jump to navigation

Badrul Hisham Shaharin: Tamatkan Dinasti Abdullah! Februari 23, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Rembau antara lirikan perdana dalam pilihanraya umum ke-12 ini. Malah, tidak salah jika dikatakan keputusan pertarungan di Rembau ini adalah memberikan suatu petanda besar kepada Umno dan arah pemerintahan negara kemudiannya. Benar juga, seperti ungkapan Badrul Hisham Shaharin dalam wawancara khusus ini, pertarungan di Rembau adalah pertarungan antara rakyat Malaysia dengan sekelompok manusia rakus yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin.

Jadi, pertarungan ini kelihatannya bukan saja terbatas dalam kebajikan masyarakat Rembau. Malah, ia adalah pertarungan kecil yang akhirnya melibatkan keputusan besar. Kecil berdasarkan pada geografi Rembau, tapi besar terhadap dampaknya pada negara. Kini, keputusan besar ini berpeluang untuk ditentukan oleh khalayak Rembau. Barangkali inilah keistimewaan khalayak Rembau, tapi juga sekaligus juga suatu amanah berat buat mereka.

Hasil wawancara Ummahonline.com menerusi bantuan emel dan telefon ini jelas menanggapi beberapa persoalan tentang keperluan di sebalik pertarungan antara dua anak muda ini. Menerusi kacamata Badrul Hisham Shaharin ini—calon Keadilan di Rembau dalam pilihanraya ke-12—kita sekurang-kurangnya telah ditawarkan dengan suatu pandangan pertama dan langsung. Dan, pandangannya inilah yang mahu kita semak kebernasannya—tentang sejauh mana tuntutan pertarungannya terhadap Khairy Jamaluddin, menantu Pak Lah ini.

badrulkhairy4.jpg

Apa perasaan anda setelah diberi amanah khusus oleh pakatan PAS-PKR dalam usaha untuk mencabar Khairy Jamaluddin dalam PR-12 nanti? Apakah anda sudah lama bersedia bagi menghadapi saat-saat ini?

Terlebih dahulu, harus disedari bahawa pertarungan ini adalah pertarungan atas kesedaran untuk menyekat satu kelompok yang sebenarnya mahu menguasai ekonomi dan pentadbiran negara dengan begitu rakus sekali. Jadi, kerana kesedaran inilah yang mendorong saya untuk menghantar satu surat terbuka bagi menawarkan diri dalam usaha kita bersama ke arah menghentikan kerakusan kelompok tersebut yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin.

Walau bagaimanapun, saya juga menyedari bahawa diri saya sendiri tidaklah penting secara peribadi, kerana yang lebih penting dari diri saya ialah bagaimana kita bersepakat untuk menyekat kerakusan kelompok tersebut. Sebab itu—dengan mengakui bahawa dalam keadaan saya menawarkan diri dalam pilihanraya ini—saya juga menginsafi bahawa saya bukanlah yang terbaik.

Sementara itu, soal perasaan saya dalam menghadapi pertarungan ini adalah sama sepertimana hari pertama saya telah memutuskan untuk melangkah sepenuhnya dalam medan perjuangan ini. Keputusan yang saya putuskan ini adalah keputusan tanggungjawab kepada negara. Kita tahu, masalah Malaysia dewasa ini adalah kerana kita sedang ditadbir oleh seorang pemimpin yang amat lemah dalam sejarah penubuhan negara kita. Bahkan, keadaan ini diparahkan lagi bilamana pemimpin yang amat lemah tersebut telah dikuasai pula oleh satu lingkaran penasihat yang sangat tamak dan rakus, iaitu menantu dan anaknya.

Apakah strategi yang dijangka digunakan oleh anda dalam PR-12 nanti? Kerana kita tahu bahawa Khairy dan Umno pasti menggunakan jentera kerajaan habis-habisan untuk memastikan kemenangannya.

Benar, kita memang menginsafi tahap ruang demokrasi Malaysia yang cukup-cukup terbatas, dan kesamarataan hak dalam pilihanraya yang cukup teruk sekali. Tapi, hakikatnya kita tidak punya pilihan lain. Mahu atau tidak, pilihanraya masih diakui sebagai medium perubahan yang diiktiraf oleh rakyat di negara kita. Malah, kita juga masih mengakui bahawa medium pilihanraya itu adalah cara untuk kita mengubah keadaan.

Maka, atas segala kekangan tersebut, rancangan kita dalam pilihanraya ini adalah untuk terus mendekati masyarakat serta menjadikan pilihanraya ini sebagai peluang terbaik untuk kita membuka bukti tentang segala kerakusan mereka. Maknanya, setiap hari kita akan membawa bukti untuk dihadapkan kepada rakyat. Dan, saya yakin dan percaya, terutama rakyat Rembau khususnya, akan melihat sendiri bukti betapa nyata dan perlunya bagi kita untuk mengubah keadaan ini. Malah, saya juga yakin dan percaya, bahawa rakyat cukup cerdik dan pasti menyedari bahawa maruah mereka sebenarnya sedang cuba diperkotak-katikkan oleh kelompok sekeluarga ini.

Sejauh manakah keperluan untuk menumbangkan Khairy Jamaluddin dalam PR ke-12 nanti? Dan, apa bezanya jika Khairy dibiarkan mendapat kedudukan politik dalam eksekutif berbanding sebelumnya hanya sebagai politikus parti sahaja?

Ini jelas. Pertama sekali ialah, keperluan perubahan ini cukup tinggi ekoran selama ini, Khairylah yang mencatur segala urusan negara. Malah, termasuk dalam Umno inipun Khairy turut mencatur keputusan parti dalam proses mereka meletakkan calon dan sebagainya. Sebab itu, kita tidak hairan hari ini, munculnya kelompok-kelompok jutawan muda yang terbentuk bukan kerana kepentingan negara, sebaliknya kerana kepentingan peribadi itu sendiri, dan di dalam kelompok Khairy itu sendiri. Keadaan seperti inilah yang membahayakan negara, kerana mereka naik secara tiba-tiba tanpa ada kesedaran yang tinggi terhadap negara.

Justeru itu, amat penting untuk menghentikannya segera. Beranjak dari itu juga, saya ingin menyatakan bahawa pertarungan yang akan berlaku ini bukan pertarungan antara peribadi, bukan juga pertarungan antara parti, tetapi ia adalah pertarungan antara rakyat Malaysia termasuk ahli Umno yang masih mempunyai maruah dengan sekelompok manusia yang mahu menguasai negara secara rakus dan tamak. Mudahnya, inilah juga pertarungannya untuk menamatkan kerakusan dan ketamakan Khairy. Kerana, jika sebelum ada jawatan pun, Khairy sudahpun berjaya menguasai hampir semua ruang. Nah, cuba bayangkan seandainya Khairy diberikan jawatan lagi, tentu sekali kita menjangkakan keadaan akan menjadi lebih parah dari apa yang sedia ada hari ini.

Mungkinkah anda mencabar Khairy atas dasar emosi dan sentimen, iaitu hanya semata-mata untuk mengajar Khairy, bukannya bertitik tolak dari kesedaran besar untuk memberi sumbangan bermakna terhadap kawasan yang diwakili? Atau bagaimana?

Ini bukan sekadar emosi dan sentimen. Seperti yang saya katakan, kita memang menginsafi bahawa negara kita yang hakikatnya cukup mewah, kaya dan makmur atas pemberian Tuhan, tetapi apa yang kita saksikan adalah episod rakyat yang terus menderita di atas segala kerahmatan yang Tuhan berikan tersebut. Sebab itu, atas kesedaran inilah saya mencabarnya, iaitu kesedaran untuk menghentikan penguasaan pentadbiran negara di bawah pemimpin yang lemah, tamak dan rakus. Inilah persoalan besar yang harus kita sedari dan ditangani secara bersama.

Di samping itu, latar saya sendiri juga dekat dengan Rembau. Saya adalah anak Negeri Sembilan, yang membesar di sini, dan juga berkhidmat di sini. Maka, Rembau bukanlah satu kawasan yang asing bagi saya. Malah, saya bertanding pada pilihanraya ke-11 pun mewakili DUN yang terdapat dalam parlimen Rembau. Sebelum itu, saya berkhidmat sebagai seorang guru juga dalam parlimen Rembau. Menerusi latar itulah, saya amat menyedari masalah yang terdapat dalam parlimen Rembau ini.

Maknanya, masalah Rembau itu dekat dengan saya, dan peluang pilihanraya kali ini akan kita gunakan untuk mengangkat masalah-masalah ini. Tentu sekali, pertempuran peringkat nasional ini adalah kesempatan terbaik untuk kita mengangkat masalah-masalah Rembau. Tapi kita tahu, umpamanya Khairy boleh bercakap besar di semua tempat, yang kononnya telah melancarkan program pemuda tuisyen Umno di Rembau. Tapi, hari ini kita lihat sajalah program tersebut yang sebenarnya hanya dilancarkan dalam keadaan yang paling meriah dan gah, namun akhirnya pusat tersebut terbengkalai dan ditutup. Tidak ada kesinambungan. Akhirnya, rakyat Rembaulah yang terkapai-kapai.

Begitu juga kemajuan yang tidak sekata antara kawasan di dalam parlimen Rembau ini. Kalau di kawasan pekan itu, memang kita nampak telah dibangunkan dengan segala tiang-tiang lampu yang cantik dan sebagainya. Tetapi cuba kita melihat ke dalam kawasan kampong. Di kampong, kita bukannya mahukan tiang-tiang lampu yang cantik, tetapi yang kita mahukan adalah lampu jalan. Itu pun tidak dapat disediakan.

Meskipun Khairy adalah lulusan Oxford, ramai yang percaya bahawa Khairy sebenarnya tidak punya apa-apa kelebihan dalam politik, melainkan statusnya sebagai menantu Pak Lah. Apakah benar begitu? Dan, menurut anda, adakah benar juga bahawa hayat politiknya akan berakhir setelah Pak Lah tidak lagi menjadi Perdana Menteri?

Saya mengakui mungkinlah begitu. Memang, kita juga bangga ada anak Melayu yang lulusan Oxford dan sebagainya. Tapi, itu bukan persoalannya. Malah, saya sebagai anak Melayu yang berpendidikan sederhana turut mengakui pendidikan tinggi sebegitu adalah antara kebanggaan orang Melayu. Tetapi persoalannya yang lebih besar dari kebanggaan inilah adalah menuntut tindakan yang dapat dinikmati oleh rakyat. Khairy bolehlah bercakap soal antarabangsa, dan menjadi jutawan muda dalam masa yang singkat. Namun, apakah Khairy yang merupakan ketua pemuda Umno di Rembau ini menggunakan segala kelebihannya tersebut untuk membantu anak-anak muda di Rembau secara konsisten?

Saya peribadi, saya mengakui bahawa Umno juga antara institusi masyarakat di Rembau ini. Tetapi, sudah berapa ramai anak Rembau, yang telah didedahkan oleh Khairy kepada dunia global dan berjaya? Tidak ada. Anak Rembau tidak dibela. Selama ini, sebahagian anak Rembau hanya dibodoh-bodohkan. Sebahagiannya hanya dibela oleh Khairy. Bila Khairy turun ke bahagian, mereka dibayar. Bahkan, ada segelintir dari mereka yang menjadi kaya-raya tanpa menginsafi realiti masyarakat Rembau pada hari ini.

Memang, Khairy boleh sombong dalam ucapannya di Dewan Merdeka, Rembau sebelum ini. Ketika penghimpunan Umno bahagian tersebut, Khairy pernah menyatakan bahawa dirinya menguasai lima bahasa, di samping boleh bercakap dalam bahasa Inggeris yang bagus. Tentu sekali Khairy berkelebihan menguasai bahasa Inggeris yang bagus setelah begitu lama tinggal di luar negara. Tapi, sepatutnya kelebihan itu digunakannya untuk membantu masyarakat Rembau, bukannya untuk menjadi sombong. Mithalnya, pernahkah Khairy merasai pengalaman dua-tiga tahun bergelumang dengan keperihan masyarakat di Felda Paloh, dengan keperitan masyarakat di Kampong Bongek, dan lain-lain lagi dalam Rembau ini. Di dalam kawasan inilah anak-anak Melayunya amat memerlukan pendidikan yang sempurna. Sebab itu, Khairy harus tengok dulu realiti di bawah.

Selain dari itu, saya juga ada mendapat maklumat serta sokongan dari teman-teman dalam Umno itu sendiri, yang sebenarnya mereka juga menyedari tentang keperluan untuk secara bersama menghentikan semua kepincangan ini. Malah, secara mudahnya, untuk kita menghentikan kepimpinan Pak Lah yang lemah ini pun, kita mestilah terlebih dahulu menghentikan penguasaan politik Khairy. Sememangnya Khairy adalah tenaga pemikir di belakang Pak Lah. Bahkan, sudah menjadi rahsia umum bahawa selama ini, Khairylah yang telah memberikan nasihat atas segala keputusan-keputusan yang kemudiannya menjahanamkan negara kita.

Tapi timbul persoalan, sebenarnya sejauh manakah berkuasanya Khairy terhadap keputusan-keputusan kerajaan ini? Apakah hanya kerana statusnya sebagai menantu Pak Lah bermakna Khairy sudah mendapat akses yang besar dalam menentukan sebarang keputusan-keputusan kerajaan? Apakah pemimpin-pemimpin kerajaan dan Umno yang lain sebegitu lemah hingga terpaksa tunduk pada Khairy?

Baiklah. Yang saya tegaskan ini bukanlah kata-kata saya semata-mata. Tapi, ini juga adalah kata-kata mantan Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri Malaysia. Sebelum ini, Dr. Mahathir Mohammad telahpun beberapa kali mendedahkan bagaimana peranan tingkat 4 di Putrajaya dalam menentukan keputusan-keputusan strategik kerajaan.

Selain daripada itu, keluhan demi keluhan dari ahli-ahli koparat dalam negara juga meluahkan hal yang sama. Kalau dulu, sekiranya mereka sudah mendapat kelulusan dari perdana menteri itu bererti sudah selesailah semuanya. Tapi kini, kata ahli-ahli koparat tersebut, kelulusan perdana menteri tidak lagi bererti apa-apa selagi tidak mendapat kelulusan dari menantu dan anaknya. Inilah keparahan yang wujud hari ini. Kerana itu, jika Umno dan para pemimpin peringkat pertengahan serta bawahan mahu selamatkan partinya, inilah masanya. Dan, mereka juga tidak seharusnya menjadi terlalu lemah sehingga memaksa mereka tunduk pada keputusan Khairy ini.

Jika Khairy terus dibiarkan berkuasa—sama ada dalam Umno mahupun dalam kerajaan—apakah dampak terbesar yang akan diterima oleh rakyat Malaysia nanti?

Kita sebenarnya sudah lihat beragam dampak, termasuklah juga dampak yang paling besar iaitu pengadaian hak, kepentingan dan kedaulatan negara. Sebelum ini, kita menyaksikan bagaimana peranan Khairy dalam menjual kepentingan-kepentingan negara kita kepada negara asing. Ini adalah tindakan yang sangat bahaya. Kerana itu, saya menyeru supaya rakyat Malaysia agar bangkit untuk mengeluarkan kita dari bahaya ini. Sebagai contohnya, kita boleh belajar dari negara jiran kita.

Di Thailand mithalnya, kebangkitan rakyat adalah berpunca daripada seorang perdana menteri yang telah menjual kepentingan-kepentingan syarikat miliknya kepada Singapura. Jadi, ekoran yang menjual kepentingan itu seorang perdana menteri, maka syarikatnya tersebut juga yang sudah tentu membawa imej dan maruah Thailand. Lantaran itu, rakyat Thailand bangkit dan menumbangkan Thaksin Sinawatra.

Tetapi di Malaysia ini tidak berlaku demikian, meskipun keluarga perdana menteri kita melakukan perkara yang sama, iaitu menjual syarikat milik rakyat kepada Singapura, malah kepada syarikat yang sama sewaktu membeli syarikat milik Thaksin tersebut. Ini yang malangnya bagi kita. Dalam jurang ini pun, rakyat Malaysia tetap diam membisu. Namun begitu, saya faham bahawa ini berlaku kerana maklumat yang sedia ada tidak betul-betul sampai ke bawah. Justeru itu, kesempatan pilihanraya ini akan kita gunakan sebaik-baiknya untuk menyampaikan penerangan kepada khalayak.

Difahamkan, yang menentang Khairy bukan sahaja di kalangan pembangkang, malah terdapat beberapa pihak dalam Umno yang turut sama tidak senang dengannya. Mungkinkah Khairy ini sudah menjadi musuh bersama antara pembangkang dengan sebilangan pihak dalam Umno? Dan, apakah kelebihan yang Umno perolehi jika Khairy dapat di-nyahkan terus dalam politik Umno?

Terlebih dahulu, saya ingin berkongsi bahawa saya datang dari keluarga yang latarnya Umno. Sehingga sekarang, saya mempunyai bapa saudara yang masih memegang jawatan setiausaha Umno bahagian. Memanglah, kadang-kadang antara kerabat ini, kami bertembung dari beberapa isu. Namun, saya menyatakan bahawa dalam konteks Khairy ini, kita ada kebersamaan.

Walau bagaimanapun, tindakan saya untuk melawan Khairy ini bukannya semata-mata kerana sokongan dan dukungan Umno tersebut. Tetapi saya menyedari bahawa sokongan dan dukungan itu merupakan suatu nilai tambah bagi pertarungan kita. Menerusi kesempatan ini juga, saya ingin mengajak ahli-ahli Umno lainnya yang masih bermaruah, agar kita berganding tangan untuk menyelesaikan masalah negara kita ini yang sememangnya kian menuntut kesepakatan.

Menurut anda, mengapa Khairy tidak disenangi oleh Mahathir Mohammad? Mungkinkah kerana Mahathir juga ada kepentingan peribadi? Atau memang benar tuduhan Mahathir bahawa Khairy itu sebenarnya hanyalah budak hingusan yang telah menjadi punca kepada pertelingkahannya dengan Pak Lah?

Dalam hal ini kita perlu jelas, bahawa tuduhan rasuah dan salahguna kuasa kita terhadap Dr. Mahathir Mohammad masih tetap sama. Mahathir perlu berdepan dengan segala kebobrokan yang beliau lakukan selama menjadi perdana menteri. Tetapi, sikap kita ini tidak menafikan bahawa Dr. Mahathir turut ada sumbangan terhadap pembangunan di negara kita ini. Di samping itu, kita juga menyedari bahawa pertembungan Dr. Mahathir dengan Pak Lah ini juga sebenarnya adalah melibatkan peranan Khairy. Pertembungan mereka adalah juga lambang kepada pertembungan kuasa, wang, kepentingan politik, kepentingan peribadi, dan lain-lain lagi. Itu memang kita tidak nafikan.

Walau bagaimanapun, kita ingin menyatakan bahawa ada perbezaan antara pendekatan pemerintahan Dr. Mahathir dengan Pak Lah. Umpamanya, kalau dulu Dr. Mahathir di hujung-hujung pemerintahannya baru kita dapat perhatikannya cenderung untuk memunggah kekayaan pada keluarga. Tapi, dalam konteks politik kekerabatan, Dr. Mahathir tidak pernah membenarkan ahli keluarganya untuk bertanding, atau mempengaruhi keputusan kabinet dan sebagainya. Maka tidak hairanlah, kita lihat salahguna kuasa yang terjadi, atau kronisme yang berlaku pada hari ini kelihatannya lebih parah dan tidak terkawal—berbanding zaman Dr. Mahathir—ekoran kita diketuai oleh seorang pemimpin yang amat lemah yang didalangi oleh menantu dan anaknya.

Anda pernah menggunakan perkataan “Dinasti Abdulllah”? Tapi, kita perhatikan, sebahagian besar mantan perdana menteri kita juga mempunyai anak-anaknya yang terlibat dalam dunia politik. Jadi, apa yang membezakan Pak Lah dengan perdana menteri yang sebelumnya?

Memang ada perbezaan. Ketika Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri, tidak pernahnya membawa penglibatan ahli keluarga sehingga membenarkan keputusan politiknya dipengaruhi. Malah, Najib Tun Razak muncul pun setelah kematian ayahnya. Manakala, Dr. Mahathir juga—seperti mana yang disebutnya sendiri—tidak membenarkan anaknya terlibat dalam politik sewaktunya menjadi perdana menteri. Namun, berbeza dengan Pak Lah yang kita ketahui sebagai pemimpin yang cukup lemah. Malah, Pak Lah menjadi perdana menteri pun ekoran daripada daripada krisis Anwar Ibrahim ketika itu. Maka, sudah tentu Pak Lah tidak naik daripada dukungan bawahan parti. Rentetan kelemahan itulah juga, Pak Lah terpaksa mempercayai menantu dan anaknya. Maka, kesempatan inilah yang diambil sepenuhnya oleh anak dan menantunya. Jadi, kepincangan seperti inilah yang kemudiannya menyebabkan keadaan negara kita dari hari ke hari semakin bertambah buruk.

Terakhir, apa bantuan yang anda perlukan dalam usaha untuk mencabar Khairy nanti? Di samping itu, apa seruan anda kepada seluruh rakyat Malaysia menjelang PR-12 nanti?

Sekali lagi, saya ingin menyatakan, dalam keadaan saya menginsafi saya bukan yang terbaik, kehadiran saya sebagai calon ini sebenarnya juga adalah wakil kepada teman-teman kelompok anak-anak muda, parti-parti politik, NGO, dan rakyat Malaysia umumnya. Kita anggap bahawa pertarungan ini adalah pertarungan antara rakyat Malaysia termasuklah di kalangan ahli umno yang bermaruah pun terhadap segerombolan perakus harta negara. Dan, saya turut mengharapkan agar kita sama-sama turun membantu dalam gerak kerja pilihanraya kali ini. Ini temasuklah dari segi gerak kerja tenaga, gerak kerja pemikir, dan selainnya.

Sementara itu, saya tentunya akan terus mendekati seluruh pengundi Rembau. Kita memang menyedari bahawa adalah mustahil untuk kita mendapat akses media yang dikuasai sepenuhnya oleh mereka untuk menghentam dan menghantar mesej yang salah kepada rakyat. Memang, kita awal-awal lagi menyedari kekurangan ini. Namun, tugas kita adalah sekurang-kurangnya untuk mengimbangi kekurangan ini dengan suatu gerak kerja keras secara bersama-sama. Akhir sekali, harapan saya, dan juga harapan kita semua, adalah untuk kita sama-sama menatijahkan pilihanraya ke-12 kali ini sebagai pentas rakyat ke arah menamatkan pembentukan sebuah dinasti Abdullah, atau kerajaan tiga beranak ini!

Advertisements

Komen-komen»

1. Indonesian Sahaja - Februari 24, 2008

cam suharto je kat indonesia. semoga BA nanti menang dalam pilihan raya dan boleh menghapuskan racism dan rasuah kat Malaysia

by Indonesia

2. La_abwa - Februari 24, 2008

Bangunlah rakyat Rembau, buka mata buka pintu hati. Undi lah calon yang akan membawa anda berpijak di bumi nyata bukan calon yg ‘bergaya’ semata2.

3. jas - Februari 25, 2008

Cantas pengkhianat ni awal-awal lagi.Ibu dia memang puji anak sendiri tetapi pemimpin apa mcm ni.Nak meruntuhkan bangsa,menjual negara,fikirkan nasib anak cucu kita satu hari nanti.Apa nak kita jawab kalau mereka bertanya kenapa S’pura ambil tanah kita.Soalan yg pernah saya tanya pada ibu saya masa sekolah rendah dulu kenapa Tengku bagi S’pura pada org cina??Walaupun saya masih kecil masa itu,saya rasa terkilan betul…Ubahlah sebelum parah!!!

4. bravopro67 - Februari 25, 2008

Salam~

Kalau siapa membaca sejarah, d zaman Khalifah ke 3, menantunya Marwan Al Hakam, sudah mendahului sejarah Khairi dengan memperkudakan bapa mertuanya untuk menguasai kekayaan dan kekuasaan. Dia mengumpulkan ratusan ribu dirham dan dinar, dari harta-harta ghanimah dari Afrika Utara dan sampai menguasai tanah “Fadak” yang sepatutnya diwarisi oleh keturunan Peghulu Wanita Seluruh Alam.

Hikayat Khairi “Chronicle” hanya sekadar lanjutan dari sejarah lama. Cuba berpayung dengan konsep Nepotisme. Kalau Marwan dulu, akhirnya berjaya juga menjadi khalifah ke 4 Bani Umaiyah menggantikan Muawiyah II tetapi sempat memerintah hanya selama 6 bulan. Beliau mati kerana lemas ditekup bantal oleh isterinya sendiri. Tapi, kesudahan kisah Khairi Chronicle belum lagi dapat kita baca. Maka, sama-samalah kita nanti melihat ‘the ending story’ nanti.

Baru berumur awal 30an, sudah punya bungalow besar di Putrajaya, saham-saham di syarikat2 besar, meminjam jutaan ringgit dari bank dan entah apa lagi ‘transaction’ beliau. Tapi tanpa malu dan tanpa segan, cuba menjadi pimpinan negara. Mungkin dia tak malu fasal orang-orang dalam partinya pun bersikap sedemikian rupa malah lebih besar libasannya.

Wa la’natullah ‘alal qaumal zolimin minnal awwalina wal aakhirin.

5. La_abwa - Februari 25, 2008

‘alal qaumal zolimin? Asasa naha : ‘ala tu huruf jar , perkataan selepasnya mesti dikahiri dgn baris bawah (kasrah).
cakap melayu ler kalau tak betui nahu tu..

kita ni kalau nak cerita baba sejarah harap jagn masuk bab mengumpat atau berlebih2an begitu juga kalau nak cakap pasal hal ehwal orang politik/celebreti. kalua boleh bertanggungjawap macam Raja petra tak perlah..

buka cerita marwan, mana ada bukti sahaih. Hanya percaya penilis cerita sejarah jer.. tak ada nas hadis mahupun al-qur’an. berlebih2an pula. Siapa nak bertnaggungjawap atas kisah sejarah yg ada tuduhan demi tuduhan yg mana satu betul pun kita tak tahu.

Kalau tuduhan kpd KJ, boleh juga kita buktikan atau minta bukti sebab dia sezaman dan masih didup sekarang ni. ni kisah silam orang dah tak ada (dah meninggalkan dunia) dibongkar buat apa?

Yg salah tetap salah yg benar tetap benar.
ukura benar dan salah ialah al-qur’an dan sunnah.bukan sejarah jadi ukuran. Allahu’aklam.

6. anak malaysia - Mac 5, 2008

saya sokong penuh, lihat aja apa dah berlaku pada adik beradik pak lah….habis semua peluang di monopoli…sekarang menantunya pula….lihat saja khidmat negara…berjuta habis untuk uniform kasut dan lain lain…sapa pembekal2 nya……macam macam lah…dah jemu dengar cerita dynasti pak lah ni….

7. didin - Mac 8, 2008

huh…da besar2 pun nak gaduh

8. didin - Mac 8, 2008

jgn lee kuan yew amil ali msi da arrr

9. didin - Mac 8, 2008

org cina da nk pakat ni dgn lee kuan yew…DAP parti PETIR…ADUH2

10. jakimojni - Mac 9, 2008

alhamdullillah, BA dah menang pun dalam PRU12, sama-sama kita berdoa agar BA jangan lupa asal usul macam BN dahlee…yee….semoga BA berkembang diamasa akan datang.

11. daxter - Mac 10, 2008

kita perlu sokong pak lah.Tak guna cakap saja,tapi tak melakukan nya dgn baik.Pembakang hanya cakap je tapi cakap tak serupa bikin.malaysia dah 50 tahun merdeka hasil titik peluh pemimpin barisan nasional.Bila negara dah membangun dan maju pembakang hanya tahu nak kaut hasil dan keuntungan saja.Pembakang tak da pun buat banguan yang menjadi mercu tanda.Kalau pembangkang memerintah negara pun ,meraka lebih lagi jadi penyayak kerajaan.Janji mereka dalam pilihan raya 2008 hanya mimpi yang tak akan jadi kenyataan.Dunia dah maju,semua taraf hidup dah tinggi,jangan terlalu bergantung kepada kerajaan.berusaha kalu nak senang.tak cukup kerja lebih dapat pendapatan dan jangan membeli kalau tak mampu,cukup beli dgn apa yng termampu.Kalau malaysia hancur kita rakyat malaysia yang rugi.dunia luar akan ketawa kan kita.Renung-renungkanlah…Hidup pak lah…barisan nasional.

12. La_abwa - Mac 10, 2008

salam,

Nak sokong pak lah, sokong lah . Jgn sokong bawa rebah dah lah. kita nak sokong kena tahu pa yg kita sokong, Duduk di kerusi PM ni bukan senang, semua mata pandang. ramai yg julang ramai juga yg nak tumbangkan.

Saya tak kuasa jadi rakyat yg sokong buta tuli dan kritik membabi buta. Kena ikut prinsip solat jemaah. Kita sokong/ikut pemimpin setakat mana dia betul. Kalau dia salah, kena tegur. Pemimpin yg baik ialah yg terima teguran w/pun dr rakyat biasa hatta seorang wanita. Mcm khalifah Umar al-khattab r.a.

Rasanya dah ada mesej dr rakyat jelata. ada yg rakyat tak puashati, jd paklah kenalah sit down and listen.Perlu ada penjelasan yg bermanah dan betul tentang soal pemilikan saham petronas dan bbrp saham elit yg digembargemburkan oleh pembangkang.Jgn diam shj, di situ duit lebur berjuta2. Paklah kena jujur dgn rakyat. sekian dulu.. ini bukan ulasan PRU sekadar komentar.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: