jump to navigation

Isu rasuah tidak untungkan pembangkang September 1, 2007

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarIsu-isu rasuah sering muncul termasuk melibatkan pegawai tinggi kerajaan serta tokoh politik negara dan menjadi perdebatan umum tetapi ia tidak akan berjaya mengalih undi kepada pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang, kata pengamat-pengamat politik.

Rustam A. Sani, seorang cendekiawan yang dekat dengan parti-parti pembangkang, menyalahkan masyarakat yang tidak mempunyai “keberangan moral” sehingga isu-isu rasuah gagal menjadi tema utama politik berbanding isu-isu seks, agama atau perkauman.

“Tidak ada kesan. Kalau ada, sedikit sahaja,” katanya kepada mStar Online apabila diminta mengulas dampak isu rasuah terhadap pengundi.

“Perasaan marah masyarakat tidak kuat. Orang ramai anggap rasuah isu biasa. Orang fikir, ‘kalau saya ada peluang, saya akan ambil juga’.”

Menurutnya, amalan rasuah sudah terinstitusi dan “tidak memeranjatkan” orang ramai berbanding skandal seks pemimpin, misalnya tuduhan liwat terhadap bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pilihan raya umum 1999.

“Isu liwat itu memeranjatkan. Tetapi isu korupsi sudah tidak memeranjatkan,” tambahnya.

Mengulas gerakan anti-rasuah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu strategi politik menjelang pilihan raya umum 2004, Rustam berkata:

“Bagi saya, Abdullah tidak mahu dianggap sebagai penerus dasar-dasar Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu sering dituduh mengamalkan rasuah dan kronisme, khususnya oleh kumpulan reformasi.

“Mungkin gerakan ini berkesan, Dr Mahathir sudah hilang kredibiliti dalam menangani isu rasuah. Abdullah mahu divert daripada citra Dr Mahathir. Apabila wujud pertukaran kepemimpinan, maka pemimpin-pemimpin Barisan Nasional fikir perlunya mereka menekankan kempen anti-rasuah.”

Pada waktu itu, katanya, wujud harapan baru di kalangan pengundi untuk menyaksikan perubahan politik di negara ini melalui Perdana Menteri termasuk usaha membanteras rasuah, khususnya melibatkan kes-kes berprofil tinggi.

“Perdana Menteri dianggap ‘Mr Clean’. Malah di kalangan sesetengah pengundi, Abdullah dianggap sebagai seorang ulama,” katanya.

Pandangannya ini dikongsi ketua pengarang Harakah, Ahmad Lufti Othman. Bagaimanapun beliau mempersoalkan sejauh mana imej ‘Mr Clean’ Abdullah sekarang dan kempen anti-rasuahnya boleh menguntungkan BN dalam pilihan raya umum ke-12.

Menurutnya, pengundi-pengundi lebih mudah digerakkan oleh sentimen dan kegemparan, misalnya isu sigah Kadazan yang dipakai Tengku Razaleigh Hamzah, waktu itu sebagai presiden Parti Melayu Semangat 46, di saat-saat akhir tempoh kempen pilihan raya 1990.

“Isu seumpama ini lebih kuat menyentuh pengundi, berbanding isu rasuah,” tambah Ahmad Lutfi, yang pernah menulis dan berkempen tentang isu dakwaan rasuah dalam kerajaan negeri Selangor menjelang pilihan raya umum lalu.

“Kita tidak pasti (tentang isu rasuah). Yang nyata hari ini belum tentu nyata dalam tempoh berkempen. Kalau kita membaca blog atau artikel di Internet, kita memang rasa nyata isu rasuah (dan dakwaan penyelewengan kerajaan) tetapi kita tidak pasti bagaimana pengundi melihatnya.”

Seperti juga Rustam, pengarang buku-buku politik ini meletakkan kegagalan kempen isu rasuah untuk mempengaruhi pengundi di tangan parti-parti pembangkang.

“Ada jurang maklumat antara jentera parti dengan orang ramai, khususnya pengundi tradisional (yang tidak terdedah kepada teknologi maklumat),” kata Ahmad Lutfi, sambil memberi contoh, akhbar tabloid PAS yang diketuainya tidak menunjukkan sebarang peningkatan jualan walaupun cakap-cakap tentang pilihan raya umum semakin hangat.

“Misalnya dalam isu kos pembinaan Istana Negara yang baru. Harakah yang pertama membongkarnya. Daripada peruntukan RM400 juta kepada RM1.2 bilion.

“Isu-isu rasuah yang ada sudah cukup untuk mempengaruhi pengundi. Tetapi perlu dipakejkan. Kalau ada pembongkaran baru (ketika tempoh kempen), itu (kita anggap) bonus sahaja,” katanya, sambil menggesa parti-parti pembangkang melihat rasuah sebagai strategi utama kempen supaya ia dekat di hati pengundi.

“Selalunya ketika kempen pilihan raya umum, bukan pembangkang yang menyerang. BN yang menyerang, pembangkang terpaksa menjawab dan menepis. Misalnya Anwar, mungkin banyak isu yang beliau kena jawab, daripada menyerang BN.”

Rustam pula berkata: “Pembangkang belum bertemu satu cara mempakej isu rasuah. Ceramah-ceramahnya (tentang rasuah) sekadar menimbulkan kesedaran, belum sampai di peringkat kebencian. Orang ramai tidak marah. Pembangkang sekarang ini masih gagal.”

Bahayanya, tambah kolumnis terkenal ini, rasuah yang terinstitusi menjadikan masyarakat tidak kisah lagi. “Malah ada orang merasakan memang sudah menjadi ganjaran untuk orang politik, apabila berkuasa, mereka boleh mengambil rasuah,” katanya.

Ditanya tentang dakwaan rasuah yang dilaporkan melibatkan pegawai tinggi polis, Badan Pencegah Rasuah dan beberapa ahli politik BN, Rustam berkata pengundi tidak melihat isu-isu itu melibatkan Perdana Menteri atau kerajaan pimpinan Umno, sebaliknya kelemahan birokrasi dan individu tertentu sahaja.

“Kerajaan pimpinan Abdullah kelihatan neutral dalam soal rasuah pihak-pihak ini. Ia tidak endorse (menggalakkan), tidak pula bertindak keras,” katanya.

Tentang perbezaan sikap pengundi-pengundi Cina dan Melayu terhadap isu ini, kedua-dua pengamat bersetuju orang Cina sebagai peniaga dan pembayar cukai lebih serius menolak rasuah berbanding orang Melayu.

“Lagipun, orang Cina sering menganggap kerajaan itu suatu kuasa yang dipaksakan ke atas mereka. Jika kerajaan baik, mereka bertolak-ansur. Jika kerajaan itu korup, mereka akan tolak.

“Orang Melayu tidak fikir begitu, mereka anggap kerajaan BN itu ‘kerajaan kita’. Sejak zaman penjajahan Inggeris, orang Melayu rasa kerajaan mereka diketuai oleh Sultan-sultan, bukannya suatu penjajahan asing melalui residen Inggeris,” kata Rustam.

Ahmad Lutfi pula berhujah: “Pengundi Melayu umumnya bukan pembayar cukai. Mereka tidak rasa duit mereka dibazirkan (akibat penyelewengan dana negara).

“Orang Cina pula peniaga, mereka terpaksa membayar (rasuah) untuk melicinkan perniagaan. Jadi, isu rasuah dekat dengan mereka. Pengundi Melayu tidak (rasa begitu).”

Nota: Fathi Aris Omar, penulis kolum, juga seorang aktivis pro-kebebasan bersuara dan menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (Feb 2005) selain baru sahaja menyiapkan kajian tentang ‘Post-Soeharto Indonesia Public Sphere’ di Jakarta, Indonesia. Penulis pernah bergiat cergas dalam gerakan pelajar dakwah 1983-1991. Manakala, artikel ini pertama kali diterbitkan di MstarOnline pada 30 Ogos 2007.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: