jump to navigation

Mengenang Revolusi Islam Iran Februari 10, 2008

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Omar Abdul Aziz

11 Februari adalah ulang tahun Revolusi Islam di Iran. Revolusi itu telah mencorak kebangkitan dan gerakan Islam abad ke-20. Kini dunia berada pada awal abad ke-21.

Maka, dapatlah dibuat penilaian kejayaan dan kegagalan Revolusi Islam kepada dunia Islam. Tetapi pokoknya, ia telah memberikan pengaruh besar kepada pergerakan Islam sedunia. Walaupun Revolusi Islam itu diketuai oleh Ayatullah Ruhollah Khomeini, tetapi ia merupakan pergerakan yang telah diberi sumbangan oleh banyak tokoh, baik dalam bentuk pemikiran mahupun tindakan. Tentunya pemikiran Ali Shari’ati, umpamanya turut memberi sumbangan kepada Revolusi Islam itu.

Nilai utama revolusi itu, seperti mana revolusi-revolusi moden terdahulu ialah penolakan terhadap penindasan serta pembebasan rakyat. Dan revolusi ditakrifkan dalam pelbagai bentuk.

Tetapi untuk tujuan perbincangan di sini, revolusi yang dimaksudkan adalah revolusi politik yang kemudian membawa kesan kepada semua segi kehidupan masyarakat termasuk ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain. Untuk memahami perspektif perbincangan, dalam dunia moden, terdapat tiga revolusi utama iaitu Revolusi Perancis pada kurun ke-18, Revolusi Russia pada tahun 1917 dan Revolusi Iran pada tahun 1979.

Revolusi Perancis yang menjunjung demokrasi mempengaruhi Revolusi Russia. Sementara Revolusi Russia yang menjunjung sosialisme turut mempengaruhi Revolusi Iran. Tetapi tentunya, paling istimewa bagi umat Islam ialah Revolusi Islam Iran. Persamaan revolusi-revolusi itu adalah perjuangan kesaksamaan untuk rakyat. Konsep membebaskan manusia daripada penindasan golongan elit merupakan tema kepada revolusi itu.

Namun begitu, Ali Shari’ati, seorang intelektual berjaya merangkumkan semangat kerakyatan moden dalam perjuangan Revolusi Islam dengan meletakkan konsep Shi’ah Merah, iaitu agama yang memperjuangkan kepentingan rakyat dalam menentang rejim Shah Iran.

Tetapi Ayatullah Khomeini sebagai seorang ulama menyempurnakan fahaman ini apabila gagasan Wilayatul Faqih meletakkan Revolusi Islam di Iran di tempat yang kukuh sebagai asas perjuangan rakyat dalam konteks politik gerakan islam sejagat dalam era moden.

Semangat perjuangan pembebasan rakyat inilah yang menjadi inti kepada gagasan Kepimpinan Ulama dalam PAS pada tahun 1982, yang kemudiannya merubah parti ini sebagai sebuah parti politik kepada gerakan Islam yang revolusioner. Revolusioner di sini bermaksud bukan mahu melancarkan revolusi berbentuk keras tetapi revolusi yang mengubah minda, budaya dan politik di negara ini.

PAS saat itu yang dipimpin oleh Yusof Rawa dan Fadzil Noor menjadi wadah kepada semangat perjuangan barunya. Dengan semangat itulah, PAS menyertai pilihan raya tahun 1986. Inilah dia semangat 1986. Kini bolehlah dibuat penilaian tentang apa yang berlaku pada tahun 1986, mengenai kejayaan dan kegagalan semangat yang disalurkan oleh Revolusi Islam Iran ke dalam PAS.

Tetapi untuk memahami inti fahaman Revolusi Islam yang turut diterima oleh PAS, maka wajar pula membahaskan konsep Mustadhafiin dan Mustakbirin. Istilah-istilah ini digunakan oleh Ayatullah Khomeini.untuk menggambarkan golongan tertindas, dan golongan yang menindas.

Dari sudut antarabangsa, Mustakbirin adalah Amerika Syarikat (AS) dan Mustadhafiin adalah negara-negara yang ditindas termasuk Iran . Tetapi maksud Mustakbirin adalah golongan takbur sementara Mustadhafiin adalah golongan dhaif. Istilah-istilah ini adalah dalam Al-Quran dan kalau hendak memahami maksud dalam konteks, bolehlah merujuk kepada tafsir dan Asbabun Nuzul.

Dalam konteks antarabangsa, memang mudah untuk melihat siapa dia Mustakbirin. Istilah Inggeris iaitu hegemoni menggambarkan juga konsep Mustakbirin. Tetapi kalau hendak merujuk Mustadhafiin sebagai golongan proletar dalam istilah Marxis, ia kurang tepat. Dhaif, dhuafaa, mustadhafiin bukan saja miskin dari harta, tetapi dalam serba-serbi hingga mereka mudah ditindas, dipinggir dan diperalatkan.

Revolusi Islam mahu membebaskan golongan Mustadhafin. Untuk membicarakan sama ada Republik Islam Iran berjaya melakukan perkara ini atau tidak adalah soal lain.

Revolusi Islam adalah suatu konsep yang pernah diulas terperinci oleh Almarhum Dr Kalim Siddiqui dari Muslim Institute London. Ia dikaitkan dengan konsep Republik Islam. Gagasan Republik Islam itu juga berbeza dengan republik-republik yang ada di dunia. Tetapi sama ada Republik Islam Iran yang ada menepati gagasan asal boleh didebatkan. Maka Revolusi islam, Republik Islam dan Gerakan Islam dikaitkan sebagai satu paduan untuk membawa cita-cita perjuangan.

Khomeini menolak penubuhan Parti Islam, sementara Kalim Siddiqui mengalu-alukannya dengan menyebut kedudukan tinggi Gerakan Islam mengatasi Parti Islam. Tetapi di Malaysia setengah kalangan berpendapat bahawa Gerakan Islam ialah Parti Islam.

Maknanya wadah perjuangan bagi Gerakan Islam ialah Parti Islam, dan tidak ada yang lain. Sementara ada pihak pula menggambarkan Gerakan Islam sebagai gabungan mana-mana pertubuhan yang memperjuangan Islam termasuk Parti Islam dan juga NGO lain yang berkongsi perjuangan.

Tetapi apa yang boleh disebut sebagai perjuangan Islam membawa maksud luas, umum dan boleh jadi tidak berkesan. Untuk memudahkan fokus, dalam konteks semangat Revolusi Islam Iran , apabila diterjemahkan di Malaysia, ia tidaklah disebut sebagai Revolusi Islam.

Rangkaian Revolusi Islam, Republik Islam dan Gerakan Islam di Iran apabila diterjemahkan ke Malaysia menjadi Perjuangan Islam, Negara Islam dan Parti Islam. Tetapi akhirnya konsep Negara Islam didebatkan di Malaysia hingga membawa kepada jalan buntu. Sementara Perjuangan Islam menjadi cair hingga lupa apa konsep asalnya. Parti islam hanya menjadi salah sebuah parti politik bermain politik bagi mendapatkan kuasa dan menafikan kuasa daripada jatuh kepada pihak lain.

Kembali kepada gagasan Perjuangan Islam, iaitu yang merupakan tafsiran daripada Revolusi Islam. Intinya membela Mustadhafiin dan menolak Mustakbirin. Tetapi apa dia dalam konteks Malaysia dan PAS?

Program kebajikan hakikatnya adalah contoh perjuangan membela Mustadhafiin: iaitu membantu golongan dhaif. Tetapi ia hanya sebahagian. Dhaif di sini bermaksud ia terjadi demikian kerana ditindas oleh Mustakbirin. Maka, di sinilah perlunya kita menyemai kembali semangat Revolusi Islam!

Komen-komen»

1. ahmad - Mei 19, 2008

patutnyer nyatakan tentang cnt revolusi yg dibuat dan camne dilaksanakan, baru org dapat jadikan cth dan perbaiki cara perlaksanaan.

2. ahmad - Mei 20, 2008

tapi terimakasih utk artikel ini

3. bravopro67 - Mei 20, 2008

Salam~

Baik kita bincang senario sebelum revolusi Islam Iran 1979. Di Iran Shah Mohammad Pahlavi memegang kekuasaan raja mutlak. Melakukan penindasan dan kezaliman yang tiada bandingannya. Khomeini bermula dari bawah dari peringkat pengajian dan hauzah. Ditangkap, dipenjarakan beberapa kali hingga sampai dibuang negara bermula dari Turki, Iraq dan akhirnya, Perancis. Khomeini adalah marja taqlid termasyhur di Iran pada ketika itu. Ijtihadnya menjadi ikutan para pendokongnya tanpa soal.Para Mujtahid dianggap sebagai naib atau wakil Imam Mahdi atfs. sewaktu keghaiban beliau. Tunjuk ajar marja menjadi tanggugjawab agama para muqallid mereka.

Rakyat Iran majoritinya Syiah Imamiyah. Mempercayai bahawa ahlul bayt adalah pewaris yang sah daulah Nabawi. Mereka punya sekolah Imam Husayn dan Ashura. Di hari ke 9 Asyura 1979, mereka semua memegang peranan Imam Husayn dan 72 pengikutnya keluar menunjuk perasaan beramai-ramai. Mereka memberikan darah dan nyawa-nyawa mereka dan bukan sekadar memberi dan membuang ribu penunjuk perasaan di kalangan lelaki dan perempuan bergelimpangan di jalan-jalanraya korban revolusi. Askar-askar Iran sampai ke peringkat tidak sampai hati untuk terus menembak dan membunuh para penunjuk perasaan hanya semata-mata mempertahankan kekuasaan Shah. Tentera-tentera Shah kemudiannya berpalingtadah menentang Shah kerana tidak sanggup lagi membunuh darah daging mereka sendiri. Khabarnya, puluhan atau ratusan ribu manusia menjadi syahid dan terkorban dan disemadikan di perkuburan Zahra akibat korban Revolusi.

Khomeini adalah pemimpin de facto kebangkitan dan revolusi ini dari jarak jauh, Perancis. Mendapat sokongan besar di kalangan pimpinan rakyat Iran di dalam negara yang sanggup mengikut pimpinan Khomeini dan Wilayatul Faqih. Apabila Shah melarikan diri keluar negara, Iran berada dalam keadaan vakum. Khomeini pulang ke Iran bagi mengisi kekosongan ini dan rakyat secara majoritinya menyokong Khomeini tidak kira golongan sama ada sekularis, liberalis, sosialis, kominis dan entah apa lagi isme-isme mereka. Khomeini dan rakyat Iran akhirnya berjaya menumbangkan kerajaan monarki Shah dan menubuhkan majlis revolusi Iran yang menggabungkan pelbagai corak fahaman manusia.

Dari situ, kerajaan Iran ditubuhkan dari peringkat demi peringkat hinggalah sampai Iran menjadi seperti hari ini. Pada peringkat awal, banyak pergolakan berlaku dan dalam satu kejadian pengeboman di parlimen, Presiden, beberapa menteri kanan, ahli parlimen sampai terbunuh. Hakikatnya, corak pemerintahan Iran berbentuk demokrasi terpimpin ala-ala Iran dan bukannya seperti negara demokrasi barat. Majlis revolusi dan Wilayatul Faqih memainkan peranan yang amat penting dalan Republik Islam Iran.Khomeini berjaya menegakkan sistem pemerintahan Islam sebagaimana yang beliau fahami dari runtuhan jahiliyah dan taghut Shah.

Untuk kupasan lanjut, boleh rujuk DVD Ruhullah terbitan TV Al Manar. DVD itu menceritakan perjuangan Khomeini bermula dari kecil, menentang Shah, menang revolusi sampai beliau meninggal dunia tahun 1989.

Untuk orang yang bertanya, apakah anda fikir Malaysia dan rakyatnya punya infrastruktur dan ciri-ciri untuk meneladani Khomeini dan Revolusi Islam Iran?. Apapun, pada pandangan saya, kalau kita ingin mengambil pelajaran, pelajaran dari Hizbullah Lubnan paling patut dicontohi. Ditubuhkan pada tahun 1984 sampai hari ini mereka menjadi contoh buat kawan dan lawan.

Punya sekolah, hospital, pusat vokasional, universiti, ranting pembangunan, militia, tv, akhbar, rangkaian komunikasi dan boleh dikatakan Hizbullah itu bagai kerajaan dalam kerajaan. Suasana Lubnan yang majmuk dan pelbagai etnilk yang agak serupa dengan suasana Malaysia menjadikan Hizbullah adalah antara gerakan Islam yang patut menjadi model dan contoh teladan. Punya wakil dalam parlimen dan punya suara dalam menentukan halatuju negara. Menjadi benteng terakhir Lubnan dalam mempertahankan negara dari jajahan Israel tahun 2000. Berjaya menghalau Israel pada tahun 2006 dalam perang 33 hari.

Saya tidak menyatakan ini hanya kerana mereka itu Syiah, tetapi hakikatnya, belum ada mana-mana gerakan Islam yang secemerlang dan berpengaruh seperti Hizbullah. Saya pun tidak menyuruh mana-mana pihak berperang seperti Hizbullah tapi sekurang-kurangnya, aktiviti Hizbullah dalam pelbagai bidang dan akhirnya berjaya, patut menjadi model dan ikutan.

Israel dan Amerika pun tidak mampu melucutkan senjata Hizbullah sedangkan negara-negara Arab sekeliling tunduk dan kecut berhadapan dengan kedua-dua entiti ini. Apakah anda boleh dapati gerakan Islam di mana-mana bahagian di dalam dunia yang mampu menjadi seperti Hizbullah?

4. IRONing_MAN - Mei 26, 2008

Saya suka HAMAS sebab berakidah sunnah, sama dengan saya.

5. bravopro67 - Jun 2, 2008

Saya suka Hamas, Hizbullah, RII kerana mereka membela golongan tertindas dan menentang secara langsung para mustakbirin Israel dan Amerika.

6. Lempeng - Jun 3, 2008

Apa jua gerakan Islam, Hamas, Hizbullah, Ikhwanul Muslimin adalah suatu simbol kebangkitan islam di akhir zaman ini. Harapan seluruh umat Islam kini adalah penyatuan umat Islam dalam menentang kaum kuffar bukan sahaja di tanah arab tetapi juga Amerika Eropah, dan juga seluruh Asia termasuk Asia Tenggara. Kalo diperhatikan sangat banyak propaganda barat yang memecahbelahkan pemikiran umat Islam termasuk melaga-lagakan antara fahaman Sunni dan Syiah, hasilnya iraq berperang dengan Iran selama 8 tahun pada suatu masa dulu dan meneruskan tujuan asal yg telah berjaya menawan iraq kini..Berhati-hatilah

7. bravopro67 - Jun 5, 2008

Salam~

Iraq bertindak menyerang Iran tahun 1980 dulu bukan atas isu Syiah-Sunni. Mereka menyerang kerana ingin mengeksploitasikan Iran yang baru saja selesai revolusi dan dianggap terlalu lemah. Iraq dibawah Saddam Hussein dan faham Baathnya menjadi penzalim dan penindas.

Tahun 1990, Saddam Hussein sekali bertindak zalim dan angkuh dengan menyerang Kuwait. Sekali lagi Iraq di bawah Saddam menjadi penindas.

Kalaupun Iraq tertawan sekarang ini, Iraq tertawan dengan Amerika dan tidak ada sama sekali kena mengena dengan RI Iran. Dan bila US menakluk Iraq, timbul kembali isu Syiah Sunnah hasil eksploitasi taktik lama penjajah, divide and rule.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: