jump to navigation

Sains, Realiti dan Sikap April 15, 2008

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohd Zaidi Abdullah

Sains dan teknologi sedang berada dalam beberapa keadaan utama yang perlu disedari oleh semua pihak. Kesedaran terhadap keadaan-keadaan yang difokuskan, akan menentukan kejayaan dalam bidang ini. Berikut hasil garapan selama pengkajian penulis:

Pertama, ilmu sains sedang mengalami pentafsiran semula. Pentafsiran semula itu diundang oleh tokoh non-Muslim yang pernah hidup dalam suasana masyarakat yang berkeyakinan penuh pada kemampuan sains. Pentafsiran ini semakin menonjol dengan kenyataan bahawa sains itu terbentuk dipengaruhi latar belakang masyarakat, kepercayaan, budaya dan seumpamanya yang membentuk paradigma. Ini dibicarakan oleh Thomas Kuhn dalam bukunya, Struktur Revolusi Sains.

Kedua, selama ini, sains dipropagandakan terpunca hanya melalui proses ujikaji dalam makmal. Tetapi, ini jelas tidak dapat dijadikan pegangan apabila Fritjof Capra mendedahkan bahawa unsur-unsur dalaman adalah sebab utama penemuan teori kerelatifan oleh Albert Einstein, teori mekanik kuantum oleh Bohr, teori medan kuantum oleh Feynman dan teori S-matrik oleh Chew. (Wilber, The Holographic Paradigm and Other Paradoxes).

Dan ketiga, apabila alatan ujikaji semakin canggih, Imre Lakatos menulis dalam bukunya Pemalsuan dan Tatakaedah Atur Cara Penyelidikan Sains bahawa dalam fizik nukleus, hukum keabadian tenaga dan hukum keabadian momentum berkecai. Teori-teori yang disebutkan ini boleh dikatakan teori dasar sains dan teknologi moden.

Maruah umat Islam serata dunia juga sedikit terbela dengan kejayaan orang Islam bernama Prof. Ahmed Zewail memenangi Hadiah Nobel Kimia 1999. `Paradigma yang disuarakan Kuhn’ dan `keterkinian alatan ujikaji yang disuarakan Freeman Dyson’ memainkan peranan penting dalam kejayaan sains dan teknologi. Pendirian ini dinyatakan sendiri oleh beliau dalam bukunya berjudul Voyage Through Time: Walks of Life to the Nobel Prize.

Di Malaysia, terdapat golongan saintis yang mengambil berat akan realiti semasa dalam bidang sains dan teknologi sehingga tertubuhnya Akademi Sains Islam Malaysia.

Kemudian, Prof. Diraja Ungku Aziz pula memperkenalkan kursus falsafah sains di Fakulti Sains di Universiti Malaya. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dibentuk Pusat Pengajian Umum, manakala di Universiti Sains Malaysia (USM) terbentuk Sekretariat Falsafah Dan Sains Islam yang menyampaikan kursus seumpama ini.

Kursus begini diperkasakan dengan penyelidikan oleh Prof. Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Emeritus Osman Bakar, Prof. Shaharir Mohamad Zain, Tg. Mohd Azzman Shariffadeen (Presiden dan Ketua Eksekutif MIMOS) dan beberapa orang lagi.

Usaha-usaha yang dimaksudkan banyak tertulis dalam buku terbaru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) karya Hairudin Harun berjudul Retorik Sains dan Teknologi di Malaysia, dan buku ini merupakan pemenang Hadiah Karya Ilmiah DBP 2001 dalam majlis yang telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Tetapi, masih ramai saintis yang layak digelarkan sebagai pengguna sains dan teknologi tidak berubah sikap untuk menjadi perintis sains dan teknologi. Untuk menjadikan seseorang itu perintis dalam sesuatu bidang, perlu ada kekuatan jiwa sebelum terjun dalam ujikaji.

Golongan yang prihatin akan realiti sebenar kemajuan sains dan teknologi itu, masih berusaha menyedarkan para saintis muda untuk bersama-sama dalam menyemai sikap keMalaysiaan atau keperibumian dalam acuan sains dan teknologi serta pengIslamannya.

Sebelum ini, berlangsung Seminar Kebangsaan Sejarah Dan Falsafah Sains anjuran DBP, UKM dan ASASI. Orang kuat yang berusaha menjayakannnya ialah Prof. Dr. Khalijah Mohd. Salleh.

Seminar ini telah menegaskan peri pentingnya sains dan teknologi yang hendak dimajukan di Malaysia memiliki acuan yang tersendiri, bukan jadi pak turut kepada sains Barat.

Umat Islam pada zaman keemasan tamadun Islam telah mengorak langkah dengan menerbitkan suatu bentuk sains dan teknologi yang sehingga kini masih dikaji. Kecemerlangan ini patut diteruskan. Tetapi, sejauh manakah persediaan kita?

Sebenarnya didapati masih jauh keupayaan umat Islam terutama di Malaysia untuk mengejar Hadiah Nobel. Seperti yang dapat dilihat, pemenang-pemenangnya terdiri daripada pakar teori sebelum menceburi ujikaji, dan kebanyakannya berani menyuarakan sikap baru dalam penyelidikan sains sehingga timbul soal paradigma adalah penting dalam memandu kajian sains.

Antara tokoh yang berani menegur ialah Prof. Ahmed Zewail, sehingga berani menjelaskan ideanya juga datang daripada Ibnu Haytham yang mengasaskan kajian tentang cahaya dalam bentuk ujikaji. Beliau juga memperbetulkan tanggapan mereka siapa yang telah berjasa besar dalam bidang sains, sehingga berani menyatakan, “andai hadiah nobel ini telah diadakan seribu tahun lepas, sudah tentu Mesir antara yang terbanyak menerimanya’” di hadapan majlis penganugerahan hadiah nobelnya.

Selaras dengan realiti bahawa sains dan teknologi dibangun atas latar belakang sosial, peMalaysiaan atau pemeribumian dan pengIslaman sains wajar diteruskan. Antara tugas penting yang perlu dilakukan adalah pembaikan dalam penulisan dan pengajaran sains seperti Prof. Wan Fuad dan Prof. Dr. Baharudin Yatim menganggap penting konsep teori sains disesuaikan dengan tauhid.

Dr. Muhammad Dawilah meletakkan harapan supaya dimasukkan dalam pengajian sejarah sains akan tokoh Melayu yang berkeupayaan dalam ilmu sains, seperti Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Fahim, sebagai suatu kesinambungan.

Terdapatnya unsur kesaintifikan dalam petua-petua orang Melayu dalam bidang perubatan diperingatkan oleh Dr. Mohamad Alinor. Prof. Azizan Baharudin menjelaskan tiadanya pengangguran berlaku sekalipun mengikuti tradisi pengajian sejarah dan falsafah sains, malah pemikiran mereka semakin kreatif.

Dalam pada itu juga, dilihat perlunya ilmuwan agama boleh memahami pemikiran sains dan mereka sepatutnya dapat menterjemahkan karya agung sains yang dikarang oleh tokoh Muslim silam dalam bahasa Arab supaya dapat dibaca oleh saintis untuk mengilhamkan sesuatu.

Titik pertemuan antara tokoh agama dan tokoh sains dalam kajian masing-masing perlu ada. Ini melicinkan lagi persiapan untuk melahirkan acuan sendiri dalam sains dan teknologi tanpa membelakangkan ajaran Islam yang menjadi asas anutan sebahagian besar rakyat Malaysia, dan sekali gus agama itu menjadi pendorong untuk meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Dengan berpandukan al-Quran yang menyarankan supaya bertanya kepada pakar jika tidak mengetahui. Para pakarnya sama ada yang Muslim dan non-Muslim berpendapat terjadinya paradigma dalam pembangunan sains baru, dan dengan alatan terkini akan merealitikannya.

Pentafsiran semula, penemuan tanpa ujikaji serta riak-riak kekecaian sesuatu pendapat lama, juga memerlukan kesedaran supaya langkah alternatif dapat diambil supaya tidak terperangkap dalam kemunduran.

Realiti ini menekadkan penulis menonjolkan kembali dalam buku terbaru berjudul Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizika akan falsafah-hikmah Islam yang menuruti mazhab Isyraqi yang menekan aspek `pengetahuan terhadir’ (ilm huduri).

Ilmu huduri, adalah ilmu yang dimiliki tanpa proses berfikir. Ia dapat mewakili kasyaf, ilmu laduni, intuisi, ilham, inspirasi, badihi atau seumpamanya.

Taraf paling kurang dalam `ilmu huduri’ ialah apabila kita tersentuh benda panas, maka jemari kita secara pantas akan menghindarinya. `Ilmu huduri’ ini lebih mantap berbanding ilmu yang dicapai oleh `ilmu yang diusahakan’ dengan cara belajar atau berujikaji.

Dalam penelitian, penulis mendapati ilmu yang diusahakan sebenarnya telah disaring dan disegarkan kembali dengan munculnya kajian tentang “ilmu laduni” atau “ilmu huduri.” “Ilmu laduni” atau “ilmu huduri” sebenarnya yang memandu keupayaan `ilmu yang diusahakan’. Ini penulis suarakan kembali dalam seminar tersebut.

Komen-komen»

1. rajab - Mei 19, 2008

Saya setuju…. sebenarnya masalah sains adalah telah banyak disebutkan di dalam al-Quran seperti penciptaan alam semesta, proses kejadian manusia….terima kasih


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: