jump to navigation

Renungan Dalam Ruangan Diri Julai 11, 2007

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Buzar-1

Dari ruang yang terhad dan gelap didalam rahim ibunya, bila cukup masanya maka bayi tersebut pun keluar samaada dengan rela atau tidak keruang yang lebih luas dan cerah. Bilamana tali-pusat bayi tersebut dipotong, maka secara fizikalnya, terputuslah hubungan dengan ibunya, merdeka diatas fizikal sendiri dan bermulalah tangisan.

Lalu lahir seperti kain putih lagi suci dari sebarang dosa atau corak kehidupan, hanya membawa gen yang datang dari orang tuanya.

Kini didalam ruang alam dunia yang lebih luas namun masih terikat pada titipan masa sebagaimana tempoh 9 bulan didalam rahim ibu, pastinya berlaku pertumbuhan dari usia kecilnya lalu menjadi muda, dewasa dan akhirnya tua untuk memasuki satu lagi frasa ruang yang lebih luas dan tidak terikat lagi pada titipan masa.

Disinilah orang tuanya atau yang menjaganya dan juga suasana sekitar dalam pertumbuhan diri adalah bertanggung-jawab dalam mencorakkan rupa-rentak kehidupan yang bakal dilaluinya.

Setelah meningkat dewasa, tibalah waktu untuk mencapai keseluruhan kemerdekaan keatas dirinya dan bertanggung-jawab sepenuhnya keatas segala perilaku dan pertuturannya mahupun pemikirannya.

Yakni setelah mencapai tempoh kematangannya (baligh), dipertanggung-jawabkan akan apa yang dipilih untuk dihayati seterusnya dalam menjalani kehidupan sebelum dipanggil kembali kesuatu ruang lain yang telah tersedia menanti.

Dibekalkan oleh Allah alat-alat yang membantunya seperti anggota tubuh badan sehinggalah kealat yang terpenting iaitu akal untuk berfikir, belajar, menilai dan seterusnya memilih dan lantas kerana itu juga, mereka yang tidak siuman yang tidak mempunyai alat untuk berfikir dan memilih, tidak pula akan dipertanggung-jawabkan. Selebih dari itu, diatas kelemahan sebagai seorang insan dan terbatasnya fungsi akal, Allah dengan rahmatNya sentiasa menghantar utusan-utusanNya untuk menunjukkan jalan yang seharusnya dipilih berserta berita-berita ghaib, misalnya berita alam kubur, hari pengadilan dan lain-lain.

Setiap zaman, diutuskan Allah pembimbing sehinggalah keutusan terakhir iaitu Nabi Muhamad s.a.w. Nabi Muhamad s.a.w adalah penutup pintu Nubuwat dan selepas Nabi Muhamad s.a.w, tinggallah umat seterusnya untuk berpesan dan mengingati antara sesama mereka, dan dalam mana jika umat seterusnya mengambil usaha Nabi Muhamad s.a.w, wujudlah ruang untuk umat seterusnya menjadi sebaik-baik umat manakala sebaliknya bila umat ini meninggalkan usaha Nabi Muhamad, tinggallah umat ini dalam kedukaan dan hilang hala-tujunya.

Seperti seorang yang berdayung dilautan luas tanpa bekalan dan tidak tahu kemana hendak arah hendak dituju.

Ruang kehidupan di dunia yang terikat pada titipan masa ini adalah terhad dan setiap insan yang hadir adalah sebagaimana seorang musafir, singgah kesuatu tempat dan bila sampai waktunya terpaksa meninggalkan tempat yang disinggahinya walau seindah mana pun tempat tersebut.

Jadi, yang paling utama, musafir tersebut mengetahui distinasi seterusnya tanpa leka ditempat yang disinggahinya mahupun tanpa leka untuk menyediakan bekalan untuk perjalanan seterusnya. Lazimnya juga seorang musafir akan menempuh ujian-ujian didalam perjalanannya, tetapi bila seorang musafir tahu benar hala-tuju dan distinasinya, tentunya ujian-ujian tersebut tidak menghalang azamnya untuk mencapai distinasinya. Selepas meninggalkan ruang rahim ibu dan sebelum mendatangi ruang alam kubur, ruang yang berada diantara kedua-duanya adalah ruang yang begitu penting.

Ruang inilah dimana terletaknya penentu ruang mana seterusnya yang akan dimasuki. Samaada sebagai ruang taman syurga yang penuh dengan kegembiraan, atau ruang lubang neraka yang penuh nestapa.

Ruang dalam rangka hayat didunia ini, hakikatnya terlalu singkat dan pantas berlalu, diibaratkan hanyalah seperti satu kerlipan mata jika dibandingkan dengan kehidupan seterusnya diakhirat. Atau diibaratkan seseorang membuka pintu depan rumahnya dan memasukinya, lalu berjalan kepintu belakang dan keluar melaluinya.

Namun dalam jangka yang singkat ini, ramai yang kecundang angkara hasutan syaitan dan nafsu diri. Ramai yang leka dan menganggap dia akan tinggal buat selama-lamanya didalam ruang kehidupan dunia ini, lalu mengingkari akan hari kematian yang pasti tiba. Ramai yang sanggup melakukan apa sahaja hatta berbunuhan sesamanya untuk mendapat ruang yang lebih luas dan lebih selesa didunia ini, seperti berperang dan merampas tanah mahupun harta-benda insan lain. Sanggup menipu, menghasut, berhasad-dengki serta lain-lain perkara yang bercanggah dengan perintah Allah tetapi lupa, akhirnya yang hanya didapati dari dunia ini hanyalah ruang tanah yang sebesar dirinya iaitu ruang tanah diperkuburannya.

Sebegitu juga, ramai yang terperangkap pemikirannya dalam ruang yang terbatas ini membuat jiwanya tertekan dan hidup dalam kegelisaan.

Seperti lagak seorang yang terlalu mengejar kehidupan duniawi lantas meninggalkan segala perintah-perintah Allah, melakukan apa sahaja untuk menambah hartanya dan juga bakhil sifatnya, maka akhirnya, hiduplah dia dalam kebimbangan oleh pemikirannya yang terperangkap.

Walaupun telah memiliki segala yang dihajati, namun tiada rasa kepuasan kepada apa yang dimiliki, malah dari itu, sentiasa risau apa yang dimiliki akan berkurangan. Ini juga akan seterusnya memberi kesan kepada pemikiran anak-cucunya.

Sebagaimana seorang yang hidup dalam kejahilan dan meninggalkan perintah Allah, maka pemikirannya akan sentiasa terperangkap kepada sesuatu diruang dunia ini dan menjadikan dunia ini sebagai maksud hidupnya. Terperangkap dalam pemikiran yang batil mahupun pemikiran karut dan khurafat.

Sementara seorang yang mempunyai begitu banyak pengetahuan atau Ilmu namun tiada kefahaman tentang Ilmu juga biasanya terperangkap.

Lazimnya dia akan mempunyai sifat angkuh dan menolak kebenaran biarpun telah pasti akan dia tentang kebenaran tersebut.

Hari ini, kita telah menyaksi bagaimana banyaknya kerosakkan berlaku dimana-mana angkara mereka yang mangaku berilmu dan intelektual, namun menolak jalan petunjuk dari Nabi Muhamad s.a.w. Kesan samaada dari sudut ruang alam sekitar mahupun kedalam ruang diri dari pemikiran mereka yang mengaku berilmu namun tiada kefahaman tentang ilmu, membawa lebih banyak keburukkan dan kerosakkan daripada mereka yang tidak tahu apa-apa.

Dalam ruang-ruang yang dilalui sebelum sampai keruang terakhir, adanya tempoh-tempoh yang menguasai ruang-ruang tersebut seperti tempoh 9 bulan untuk bayi yang didalam rahim ibu, tempoh zaman kanak-kanak, zaman dewasa mahupun zaman berusia tua.

Sebagaimana juga tempoh-tempoh diwaktu persekolahan, pengajian keatas sesuatu, tempoh berkerja, berladang, berniaga dan malah solat-solat fardu yang diwajibkan kepada setiap seorang muslim yang baligh juga mempunyai tempoh tertentu yang wajib dilakukan dalam ruang-ruang kehidupan seharian.

Solat Subuh ada ruang tempohnya, Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan mahupun juga Solat fardu Jumaat yang dilakukan pada hari Jumaat diwaktu Zohor.

Yang pasti, setiap ruang kehidupan yang dilalui didunia ini terikat pada tempoh-tempoh yang sentiasa berlalu pergi. Hatta makanan mahupun ubatan ada tempoh berakhirnya. Dan tiadalah yang tinggal tetap didalam ruang kehidupan didunia ini, segala yang baru akan menjadi lama dan yang hadir akan pergi kecuali Allah sahaja, yang mencipta segala-galanya.

Soalannya, bagaimanakah dapat memahami dan memenuhi tempoh-tempoh dalam ruang kehidupan didunia ini, untuk mencapai maksud sebenar kejadian seorang insan, yang mana dijadikan oleh Allah hanyalah untuk beribadat kepadaNya?

Ruang-ruang yang lazimnya insan akan merebut peluang, hanya-sanya ramai yang terlupa untuk merebut peluang untuk mendapat kejayaan yang sebenarnya diakhirat nanti.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: