jump to navigation

Khalid Abd Samad: Pakatan Rakyat Sudah Memenuhi Syarat PAS (Siri I) September 17, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Anwar Ibrahim khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, sudah canangkan 16 September 2008 sebagai tarikh tumbangnya kerajaan Barisan Nasional. Namun, 16 September sudah berlalu, dan tiada apa-apa perubahan dalam struktur politik negara.

PAS adalah antara komponen penting dalam Pakatan Rakyat. Di dalam PAS, antara yang kental mendukung operasi 16 September ini ialah Haji Ir. Khalid Abdul Samad, ahli parlimen Shah Alam. Selepas sidang akhbar Anwar Ibrahim pada 16 September, Ummahonline.com berjaya mendapatkan rumusannya tentang perkembangan politik mutakhir. Mari kita tinjau beberapa fakta menarik dalam wawancara ini.

Hari ini 16 September—Hari Malaysia. Sebagai ahli politik, apa perasaan anda pada hari ini?

Perasaan saya begitu ghairahlah. Ini kerana, saya rasa kita sudah berada di ambang perubahan sepertimana yang diwar-warkan selama ini. Dari segi tarikh 16 September, itu hanya sebagai satu simbol untuk menzahirkan kepimpinan kepada perubahan Malaysia yang baru. Walaupun tarikh tersebut yang disasarkan pada asalnya, tetapi oleh kerana tindakan dari pihak lawan, maka ini telah menyebabkan mereka berjaya untuk melewatkan sikit. Selain daripada itu juga, kita mempertimbangkan tentang keselamatan serta kemungkinan adanya tindakan balas sekiranya kita bertindak terlalu cepat. Jadi, untuk mengelak perkara tersebut, maka adalah difikirkan lebih baik kita melakukan tindakan sepertimana yang dijelaskan oleh Anwar Ibrahim sewaktu sidang akhbar tadi (16 September).

Namun demikian, tindakan tersebut tidaklah mengubah hakikat bahawa tarikh 16 September bagi Malaysia adalah tarikh yang mengemparkan dari segi potensi serta janji perubahan yang akan berlaku.

Anwar dan Pakatan Rakyat telah memohon pertemuan dengan Perdana Menteri, Pak Lah supaya proses peralihan kerajaan dapat dilakukan dengan lebih lancar dan licin. Tapi bagaimana sekiranya Pak Lah tidak melayan permohonan tersebut. Apakah tindakan Anwar khususnya, atau Pakatan Rakyat (PR) amnya?

Pertama sekali, kita harus memberi peluang kepada Pak Lah untuknya menunjukkan diri sebagai seorang yang bermaruah dan bertanggungjawab. Ini penting supaya Pak Lah dapat mendengar apa yang ingin kita katakan dan kemudian mengambil-kira hakikat bahawa PR mempunyai majoriti yang bersama kita. Jadi, kita beri Pak Lah peluang dan melakukan perbincangan secara tersusun serta secara tertib tentang proses peralihan kuasa. Ini bagi memastikan segala penyerahan maklumat, perpindahan tugas, dan lain-lain yang sepatutnya dilakukan dari kerajaan lama kepada kerajaan baru dapat dilaksanakan dalam keadaan aman damai.

Sekiranya Pak Lah tidak setuju untuk bertemu dengan kita, maka kita tidak ada pilihan lain. Jadi, kita boleh membawa persoalan ini pula kepada pihak yang lebih wajar. Antaranya ialah memohon mengadap Yang DiPertuan Agong, melakukan hebahan kepada media massa, ataupun menerangkan kepada masyarakat umum bahawa pada hakikatnya Pak Lah sudah tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri kerana BN tidak mempunyai sokongan majoriti.

Tapi sehingga setakat ini media massa mahupun rakyat jelas tidak mengetahui maklumat terperinci mengenai siapa yang telah memberikan sokongan kepada PR? Jadi, bagaimana rakyat boleh bersikap untuk terus memberi kepercayaan kepada PR?

Pada hakikatnya, yang paling penting ialah kita telah punya majoriti serta jumlah yang minima. Jumlah yang tepatnya tidak perlu kita sebutkan, kerana kita khuatir akan ada tindakan yang tidak bertangggungjawab dari pihak BN nanti. Dan kalau kita sebutkan jumlahnya, maka BN akan kiralah dan nanti dia boleh buat agakan untuk tentukan siapa mereka yang bakal menyeberang. Sepertimana yang kita sedia ketahui, semua ahli parlimen kini sedang diawasi dan kemungkinan akan diambil apa-apa tindakan adalah sesuatu yang tidak dapat ditolak.

Jadi, kita tidak mahulah menyebut. Biar ada sedikit tanda-tanya.

Atau, apakah ahli parlimen BN yang mahu menyeberang ini tidak cukup keberanian sehingga tidak mampu untuk buat kenyaatan secara terbuka?

Memang itulah hakikatnya. Ini kerana kita tidak begitu yakin apakah tindakan BN sekiranya dilakukan kenyataan secara terbuka. Maka, langkah kita ini adalah untuk melihat dulu sebarang tindakan BN. Jika dia beri jaminan peribadi bahawa BN takkan bertindak dan menerima keputusan ahli-ahli parlimen yang ingin menyeberang itu, maka kita sedia buktikan kepadanya bahawa kita memang sudah ada nama-nama tersebut dan kita minta supaya segera dibincangkan tentang proses peralihan.

Sehingga setakat ini, apakah halangan yang maseh lagi wujud untuk Anwar menjadi Perdana Menteri, serta seterusnya membentuk kerajaan PR?

Yang pertama, adalah mengenai jumlah ahli parlimen BN yang mahu menyertai kita. Itu telah selesai. Yang kedua, soal syarat PAS yang telah diterima dan dipersetujui—di mana semestinya majoriti ahli parlimen dalam PR maseh terdiri daripada orang Islam. Dan yang ketiga adalah tindakan daripada pihak kerajaan BN sendiri, sama ada mereka akan bertindak menghalang ataupun sebaliknya ekoran kehilangan kuasa mereka itu. Tapi itu tidaklah bererti mereka tidak akan bertindak. Mereka mungkin akan cuba menggunakan kuasa polis dan sebagainya.

Apakah Anwar dan Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan rentas parti politik? Maksudnya, apakah kerajaan PR yang bakal dibentuk ini akan merangkumi semua parti politik utama negara. Bahkan, apakah barangkali mereka yang mahu menyeberang ini, bukan atas nama parti, sebaleknya atas nama peribadi sahaja? Adakah juga ahli parlimen yang mahu menyokong Anwar ini sampai perlu bertindak untuk meninggalkan parti mereka yang sedia ada?

Jika mereka maseh kekal dalam Umno/BN, saya fikir itulah adalah cara yang sukar kerana sekiranya tindakan tersebut dipersetujui oleh Anwar sekalipun, itu tidaklah bererti displin BN tidak akan ambil tindakan. Mungkin mereka akan pecat juga akhirnya orang-orang ini, ataupun sebagainya.

Maknanya, pada akhirnya BN/Umno secara rasmi tidak akan bersama dengan PR. Kalau ada individu Umno yang bersama kita, dan mereka tidak keluar parti, pasti dia akan dipecat dari parti juga nanti.

Anwar ada menyebut bahawa ada di kalangan menteri juga terlibat dalam kerajaan Pakatan Rakyat nanti. Bagaimana penjelasan anda?

Saya rasa itu tidak mustahil. Ini semua bergantung kepada tahap perbincangan yang diadakan oleh Anwar dan mereka. Saya sendiri rasa di situlah kelebihan yang ada pada Anwar kerana sebagai mantan timbalan perdana menteri, maka tentunya ia dikenali oleh orang-orang ini yang kemudiannya sanggup berhubung dengannya dan menyatakan pandangan mereka secara ikhlas.

Apakah Anwar telah mengumpan pemberian kuasa dalam kerajaan PR nanti sebagai tawaran untuk mereka yang ingin menyeberang?

Semestinya orang yang mahu memberikan sokongan itu tentu ingin melihat mereka juga diberikan peranan di dalam kerajaan yang baru nanti. Tetapi saya rasa, selain daripada persoalan ini, orang-orang yang dilantik itu semestinya juga merupakan orang-orang yang mempunyai kemampuan. Kita boleh terima langkah itu sebagai kompromi politik di mana orang-orang di Sabah & Sarawak turut diberikan jawatan. Tetapi yang penting, bagi kita ialah mereka mempunyai kemampuan dan mampu menjalankan tugas sepertimana yang dikehendaki.

Pertanyaan yang paling dasar sekarang ini, dan barangkali juga yang paling popular di kalangan rakyat ialah, siapa yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam kerajaan PR nanti?

Saya rasa benda itu akan dirunding bersama nanti. Tetapi saya rasa, ianya tidak akan menjadi satu masalah untuk kita menyelesaikannya setelah mempunyai kuasa nanti.

Apakah PAS meletakkan syarat bahawa Timbalan Perdana Menteri (TPM) mestilah Melayu?

Saya rasa kemungkinan itu adalah antara perkara-perkara yang kita bincangkan bersama. Tetapi ada juga kemungkinan yang lain, iaitu terdapat lebih dari satu TPM. Maknanya bila kita sudah duduk bersama, dan masing-masing dengan membawa kekuatan masing-masing, maka di situ kita putuskan secara yang adil dengan mengambil-kira kekuatan serta sokongan yang ada pada semua pihak. Mungkin satu formula yang kita ada ialah, satu TPM dari PAS, satu TPM dari DAP, dan satu lagi TPM dari Sabah & Sarawak. Itu satu formula yang berkemungkinan.

Tapi sebenarnya apa yang kita lihat, dalam PR merupakan satu keadaan yang berbeza dalam BN. Dalam BN ada parti yang terlalu dominan, iaitu Umno. Sebaleknya di dalam PR ini, kita akan melihat satu keadaan di mana semua parti saling memerlukan, dan tidak ada yang terlalu dominan yang menyebabkan suasana “semak & imbang” itu lebih berkesan sekiranya dibandingkan dengan kerajaan di bawah BN.

Mengapa sampai perlu tunggu 16 September untuk membuat peristiyaran tentang kerajaan baru. Walhal, PR sudah mendakwa akan mengambil-alih kerajaan semenjak Mac 2008 lagi. Bukankah lebih wajar 16 September ini diangkat sebagai hari perubahan kuasa politik negara secara struktur, bukannya hari untuk mengistiyarkan saja?

16 September ini kita kenang sebagai hari Malaysia, dan Anwar telah umumkan lebih awal tentang perkara tersebut. Hanya menunggu dari segi usaha untuk mendapatkan jumlah yang mencukupi sahaja sebelum kita boleh istiyarkan. Ini Anwar punya anggaranlah.

Manakala selepas 26 Ogos, mungkin maseh ada lagi usaha untuk mendapatkan orang yang barangkali belum mencukupi. Jadi, kemenangan Anwar pada pilihanraya raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos telah menambah keyakinan tersebut. Jadi, saya rasa sebelum 26 Ogos itu, mungkin ada yang ragu-ragu. Jadi, dari segi komitmen sepenuhnya itu memanglah tidak tercapai, sehinggalah Anwar mendapat sokongan rakyat yang bertambah kukuh pada 26 Ogos itu.

Justeru itu, antara 26 Ogos hingga 16 September ada banyak perundingan dan untuk membuat pengistiyaran yang lebih awal sudah terlalu dekat dengan tarikh 16 September. Maka itu yang menyebabkan Anwar menggunakan tarikh yang paling minimun 16 september, dan ini pula sedikit sebanyak dapat memenuhi kehendak dan harapan serta janjinya kepada rakyat. Saya kira mungkin Anwar mahu buat lebih awal juga, tetapi ada banyak halangan, termasuklah ahli-ahli parlimen BN yang terpaksa diangkut ke Taiwan pada saat-saat terakhir.

Jadi, kemungkinan asal yang dikehendaki memang pada 16 September. Tetapi kerana halangan-halangan tersebutlah, maka Anwar buat yang paling minima. Sekurang-kurangnya kita istiyarkan dulu. Jadi tidaklah 16 September itu berlalu tanpa apa-apa.

Saya fikir, kalau tidak ada halangan-halangan itu, sebelum 10 September lagi Anwar sudah boleh buat sepertimana yang dirancangkan. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Secara strukturnya, bila PR akan memerintah Malaysia?

Kalau harapan kita, kita mahu selesaikan dalam bulan Ramadhan ini supaya kita akan menemui Syawal dengan kerajaan yang baru.

Komen-komen»

1. Khalid Abdul Samad: Pakatan Rakyat Sudah Memenuhi Syarat PAS « Dupahang’s Weblog - September 17, 2008

[…] Khalid Abdul Samad: Pakatan Rakyat Sudah Memenuhi Syarat PAS […]

2. Keturunan UMNO - September 17, 2008

Ulasan yang menarik dan dapat memberikan gambaran langkah seterusnya.

Penyokong dan pendokong PR serta rakyat marhean kena yakin, banyakkan berdoa dan munajat pada bulan ramadhan ini.

Semoga segalanya berjalan lancar dan aman damai

3. Pakatan Rakyat Sudah Memenuhi Syarat PAS « Apa yang tak kena ni? - September 17, 2008

[…] Khalid Abdul Samad: Pakatan Rakyat Sudah Memenuhi Syarat PAS 17 Sep Wawancara 2 comments […]

4. org pas kedah - September 17, 2008

satu kupasan/ulasan yg membina.rasa mcm tak sabaq aje nak beraya dengan kerajaan baru.
dah rasa tersiksa sepanjang hidup di bawah kuasa BN.
‘PAS FOR ALL’

5. anti-feudal - September 18, 2008

harapan peralihan akan berlaku secara aman adalah mimpi dan angan-angan kosong.

mereka yang mengangan-angankan peralihan secara pintu belakang ini adalah mereka yang malas menyusun rakyat.

pakatan rakyat tidak akan menang kali ini kerana mereka tidak menyedia dan menyusun rakyat untuk menjadi “critical masses”.

yang wujud sekarang adalah “uncritical masses”. tidak akan berlaku sebarang perubahan selagi “critical masses” tidak terbentuk.

mengharapkan pimpinan politik atasan mencatur kuasa adalah sindrom mentaliti feudal.

jangan mimpi nak ada perubahan, kalau kita hanya berdoa tetapi tidak berusaha untuk membangunkan gerakan rakyat yang kritikal dan radikal.

6. karkun - September 18, 2008

Holy Tao te Ching, (bab 53:3) Mereka akan memakai pakaian yang anggun dan mewah, membawa pedang pada gagangnya, membiasakan diri mereka dengan makan dan minum yang berlebihan, dan memiliki harta dan kemewahan yang bertimbun; pemimpin yang seperti itu boleh dikatakan perompak dan bongkak.

7. Syabab hizbut tahrir - September 1, 2009

Dengan meneliti fakta (manath) koalisi parti Islam dan parti sekular/kufur yang ada di Malaysia, kita akan dapati bahawa mereka sesungguhnya berganding bahu untuk menumbangkan ‘musuh’ yang sama dengan berkoalisi untuk meraih pemerintahan bagi menggantikan musuh (kerajaan) yang sedang memerintah. Hal ini jelas seperti yang terkandung dalam konsesi aspirasi PR oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Mac 2008 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru pada 16 September 2008 setelah menjangkakan 30 orang ahli parlimen BN akan melompat parti. Aspirasi ini sekaligus menunjukkan fakta bahawa koalisi PR adalah untuk meraih dan mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi-sekular yang sedia ada. Ini kerana tidak mungkin parti Islam yang berada dalam koalisi boleh ‘memerintah secara solo’ atau ‘menerapkan Islam’ kerana hakikatnya mereka berada dalam satu tahaluf dengan puak kuffar/sekular. Apatah lagi halatuju dan perbezaan ideologi parti sekular/kufur yang sangat bertentangan dengan parti Islam tersebut. Realiti ini diperkuat lagi dengan banyak kenyataan yang keluar dari mulut si kuffar dan sekular sendiri bahawa mereka tidak pernah berpakat untuk mewujudkan negara Islam ataupun melaksanakan undang-undang Islam. Malah mereka akan menentang hasrat ini habis-habisan jika ia cuba dilaksanakan oleh parti Islam.

Demi Allah sesungguhnya mereka telah ‘membuktikan’ bahawa tahaluf siyasi mereka bukan ditegakkan atas dasar Islam, malah mereka telah mengorbankan Islam dengannya! Lima buah negeri telah mereka menangi, lalu mereka menjadi parti yang memerintah. Di Pulau Pinang parti Islam langsung tidak dapat bersuara kerana diperintah oleh parti kufur. Namun mereka tetap menyokong parti kufur ini kerana tahaluf. Aneh! Sebuah parti Islam menyokong pemerintahan yang bukan Islam oleh parti kufur! Manakala di Perak mereka berkongsi kuasa dengan parti kufur/sekular yang jauh lebih berani dan kuat berpegang teguh kepada kekufuran berbanding mereka (parti Islam) berpegang kepada keislaman. Lalu parti Islam tersebut terus membuang dan mencampakkan usaha mereka selama ini untuk menerapkan Islam, demi menjaga kepentingan koalisi dengan puak kuffar/sekular yang turut sama berada dalam pemerintahan. Akhirnya kekuasaan mereka berakhir dengan cara yang hina.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: