jump to navigation

Hadiah Agama Januari 12, 2008

Posted by ummahonline in Editorial, Kolum.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Apakah hadiah yang agama berikan kepada kita?

Entah? Barangkali ada yang akan menghempas begitu. Namun, tentunya—pada sebilangan orang—agama mampu membimbing manusia; mengatur cara hidup manusia; dan mengembalikan manusia pada fithrah. Tapi, mungkinkah dalam waktu yang sama agama dapat membingungkan kita, atau terlebih lagi akan membosankan kita?

Yang mahu diberikan oleh agama itu sebenarnya apa? Dan, apakah tanpa agama kita akan benar-benar akan merasai kehilangan sesuatu? Jika ditanya pada para agamawan tertentu, barangkali habis-habisan mereka akan menegaskan keperluan hidup beragama. Agama, pada mereka lagi, adalah tujuan kehidupan yang menghadirkan kebahagiaan hakiki.

Sejenak difikirkan, memangkah di akhir agama itu merupakan kebahagiaan, atau dalam kata lain, sebentuk kepuasan? Itukah hadiah terbesar yang agama boleh anugerahkan kepada umat bertuhan? Apakah begitu berani untuk kita memutuskan; Sartre, Dawkins, Hawking, Weinberg dan lain-lain itu pasti tidak akan meraih kebahagiaan?

Benar, barangkali ada agamawan yang akan menambah lagi—bahawa kebahagiaan para mulhid tersebut bukanlah sesuatu yang hakiki. Kebahagiaan demikian, katanya adalah ilusi atau sementara. Tapi, apa sukatan untuk kita mengukur sesuatu kebahagiaan yang sebenar-benarnya? Dan, mahu dinisbikan kepada apa rasa kebahagiaan itu? Apakah nisbi itu bersifat sekata dan universal?

Mungkin ada yang lupa. Atau mungkin ada juga terlepas pandang. Kita maklum, Bhutan bukan sebuah negara Islam. Sebaleknya Bhutan diketahui antara negara yang dalam kelas mundur, tapi akhirnya melalui kajian Gross National Happiness, Bhutan telah muncul sebagai sebuah negara yang paling bahagia di dunia. Jadi, di mana Islam di Bhutan?

Begitu juga Richard Dawkins, dalam The God Delusion menegaskan bagaimana keyakinan dan kepercayaannya bahawa kehidupan seorang mulhid itu seharusnya lebih ria serta teruja secara intelektualnya berbanding kehidupan beragama. Agama, bagi Dawkins lagi adalah “merendahkan sains dan melemahkan intelek.” Dan, jangan aneh, Dawkins ternyata benar-benar menjiwai betapa nikmatnya kehidupan bila Tuhan dapat di-nyahilusikan.

Nah, mungkinkah contoh ini dapat menunjukkan bahawa agama kini tidak boleh lagi diserangkai dengan kebahagiaan semata-mata? Dalam sesetengah jalur, atau dalam sebahagian mazhab rentas agama, ada yang menawarkan jalan keluar yang berbeza: cinta! Dalam tradisi ini, inilah kosakata yang paling berkuasa, dan paling mempersona. Fekah sekalipun tidak mampu menumpaskan cinta. Cinta bukannya labirin, tapi adalah matlamat pada rasa manusiawi kita.

Para pencinta, atau mereka yang bermazhab cinta ini, pasti akan mendahulukan rasa mahabbah berbanding faham idealogi masing-masing. Kalau ada yang membaca Love of God: A Sufic Approach, tentu ada yang terkesan bagaimana Mir Valiuddin menunjukkan akar kata Allah.

Menurut hemat Vali’uddin, kata Allah dari bahasa Arab adalah berasal dari walaha, dan makna walaha ini antaranya bererti kecintaan dan kerinduan sepertimana yang dirasakan oleh seorang ibu kepada anaknya. Itulah tamsilnya kedashyatan cinta yang terbina dari nama Tuhan!

Khaled Abou El Fadl turut begitu. Dalam The Great Theft: Wrestling Islam from the Extremists, Abou El Fadl menghimbau keperian semangat cinta. Pernah sewaktu ia ditanya dalam kuliahnya oleh pelajar bukan-Islam tentang apakah nilai-nilai moral yang paling ketara dalam Islam, maka pantas saja ia memileh ungkapan; “kaseh sayang, cinta dan kedamaian” sebagai adi-nilai yang harus dihargai dalam rakaman tradisi Islam.

Meladeni cinta ini tentunya juga akan membawa kita pada ajaran kaseh sayang Nabi Isa as semenjak berabad-abad yang lalu. Bayangkanlah, andai tiada cinta, makalah hilang seri agama tersebut. Malah, mana-mana agama sekalipun memerlukan cinta sebagai keindahannya. Andai kalangan yang percaya pada Tuhan hidup saling mencintai, maka taasub idealogi pasti tidak lagi mempunyai tempat. Memang, “Tuhan adalah kaseh; Tuhan adalah cinta.”

Cinta, adalah pemyembuh bagi segalanya. Duka, pingin, bahkan dendam sekalipun akan surut dalam sebuah dakapan cinta. Cinta ada di mana-mana. Memiliki cinta akan menghiasi kita dengan kehalusan jiwa terhadap sebarang unsur kewujudan. Kita akan diajar untuk lebih menghargai ontologi, serta mengenang bahawa semuanya adalah sama-sama kejadian. Teringat kita pada sebuah rangkap pilihan Jalaluddin Rumi yang getarannya tidak lekang hingga saat ini:

“Sejak kudengar tentang dunia Cinta
Kumanfaatkan hidupku, hatiku
Dan mataku di jalan ini
Aku mengira bahawa Cinta
Dan yang dicintai adalah berbeza
Kini aku mengerti bahawa keduanya sama.”

Tentu sekali, mengapai cinta, adalah satu tujuan kesempurnaan. Lantas, ada pertanyaan yang menghambat, ada apakah pada sebuah idealogi berbanding dengan sebuah cinta? Ternyata, idealogi mana-mana pun tidak lebih dari cinta. Cinta lebih menawari kemanusiaan. Kerana, kadang-kala tampaknya taasub idealogi seperti kian mahu mengugat rasa manusiawi kita—hingga mencipta paksaan kemutlakan.

Kita sudah ada pilihan lain. Mazhab cinta yang alih-alih mengajar kita; menyayangi semua mazhab; menyayangi semua agama; bahkan turut senang dalam menyayangi mereka yang mulhid sekalipun. Selagi ada nama cinta, di situlah agama bersemi. Selagi ada nama kaseh sayang, maka di situlah hamburan kata-kata “sesat” menjadi terlarang.

Sememangnya hadiah agama adalah cinta. Cinta dan agama adalah berdampingan. Kalimah cinta yang diracik ini bukan atas nama “kerana” tetapi atas nama “walaupun”; l’amour n’est pas parce que mais malgre. Jika tidak, mereka yang taasub idealogi secara tidak sedar lebih senang untuk bertarung dengan Tuhan, bukan lagi membela Tuhan—yang sungguh kaya dengan warna-warni cinta-Nya!

Jadi, mampukah—meskipun sesaat—bagi mereka ini (agamawan tertentu) untuk mengalahkan kebesaran cinta Tuhan pada makhluknya? Sedangkan Imam Ali Abi Thalib dalam awalan du’a Kumayl-nya melantunkan; warahmati wasi’at kulla syay; dan kaseh sayang Tuhan itu meliputi segala sesuatu.

Dan, barangkali du’a tersebut tidaklah memadai. Tidak terelak, ada saja yang resah. Gelisah keriuhan. Tapi, bukankah juga maseh ada hadith qudsi: “Aku adalah khazanah terpendam. Aku cinta (hubb) dikenal, maka Aku ciptakan makhluk.” Kini, apakah mereka harus bising lagi—sembari menjaja idealogi usang secara taasub?

Komen-komen»

1. la_abwa - Januari 12, 2008

ya aqil,

Sakit otot2 kepala ku membaca rencana mu :)
Cinta itu hadiah agama?
makanya semua agama ada cinta
makanya semua agama sama?
begitukah ya aqil?.

Apakah tuhan (Allah) perlukan cinta atau perlukan mahluq?
Tidak dijadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaNya. Agama (hanya Islam) adalah hadiah kepada manusia dan jin. Bagi mereka yg menerima Islam sebagai ad-din surga adalah hadiahnya.

Kalau hakikat Islam sebagai the only din (agama) di sisi Allah masih diragui, makanya tak usah menerawang mencari kebenaran dlm kitab2 lain selain al-qur’an. . Hafaz dulu al-qur’an , ia ada jawapannya.

ya Aqil ,
ku hadiahkan kepada mu al-qur’an
tiada keraguan padanya
itulah jalan yg benar.
wassalam..

2. aqil fithri - Januari 13, 2008

salaam la_abwa,

saket otot2? hehehe

tulisan ini terbuka untuk penafsiran, kerana ia sememangnya dibikin dengan sarat makna yang tersirat. tentu terpulang bagaimana pembaca menerap. tapi satu hal yang harus kita terkesan ialah anjuran hadith, “tidaklah beriman seorang kamu selagi dia tidak mengasehi saudaranya sepertimana dia mengasehi dirinya.”

dan, makna saudara dalam sabda ini tentunya bukan saja terbatas dalam konteks tawhid semata-mata; ia boleh jadi saudara dalam iman, atau saudara dalam kejadian, ataupun saudara dalam makhluq.

cuma tentang bagaimana cara untuk kita mengasehi sesama makhluq, itu kemudian yang bakal menjadi persoalan berikutnya. kerana cara kita mengasehi raja yang zalim bukannya dengan mengangguk-anggukkan segala kata2nya. tidak begitu?

tentang al-qur’an, saya tidak ada keraguan. tapi yang barangkali kita ragukan ialah penafsiran2nya. dalam rentangan masa, sudah berapa banyak versi tafsiran yang dihidangkan pada kita. tapi, kita tidak pernah ada penyelesaian muktamad bukan?

hehehehe… best gak menulis ulasan dalam wordpress nih!

3. la_abwa - Januari 13, 2008

Ya aqil,

Bagi mana anda bisa menafsir makna ‘saudara’ itu sebagai tidak terbatas kpd kontek tauhid semata2? Hadis dan al-qur’an tak mungkin berlaga maksud. Contohnya hubungan Rasulullah dgn pamannya Abu Talib bukan shj kasih sayang malah kekeluargaan yg rapat. Dibolehkan berkasih sayang tapi tak boleh mendoakannya. jd tetap terbatas cinta kasih kerana berbeza iman/aqidah.

Coba lihat maksud ayat Surah Al-Qasas, ayat 56 mafhumnya “SESUNGGUHNYA engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”

Dalam al-qur’an lebih banyak ayat muhkamat dari yg mutasaybihat. lebih banyak yg qat’ei dari yg syak. Kita disuruh bertanya kpd org yg lebih berilmu (ulama) dalam hal tafsiran. Innadina indallahil Islam.Tak ada keraguan dan tak ada perbezaan tafseer pada ayat itu.

Jadi hadiah agama Islam tak sama dgn hadiah agama lain. allahu’aklam.

sebagai selingan mari kita baca petikan di bawah ini yg saya terjumpa semasa bersantai di internet baru2 ini: Apa agaknya beza pemahaman org beragama lain dgn yg beragama Islam?

**Salam.
Saya beragama Hindu, sarjana teknik sipil, personal, hobby saya olahraga (saat ini tennis – hanya untuk menjaga kesehatan). Dalam pekerjaan saya senang mendalami teknologi informasi yg berkaitan dengan pekerjaan, saya juga senang membaca.

Sebagai manusia yang penuh dengan kekurangan dan ketidak-berdayaan saya juga selalu berusaha meningkatkan pengetahuan agama, iman dan ketaqwaan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Dengan mengenali kebesaran-Nya, mempelajari hubungan yang harmoni antara manusia dengan Tuhan, manusia dengan alam, manusia dengan manusia, maka saya ingin hadir ditengah saudara-saudara saya disini, ingin mengerti bagaimana diri saya diantara semua, karena saya meyakini tujuan yang sama, namun cara yang berbeda.

Namun sebagai manusia , makhluk yang dianugerahi kemampuan untuk mengenal yang baik dan tidak baik maka tentulah kita akan selalu berusaha memilih yang baik untuk diteruskan menjadi bekal perjalanan hidup kita menuju harmoni kehidupan yang seimbang jasmani-rohani, dunia dan akhirat.

di petik dari http://forum.swaramuslim.com/more.php?id=4086_0_29_180_M
**

4. aqil fithri - Januari 21, 2008

salaam,

la_abwa yang baek, walaupun dikatakan terbatas, tapi Nabi dan pamannya maseh lagi bersaudara secara manusiawi, kan?

jadi, dalam apa2 aspek sekalipun, semua manusia ada hubungannya. cuma, yang membezakannya adalah konteks sahaja.

bersaudara dalam erti tawhid tidak bermakna memadamkan persaudaraan dalam erti kemanusiaan…

5. La_abwa - Januari 22, 2008

wsm wmt,

Aqil, apa2 pun jangan sampai ada yg mengikut jejak siti Aisyah yg menukar agama kerana cinta.

6. aqil fithri - Februari 11, 2008

salaam,

ya la_abwa,

ingat kita pada kata Rumi, “barangsiapa yang menjadi mangsa Cinta, mana mungkin dia menjadi mangsa kematian?” :-)


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: