jump to navigation

Kota Buku Oktober 28, 2007

Posted by ummahonline in Kolum.
trackback

Oleh: Fathi Aris Omar

‘Kota Buku’ asalnya oleh Karl R Popper, dalam The Lesson of this Century (2000; foto bawah), London: Routledge, bab ‘Reflections on the theory and practice of the Democratic State’, hal 65-67. Bab ini, pertama kali diterbitkan kepada umum, asalnya ucapan beliau di Munich, Jerman pada 9 Jun 1988. Diterjemahkan oleh saya** untuk Malaysiakini.com (18 Ogos 2003).

Di Athens, pasaran bebas bagi buku mula muncul sekitar tahun 530 SM; pasaran ini menjual buku bertulisan tangan dalam bentuk gulungan kertas papirus. Antara buku awal yang dijual ialah dua karya epik Homer, Iliad dan Odyssey.

Menurut tokoh falsafah Cicero [zaman Caesar–pent], kira-kira 500 tahun kemudian, Pisistratus, pemerintah diktator Athens, merupakan tokoh yang terbabit menyalin sajak-sajak Homer. Pisistratus adalah seorang pemimpin besar reformasi. Antara sumbangan besarnya ialah menubuhkan persembahan drama: yakni ia menginstitusikan kegiatan yang kita kenali sebagai ‘teater’.

Mungkin juga, dialah penerbit karya Homer yang pertama: dia mengimport dengan kapal kertas tulisan (papirus dari Mesir) dan membeli beberapa hamba terpelajar bagi menulis karya Homer. Pisistratus seorang yang kaya. Ketika menyambut perayaan tertentu, dia akan mengadakan persembahan drama dan banyak lagi kegiatan kebudayaan.

Kemudian beberapa lagi usahawan Athens turut memainkan peranan sebagai penerbit buku. Mereka tergerak untuk berbuat demikian selepas wujud sambutan hangat daripada rakyat Athens terhadap karya Homer. Setiap orang ingin belajar, setiap orang membaca karya Homer.

Dalam tempoh yang begitu singkat, karya ini dianggap semacam ‘Bible’ [kalau dibandingkan hari ini – penterjemah] dan menjadi bahan bacaan utama rakyat Athens. Kemudian, buku-buku lain juga diterbitkan.

Kita harus sentiasa ingat kegiatan menerbit tidak akan wujud tanpa pasaran buku. Adanya sesuatu manuskrip (atau hari ini, sebuah buku) di perpustakaan bukanlah bermakna adanya tuntutan pasaran; dan untuk tempoh yang panjang (kira-kira 200 tahun) Athens merupakan satu-satunya tempat di Eropah yang mempunyai pasaran buku. Corinth dan Thebes mungkin dua bandar awal yang mengikut jejak perkembangan ini.

Sebelum itu, memang ramai penyair – dan banyak juga manuskrip. Tetapi kesusasteraan (yang memerlukan institusi penerbitan) hanya berjaya muncul di Athens. Hanya di sini kita lihat bercambahnya penulis, sejarawan, pemikir politik, ahli falsafah, saintis dan pakar matematik. Tidak ramai tokoh ini, misalnya Thucydides, lahir di Athens. Tetapi bandar ini berjaya memikat mereka.

Antara tokoh luar yang berhijrah dan menerbitkan buku-buku mereka di sini adalah saintis dan juga ahli falsafah Anaxagoras dan tokoh yang lebih muda sezamannya, Herodotus. Kedua-duanya datang ke sini sebagai pelarian politik dari Asia Kecil.

Saya tidak fikir Herodatus, ketika menulis ideanya, berniat menerbitkannya tetapi Anaxagoras memang berhasrat menerbitkan karyanya dalam bidang sejarah tabii. Pada waktu itu, kedua-duanya belum pasti mengenai dunia penerbitan kerana ia baru sahaja diperkenalkan, dan tiada seorang pun boleh membayangkan perkembangan hebat [buku dan penerbitan] seperti hari ini.

Keajaiban budaya di Athens pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM), pada hemat saya, ialah penciptaan pasaran buku. Pasaran ini juga menjelaskan kemajuan demokrasi di Athens.

Tentunya tidak dapat ditunjukkan kejatuhan kerajaan zalim Hippias dari Athens dan pembinaan demokrasi kemudiannya, berkait dengan penciptaan pasaran buku, tetapi terdapat banyak perkara yang condong kepada hipotesis ini.

Seni menulis dan membaca (yang cepat merebak ke pelosok bandar ini); peningkatan populariti karya Homer dan (tidak diragui sebagai hasil) kehebatan penulis drama, pelukis dan pengukir Athens; banyak idea baru dibincangkan, dan perkembangan intelektual umumnya – semua ini fakta-fakta asas sejarah yang tidak boleh dipertikaikan lagi akibat pengaruh pembentukan pasaran buku.

Sekali pun kita boleh mengandaikan demokrasi itu boleh berkembang sendiri tanpa sokongan kemajuan buku dan pemikiran, kejayaan besar demokrasi Athens dalam perang pembebasan ke atas empayar besar Parsi, bukanlah tidak berkait langsung dengan kemajuan [idea] ini semua.

Kejayaan ini hanya boleh difahami jika kita meninjau pembinaan kesedaran diri [bangsa] yang baru di kalangan rakyat Athens, hasil kerja keras melalui warisan budaya dan pendidikan, bersama minat mendalam terhadap keindahan serta kejelasan dalam hasil seni dan susastera yang mereka usahakan sendiri.

Memang mengkagumkan apabila Gutenberg berjaya mencipta mesin cetak pada kurun ke-15, dan kemudian bermula penyebaran meluas pasaran buku, memberi dampak budaya yang sama [seperti pasaran buku Athens] – apa yang kita kenali sebagai gerakan humanisme (era Renaissance).

Semua bidang seni bercambah apabila nafas baru meresap dalam kesusasteraan Zaman Lampau. Sains tabii yang baru pun muncul, dan di England gerakan Reformasi mengakibatkan dua revolusi besar – satu yang berdarah pada 1648-49 dan satu lagi damai 1688 [dikenali ‘Revolusi Gemilang’] – yang akhirnya membentuk sistem pemerintah berparlimen ke arah demokrasi [seperti yang kita kenali hari ini].

Dalam kes Eropah ini, kita boleh nampak jelas hubungan antara kemajuan buku serta pemikiran dengan perkembangan demokrasi.

** Disediakan sebagai sambungan siri artikel saya tentang buku dan perubahan budaya serta politik; ia dimulakan dengan artikel Negara Islam, negara sekular atau ‘negara buku’? (11 Ogos 2003) dan Aktivis Malaysia tidak cintakan buku (22 September 2003).

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: