jump to navigation

Memperkasa Khazanah Keilmuan September 16, 2008

Posted by ummahonline in Ishraq Nur Hikmah, Kolum.
trackback

Khazanah keilmuan kita telah diusahakan oleh ramai tokohnya seperti Daud Patani (penulis kitab tauhid terbesar dalam bahasa Melayu lama), Abdul Samad Palembang (yang disebut kearifannya dalam kitab ulama Yaman), Ahmad Patani (mendapat kerjasama Khilafah Uthmaniyyah dalam bidang percetakan kitab Arab dan Jawi), Nawawi Banten (yang banyak menulis dalam bahasa Arab) dan Mahfuz Tarmasi (pakar hadis dan usul fikah).

Malah, tidak ketinggalan juga, Mukhtar Atarid Bogor (tokoh falak dan sufi yang terkenal di Mekah) dan Yasin Padang (pemegang riwayat sanad ilmu pengetahuan yang terbanyak di dunia pada masa hidupnya).

Usaha mereka telah menyediakan `suasana selesa’ yang dengannya dapat dipertingkatkan kemanfaatannya serta berpeluang membangkitkan respons keadaan persekitaran dengan lebih berkesan.

Dilihat peluang ini tidak diabaikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Ustaz Abdullah Mohamad (Nakula) dan Ustaz Hj. Wan Mohd Shaghir. Hasrat tulisan ini, supaya kita mampu memperkayakan lagi khazanah yang telah ada dengan cara yang lebih tersusun yang dapat memberi kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sepanjang penyelidikan yang dilakukan, didapati khazanah keilmuan ini memiliki norma-norma penting yang telah menjadi `pengukur’ kepada penghayatan Islam di rantau ini. Ini tidak bermakna memutuskan norma-norma yang terdapat di tempat-tempat lain di dunia Islam tetapi menjurus kepada mengenali identiti.

Identiti ini juga menampakkan kepada kita keunggulan dunia Nusantara di peringkat antarabangsa. Norma yang dimaksudkan akan dijelaskan selepas ini.

Pertama, kajian simpulan iman (aqidatul iman) yang diwajibkan kepada sekalian mukalaf. Simpulan iman ini disimpulkan daripada dua kalimah syahadah. Dua kalimah syahadah menerbitkan lima puluh simpulan iman yang menumpu kepada pengkajian sifat-sifat Tuhan dan sifat para rasul.

Wahyu dan pengkajian bahasa serta keupayaan akal yang murni mempengaruhi penyusunan pengkajian ini. Antara tokoh yang amat terkenal memberi nafas baru secara tersusun dan mengelakkan kekeliruan kepada pengajian tauhid ini ialah Imam Muhammad Yusuf al-Sanusi (w.895H).

Biasanya kajian ini, didahului dengan kajian hukum akal dan hukum adat. Kemudiannya, tertulis dalam buku-buku tauhid karya Daud Patani, Ahmad Patani, Tuan Minal, Pak Da Eil (yang menurunkan kepada Hj. Abdullah Lubok Tapah dengan sedikit suntikan baru).

Inilah asas penting dalam pengajian tauhid di Asia Tenggara. Hinggakan sesiapa yang ingin mendalami tasawuf perlu terlebih dahulu mempelajari kajian simpulan iman ini.

Norma kedua, pengajian perundangan berdasarkan mazhab Syafie. Mazhab Syafie yang diterima bukanlah secara taklid buta. Sumber teras mazhab ini ialah al-Quran, Sunah, Ijmak dan Qiyas.

Ia juga dikreatifkan dengan adanya qawa’id al-fiqh (kaedah-kaedah fikah). Generasi demi generasi mazhab ini mengalami penganalisaan. Rujukan yang berautoriti dalam mazhab ini ialah karya Imam Nawawi, Imam Rafi’i, Imam Ramli, Ibnu Hajar al-Haitami dan beberapa orang tokoh lagi.

Mazhab ini diikuti oleh majoriti Muslim di Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia. Ada pihak tertentu mengkritik bermazhab, tetapi misalnya, Dr. Syeikh al-Marbawi (penulis Qamus Marbawi dan Bahr al-Mazi) membela aliran bermazhab.

Norma ketiga, pengajian ilmu aqli turut diambil berat, antaranya bentuk mantiq Risalah Syamsiyyah (karya al-Qazwini-wafat 675H) dan pascanya seperti karya al-Akhdari yang amat terkenal di kalangan penuntut pondok iaitu al-Sullam.

Al-Sullam ini telah dihurai dengan lebih mendalam oleh tokoh selepasnya. Kedua-dua bentuk karya utama mantiq ini dikatakan oleh Nicholas Rescher sebagai aliran perdamaian antara pakar logik timur dan barat dunia Islam. Pada waktu ini, mantiq berkait dengan bidang ilmu nahu, falak dan tauhid.

Norma keempat, bentuk pengajian hikmah pasca Tahafut al-Falasifah dan Misykat al-Anwar karya Imam Ghazali. Fokus utama al-hikmah ialah tentang `kewujudan’. Inilah bentuk ilmu rasional yang diikuti oleh ulama yang rajin di Asia Tenggara.

Ketika Napoleon Bonaparte menduduki Mesir pada tahun 1798, Syeikhul Azhar Hasan al-Attar berusaha memberikan nafas baru kepada al-hikmah untuk menghadapi cabaran semasa.

Al-hikmah period ini telah dilihat disuburkan oleh ilmu tasawuf. Maklumat ini terdapat dalam buku kami yang berjudul Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi yang mana ia memberi kesan yang besar kepada dunia Islam seluruhnya.

Memandangkan betapa pentingnya umat Islam di rantau ini perlu memberi respons perkembangan terkini sains dan teknologi, beberapa tokoh seperti Prof. Emeritus Osman Bakar, Prof. Madya Shahidan Radiman dan Dr. Mohamad Alinor telah menyarankan keupayaan isi kandungannya.

Norma kelima dan keenam pula, biasanya diusahakan peminatnya secara bersama. Tasawuf yang dilalui ialah menurut tafsiran Imam Ghazali dan Ibnu Atha`illah.

Karya Ibnu Arabi hanya dibenarkan kepada mereka yang mampu memahaminya saja. Syeikh Abdussamad Palembang telah menyenaraikan karya-karya mengikut martabatnya dalam Siyar al-Salikin.

Manakala tarikat pula disarankan pengamalannya berdasarkan bimbingan guru yang mursyid dan memiliki salasilah perguruannya hingga Nabi Muhammad s.a.w. Antara buku panduan tentang tarikat yang berada di Asia Tenggara ialah karya Ustaz Wan Mohd Shaghir.

Selain keenam-enam norma utama ini yang menjadi identiti penghayatan Islam di rantau ini, ia juga berpotensi menginspirasikan penyelidikan dan perencanaan mendatang terutama dalam cabaran globalisasi.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi agensinya telah menerbitkan Malaysian Research and Development Classification System 4th yang memasukkan `sains berasaskan lingkungan sesebuah masyarakat’ (etnosains) dalam pengkelasannya.

Prof. Shaharir Mohamad Zain (Presiden Akademi Sains Islam Malaysia – yang terlibat sama dalam penyusunan pengkelasan ini) yang menyarankannya disuntik dalam pengkelasan tersebut.

Dengan penyenaraian ini, bermakna mazhab Thomas Kuhn dalam bidang falsafah sains yang menjulang istilah paradigma yang mengandungi norma-norma telah diterima secara rasmi di Malaysia.

Ini juga bermakna jurang antara sains tulen dengan sains sosial semakin mengecil ekoran pengkelasan ini. Pengecilan jurang memungkinkan negara ini mendapat laluan menuju kemajuan menurut acuan sendiri, jika manual yang disusun itu dilaksanakan dengan bijaksana.

Malaysia, sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Negara. Inilah relevannya kita membincangkan pengaruh Islam ke atas kita, sama ada sebelum merdeka atau selepasnya, dan sepatutnya kajian tentang Islam diletakkan dalam tempat yang khusus, yakni bukan dalam sains sosial.

Pembahagian kepada sains tulen dan sains sosial telah mempengaruhi dunia ilmu di serata dunia. Kecenderungan ini harus diambil perhatian supaya kajian keagamaan tidak terpinggir di peringkat pembuat keputusan atau hanya mampu berkumandang di fakulti atau pusat Islam sahaja.

Kajian keagamaan hanya merupakan satu bab dalam bidang sains sosial. Ini bermakna proses pengislaman ilmu berhadapan dengan cabaran yang besar.

Namun begitu, masih terdapat senario yang berlaku amat menggalakkan kerana beberapa aktiviti pengislaman bank, produk halal, pajak gadai dan seumpamanya diterima Muslim dan non-Muslim.

Inilah titik tolak bagi percubaan yang lebih terkehadapan perlu dilakukan. Kajian tentang ini tidak dapat dimuatkan dalam artikel ini yang ruangnya terhad.

Penempatan semula norma-norma yang telah disebutkan dalam acuan penghayatan Islam di negara ini, khususnya akan mempertingkatkan institusi keislaman secara maksimum di negara ini yang diketuai oleh Yang DiPertuan Agong bagi persekutuan dan sultan bagi peringkat negeri yang dinasihati oleh para mufti.

Ini penting bagi mengelak wewenang dalam pembuatan keputusan. Idea-idea yang dikemukakan ini jelas tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang amat sesuai dengan kepimpinan kini ketika ucapan sulungnya di Dewan Rakyat pada 3 November 2003.

Kesimpulannya, dua perkara utama telah dikemukakan, pertama berkenaan norma-norma yang telah dijalani oleh Muslim khususnya di Malaysia dan amnya di Asia Tenggara. Kedua, berkenaan kewajaran norma-norma tersebut tidak diketepikan sekalipun kita berada dalam negara yang mendukung Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Kewajaran ini dapat memantapkan perkembangan minda dan intelek, mencambahkan idea, inovasi, ciptaan dan kreativiti sekalipun dilontarkan oleh warga muda.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: