkan penahanan beliau.

Perkara yang sama juga terjadi kepada para pendukung gerakan Islam seperti Naib Presiden PAS terkini iaitu Mohammad Sabu. Beliau di tahan di bawah ISA pada tahun 80an buat kali yang kedua di atas alasan radikalisme dan chauvinisme. Permasalahan chauvinisme ini tercetus lantaran perbalahan diantara pihak MCA dan UMNO berkenaan tuntutan MCA kepada kerusi Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1987.

Perkara ini terjadi ekoran Tan Sri Lee Kim Sai memainkan isu perkauman dan api perkauman ini semakin marak apabila pihak pemuda UMNO menyahut dengan salakan keras ketuanan Melayu. Pihak pemuda UMNO melalui panglima-panglima nya seperti Najib Razak dan Mohammad “Mike Tyson” Taib membalas dengan ancaman mengumpulkan ribuan orang Melayu sebagai bantahan. Bagi meredakan tekanan api perkauman ini, pihak kerajaan telah mengKAMBING hitamkan beratus-ratus pemimpin pembangkang dan aktivis hak asasi manusia dimana mereka secara paksa di CUTIkan di kem kamunting melalui operasi lalang. Adakah ini bersifat isu keselamatan?. Jika ia bersifat keselamatan pihak kerajaan perlu menahan Lee Kim Sai dan Najib Razak kerana merekalah yang mencetuskan perbalahan ini. Tetapi isu ini bertukar menjadi isu politik kerana demi meredakan ketegangan, Lee Kim Sai di nasihatkan bercuti di luar negara manakala beratus-ratus politikus pembangkang di paksa bercuti di kamunting, di sebuah VILLA yang menghakis hak manusia.

Isu yang boleh dikira agak terkini, iaitu penahanan beramai-ramai aktivis Islam yang termasuk juga Nik Adli iaitu anak lelaki kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz(Menteri Besar Kelantan) juga adalah di atas sifat politik. Pihak parti pemerintah yang cuba bermain politik kotor telah mengkambing hitamkan ramai mereka yang tidak berdosa lantaran suasana politik global yang sedang panas dengan isu terrorisme. Pasca serangan keatas menara berkembar perdagangan AS di New York pada 11 september 2001 dan serangan yang memusnahkan suku bangunan Pentagon pada hari yang sama telah menyebabkan Presiden Bush melancarkan apa yang di panggil sebagai “War On Terror”. Kebanyakan mangsa hasil konspirasi puak-puak Yahudi neo-konservatif ini adalah dari negara yang berkomposisi penduduk muslim yang tinggi atau di dalam bahasa mudahnya negara umat Islam. Selepas serangan keatas Afghanistan dan Iraq, kebanyakan kerajaan-kerajaan umat Islam di seluruh dunia mula berlumba-lumba menyembah AS dan menjadikan AS sebagai kiblat politik mereka. Bagaikan suatu pesta, berbondong-bondong pemimpin OIC ingin mempersembahkan kepada AS bahawa pendekatan Islam mereka adalah moderat atau liberal. Di dalam perlumbaan yang jelik ini, tidak terkecuali ialah negara kita yang di sayangi. Demi memuaskan hati AS yang berjiwa iblis, pihak pemerintah telah mengkambing hitamkan ramai pendukung gerakan Islam dengan pertuduhan menjadi ahli gerakan pengganas Islam yang aktif di rantau asia tenggara. Namun, apa yang menjadi sesuatu yang pelik ialah, mereka yang di tuduh sebagai pengganas ini tidak pernah di buktikan di mahkamah terbuka seperti di Indonesia. Pihak Indonesia yang berjaya menangkap sebilangan pendakwah yang konon nya pemimpin pengganas seperti Ustaz Abu Bakar Bashir telah pun membicarakan beliau, walaupun di dalam keadaan beliau tidak pernah mengaku salah. Namun sekurang-kurang nya beliau di bicarakan. Perkara yang sama juga terjadi kepada Amrozi dan Imam Samudera yang mana mereka di tuduh melakukan perancangan mengebom pulau bali. Walaupun perbicaraan tersebut seakan berat sebelah, tetapi sekurang-kurang nya Indonesia bersifat demokratik dengan membicarakan para tertuduh.

Malang nya, negara kita yang kita sayangi pula lebih senang mengambil sikap menyimpan dan menyeksa para tahanan ini demi memuaskan hati iblis AS. Dimanakah isu keselamatan seperti yang di war-warkan menjadi punca utama tertuntas nya idea penggubalan ISA?. Bukan kah kesemua nya hanya bersifat politik. Iaitu demi hanya untuk menjaga status quo puak pemerintah. Maka secara teorinya, perlaksanaan ISA itu tidak releven kerana hanya menjadi alat mengekalkan kemandirian politik parti pemerintah dan ia juga menjadi hujah jelas betapa ISA perlu di mansuhkan.

ISA Menghakis Hak Asasi Manusia

Terdapat banyak testimoni dan aduan berhubung betapa ISA menghakis hak asasi manusia. Terdapat pelbagai ragam penyeksaan dan deraan di ceritakan oleh para bekas tahanan sejak dari dahulu mahupun sekarang. Deraan yang di lakukan di dalam tempoh penahanan ISA tidak hanya terhad kepada deraan yang bersifat fizikal iaitu “Physical contact” tetapi juga merangkumi deraan-deraan yang amat berat sekali keatas manusia iaitu deraan psikologi. Jika deraan bersifat fizikal hanya menyebabkan para tahanan menderita kesakitan lebam dan cedera luka parah dan akan pulih selama sebulan atau lambat laun akan pulih jua kecederaan itu, namun deraan psikologi amatlah azab sekali untuk di tanggung oleh para tahanan ISA. Hujah yang jelas ialah, melalui deraan psikologi, seseorang tahanan itu akan berubah murung dan jika tidak bernasib baik akan menjadi gila. Kerelevenan deraan psikologi ini di lakukan ialah untuk mematahkan semangat juang para tahanan dari meneruskan idealisme politik mereka yang dapat mengugat kemandirian politik puak pemerintah.

Jika kita telusuri rentetan catatan oleh para bekas tahanan ISA sejak dari dahulu sehingga sekarang, kebanyakan mereka ini akan menceritakan betapa berat beban harga yang mereka bayar untuk sebuah perjuangan menegakkan keadilan kepada rakyat dan menentang penyelewengan kuasa puak pemerintah. Sebagai contoh jelas, di dalam buku bertajuk Universiti Kedua karangan Dr Kassim Ahmad, beliau jelas menceritakan bagaimana pasukan SB yang menyerbu rumah nya seawal pagi dan merampas berbagai jenis karya-karya ilmiah yang klasik di dalam simpanan nya dan tidak memulangkan nya kembali. Selain itu juga beliau turut menceritakan bagaimana beliau di seksa secara psikologi dimana pihak SB mengugut untuk menganggu rumah tangga beliau dan juga mengugut beliau dengan pelbagai ancaman yang bisa memudaratkan jiwa dan kehidupan nya. Segala ini di lakukan demi mematahkan semangat perjuangan beliau melalui ideologi sosialisme dan hasilnya memang memberangsangkan kerana selepas beberapa tahun di tahan, beliau telah di bebaskan dan kemudian nya beliau bertindak keluar daripada parti yang dahulu nya beliau berjuang bermati-matian mempertahankan pegangan politiknya. Apa yang ingin di tumpukan ialah bukan kepada tindakan beliau keluar dari perjuangan sosialisme, tetapi betapa ISA itu menghakis hak asasi manusia bilamana seseorang itu tidak mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada pertuduhan. Sedangkan di dalam perlembagaan Malaysia sendiri menolak penahanan tanpa sebab seseorang warganegara. Bayangkan, melalui peruntukan 73(1) ISA 1960, seseorang pegawai polis itu mempunyai hak melalui kuasa yang di wakilkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri kepadanya untuk menahan seseorang suspek tanpa sebarang waran. Ini jelas bertentangan dengan apa yang di peruntukan oleh perlembagaan Malaysia di bawah artikel kebebasan dan hak asasi yang menyatakan bahawa seseorang yang di tahan oleh pihak polis, contohnya di rumah, perlulah di sertakan dengan waran penangkapan. Tetapi, melalui 73(1) ini, jelaslah kepada kita bahawa semangat demokrasi yang di war-warkan selama ini yang konon nya mendukung kebebasan dan hak asasi manusia oleh puak pemerintah, sebenarnya bersifat relatif dan ini jelas mencalarkan semangat perlembagaan yang di junjung sebagai undang-undang tertinggi negara.

Hak asasi manusia juga di injak-injak sewenang-wenang nya oleh perlaksanaan ISA ini. Jika ini berlaku, bagaimanakah keadilan dapat di capai?. Sedangkan bertindak adil sesama manusia pun tidak dapat di laksanakan, sudah semestinya maksud keadilan bagi pihak penzalim ini ialah bermakna keadilan bagi puak-puak mereka di dalam melakukan penyelewengan. Perlu di tegaskan di sini bahawa, Islam menolak sebarang kezaliman dan pencabulan prinsip-prinsip keadilan dan kesamarataan. Jika ini terjadi, maka sebagai umat Islam maka wajiblah kita menolak perlaksanaan ISA ini kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip keadilan dan kesamarataan yang di dukung oleh Islam. ISA sudah semestinya undang-undang zalim yang di cipta oleh akal pemikiran manusia yang bersifat terbatas. Perkara ini terjadi lantaran daripada kegagalan proses interaksi diantara wahyu dan akal semasa aktiviti merangka nya sedang di lakukan. Hujah yang jelas ialah, undang-undang ISA jelas tidak menitik beratkan prinsip-prinsip agama, implikasinya ialah terjadi nya proses keadilan yang bersifat relatif. Mungkin dirasakan adil bagi satu pihak, manakala kerugian yang teruk kepada suatu pihak lagi. Maksudnya ialah, keadilan akan di berikan kepada seseorang tahanan jika ia menyerah kalah, tetapi ketidakadilan akan berlaku jika seseorang tahanan terus berkeras dengan pendirian nya. Ini lah yang di panggil keadilan yang bersifat relatif.

Di dalam pemikiran politik Islam, terdapat prinsip al-‘adaalah wal-musaawaah iaitu membawa maksud keadilan dan kesamarataan. Melalui prinsip ini, setiap warganegara samada muslim atau bukan muslim akan menikmati keadilan dan kesamarataan yang mana ia tidak hanya berpihak kepada suatu pihak. Selagi seseorang itu adalah warganegara sesebuah negara, maka dia berhak di layan dengan sebaik mungkin dan di berikan hak-hak yang sepatutnya di berikan kepada manusia. Namun, di dalam negara yang konon nya mengamalkan prinsip Islam seperti Malaysia, keadilan dan kesamarataan adalah hanya menjadi bahan mainan para politikus yang palsu. Bagaimanakah sesuatu keadilan itu dapat di capai jika kita masih mengamalkan suatu peruntukan undang-undang yang bersifat “draconian” dan menghakis hak asasi manusia. Melalui perlaksanaan ISA, keadilan dan kesamarataan di dalam negara kita yang tercinta hanyalah bersifat mainan belaka. Hujah yang jelas ialah, bagaimana prinsip al-‘adaalah wal-musaawaah di dalam konsep bernegara itu mungkin di capai jika perlaksanaan undang-undang seperti ISA itu sendiri menafikan keadilan dan kesamarataan dari mencapai matlamatnya. Perkara ini dapat di buktikan melalui penafian untuk di adili di mahkamah terbuka kepada para tahanan. Perlu kita sedari bahawa, seseorang yang di tahan di bawah ISA akan di tahan selama 60 hari tanpa bicara. Adakah ini yang di namakan sebagai keadilan?. Jika seseorang itu di tahan kerana melakukan perkara-perkara subversif yang mengancam keselamatan negara, mengapa tidak di reman dahulu selama 14 hari demi tujuan soal siasat seperti mengikut prosedur biasa polis?. Selepas tempoh reman, jika terdapat bukti yang mengaitkan si tertuduh dengan pertuduhan yang di lemparkan, maka dia perlulah di hadapkan ke mahkamah di atas tuduhan mengancam keselamatan negara. Para pendukung perlaksanaan ISA seringkali bersuara bahawa ISA perlu kerana ia membasmi keganasan dan dapat mengelakan kekacauan, tetapi bagaimana jika seseorang suspek yang di tahan itu tidak bersalah? dan bagaimana keadaan nya sepanjang di dalam tahanan?. Ini kerana, mengikut peruntukan di bawah ISA, seseorang itu tidak akan di beritahu tempat beliau di tahan dan keluarga beliau tidak kan di maklumkan mengenai penahanan beliau dan pihak keluarga tahanan tidak mendapat akses berjumpa dengan tahanan. Andai kata seseorang tahanan itu meninggal ketika di dalam tahanan, kepada siapakah pihak keluarga perlu pergi untuk mendapatkan penjelasan? Dan yang paling buruk ialah si tertuduh dan keluarganya akan menderita hidup di bawah stigma yang negatif mengenai si tertuduh, sebagai contoh si tertuduh di tahan di bawah ISA diatas alasan menjadi agen negara asing dan pengganas, dengan pihak media massa pro kerajaan yang memainkan isu ini, sudah tentulah pihak keluarga tahanan akan menaggung malu kerana terpaksa menjalani kehidupan diatas stigma si tertuduh adalah seorang pengganas yang mengancam keselamatan negara. Sedangkan beliau tidak pernah di bicarakan di mana-mana mahkamah awam. Secara praktikalnya, secara terang-terangan perlaksanaan ISA ini menafikan hak asasi seseorang untuk mendapatkan pengadilan secara adil. Secara automatiknya, ISA menghakis hak asasi manusia di mana ia menggalakan kezaliman dan ketidakadilan berlaku melalui instrumen undang-undang. Sudah semestinya ia berlawanan dengan prinsip-prinsip Islam yang menuntut keadilan di berikan kepada setiap manusia seperti yang di dalam Al-Quran…

” Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi Karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. jika ia[361] Kaya ataupun miskin, Maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu Karena ingin menyimpang dari kebenaran. dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, Maka Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.

[361] Maksudnya: orang yang tergugat atau yang terdakwa. (Surah An-Nisaa’:135)

Seringkali tergambar di dalam kotak fikiran kita bahawa ISA bukan sekadar suatu sesi soal-siasat seperti di dalam prosedur jenayah biasa, tetapi juga di sertakan dengan kaedah-kaedah penyeksaan yang maha dasyat. Drama penyeksaan ini seakan-akan kaedah yang di gunakan oleh pihak AS keatas tahanan di penjara abu gharib dan juga seksaan keatas tahanan di kem guantanamo bay. Jika kita di war-warkan akan kezaliman penyeksaan AS keatas puak tahanan Islam, makanya kita juga lebih kurang sama dengan AS di dalam menyeksa, Cuma bezanya ialah AS menyeksa dan mendera individu yang bukan rakyatnya tetapi kita pula lebih senang menyeksa rakyat sendiri demi memuaskan hati aktor-aktor di dalam high politics. Beberapa jenis penyeksaan ala-ala ZIONIST dan puak Phalangist di Lubnan telah di lakukan oleh puak pemerintah keatas para tahanan ISA dan antara yang biasa di aplikasikan keatas para tahanan ialah seperti di suruh duduk diatas ais di dalam keadaan telanjang bogel, di terajang dan di tumbuk dengan ganas, di suruh menjilat air yang bercampur kotoran yang di simbah di atas lantai, di ludah muka, di sumbatkan muka secara paksa kedalam tong sampah, di bakar janggut dengan menggunakan lighter, tekan tubi beribu-ribu kali sambil berbogel, di ramas serta di main-mainkan kemaluan tertuduh dan seribu satu macam jenis penyeksaan termasuk deraan secara psikologi.

Deraan psikologi ini bermaksud sesi “BRAINWASH ” iaitu seseorang tertuduh akan di kenakan sesi soal-siasat dan SOAL SIAT-SIAT secara marathon di dalam jangka masa berbelas-belas jam secara berterusan. Turut di selitkan di dalam sesi SOAL SIAT-SIAT ini ialah soalan, cerita dan hikayat-hikayat politik yang mengarut dan tidak ada kena mengena dengan pertuduhan yang di lemparkan. Turut di masukan di dalam MODUL SOAL SIAT-SIAT ini ialah cerita-cerita lucah seperti yang di jelaskan di dalam testimoni bekas mangsa ISA. Apakah releven nya soalan seperti kisah bagaimana mahu menjadi gagah perkasa apabila melakukan hubungan seks bersama isteri, kisah pondan dan pelacur yang mencari makan di lorong-lorong, skandal seks menteri-menteri dan lawak-lawak lucah dengan soal keselamatan negara?. Sebagai contoh, bekas tahanan ISA iaitu Saari Sungib menyatakan bahawa pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyoal siasatnya dengan bangganya menyatakan bahawa kewujudan kumpulan THE GUARDIANS atau FEDERAL INVESTIGATION TEAM yang sebenarnya berkuasa mengawal keselamatan negara dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan negara hatta dengan membunuh Perdana Menteri sekalipun jikalau beliau terlibat sebagai agen asing. Persoalan nya ialah, apakah kaitan di antara cerita-cerita di atas dengan pertuduhan yang di lemparkan keatas TAPOL(Tahanan Politik) ?. Sesungguhnya, ISA hanya membazirkan duit pembayar cukai, di mana suatu pembaziran telah terjadi bilamana kerajaan masih mengekalkan ISA dan kem tahanan Kamunting.

Deraan-deraan sebegini sudah cukup membuktikan betapa, ISA menghakis hak asasi manusia. Tidak perlu di kupas dengan teliti dengan menggunakan penanda aras hak asasi antarabangsa seperti UNDHR 1948, cukup sekadar jika di soroti dari segi aplikasi hubungan sesama manusia menurut Islam sendiri pun secara automatiknya ISA sudah boleh dianggap haram dan terbatal di aplikasikan keatas manusia. Terlalu banyak perlanggaran hak asasi manusia sepanjang perlaksanaan ISA selama hampir 47 tahun bermula dari tarikh penguatkuasaan nya pada 1 ogos 1960. Sesungguhnya, ISA adalah wajib di mansuhkan demi kemakmuran dan keadilan kepada warganegara dan mengelakan penindasan sesama manusia terjadi.

Peruntukan Undang-Undang ISA Yang Melanggar Hak Asasi Manusia

Jika kita kaji dan cerap dengan cermat, kita akan mendapati bahawa keseluruhan peruntukan-peruntukan yang terdapat di bawah ISA adalah bersifat menentang hakikat penciptaan manusia oleh ALLAH S.W.T dan bersifat menjaga survival status quo puak pemerintah. Jika ia terbukti melanggar hakikat penciptaan manusia oleh ILLAHI, maka secara automatiknya ia bersifat mengancam hak asasi manusia. Berikut adalah contoh antara peruntukan undang-undang di bawah ISA yang mengancam dan menghakis hak asasi manusia ialah seperti berikut…

Terdapat peruntukan untuk mengukuhkan kuasa dan keputusan menteri dalam seksyen 8, seksyen 16 memperuntukkan bahawa menteri dan pihak yang berkaitan dengannya tidak boleh diminta mendedahkan bukti atau maklumat bagi mempertahankan keputusannya membuat sesuatu penahanan. Jika kita perhatikan dengan cermat akan peruntukan ini, ia terbukti bahawa ISA adalah suatu instrumen politik di dalam mengekalkan status quo puak pemerintah. Seperti kita sedia maklum, para tahanan tidak akan di dakwa di mahkamah terbuka dan melalui peruntukan di bawah seksyen ini pula, Menteri tidak boleh mendedahkan bukti mengapa seseorang tahanan itu di tahan. Ini bermaksud, berlaku penyalahgunaan kuasa(Power Abuse) di dalam menahan seseorang TAPOL. Ini kerana dengan tidak mendedahkan bukti kepada pertuduhan, makanya seseorang itu di tahan dengan sewenang-wenangnya dan ini membuktikan seseorang TAPOL menjadi korban percaturan politik jelik dan telah di kambing hitamkan. Sebagai hujah, boleh jadi seseorang itu di tahan kerana kelantangan nya bersuara mengkritik kerajaan dan berpotensi menyebabkan jatuhnya populariti kerajaan, jadi sebagai cara untuk menyekat kelantangan nya, di ciptakan suatu pertuduhan palsu, di fitnah sebagai agen negara asing atau menggugat keamanan awam misalnya, maka tuduhan sebegini di jadikan alasan di dalam menghalalkan penahanan si tertuduh, walaupun butir-butir pertuduhan tidak pernah di dedahkan. Kerana apa?, kerana ia di lindungi di bawah seksyen laknat ini. Seksyen 28 pula di gunapakai sebagai cara untuk mengagalkan dan menyekat penyebaran berita dan sumber maklumat alternatif berkenaan sesuatu isu. Perkara ini di lakukan di atas dakwaan menyebarkan khabar angin atau menyebarkan laporan tidak benar yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Hujah yang jelas ialah, seksyen ini sudah semestinya menyekat kebebasan maklumat yang ingin di sampaikan kepada pihak massa. Jika kita ingin mendapatkan informasi tulen daripada akhbar pro kerajaan yang begitu tepu minda autokratiknya, sudah semestinya informasi sevegini akan di padamkan. Kepada akhbar mana lagikah hendak di harapkan sebaran maklumat berkenaan sesuatu hal jikalau bukan kepada media alternatif?. Jadi, sebelum maklumat berkenaan isu skandal rasuah atau penyelewengan kerajaan dan pak-pak menteri tersebar luas, maka tindakan pencegahan perlu di ambil. Alasan nya atas sebab keselamatan negara. Sebagai contoh, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat iaitu Saudara Ezam M Noor, yang pernah menyebarkan informasi berkenaan skandal-skandal rasuah para menteri korup, telah di cantas dengan menggunakan peruntukan sebegini. Tujuan nya ialah tidak lain dan tidak bukan untuk menutup segala penyalahgunaan kuasa oleh pihak kerajaan. Apakah dengan mendedahkan perihal rasuah yang sudah semestinya musuh nombor satu ummah, boleh di kira sebagai mengancam keselamatan negara?

Seksyen 30 pula menyatakan hal pemberian kuasa demi membolehkan pihak polis menggeledah dan merampas bahan-bahan dan dokumen-dokumen yang disyaki menyalahi peruntukan-peruntukan keselamatan dalam negara. Daripada seksyen ini kita boleh melihat bagaimana hak asasi manusia untuk menikmati bacaan bersifat ilmiah di rampas sewenang-wenangnya. Penulis tidak fikir yang bahan yang di rampas adalah bersifat subversif atau menunjukan kelucahan. Ini kerana kebanyakan bahan-bahan yang di rampas adalah bersifat ilmiah. Sebagai contoh, ahli-ahli agama seperti Nik Adli B Nik Aziz(TAPOL-KMM), mana mungkin beliau membaca buku seperti DAS KAPITAL oleh Karl Marx. Namun, bahan-bahan di rampas kebanyakannya bahan bacaan seperti pemikiran politik Islam di rampas. Cuba di renungkan seketika, jika seseorang itu selepas di tahan selama hampir 5 tahun dan di bebaskan, kepada siapakah perlu mereka rujuk untuk menuntut semula bahan-bahan yang di rampas? Perbuatan ini sudah semestinya bersifat menghakis hak asasi manusia.

Seksyen ini juga secara automatiknya mengatasi kuasa yang di peruntukan di dalam peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966. Peruntukan seksyen 41A membolehkan menteri menghalang perlantikan mana-mana individu daripada memegang sebarang jawatan dalam sesuatu pertubuhan. Seksyen 41B pula memberi kuasa kepada menteri membuat arahan setiap satunya tidak melebihi 6 bulan bagi menutup sekolah atau mana-mana institusi pendidikan yang menjalankan kegiatan yang dianggap sebagai subversif oleh menteri. Sudah jelas bahawa peruntukan undang-undang ini bersifat menghakis hak asasi manusia kerana setiap pertuduhan masih di dalam status DI SYAKI. Bukankah dengan perintah penutupan sesebuah institusi, secara tidak langsung ia menyekat peluang pelajaran, menimba ilmu dan sekaligus menutup pintu rezki mereka-mereka yang mencari sesuap nasi di dalam institusi tersebut. Inilah salah satu daripada kezaliman ISA. Di bawah peruntukan-peruntukan khas berkenaan dengan kawasan-kawasan keselamatan untuk peruntukan seksyen 57, seksyen 53 memberi kuasa kepada menteri untuk mengambil alih dan merampas tanah dan bangunan di kawasan-kawasan tertentu. Kezaliman ISA bukan sahaja terkena kepada pihak mangsa nya, tetapi juga turut menyeret kawasan sekelilingnya. Apakah jaminan yang premis dan tanah yang di rampas itu akan di pulangkan semula kepada tuan nya?. Andai kata, tanah yang menjadi tempat keluarga mangsa mencari rezeki di rampas, apakah yang akan terjadi kepada keluarga mangsa?. Bagaimanakah mereka harus mencari mata pencarian untuk meneruskan hidup?. Sesungguhnya kezaliman ISA bukan sahaja terbatas kepada pihak TAPOL, tetapi juga turut menyeret pihak keluarga dan masyarakat sekeliling.

Menurut Seksyen 54 pula, ia memberikan kuasa kepada OCPD polis di kawasan berkenaan untuk menghapuskan ataupun mengeluarkan arahan untuk menghapuskan mana-mana bangunan yang dianggap menyalahi peruntukan-peruntukan bagi kawasan-kawasan keselamatan ini. Hujahan yang jelas ialah ia bertindak zalim dengan memusnahkan harta benda orang awam. Sedangkan di dalam perlembagaan Malaysia memperuntukan bahawa harta seseorang awam tidak boleh di rampas oleh pihak negara walau apa alasan sekalipun, namun melalui undang-undang pencegahan ISA ini, suatu tindakan kejam telah di benarkan di laksankan demi memuaskan serakah politik segelintir pihak. Bukan kah perkara ini adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi?. Dengan perlaksanaan peruntukan sebegini, secara tidak langsung masyarakat terdedah kepada despotisme yang bisa menggugat ketenteraman mereka. Apakah wajar dengan menghapuskan bangunan dan premis-premis milik seseorang dengan hanya alasan seseorang itu adalah seorang pengganas?. Sedangkan beliau hanya di dalam status DI SYAKI. Inilah di antara kezaliman yang di benarkan melalui ISA. Contoh kes ialah, kumpulan militant Malaysia, mereka di syaki sebagai pengganas yang ingin menggulingkan kerajaan secara militan, tetapi sehingga pembebasan beberapa ahlinya dari ISA, tidak pula di dedahkan di bangunan mana yang menjadi tempat perjumpaan dan menjadi tempat mereka merangka strategi menjatuhkan kerajaan.

Antara peruntukan yang paling zalim dan menyekat asas kehidupan sebagai manusia di catatkan di bawah seksyen 56. Kerana ia memperuntukan pemberian kuasa kepada mana-mana anggota polis atau mana-mana anggota keselamatan berpangkat koperal ke atas untuk bertindak merampas beras atau sebarang bahan makanan yang menyalahi mana-mana peruntukan dalam kawasan keselamatan ini. Perbuatan merampas bahan makanan sudah cukup membuktikan yang ISA menghakis hak asasi manusia. Jika seseorang itu di tahan di atas tuduhan agen negara asing contohnya, mengapakah bahan makanan pula yang hendak di rampas?. Bagaimana jika bahan makanan sebagai contoh, milik keluarga di rumah, jika di rampas oleh pihak keselamatan, bagaimana pihak keluarga mangsa hendak meneruskan hidup?. Jika di kenakan keatas pihak komunis, mungkin juga agak releven kerana kemungkinan besar untuk mengelakan bahan makanan tersebut terlepas kepada komrad-komrad yang lain, tetapi bagaimana jika seorang yang di tahan itu adalah bukan seorang komunis?, beliau adalah seorang guru agama, jadi di manakah releven nya peruntukan di atas?. Inilah yang di namakan penindasan oleh manusia kepada manusia.

Turut terkandung dalam Bahagian IV, seksyen 72 yang memperuntukkan bahawa sebarang kesalahan di bawah ISA boleh dikuatkuasakan bagi tujuan penahanan di bawah Kanun Acara Jenayah dan sebarang kesalahan terhadap peruntukan ini yang dikenakan hukuman penjara melebihi tiga tahun menurut Kanun Acara Jenayah adalah tidak boleh diikat jamin.

Terdapat seksyen yang jika ita cerap dengan teliti, secara terang-terangan melanggar hak asasi manusia dan jelas bertujuan zalim dan kejam.Ini kerana, jika seksyen 73 dengan jelas memberikan kuasa yang luas kepada polis untuk membuat penangkapan terhadap individu yang dipercayai boleh atau telah memudaratkan keselamatan negara, peruntukan di dalam seksyen 74 pula dengan jelas bertindak membolehkan pihak polis menggunakan apa jua jenis senjata yang boleh membawa maut dalam menguatkuasakan penangkapan di bawah seksyen 73(1) dan (2). Adakah peruntukan ini di dalam kebiasaan norma manusia?. Sudah semestinya ia di luar batasan manusia. Kebenaran menggunakan senjata yang boleh membawa maut di berikan kepada pihak berkuasa di dalam melakukan tangkapan?

Persoalan nya ialah bagaimana jika si tertuduh tidak bersalah tetapi telah menjadi mangsa senjata yang berpotensi membawa maut? Boleh jadi si mangsa akan menderita cacat kekal atau sebagainya. Jadi kepada siapakah harus mereka mengadu jika kerajaan sendiri pun melakukan aniaya terhadap rakyat nya? Peruntukan ini jelas menganiaya manusia dan sekaligus melanggar hak asasi manusia. Sedangkan Islam sendiri melarang di lakukan kekasaran terhadap pesalah samada sebelum atau selepas di buktikan bersalah, tetapi kerajaan yang seharusnya mewakili rakyat dengan bangga dan angkuhnya melakukan penindasan dan kezaliman kepada manusia yang menjadi rakyatnya sendiri. Ini dapat di buktikan melalui ayat quran di bawah…

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) Karena Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, Karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. ( Surah Al-Maa’idah: 8) Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, jelas bahawa perlakuan ketidakadilan adalah di larang sama sekali di dalam Islam. Jadi ini secara automatiknya, perlaksanaan ISA adalah bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam yang menitik beratkan kasih sayang sesama insan. Namun, persoalan nya ialah, jika kerajaan mendakwa sebagai kerajaan yang melaksanakan prinsip-prinsip Islam dan menjadi negara Islam contoh, mengapa masih mahu meneruskan perlaksanaan ISA yang sudah terbukti bertentangan dengan syariat Islam. Sebagai negara yang menjadi pengerusi OIC, seharusnya kita perlu bertindak menghapuskan perlaksanaan undang-undang warisan penjajah kerana ia terbukti kejam dan zalim di dalam penguatkuasaan nya dan menjadi simbol bagaimana pemikiran kita yang sudah hampir 50 tahun merdeka masih terjajah minda nya. Adalah amat memalukan sama sekali jika kita masih meneruskan perlaksanaan ISA, kerana ia membuktikan betapa kita masih bergantung kepada pemikiran warisan penjajah, walaupun bekas penjajah kita sendiri sudah tidak menguatkuasakan undang-undang ini secara membabi buta. Berdasarkan hujah-hujah di atas, sudah cukup membuktikan betapa keji nya ISA dan betapa zalim nya perilaku manusia sesama manusia yang tidak di dorong oleh panduan wahyu, kerana kita bertindak menolak wahyu.

Dengan contoh dan hujahan yang di berikan juga sudah cukup untuk membuka mata kita betapa perlaksanaan ISA ini menyebabkan banyak penindasan oleh manusia terhadap manusia, ia juga sudah cukup membuktikan betapa perlaksanaan ISA sudah tidak releven lagi untuk di aplikasikan di dalam bumi Malaysia yang tercinta. ISA adalah instrumen zalim yang di gunakan di dalam mempertahankan kemandirian puak pemerintah dan bukan atas tujuan keselamatan negara.

Kesimpulan

Internal Security Act atau di dalam bahasa kebangsaan nya di panggil sebagai akta keselamatan dalam negeri merupakan sebuah undang-undang puaka yang terlalu banyak memerah darah dan keringat pecinta keamanan, demokrasi dan Islam. Sejak perlaksanaan nya yang bermula dari 1 ogos 1960, undang-undang ini tidak pernah memilih mangsa nya. Walaupun dari sudut pensejarahan nya, ia di gubal demi mencegah pengaruh subversif komunisme di Tanah Melayu, namun sejarah juga membuktikan betapa mangsa akta ini tidak mengira ideologi perjuangan, agama dan bangsa. ISA juga tidak pernah mengira status dan kedudukan seseorang mangsa. Ini dapat di buktikan melalui penahanan Tan Sri Abdullah Ahmad yang merupakan tokoh politik di dalam UMNO. ISA juga pernah memakan mangsa yang terdiri daripada bekas naib presiden yang terkanan di dalam UMNO iaitu Aziz Ishak, ISA juga pernah meratah semangat perjuangan tokoh akademik yang memperjuangkan kebenaran dan memerangi kepalsuan seperti Dr Syed Husin Ali. ISA juga pernah di nikmati keperitan nya oleh bekas orang nombor dua di dalam negara iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau pernah merasai keperitan ISA selama dua kali.

Jika di analisis dengan teliti, kebanyakan tahanan ISA adalah terdiri daripada mereka-mereka yang bukan daripada aliran komunis. Ia terdiri daripada pelbagai samada liberal, Islamis, sosialis mahupun aktivis sosial. Melalui ISA, penindasan kejam dan zalim terjadi. Melalui ISA juga seorang suami terpisah dari isteri, ayah terpisah dari keluarga dan anak terpisah dari ibu bapa serta seorang insan terpisah dari komunitinya. Kebanyakan alasan penahanan ISA adalah bersifat politik dan bukan kerana bersifat isu keselamatan. Ini kerana undang-undang ini yang tujuan asalnya demi membanteras keganasan dan pengaruh komunis telah bertukar menjadi alat di dalam mengekalkan kemandirian golongan NINGRAT-NINGRAT pemerintah. ISA yang akan genap perlaksanaan nya selama 47 tahun pada 1 ogos 2007 ini perlu di mansuhkan. Sebelum ia memangsakan lebih ramai lagi insan yang tidak berdosa, kita perlu bertindak menghapuskan nya. Semoga tahun 2007 akan menjadi tahun terakhir kepada perlaksanaan akta zalim yang menggalakan penindasan oleh manusia kepada manusia ini.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: