jump to navigation

Teo Kok Seong: Bahasa Melayu Tidak Miskin September 15, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu. Meskipun bukan sebagai bahasa ibundanya, Teo Kok Seong professor sosiolinguistik UKM ini tetap percaya bahawa bahasa Melayu tidak kalah bandingnya dengan bahasa-bahasa utama lain di dunia.

Soalnya sekarang ialah, bagaimana kita mahu merancang bahasa. Dalam wawancara Ummahonline.com siri ketiga bersama anak tiong hua pengkhususan perancangan bahasa ini, nyata ketara memperlihatkan bagaimana bahasa Melayu telah membangun dari gelutan budaya, sejarah dan kekuatan yang tersendiri. Justeru, elok kita sama-sama menyusuri jejak keyakinan fikirannya.

Barangkali benar, anjakan bahasa ini boleh menyebabkan terhakisnya budaya. Tetapi sejauh mana pula kepentingan budaya itu dalam zaman sebegini? Bukankah yang paling penting sewaktu kita menggunakan bahasa ialah pemerolehan ilmu. Jadi, kalau kita mengambil matlamat ini, maka budaya tidak begitu punya makna apa-apa lagi?

Bukan begitu. Saya kira yang penting sekali ialah, bahasa merupakan sebahagian yang penting dalam budaya. Maksudnya, kita tidak mahu orang Melayu ini hanya punya nama saja. Kita Melayu, tapi tidak boleh bercakap Melayu. Nanti, orang pun akan kata, ?yang engkau ini Melayu apa?? Jadi, sebab itu bahasa penting untuk budaya dan identiti bangsa. Bagi orang Melayu amnya, bagi orang Malaysia khususnya?seperti Cina, India, Kadazan, Iban, dll?bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan. Jadi, mahu atau tidak mahu, mereka kena menganggap bahawa bahasa Melayu itu adalah bahasa bersama, atau bahasa kita.

Sebab itu, kalau bahasa Melayu itu telah terhakis dari satu komponen yang penting pengajaran dan pembelajaran, sepertimana terhakisnya dalam pendidikan sains dan matematik itu, maka ini maknanya bahasa Melayu itu dari segi budayanya sudah tidak ada budaya sains dan matematik lagi.

Tapi, bukankah hal ini berpunca dari kurangnya kosakata yang terdapat dalam bahasa Melayu yang cetek memerihalkan pengetahuan dalam sains dan matematik? Jadi, ini turut bermakna bahawa pengetahuan sains dan matematik dalam bahasa Melayu itu sebenarnya sangat terbatas, kerana barnagkali hanya punya pengalaman dan ketamadunan yang singkat? Tidak begitu?

Tidak juga. Maksudnya, ilmu sains dan matematik yang kita ada itu sebenarnya tidak terbatas. Memang saya faham maksud pertanyaan ini. Maksudnya, kita tidak mempunyai istilah yang memadai untuk menerangkan tentang sains dan matematik. Tapi, bukankah kita boleh pinjam dan serap istilah dari bahasa Inggeris, atau dari bahasa-bahasa lain, dan kemudiannya kita beri identiti menurut bahasa Melayu? Kita eja ikut Melayu, dan kalau boleh kita mahu sebutan pun ikut Melayu juga. Tapi, tak ramai yang mahu buat. Umpamanya, kita sebut ?identiti?, bukan ?identity?. Cara sebutan itu nyata berbeza, meskipun perkataannya seperti hampir sama. Malah, hari ini sebutan baku pun sudah dihapuskan. Di sinilah kita nampak peri pentingnya sebutan baku tersebut dalam memperlihatkan jati diri bangsa kita.

Tapi, dengan kaedah meminjam, tidakkah ini jelas menunjukkan bahawa memang terdapat kekurangan dalam bahasa Melayu tersebut?

Tidak ada yang kurangnya. Maksudnya, bahasa mana-mana pun di dunia ini pasti akan meminjam. Atau istilah yang lebih tepat, menyerap. Bahasa Inggeris sendiri pun telah menyerap ribuan perkataan dari bahasa latin. Logic pun mereka ambil daripada logos dari bahasa Yunani. Macam-macam lagi. Kita kata philosophy pun, itu berasal dari philien dan sophia. Tidakkah itu meminjam?

Jadi, kita pinjam itu tak semestinya menunjukkan bahasa Melayu itu miskin. Di samping itu, kita boleh bina istilah kita sendiri. Kita pun sedar, bidang sains dan matematik itu bersifat antarabangsa. Kalau dulu kita ada membina kosakata sendiri. Mithalnya dulu, kita pernah menggunakan perkataan ?maging?. Tapi sekarang kita tidak guna lagi. Sekarang kita panggil carnivore, omnivore, dll. Itu kita lakukan untuk memastikan keselarasan dengan piawai antarabangsa. Tapi masih ada ciri bahasa Melayunya. Umpamanya bahasa Melayu sekarang, para pelajar diperkenalkan dengan istilah ‘karnivora’. Kaedah dan penggunaan ini ada baiknya, iaitu supaya bila anak-anak kita bila merujuk kepada buku bahasa Inggeris, maka tidak mereka bengong sangat. Sebab dia pernah dengar dan belajar istilah carnivore. Begitu maksudnya. Jadi, tidak bolehlah kita kata bahawa bahasa Melayu kita itu miskin.

Jadi, memang bahasa Melayu cukup kekuatan untuk jadi bahasa ilmu?

Memang! Bahasa mana-mana pun Tuhan bagi cukup untuk mengungkapkan ilmu. Malah, bahasa orang asli pun cukup. Maksudnya cukup ini dari segi untuk memerihalkan ilmu. Kemudian kita boleh menambah kosakata menerusi apa yang kita kenali sebagai perancangan bahasa. Macam bahasa Melayu dulu pun begitu. Kita lakukan perancangan bahasa menerusi Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Pihak kerajaan ada memberi dana kepada untuk merancang sistem ejaan kita, malah sistem tulisan yang hingga kini sampai ada dua bentuk: jawi dan rumi. Selain itu, kita membina banyak istilah dari akar bahasa kita. Jadi, kita boleh bina dan memperkayakan bahasa Melayu kita.

Sebab itu, saya katakan, kalau kita nak bahasa orang asli itu dalam mengungkapkan sains dan matematik, maka itupun pun kita boleh. Maka, kita binalah! Yang mana yang tak cukup kita rancang. Jadi tak timbul persoalan bahasa Inggeris adalah bahasa kuat. Tidak timbul itu.

Sebab bahasa yang Tuhan bagi hakikatnya boleh ungkapkan apa-apa saja. Sama ada ia secara langsung atau tidak langsung sahaja. Mungkin bahasa Inggeris bila nak perkatakan sesuatu, ia kelihatannya lebih langsung dan cantik. Sebab barangkali bahasa Inggeris ada budaya sains dan teknologi yang lebih lama. Tapi, kita pun boleh lakukan demikan. Mithalnya, orang asli tidak ada perkataan tentang fermentation, tapi dalam waktu lima-enam minit mereka boleh pun ceriatkan pada kita sesuatu tentang budaya dan pemakanan mereka, yang akhirnya kita tahu bahawa itu adalah merujuk pada fermentation atau penapaian. Samalah macam masyarakat Kelantan buat budu. Itu pun fermentation. Cuma masyarakat Kelantan tidak panggillah fermentation. Jadi, kita memang boleh bina kosakata kita sendiri.

Kerana itu, bahasa Melayu ini, dari segi korpusnya?iaitu, bahan-bahan bahasanya, sistem ejaannya, serta kosakatanya, malah leksikonnya?sudahpun dikira mantap. Hanya kita saja yang tidak ada keyakinan sahaja.

Tapi, kalau kita merujuk kepada sejarah kita sebelumnya, benarkah bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa besar dunia, atau dalam istilah yang lain, sebagai sebuah bahasa lingua franca? Atau itu hanya omongan?

Ya, memang ada. Buku yang membuktikan perkara tersebut pun maseh ada lagi. Ibaratkan begini, jika orang putih nak berniaga rempah di rantau ini mereka semestinya kena tahu berbahasa Melayu. Kalau mereka tak tahu bahasa Melayu, mereka tidak boleh berniaga apa-apa. Macam kita sekaranglah. Pada zaman globalisasi, kalau kita tidak tahu bahasa Inggeris, maka sukar untuk kita berniaga di seluruh dunia. Dulu bahasa Melayu pernah sampai ke tahap itu.

Tapi, bahasa Melayu tidaklah sampai menjadi bahasa utama di dunia, bukan? Sama dulu atau kini. Jadi, kalau kita mahu membangun bahasa Melayu, sekurang-kurangnya dalam konteks untuk menyaingi bahasa Inggeris, maka hakikatnya kita tidak cukup kekuatan sejarah untuk menyandarkan kelebihan bahasa Melayu tersebut?

Ya, saya akui. Memang, secara akademiknya, kita tidak ada kekuatan tersebut. Sukar untuk kita menemui bahan-bahan ilmiah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Tapi, kita tidak boleh kata bahawa bahasa Melayu ini kokak dan komang sangat. Sebab, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa kerajaan sewaktu penjajah belum datang lagi. Kerajaan Melaka dulu tulis surat kepada mana-mana kepada kerajaan di dunia ini, mereka menggunakan bahasa Melayu. Ini ada buktinya. Malah, sampai ditunjukkan dalam muzium lagi. Dan, kita pun tak boleh kata yang bahasa Melayu itu tidak boleh mengungkapkan soal ilmu. Kalau kita tengok kitab-kitab lama, semuanya ada mengandungi ilmu. Semua ditulis dalam bahasa Melayu, meskipun sebahagian besarnya dalam tulisan jawi.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: