jump to navigation

Faham Bahagia dan Kebahagian September 23, 2007

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Yelderin Mujahed

“Berbahagialah manusia yang ruhnya tidak kenal istirehat:
Dialah penunggang kuda pacu yang bernama waktu;
Jubah kehidupan dibuat menurut ukuran tubuhnya;
Kerana dialah yang terakhir diciptakan dan di depannya terbentang zaman demi zaman.” – Muhammad Iqbal

Iqbal – filsuf, pujangga juga pemikir kelahiran Pakistan ini telah mempopularkan satu istilah baru yakni “kalbu dalam hati” dan masa depan manusia. Istilah dan pandangan ini juga rupanya pernah diguna pakai oleh Alfa dan Omega mengingatkan saya kepada Romo Teilhard de Chardin.

Seperti Iqbal, mereka menggunakan realisme paling degil dan idealisme paling optimis, kedegilan ilmiah dengan iman paling dalam. Justeru, kalbu dalam hati itu adalah pokok bicara atas faham bahagia. Bahagia bukanlah sifat olok-olok atau sifat yang boleh dilakonkan. Bahagia itu adalah sifat ruhaniah yang kadangkala, tercermin pada jasadiah. Laksana cahaya pagi hari datang dari nyala matahari, tetapi cahaya ruh bersih dari debu sang waktu, bahagia menonjol tatkala insan mensifatkan cahaya ruh dan menafikan sifat hayawani.

Bahagia juga bukan sifat materi yang boleh dipandang dari berapa banyaknya harta dan kerapnya mengaut laba dan pemerasan dari yang kuat kepada yang lemah dan bukanlah ia, yakni bahagia itu dipandang dari miskinnya sifat badani dan jasmani insan. Adapun sifat kebahagian itu seperti yang disebut oleh Prof. Syed Naquib al-Attas:

“Kebahagian itu bukan dianya merujuk kepada sifat badani dan jasmani insan; bukan kepada diri hayawani sifat bashari; dan bukan pula dia suatu keadaan akal-fikri insan yang hanya dapat dinikmati dalam alam fikiran dan nazar-akali belaka.

Kebahagian itu merujuk kenyakinan diri akan Hakikat terakhir yang Mutlak yang dicari-cari itu – yakni: keadaan diri yang yakin akan Hak Ta’ala – dan penunaian amalan diri itu berdasar kepada keyakinan dan menuruti titah batinnya; dan keyakinan adalah suatu keadaan diri yang kekal yang merujuk pula kepada sesuatu yang kekal tentang diri insan itu – dan sesuatu yang kekal tentang diri insan itu dikenalinya dengan nazar serta pengalaman batinnya sebagai suatu hakikat ruhani bergelar kalbu. Maka kebahagian itu adalah keyakinan yang kekal mesra menetap dalam kalbu insan; dia itu keamanan dan kedamaian dan ketenteraman kalbu; dia itu ilmu, dan ilmu itu keimanan dan keadaan beriman; dia itu juga ilmu yang memberi tahu tentang tempat yang wajar dan keadaan yang tepat, keadaan yang benar dan betul bagi diri insan dalam rencana pelbagai martabat Alam Makhluk; dan tempat yang wajar serta keadaan yang tepat dan benar dan betul bagi diri itu adalah tempat dan keadaan yang bernisbah kepada Khaliqnya: suatu keadaan yang di kenali sebagai ‘adl – yakni keadilan.”

Harus jelas kebahagian betunjang keyakinan yang terhasil dari ilmu terhadap perkara-perkara yang penting dan amalam ikhlas yang bersesuaian. Amalan yang tidak bertunjang ilmu dan keyakinan tidak akan membuahkan kebahagian hakiki kerana amalan jiwa dan aqal pengamal itu dirasuki perasaan syak, zann dan waham yang memaksanya sentiasa merobah pegagangan dan amalannya. Amalan yang tidak tetap dalam ilmu tidak akan membahagiakan.

Justeru forum-forum agama perlu satu dimensi yang lebih serius untuk menyebarkan ilmu, bukan tempat pentas bicara majlis lelucon (majlis lawak jenaka) yang boleh merusakkan pemikiran pendengar. Agaknya sudah menjadi tradisi, forum agama di Malaysia ini penuh dengan lawak jenaka dan hambar dengan tepukan yang tidak ada dalil yang mengharamkannya.

Kenyataan Imam al-Ghazali, seperti juga jumhur para ulama mu’ tabar, amat tepat bahawa kebahagian hakiki adalah ilmu pengenalan mengenai Allah (ma’ rifatullah), ini disebut dalam bukunya, Alchemy of Happiness. Ertinya, ilmu pengenalan tentang diriNya yang dianugerahNya kepada Rasulullah S.A.W. melalui al-Quran dan hadis.

Dengan yang demikian, seseorang yang ikhlas akan bersungguh beramal dengan pelbagai segi kehidupannya, memikul fardu ‘ain dan fardu kifayahnya berlandaskan syariah. Dengan cara ini, seseorang itu akan mencapai kebahagiaan hakiki di dunia ini dan seterusnya di akhirat nanti. Kebahagiaan hakiki dikecapi secara kekal; tetapi tidak semestinya bebas dari sebarang penderitaan dan kesulitan.

Hubungan faham kebahagiaan sebegini membayangkan keadaan insan yang berada dalam suasana bertamadun. Maka dari itu, penyerahan dan penaklukan dirinya itu ternampak sebagai dilakukan dengan kehendak dan kerelaannya sendiri; dan manusia begini – manusia yang insaf akan hutang budi dan dayanya kepada Yang menjadikannya – bukanlah manusia liar atau biadap; dan justeru agama yang dimaksudkan itulah yang meninggikan nilai sifat kemanusiaannya.

Maka inilah sifat manusia bahagia.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: