jump to navigation

Memikirkan Pelan Strategik Petroleum September 18, 2008

Posted by ummahonline in Congak, Kolum.
trackback

Baru-baru ini isu tentang minyak sangat hangat diperbahaskan dan dibincangkan di hampir semua media massa di kedai-kedai kopi. Kadang-kala saya terfikir, apakah fenomena yang berlaku ini sebenarnya boleh dikesan lebih awal, menggunakan hubbert peak. Bagi mereka yang memang terlibat secara langsung dalam industri minyak, nama Dr King Hubbert bukanlah asing.

Beliau merupakan bekas penganalisis ekonomi Royal Dutch Shell. Pada tahun 1949, melalui kajian beliau yang bertajuk ?Energy From Fossil Fuels, Science?, awal-awal lagi beliau telah memberi gambaran bahawa penghasilan minyak dunia akan meningkat pada tahap tertinggi pada tahun 1970.

Ramai yang skeptikal dengan hasil kajian beliau. Mana mungkin dengan hanya menggunakan matematik, permintaan masa hadapan boleh dijangka dengan tepat. Tetapi, pada tahun 1972, ramai yang terkejut tentang ramalan Dr King Hubbert yang menunjukkan fenomena yang menepati ramalan beliau.

Jika menggunakan kaedah yang sama untuk mengkaji kemuncak kedua selepas tahun 1972, ramalan menunjukkan bahawa kemuncak kedua akan berlaku pada tahun 2009. Permintaan terhadap komoditi itu dipercayai akan meningkat pada aras tertinggi dan kemudian akan menurun secara perlahan-lahan sehingga komoditi tersebut habis di muka bumi ini.

Walaupun sesetengah pendapat menyatakan harga minyak akan terus naik dan naik, namun perkara yang sebaliknya mungkin berlaku. Logiknya mungkin terletak pada bahan pengganti atau sumber alternatif untuk minyak yang boleh menyebabkan permintaan terhadap komoditi itu menurun.

Hasil kerja Dr King Hubbert boleh dikatakan sebagai antara penemuan terpenting dan terhebat dalam industri minyak, namun mengapa ramai yang tidak memanfaatkannya setelah terbukti tepat pada awal 1970-an?

Terdapat spekulasi mengatakan bahawa perang Iraq yang dimulakan oleh Amerika, merupakan antara hasil daripada kajian mereka mengenai permintaan minyak pada masa hadapan menggunakan hubbert curve. Spekulasi tersebut menyatakan bahawa setelah mengkaji permintaan minyak, Presiden Bush berhasrat untuk meningkatkan kapasiti simpanan minyaknya daripada 500 juta tong kepada 700 juta tong. Lebihan 200 juta inilah yang menjadi motivasi Presiden Bush untuk menggempur Iraq, walau dengan apa cara sekalipun.

Sejarah simpanan minyak Amerika Syarikat mungkin antara yang paling banyak didokumentasikan dan dibukukan. Mereka mula merancang pembinaan logistik simpanan minyak seawal 1971 kerana beberapa tahun sebelumnya mereka telah disekat import minyak oleh beberapa negara Timur Tengah yang mahukan harga yang lebih tinggi untuk emas hitam itu. Department of Energy ditubuhkan khusus untuk merancang, merangka dan menentukan tindakan terbaik untuk merealisasikan impian membina rezab simpanan petroleum Amerika.

Simpanan minyak sememangnya diperlukan oleh semua negara dalam persiapan untuk menghadapi gangguan bekalan dan sebagai stok penimbal untuk menghadapi sangat-sangat genting kenaikan harga minyak.

Jepun mempunyai stok simpanan sebanyak 579 juta tong, yang mampu menampung keperluannya selama 169 hari. China pula walaupun mempunyai sumber minyak dan arang batu yang banyak, telah memulakan pelan strategik petroleumnya pada 2004 dan dijangka akan menyimpan sebanyak 400 juta tong untuk keperluan 90 hari atau tiga bulan. Di Malaysia, kita masih belum mempunyai Pelan Strategik Petroleum atau stockpill.

Pada tahun 2005, Malaysia dilaporkan mempunyai simpanan minyak bawah tanah sebanyak 5.2 billion tong. Pada kadar penghasilan sebanyak 726 800 tong sehari, maka dianggarkan kuantiti minyak di Malaysia akan bertahan lebih kurang 19.6 tahun lagi. Ini tidak mengambilkira kemungkinan menjumpai telaga-telaga baru.

Dalam menentukan kadar permintaan hadapan untuk jangkamasa pendek, analisis SPSS (Statistical Package for Social Science) boleh digunakan. Menurut Hamidi(2008), kekuatan regresi perkaitan antara permintaan tenaga dan keluaran negara kasar berada pada tahap 0.99. (suatu keadaan yang sangat kuat perkaitannya). Hasil ini diperolehi setelah melakukan analisis terhadap data Malaysia dari tahun 1990 hingga 2005.

Analisis ini turut menggunakan andaian bahawa kadar pertumbuhan ekonomi, secara tentuistik, berada pada tahap 6 peratus setahun. Andaian ini juga diperolehi daripada purata kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia selama 16 tahun (1990-2005).

Kajian ini dilakukan terhadap data-data yang didapati dalam negara. Tidak mengambil kira hasil galian Petronas di luar negara. Hasil galian Petronas di luar negara, atau dikenali sebagai “foreign reserve” turut merupakan hak mutlak Petronas. Terpulang kepada Petronas untuk menjualnya atau membawanya pulang ke Malaysia. Petronas pada ketika ini beroperasi di lebih 30 buah negara di seluruh dunia, termasuklah di Sudan, Vietnam, Mozambique, Cameroon, Cuba, Argentina dan Maghribi.

Ironinya, walaupun kajian tersebut dilakukan tanpa mengambilkira faktor kecekapan teknologi (yang mana semakin tinggi kecekapan teknologi , semakin kurang penggunaan tenaga kerana keefisienan), hasil analisis tetap menunjukkan bahawa minyak di Malaysia akan bertahan selama 19.6 tahun.

Untuk mengelakkan daripada mengimport minyak pada masa harga yang tinggi, bekalan dalam simpanan sepatutnya digunakan untuk menampan harga tersebut.

Sekiranya penghasilan domestik melebihi daripada keperluan, simpanan minyak turut boleh digunakan sebagai ?senjata? dan hanya dikeluarkan pada ketika harga komoditi itu melonjak naik untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi di pasaran terbuka. Pelan strategik petroleum sememangnya berguna pada masa harga meningkat tinggi mahupun harga sedang menurun.

Pelan strategik petroleum boleh dilakukan dengan 3 kaedah penyimpanan. Tangki simpanan atas tanah, tangki bawah tanah dan tangki terapung atau ?floating tank?. Kaedah penyimpanan perlu dipilih berdasarkan kesesuaian. Tangki simpanan atas tanah sesuai untuk kegunaan harian. Tangki terapung atau ?floating tank? pula lebih sesuai digunakan oleh negara-negara yang kurang kawasan lapang seperti Singapura dan Jepun.

Pelan Strategik Petroleum sewajarnya dilaksanakan untuk membantu negara mengoptimumkan hasil minyak. Masih banyak yang perlu difikirkan berkaitan petroleum kerana rezab di seluruh dunia pada ketika ini dijangka dapat bertahan selama 140 tahun lagi dan hasil yang telah digali sebelum ini hanyalah lebih kurang 18% daripada jumlah keseluruhan yang terdapat di muka bumi.

Nota: Penulis merupakan Graduan Sains Aktuari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2008.

Komen-komen»

1. Jurgen - September 18, 2008

askum,

sdr terima kasih kerana memberi penerangan yang berharga.

tapi boleh saya tahu, bagaimana kita nak pastikan subsidi minyak kita dapat sampai terus kepada rakyat mengikut kelas masing-masing?

sebab sekarang rakyat yg kaya juga menikmati subsidi, malah dengan jumlah subsidi yg lebih besar dari rakyat bawahan yang melarat.

ada idea?

2. hamidi - September 18, 2008

Wassalam Saudara Jurgen,
Secara mudahnya, cuba perhatikan bagaimana tol beroperasi, teksi, kereta, bus dan lori mempunyai kadar bayaran yang berbeza bukan? guna model yang sama, InsyaAllah.. Saya kurang bersetuju jika beri mengikut pendapatan kerana secara mudahnya, pendapatan tidak melambangkan kenderaan yang digunakan. peneroka felda yang pendapatan sebulan RM2000 mungkin kurang penggunaan minyak berbanding pekerja swasta di tengah bandar KL yang bergaji RM2000 juga. Ada juga yang berkata kepada saya, ‘mungkin juga bos yang bergaji RM30 ribu sebulan pakai kancil, ko nak bagi subsidi gak ke?’.. Jawapan saya, tidak ramai big boss nak pakai kancil, kalau ade yang pakai kancil juga, biarlah mereka dapat subsidi, as a token of appreciation kerana mereka mengamalkan sikap jimat-cermat.
Sekadar cadangan, operasi matematik yang teliti perlu dilakukan.
-hamidi-

3. Jurgen - September 19, 2008

bagaimana kalau kita buat seperti beberapa negara yang kaya dgn minyak, iaitu mereka buat sistem pembelian minyak berdasarkan tahap2 kuantiti yang dibeli dalam sebulan.

mungkin dalam tahap kuantiti yang pertama, itu biasanya aras jumlah yang sering digunakan oleh masyarakat2 bawahan dan sederhana. jadi, pada tahap ini, harga lebih murah.

dan, sekiranya ia melebihi tahao tersebut, harganya makin meningkat, dan begitulah seterusnya.

bagaimana? apa kelemahan kepada idea ini?

tapi idea macam tol tadi ok juga.

4. hamidi - September 19, 2008

boleh juga. Biasanya cabaran dalam menguruskan subsudi adalah bagaimana membezakan antara satu golongan dengan golongan yang lain, golongan atas dan bawah, golongan kaya dan rendah. Sekiranya sesuatu sistem itu dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan baik, maka sistem itu sesuai. Saya secara peribadi berpendapat sistem seperti tol itu dapat membahagikan kelompok-kelompok ini dengan efisien.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: