jump to navigation

Hilangnya Intelektual Awam April 25, 2008

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Abdul Rahman Embong

Dalam dua tahun ini, rakyat Malaysia umumnya dan dunia ilmu, pemikiran dan politik khususnya susul-menyusul kehilangan dua orang tokoh intelektual awam yang besar.

Semasa kita masih terasa dan mengenangi kehilangan tokoh ilmuan, intelektual awam dan pemikir ulung profesor Datuk Dr Syed Hussein Alatas yang meninggal dunia pada 23 Januari 2007, kini kita dikejutkan pula dengan berita sedih pemergian secara tiba-tiba Rustam A. Sani, seorang sarjana, intelektual awam, pemikir dan tokoh politik Malaysia yang telah membuat sumbangan tersendiri terhadap perjuangan luhur membina sebuah masyarakat Malaysia yang berilmu, adil, saskama dan sejahtera.

Pemergian beliau pada jam 2.30 pagi 23 April 2008 kerana diserang sakit jantung di rumahnya di Gombak, Kuala Lumpur adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan amat menyedihkan.

Bagi pihak Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), saya ingin menyampaikan takziah sedalam-dalamnya kepada balu dan seluruh ahli keluarga serta sanak-saudara allahyarham dan mengharapkan mereka tetap tabah mengharungi saat-saat yang amat mendukacitakan ini.

Berasal dari keluarga seorang tokoh pejuang kemerdekaan, Rustam kehilangan kasih sayang bapanya semasa masih kanak-kanak lagi akibat kekejaman penjajah British. Bapanya, allahyarham Ahmad Boestamam, pengasas Angkatan Pemuda Insaf (1946) dan Partai Rakyat Malaya (1955), telah merengkok di dalam tahanan British selama tujuh tahun dari Jun 1948 hingga 1955 kerana memperjuangkan kemerdekaan tanahair.

Namun, obor perjuangan yang dijulang bapanya itulah yang telah menyemangati beliau kemudian untuk meneruskan perjuangan demi keadilan dan kesejahteraan rakyat di bawah keadaan yang baru di tanah air yang sudah merdeka.

Pendidikan beliau dalam bidang ilmu sosial dan kemanusiaan, mula-mula di Universiti Malaya (1967-70), University of Reading (1973), University of Kent (1973-75), Yale University (1978-81) dan Uppsala University (1991) telah memberikan beliau ilmu dan senjata analisis yang dimanfaatkan sebaik-baiknya dan digemblengkan dengan falsafah perjuangan yang diwarisi daripada bapanya itu untuk meningkatkan daya intelektual serta meneruskan cita-cita melalui pelbagai medan.

Inilah yang dilakukan beliau baik semasa berkhidmat sebagai ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai felo di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), sebagai penulis buku, kolumnis, ahli politik dan juga blogger.

Semasa hayatnya, Rustam A. Sani amat memerhatikan nasib bangsa dan negara, dengan memberikan tumpuan khusus melalui penulisannya serta wacana awam lain pada persoalan nasionalisme, peranan golongan kiri Melayu dalam usaha kemerdekaan dan pembangunan negara, di samping mengambil berat soal perpaduan rakyat berbilang kaum dan pembinaan bangsa Malaysia.

Selain itu, beliau juga menitikberatkan persoalan reformasi sistem pendidikan negara, pembangunan ilmu, intelektual dan budaya serta sering menyatakan keprihatinan terhadap asas budaya yang dangkal terutamanya di kalangan golongan kelas menengah yang dianggap ejen pemodenan sekalipun terdapat kemewahan dan pembangunan ekonomi yang pesat.

Pemikiran beliau mengenai kesemua ini dapat kita kesan dalam karya-karya beliau seperti Failed Nation? Concerns of a Malaysian Nationalist dan Social Roots of the Malay Left yang kedua-duanya tidak sempat beliau saksikan pelancarannya pada 26 April ini. Juga ia dapat ditelusuri dalam karya-karya lain seperti Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosiobudaya (1992), Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993), Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004) dan Menjelang Reformasi (2004).

Beliau juga pernah menyatakan keprihatinan yang serius terhadap masalah kualiti sains sosial Malaysia yang mesti ditingkatkan seperti diungkapkan dalam makalahnya “The Social Sciences in Malaysia: A Critical Scenario” (bersama Norani Othman, Akademika, No. 38, Januari 1991).

Tidak ramai intelektual dan pemikir tanahair kita yang mandiri, tajam dan asli pemikirannya serta konsisten prinsip perjuangannya. Rustam A Sani adalah salah seorang intelektual dan pemikir sedemikian.

Walaupun merasa kerugian besar kerana pemergiannya, PSSM tetap berasa bangga kerana beliau merupakan salah seorang ahli seumur hidup PSSM dan pernah bersama-sama memimpin persatuan selaku timbalan presiden selama beberapa tahun sehingga tahun 1999.

Beliau telah mengembangkan tradisi intelektual yang kritis, berani dan jujur demi memperjuangkan sesuatu yang diyakininya. Tradisi ini seharusnya diteladani dan diwarisi oleh intelektual muda tanahair termasuk ahli-ahli sains sosial dan dipelihara serta dikembangkan sebagai khazanah dan modal yang tidak ternilai bagi negara dan masyarakat kita serta dunia ilmu maju ke hadapan pada abad ke-21 ini.

Allahyarham Rustam A. Sani meninggalkan seorang isteri puan Rohani Zainal Abidin, seorang adik (Noliah Boestamam), dua orang anak (Azrani dan Azriani), seorang menantu (Ku Salha Ku Adnan) dan seorang cucu (Arissa Azrani).

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau dan memberikan kekuatan kepada seluruh ahli keluarga beliau. Amin!

Nota: Prof Datuk Dr Abdul Rahman Embong, yang kini sedang berkhidmat di IKMAS, merupakan presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).

Komen-komen»

1. hanif amir - April 26, 2008

Al-Fatihah..
Moga keberaniannya dalam menyampaikan sesuatu isu secara beranai,jujur dan kritis akan dapat diteruskan untuk manfaat bangsa Malaysia!

2. rendah diri - April 27, 2008

salam ziarah. ambillah yang jernih, buangla yang keruh. menarik blog ni


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: