jump to navigation

Menerima Perintah Tahanan Dua Tahun ke Kamunting November 29, 2007

Posted by ummahonline in ISA, Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Peristiwa yang Berlaku Secara Mengejut

Selepas penahanan anda di bawah kuasa polis mencecah ke hari yang ke lima puluh, bila-bila saja anda akan dihantar ke Kem Kamunting. Biasanya ia akan berlaku secara tiba-tiba dan mengejut. Namun jika anda seorang aktivis yang peka, anda akan dapat membaca daripada kata-kata pegawai-pegawai penyiasat bahawa agak pasti anda akan dikenakan perintah tahanan dua tahun di Kem Kamunting.

Sebaik sahaja anda melangkah ke dalam Kem Kamunting dan anda yakin dengan apa yang anda perjuangkan, maka tanamkan pada diri anda bahawa anda hanya ditahan di atas sebab-sebab kepercayaan politik dan kegigihan anda untuk mendedahkan kepada rakyat tentang penyelewengan pemerintah.

Teguhkanlah dalam diri anda bahawa penahanan anda adalah tidak sah dan semata-mata bermotifkan politik. Laungkan seruan dan keyakinan ini sekuat-kuatnya kepada seluruh dunia melalui saluran yang ada.

Saluran untuk anda berhubung dengan dunia luar amat luas walaupun sudah pasti saluran ini akan cuba disekat oleh pihak KEMTA, di atas arahan pihak atasan!!

Terus Tanamkan Semangat untuk Menuntut Hak Anda Sebaik Saja Anda Tiba di Kem Kamunting

Tanamkan semangat bahawa KEMTA adalah medan baru untuk anda meneruskan perjuangan anda menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

Buang jauh-jauh dakwaan bahawa anda dihantar ke Kem Kamunting bagi tujuan pemulihan diri anda. Semua itu karut.

Pihak yang perlu pemulihan adalah pihak yang menyalahgunakan kuasa memisahkan anda daripada isteri dan anak-anak tercinta serta memenjarakan anda. Mereka yang perlu pemulihan, bukan anda!

Dari hari pertama anda di Kem Kamunting lagi, tuntutlah hak anda secara tegas daripada pihak penjara.

Mintalah sekurang-kurangnya dua perkara yang amat mustahak. Pertama, minta mereka menghubungi keluarga anda bahawa anda ditahan di Kem Kamunting dan minta mereka melawat anda. Kedua, buat aduan bahawa anda telah melantik peguam anda untuk menemui anda di Kem Kamunting.

Ingat bahawa hak anda mendapat khidmat peguam pilihan anda adalah hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya pihak kem menghalang atau melengah-lengahkan anda daripada mendapat khidmat peguam, cepat-cepat sampaikan kepada keluarga anda agar keluarga anda boleh meyakinkan kepada Majlis Peguam, badan-badan hak asasi manusia seperti SUARAM dan HAKAM serta kepada GMI (Gerakan Mansuhkan ISA).

Jika hak anda terus dihalang oleh pihak kem, anda mesti terus membuat bising dengan membuat aduan polis (melalui keluarga anda) dan sidang media di luar melalui keluarga anda atau badan-badan yang disebutkan di atas. Saya percaya, pihak kem tidak berani ke tahap itu menghalang anda daripada mendapat hak anda bertemu dengan peguam-peguam anda sekiranya anda buat bising dan melawan.

Sebaliknya, pihak kem akan amat selesa jika anda duduk diam, tak melawan dan mendengar dongeng mereka sepenuhnya.

Mintalah keluarga anda melawat sekerap yang mampu. Lawatan dibenarkan setiap minggu.

Pertemuan sebulan sekali atau sekali dalam tempoh dua bulan, sekurang-kurangnya akan membantu anda terus mengikuti perkembangan di luar dan dengan itu dapat mengekalkan kesegaran anda terhadap idealisme dan prinsip-prinsip perjuangan anda.

Manfaatkan Pertemuan dengan Peguam untuk Berhubung dengan Perjuangan Rakan-rakan dan Keluarga di Luar

Pertemuan dengan peguam sewajarnya dimanfaatkan seluas-luasnya bukan hanya bagi tujuan yang berkaitan dengan urusan habeas corpus, tetapi segala urusan anda sebagai individu yang sepatutnya bebas.

Ingat, penahanan anda adalah tidak sah, oleh itu sepatutnya anda berada di luar. Oleh itu anda berhak berbincang apa-apa sahaja dengan peguam anda.

Pertemuan anda dengan peguam-peguam anda akan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai pengawal kem.

Sepatutnya mereka hanya hadir melihat tetapi tidak mendengar. Jika terdapat mana-mana pegawai atau pengawal yang cuba menyibuk mendengar-dengar dan mengganggu pertemuan anda dengan peguam anda, buat bantahan pada masa itu juga.

Jika mereka berkeras untuk mendengar perbincangan anda dengan peguam-peguam anda, tamatkan pertemuan itu.

Mintalah peguam anda pulang dan anda pun segeralah pulang ke blok anda.

Tetapi jangan lupa minta peguam-peguam anda membuat aduan polis, membuat kenyataan akhbar memanggil agensi-agensi media kerajaan, alternatif dan antarabangsa untuk merakamkan pencabulan hak anda oleh kem.

Minta juga kepada peguam dan isteri anda agar menghantar memorandum bantahan kepada SUHAKAM.

Jangan Duduk Diam Tidak Melawan

Ingat, sebagai tahanan ISA yang telah dicabul hak kebebasan anda, hak ini akan berterusan dicabul jika anda duduk diam dan tidak melawan.

Tegakkan hak anda dengan membuat ‘bising’. Tetapi ‘buat bising’ yang profesional melalui saluran peguam dan badan-badan hak asasi tempatan dan antarabangsa.

Selain daripada lawatan keluarga dan pertemuan dengan peguam secara berkala, gunakanlah kesempatan untuk menulis surat kepada keluarga yang diperuntukkan seminggu sekali oleh pihak kem.

Mintalah juga isteri, anak-anak dan kaum keluarga anda berutus surat kepada anda sekerap yang mampu kepada anda. Namun, dengan berlalunya masa, tindakan anda menulis surat kepada isteri dan anak-anak setiap minggu adalah besar maknanya kepada diri anda dan kepada keluarga anda.

Ini kerana anda secara berterusan dapat mengkomunikasikan cita-cita, prinsip dan idealisme kehidupan dan perjuangan anda agar dapat dikongsi oleh isteri dan anak-anak.

Meyakini bahawa anda tidak keseorangan dan idealisme perjuangan anda didukung dan terus diperjuangkan adalah penawar yang amat mujarab sepanjang tempoh penahanan anda.

Mengetahui isteri, anak-anak, keluarga serta rakan-rakan terus berjuang, membuat bising, melawan dan tidak mahu tunduk kepada kezaliman yang dilakukan kepada diri anda pasti mampu meningkatkan kekentalan anda dalam meneruskan perjuangan anda.

Jangan Sekali-kali Ditipu oleh SB

Namun anda akan mengetahui terdapat juga di kalangan rakan-rakan anda yang amat ‘beriman’ dengan tipu muslihat SB bahawa lagi lawan lagi lambat bebas.

Menurut mereka, kalau duduk diam-diam, tak melawan dan tak buat bising, nanti anda akan cepat bebas. Karut!

Namun anehnya terdapat tidak sedikit pemimpin-pemimpin dan aktivis-aktivis gerakan Islam dan NGO yang amat beriman dan percaya dengan dongeng ini.

Lupakah mereka prinsip amar ma’aruf wa nahi munkar? Lupakah mereka kisah Nabi Yusuf di dalam Al-Quran?

Lupakah mereka mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabah dalam mengemukakan kebenaran?

Lupakah mereka Sayyid Qutb dan Al-Mawdudi lebih rela memilih tali gantung daripada berganjak mengiakan dan bersekongkol dengan pendustaan dan kezaliman?

Lawan Tetap Lawan

Ingat! Lawan tetap lawan! Sekiranya anda letakkan landasan anda melawan di atas prinsip amar ma’aruf wa nahi munkar, insya’ Allah setiap tindakan yang anda ambil untuk melawan kebatilan dan kezaliman, setiap detik yang berlaku anda akan berada di bawah rahmat dan keredhaan Allah.

Berimanlah bahawa ganjaran Allah menanti anda.

Oleh itu, lawan tetap lawan! Kerana lawan memberi pahala sebagai amal anda di sisi Allah, insya’ Allah.

Jika Allah anugerahkan kebebasan dengan sebab anda melawan itu, alhamdulillah.

Jangan tertipu dengan ungkapan : “apa dapat kalau lawan?, lawan pun tak bebas-bebas juga!” Sebagai muslim yang mu’min, mendukung prinsip amar ma’aruf wa nahi munkar adalah satu kewajipan.

Melaksanakannya adalah ibadah yang diganjari oleh Allah. Terkorban dan menempuh kepayahan dalam melaksanakannya adalah satu kemuliaan.

Selain daripada lawatan keluarga, pertemuan dengan peguam dan berutus surat, terdapat sekurang-kurangnya tiga lagi saluran untuk anda melebarkan suara perjuangan anda.

Tiga saluran ini adalah pertemuan berkala dengan pegawai-pegawai SB dari Bukit Aman, Kuala Lumpur, sesi representasi dan ulangkaji di hadapan Lembaga Penasihat dan pertemuan dengan pesuruhjaya SUHAKAM.

Lembaga Penasihat

Dalam tempoh tiga bulan pertama anda di Kem Kamunting anda akan diminta bertemu dengan Lembaga Penasihat.

Sesi pertama ini anda diberi peluang untuk mengemukakan representasi anda. Selepas itu, setiap enam bulan anda akan bertemu lagi dengan Lembaga Penasihat, kali ini dinamakan sesi ulangkaji.

Lembaga Penasihat tidak lebih satu permainan dan sandiwara pemerintah dalam menguatkuasakan undang-undang zalim ISA.

Lembaga Penasihat tiada sebarang kuasa.

Ingat, anda adalah tahanan politik! Tidak ada keputusan selain daripada keputusan yang dibuat berdasarkan pertimbangan politik yang boleh membebaskan anda.

Namun, rebutlah sesi-sesi representasi dan ulangkaji ini untuk mengkomunikasikan pandangan, hujah-hujah dan idealisme perjuangan anda kepada dunia luar dengan sekaligus mendedahkan kezaliman dan tipu dusta undang-undang ISA.

Janganlah merayu agar anda dibebaskan oleh Lembaga Penasihat. Mereka tidak punya apa-apa kuasa.

Sebaliknya, tegaskan kepada mereka bahawa penahanan anda adalah tidak sah dan semata-mata bermotifkan politik.

Pada masa yang sama tulislah sepenuhnya pengalaman anda dianiayai oleh pegawai-pegawai penyiasat semasa soal-siasat 60 hari untuk ditatap oleh dunia luar.

Lembaga Penasihat hanya jambatan yang menghubungkan dunia luar dengan pena dan catatan pengalaman anda.

Selepas satu atau dua minggu bertemu dengan Lembaga Penasihat, janganlah terkejut apabila anda menerima sepucuk surat daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri) menyatakan dukacita ‘rayuan’ anda untuk dibebaskan adalah ditolak dan dengan itu penahanan anda diteruskan!!

Ingat, tujuan mereka adalah untuk mematahkan semangat anda. Ambil saja surat itu dan jangan tanda tangan apa-apa.

Sekiranya pihak kem memaksa anda untuk menanda tangan penerimaan surat tersebut, katakan kepada pegawai kem yang bertugas bahawa anda akan berbincang perkara ini dengan peguam anda.

Apa yang penting, jangan turunkan tanda tangan anda dalam mana-mana urusan penerimaan surat seperti ini!

Pertemuan dengan SB

Biasanya sebelum sesi pertemuan dengan Lembaga Penasihat yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai SB, beberapa minggu sebelum sesi pertemuan dengan Lembaga Penasihat, beberapa pegawai SB akan datang ke kem untuk menemui anda.

Tujuan mereka adalah untuk mengetahui keadaan anda lebih awal daripada ahli-ahli Lembaga Penasihat sendiri. Dengan ini dapatlah mereka, kononnya membuat persediaan awal.

Jangan khuatir, pegawai-pegawai SB itu tidak ada apa-apa kuasa. Anda adalah tahanan politik. Apa-apa cadangan daripada SB kalau ada pun, tempat yang pasti bagi cadangan-cadangan SB ini adalah dalam bakul sampah di KDN.

Oleh itu kalau anda tidak mahu membuang masa anda yang amat berharga di Kem Kamunting, tidaklah perlu anda bersusah payah membuang masa untuk bertemu dengan pegawai-pegawai SB dari Bukit Aman ini.

Namun sekiranya anda ingin mengasah bakat anda membelasah dan menghentam dasar-dasar pincang dan penyelewengan pemerintah, salah guna kuasa oleh polis dan SB serta kezaliman ISA, maka pegawai-pegawai SB itu adalah tempat yang paling sesuai untuk anda melaksanakan tugas ini!

Temuilah mereka dan ambillah peluang anda membebel dan berleter dua tiga jam di hadapan mereka!!

Pertemuan dengan SUHAKAM

Kehadiran SUHAKAM kini membuka satu lagi medan untuk anda melebarkan prinsip-prinsip perjuangan anda. Gunakan peluang untuk bertemu dengan pesuruhjaya-pesuruhjaya dari SUHAKAM.

Tetapi ingat, anda ditahan secara tidak sah. Anda ditahan tanpa perbicaraan. Anda dizalimi kerana hak-hak anda membela diri telah dirampas oleh ISA.

Oleh itu apabila bertemu dengan SUHAKAM, tumpukan kepada isu hak asasi manusia yang paling utama, iaitu penahanan anda yang dilakukan tanpa bicara. Desak SUHAKAM untuk membela anda membuat pendirian perihal hak asasi anda yang telah dicabul, iaitu kebebasan.

Ketepikan perkara-perkara sampingan seperti keadaan tempat tinggal, makan minum, lawatan keluarga, kemudahan belajar dan seumpamanya.

Ingat, apalah ertinya mendapat layanan lima bintang sekalipun terhadap perkara-perkara yang berkaitan keadaan tempat tahanan anda, sedangkan kebebasan anda tetap dirampas daripada anda.

Oleh itu apabila berhadapan dengan SUHAKAM, fokuskan kepada perkara prinsip, iaitu penahanan tanpa bicara — dan bukan kepada perkara-perkara sampingan.

Manfaatkan Kehidupan Anda di Kamunting untuk Terus Menjadi Seorang Pejuang

Manfaatkan sepenuhnya masa anda di Kem Kamunting untuk meningkatkan kekuatan mental, fizikal dan spiritual anda. Perbanyakkan solat malam, tilawah Al-Quran, zikrullah, puasa sunat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.

Di segi fizikal dan kesihatan ambillah kesempatan mana yang ada untuk bersenam dan bersukan. Inilah masanya menyelamatkan diri anda daripada ‘pencemaran’ makanan yang terpaksa dialami oleh orang-orang bebas di luar di atas sebab pemakanan yang terlalu berlebihan dan kurangnya riadah dan bersukan.

Di segi mental bacalah sebanyak yang mungkin. Letakkan sasaran sekurang-kurangnya selesai membaca seratus buku dalam setahun.

Jika anda bercadang menyambung pelajaran maka itu adalah satu perkara yang baik. Namun memberi tumpuan tenaga dan masa yang ada untuk meneruskan perjuangan anda dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, bagi saya, adalah jauh lebih utama daripada mendapat PhD, sekurang-kurangnya sepanjang tempoh tahanan ini.

Lainlah jika kajian PhD anda secara langsung relevan dengan apa yang anda perjuangkan sepanjang tempoh anda berada dalam tahanan.

Sebagaimana anda berharap dan berdoa tidak dihantar ke Kamunting semasa anda berada di bawah penahanan polis selama 60 hari, anda juga pasti berdo’a dan berharap agar tempoh tahanan anda tidak disambung selepas perintah tahanan dua tahun yang pertama selesai. Teruslah berdo’a.

Namun, buatlah agenda persediaan kemungkinan perintah tahanan dua tahun disambung lagi oleh Menteri Dalam Negeri.

Apapun yang terjadi, jika anda yakin anda adalah seorang tahanan politik, maka “Lawan tetap Lawan”.

Komen-komen»

1. ABDUL HALIM - Jun 17, 2008

info yang amat berguna..!


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: