jump to navigation

Program Majlis Peguam Dirempuh: Suatu Tindakan Yang Islamik? Ogos 13, 2008

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Pergerakan Progresif Mahasiswa Islam

Orang Islam (bukan agama Islam) di Malaysia khususnya mereka yang berpayung di bawah parti politik yang menggunakan nama Islam, ngo-ngo yang menggunakan nama Islam dan persatuan-persatuan yang menggunakan nama Islam (termasuk persatuan-persatuan mahasiswa Islam di universiti-universiti tempatan) cenderung untuk bersikap marah dan emosional yang melulu. Ini jelas kelihatan pada kejadian pada 9 Ogos 2008, hari Sabtu yang lepas.

Lebih 300 orang Islam sebahagian besarnya tergabung di dalam parti politik, ngo dan persatuan-persatuan Islam telah bertindak menggunakan ugutan dan kekerasan untuk menghentikan program anjuran Majlis Peguam (Bar Council).

Terdapat beberapa soalan yang perlu kita ajukan sebelum kita merumuskan pandangan kita tentang kejadian ini. Tiga soalan yang paling pokok yang perlu kita tahu sebelum kita mengajukan soalan-soalan lain ialah satu, apakah sebenarnya tujuan program Majlis Peguam itu?

Dua, apakah isi kandungan program itu? Dan tiga, adakah benar program itu bertujuan untuk membuat provokasi dan menghina Islam sepertimana yang diwar-warkan? Setelah kita menjawab soalan-soalan di atas, soalan-soalan berikutnya yang perlu kita tanya ialah adakah tindakan menggunakan ugutan dan kekerasan untuk menghentikan program seperti itu adalah tindakan yang selari dengan nilai-nilai Islam? Adakah terdapat mana-mana nas samada dari Al-Quran atau pun sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih yang menyokong tindakan kekerasan seperti itu?

Sebelum kita menjawab soalan-soalan di atas, PROMIS (Pergerakan Progresif Mahasiswa Islam) ingin menyatakan bahawa kami menyokong sepenuhnya kebebasan bersuara dan kebebasan berdemontrasi. Kebebasan bersuara dan kebebasan berdemontrasi adalah selari dengan nilai-nilai Islam yang demokratik yang menghormati kebebasan bersuara dan kebebasan berbeza pandangan. Nilai Islam yang demokratik ini juga selari dengan hak bersuara dan hak berhimpun yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kita dan juga di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kami di PROMIS berpandangan kebebasan bersuara dan kebebasan berdemontrasi tidak seharusnya dihalang dan disekat. Sesiapa sahaja yang ingin bersuara dan berdemontrasi, perlulah diberi ruang sedemokratiknya untuk menyuarakan pandangan atau berdemontrasi tanpa perlu ditakut-takutkan oleh mereka yang mempunyai kuasa. Pendirian kami ini juga membawa maksud bahawa kami menyokong sepenuhnya tindakan parti politik, ngo-ngo dan persatuan-persatuan Islam yang berkumpul dan berdemontrasi di hadapan bangunan Majlis Peguam untuk menyatakan bantahan mereka terhadap program yang dikatakan menghina agama Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam itu. Tetapi persoalan yang lebih penting untuk kita tanyakan di sini ialah adakah tindakan kekerasan merempuh masuk ke dalam program tersebut, mengeluarkan kata-kata kesat, mengugut dan menuntut supaya program tersebut dihentikan adalah suatu tindakan yang demokratik, wajar dan Islamik? Untuk menjawab soalan ini kita perlu tahu dahulu apakah tujuan program ini dan apakah isi kandungannya.

Kalau ditanya kepada semua mereka yang berkumpul dan berdemontrasi itu, kami yakin rata-ratanya tidak tahu tujuan sebenar program Majlis Peguam tersebut diadakan. Rata-ratanya mereka menganggap program itu bertujuan untuk membuat provokasi dan menghina agama Islam.. Adakah ini benar? Atau pun ia hanya andaian semata-mata ? Dari mana andaian ini muncul? Dari media yang dikuasai pemerintah? Atau dari pemimpin-pemimpin politik, ngo dan persatuan Islam yang menggunakan nama agama Islam untuk meraih sokongan? Bagaimanakah mereka yang berhimpun di hadapan bangunan Majlis Peguam tersebut dan pemimpin-pemimpin politik, ngo dan persatuan Islam ini tahu dengan pasti bahawa program tersebut bertujuan untuk menghina dan memprovokasi agama Islam, kalau mereka sendiri tidak hadir di program tersebut untuk mendengar dan melihat sendiri perjalanan program tersebut? Adakah tindakan kekerasan menggunakan ugutan untuk menghentikan program tersebut tanpa mengetahui terlebih dahulu isi kandungan program tersebut merupakan suatu tindakan yang selari dengan nilai-nilai Islam? Adakah Islam menganjurkan kita untuk bertindak dahulu sebelum kita mendapatkan bukti yang sebenar? Tidakkah tindakan menghentikan program tersebut tanpa mendapatkan bukti yang jelas, adalah tindakan yang sama seperti ISA dan USA? Tangkap dahulu tanpa perlu ada bukti – itu ISA. Serang dahulu Iraq tanpa perlu ada bukti – itu USA dan dalam kes ini hentikan program tersebut dahulu tanpa perlu ada bukti – itu tidak Islamik!

Bagaimana untuk mendapatkan bukti sahih tentang inti program tersebut? Tidak ada jalan lain kecuali kita sendiri wajib hadir, dengar dan lihat sendiri perjalanan program itu. Hanya selepas kita hadir, dengar dan lihat barulah kita boleh membuat keputusan samada program tersebut bertujuan menghina Islam atau tidak. Selagi kita tidak hadir, tidak dengar dan tidak lihat, apa jua pandangan kita terhadap program itu hanyalah berupa andaian semata-mata. Adakah Islam menganjurkan umatnya untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan andaian semata-mata? Yang pasti peserta-peserta demontrasi tersebut telah menjatuhkan hukuman terlebih dahulu dengan cara ugutan dan kekerasan menuntut program itu dihentikan tanpa ada bukti yang sahih yang menunjukkan bahawa program tersebut adalah menghina Islam.

Justeru itu, kami di PROMIS menegaskan bahawa sebelum sesuatu tindakan itu diambil, kita wajib mengetahui dengan jelas letak duduk perkara yang sebenar terlebih dahulu. Tindakan melulu yang dilakukan tanpa mendapatkan bukti-bukti yang sahih terlebih dahulu adalah tindakan yang sangat tidak Islamik dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang telus, saksama dan adil. Oleh kerana itu PROMIS berpendirian tindakan ugutan dan kekerasan yang dilakukan untuk menghentikan program Majlis Peguam tersebut adalah suatu tindakan yang tidak demokratik dan melanggar prinsip-prinsip kemanusiaan, kesaksamaan, ketelusan dan keadilan yang dijunjung tinggi oleh agama Islam yang mulia dan suci.

Yang nyatanya, bagi sesiapa yang hadir sendiri ke program Majlis Peguam tersebut akan dapat mendengar dan melihat sendiri bahawa program tersebut bukanlah bertujuan untuk membuat provokasi atau menghina Islam. Ia merupakan suatu program perbincangan dan dialog antara orang Islam dan bukan Islam berhubung dengan konflik undang-undang yang timbul hasil dari tafsiran yang berbeza-beza terhadap perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan di dalam perundangan Islam sendiri terdapat pelbagai khilaf ulamak, inikan pula perlembagaan Malaysia yang tentunya juga terdapat pelbagai tafsiran yang berbeza-beza. Tafsiran yang berbeza ini perlu dirundingkan, dibincangkan dan didialogkan supaya suatu rumusan yang adil dan saksama dapat dicapai untuk seluruh warga Malaysia tidak kira Islam atau bukan Islam. Bukankan pencarian kebenaran, kesaksamaan dan keadilan melalui proses dialog, perbincangan dan rundingan itu adalah intipati ajaran Islam? Jika kita bersetuju ianya adalah intipati ajaran Islam kenapa parti politik, ngo-ngo dan persatuan-persatuan Islam ini menghalang proses itu dari berlaku?

Untuk mengatakan program itu hanya dihadiri oleh orang bukan Islam dan pembicaranya hanya mewakili pihak bukan Islam, ini merupakan kesalahan yang sangat-sangat nyata yang berdasarkan prejudis dan buruk sangka. Di dalam program tersebut pembicaranya bukan sahaja dari pihak bukan Islam, tetapi dari pihak Islam juga turut dijemput. Antara pembicara dari pihak Islam yang dijemput ialah Pegawai Pendakwaraya Mahkamah Syariah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dr. Muhammad Naim Mukhtar, Pengarah Pusat Undang-undang Syariah dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam (IKIM), Dr. Wan Azha Wan Ahmad dan Peguam Syarie yang mewakili Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di dalam salah satu kes penukaran agama, En. Muhammad Haniff Khatri Abdullah.

Namun begitu dua pembicara dari JAWI dan IKIM menarik diri di saat-saat akhir. Tetapi peguam Syarie, En. Muhammad Haniff Khatri yang mewakili JAWI dalam kes penukaran agama telah hadir dan terlibat di dalam sesi dialog dan perbincangan dengan pembicara dari pihak bukan Islam di dalam suasana yang penuh sopan, tertib dan bertamadun sehinggalah beberapa orang peserta demontrasi termasuklah salah seorang pemimpin parti politik dari PKR, En. Zulkifli Nordin (Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu) merempuh masuk ke dalam program tersebut. Terdapat beberapa peserta yang merempuh masuk itu menjerit-jerit, mengeluarkan kata-kata kesat berunsur perkauman dan mengugut pihak penganjur menghentikan program itu segera.

Tindakan kekerasan dan ugutan ini akhirnya telah memaksa pihak penganjur untuk menghentikan sesi perbincangan dan dialog yang diadakan di dalam suasana yang tergantung tanpa ada sebarang penyelesaian atau rumusan di dalam usaha untuk mencari keadilan di dalam menangani konflik yang muncul hasil daripada tafsiran yang berbeza terhadap perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan ini. Salah seorang peserta forum tersebut Professor Dr. Mehrun Siraj, seorang Pensyarah Undang-undang dari UIA di dalam kenyataannya di salah sebuah laman portal web merasa sangat-sangat kesal dengan tindakan biadab dan memalukan agama Islam yang ditunjukkan oleh mereka yang merempuh masuk ke dalam program tersebut dan memaksa supaya program tersebut dihentikan.

Jadi jelasnya di sini, program tersebut langsung tidak bertujuan untuk membuat provokasi dan menghina Islam, sebaliknya ia dibuat untuk mencari keadilan melalui proses dialog dan perbincangan antara pihak Islam dan pihak bukan Islam. Malangnya program yang baik ini telah dihentikan secara kekerasan dan tidak demokratik oleh orang-orang Islam yang telah menconteng wajah Islam sebagai agama yang marah bukan ramah!

Islam yang marah sepertimana yang ditunjukkan oleh mereka yang merempuh masuk ke dalam program Majlis Peguam dan menggunakan kata-kata kesat, kekerasan, pemaksaan dan ugutan untuk menghentikan program tersebut bukanlah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada sebarang nas baik dari Al-Quran yang suci mahu pun sunnah Rasullullah s..aw. yang menyuruh umat Islam menghentikan secara kekerasan dan ugutan program yang bertujuan untuk mencari keadilan untuk warga masyarakat melalui proses perbincangan, dialog dan rundingan. Malahan jika kita tinjau dari keperibadian Nabi Muhammad s.a.w sendiri, beliau adalah insan yang pemurah, baik hati, penuh toleransi, berhemah di dalam tutur kata, sopan di dalam berbicara, santun tingkahlaku, sangat menghormati, pengasih, pemaaf dan penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Malahan sewaktu beliau di Thaif ketika beliau menyampaikan pesan-pesan Allah, beliau telah dicerca, dicaci, dilempar batu hingga beliau luka malahan turut dilempar najis unta tetapi tingkahlaku kaum musyrik di Thaif ini tidak sedikit pun mengundang perasaan marah beliau. Malahan ketika malaikat menawarkan bala kehancuran untuk diturunkan ke atas masyarakat Thaif, Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh nilai kemanusiaan menolak tawaran tersebut malahan beliau berkata yang beliau akan terus mendoakan agar Allah s..w.t menunjukkan jalan kebenaran kepada masyarakat Thaif tersebut. Tetapi sayangnya contoh-contoh sifat mulia dan terpuji yang menjadi keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. itu tidak langsung dicontohi oleh mereka yang menggunakan kekerasan dan ugutan untuk menghentikan program Majlis Peguam tersebut.

Justeru itu Pergerakan Progresif Mahasiswa Islam (PROMIS) ingin menegaskan bahawa kami menghormati tindakan parti politik, ngo-ngo dan persatuan-persatuan yang menggunakan nama Islam yang berhimpun dan berdemontrasi membantah program yang dianjurkan oleh Majlis Peguam pada hari Sabtu 9 Ogos 2008 yang lepas tetapi kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka merempuh masuk ke dalam program tersebut dan menggunakan kata-kata kesat yang berbaur perkauman, mengugut pihak penganjur dan memaksa secara kekerasan pihak penganjur menghentikan program tersebut. Tindakan menggunakan kata-kata kesat, kekerasan dan ugutan untuk menghentikan program perbincangan dan dialog seperti itu adalah tindakan yang tidak Islamik, tidak demokratik malahan menyalahi prinsip-prinsip Islam yang menjunjung tinggi proses mencari keadilan di dalam masyarakat.

Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menjatuhkan hukuman terhadap sesuatu program yang dijalankan hanya melalui andaian semata-mata tanpa kita sendiri tahu dengan pasti letak duduk perkara yang sebenar. Sepatutnya pihak yang berdemontrasi tidak bertindak menghentikan program tersebut, sebaliknya mereka perlu menghadiri terlebih dahulu program perbincangan dan dialog tersebut dan jika mereka tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan, mereka boleh menggunakan kesempatan tersebut untuk menyatakan pandangan mereka. Prinsip-prinsip Islam dan demokrasi menekankan bahawa perbezaan pandangan haruslah ditangani melalui perbincangan, dialog dan rundingan secara berhemah dan sopan bukan dengan cara pemberhentian perbincangan melalui kekerasan dan pemaksaan.

Marilah kita bersama-sama mendirikan Islam yang rasional bukan yang emosional. Membangunkan Islam yang ramah bukan yang marah. Bukti bahawa Islam itu adalah agama perdamaian dan bukan agama keganasan terletak sepenuhnya pada tingkahlaku kita sebagai penganut agama Islam. Tidak ada jalan lain untuk memperlihatkan wajah Islam yang damai, rasional dan ramah kecuali dengan mencontohi sifat, tingkahlaku dan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang sopan tutur katanya dan santun tingkahlakunya. Jika kita mahu Islam dilihat sebagai agama perdamaian bukan agama keganasan, maka jadilah penganut Islam yang peramah bukan yang pemarah!

Komen-komen»

1. fahmi - Ogos 13, 2008

Mengislamkan Melayu, tak mengapa.
Memelayukan Islam, jangan sekali.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: