jump to navigation

Teo Kok Seong: Semua Bahasa Adalah Sempurna September 22, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Dari sudut bahasa itu sendiri, tidak ada bahasa yang mengatasi bahasa lain. Semuanya terpulang pada penuturnya. Jika bahasa Melayu mahu kuat, maka penutur aslinya yang harus berperanan.

Memang, setiap bahasa bahasa mempunya kelebihan masing-masing. Dan kekayaan yang ada pada bahasa Melayu mungkin tidak ada dalam bahasa lain. Jadi, tindakan mencemarkan bahasa Melayu sebenarnya lambang kepada ketidakmampuan penutur asalnya untuk menguasai bahasa sendiri. Ikuti wawancara siri IV bersama Teo Kok Seong, professor sosiolinguistik UKM ini.

Seperti yang anda sentuh sebelum ini, penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dalam bahasa Melayu telah mengurangkan jati bahasa Melayu itu sendiri. Namun, adakah ini gelaja boleh kita golongkan juga sebagai suatu bentuk pencemaran bahasa?

Tidaklah sangat sebagai pencemaran bahasa. Tapi sikap kita yang lebih suka menggunakan bahasa Inggeris atas nama kononnya bahasa tersebut lebih moden dan canggih. Sedangkan kita ada bahasa kita sendiri. Jadi, bila kita betul-betul tidak ada perkataan yang Melayu, maka barulah kita menggunakan bahasa Inggeris. Macam “asimilasi” yang saya sebut sebelum ini. Tapi bila kita ada perkataan Melayu, mengapa kita guna bahasa Inggeris lagi?

Yang pencemaran bahasa ini, saya lihat kepada bahasa rojak ini. Sepatutnya kita berbahasa Melayu sepenuhnya. Tapi sebaleknya kita dalam bercakap bahasa Melayu, kita selit-selitkan pula kata-kata Inggeris. Kata-kata Inggeris ini tidak mengapa digunakan kalau ia merupakan kata-kata serapan. Lebih-lebih lagi kalau kita sebut dalam sebutan baku itu. Itu tidak menjadi masalah. Seperti “produk”, bukannya “product”. Itu lain sebutannya dalam perkataan serapan itu. Memang nampak ketara sekali hak/kepunyaan serta kaedah sebutan Melayu kita tersebut. Sedangkan hari ini, bila kita eja “produk”, jadi mengapa kita nak sebut “product”.

Sebab itu, tentang pencemaran ini, ia lebih merujuk kepada penggunaan bahasa rojak ini. Kita menggunakan kata-kata Inggeris yang tidak pernah diserapkan. Macam contoh—ini saya gunakan ayat dalam bahasa Melayu sepanuhnya, yang tidak ada rojak meskipun ia banyak meminjam—“delegasi Malaysia yang menghadiri seminar itu rata-ratanya terdiri daripada para saintis dalam bidang genetik.” Kita perhatikan, walaupun ada banyak peminjaman, tapi tidak ada perkataan yang rojak. Yang rojak macam ini, “negara kita Malaysia provide banyak opportunity kepada rakyatnya untuk advance dalam bidang education.”

Tapi, ada juga persoalan lain, bahawa bukankah yang penting apa yang kita mahu sampaikan. Jadi, soal bagaimana cara untuk menyampaikan adalah tidak lebih berbanding soal penerimaan mesej. Bukan, begitu?

Betul, mesej itu sampai. Ini sampai kerana mereka tidak ada kecekapan dalam berbahasa Melayu. Sebab itu, sampai mereka kena minta bantuan daripada bahasa Inggeris. Sedangkan, saya boleh bercakap dalam kaedah dan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Mungkin saudara akan kata, “saya orang bahasa, bolehlah saya menjaga penggunaan bahasa saya.” Memang saya orang bahasa. Tapi sebenarnya kita semua mampu. Dan, kemampuan itu terletak pada diri sendiri, ataupun pada sikap kita. Ada orang yang dia tidak sedar pun yang dia merojakkan bahasa. Jadi, perkara rojak ini adalah penggunaan kata-kata asing, terutamanya bahasa Inggeris yang tidak pernah pun diserap pun dalam sistem bahasa Melayu. Yang pernah diserapkan bukanlah rojak.

Mungkin kita boleh katakan bahawa mereka yang suka merojakkan ini, bukan sahaja mereka mencemarkan bahasa Melayu, tapi turut mencemarkan bahasa Inggeris?

Benar juga. Maksudnya, mereka kehilangan kebolehan berbahasa dalam bahasa tertentu secara berkesan. Kadang-kadang kita tengok, mereka yang mahu bercakap dalam bahasa Inggeris, tapi kemudian mereka tukar kepada bahasa Melayu sebab dia tidak boleh pergi dengan bahasa Inggeris.

Barangkali hal ini disebabkan oleh kegagalan sistem pendidikan kita. Bahasa Inggeris pun tak pandai, bahasa Melayu pun tak pandai. Jadi sekarang, masalah bahasa rojak ini, kalau kita tengok sedalam-dalamnya, ia mungkin angkara kelemahan sistem pendidikan kita. Bahasa Melayu pun tidak dapat faseh dengan baik. Bahasa Inggeris pun tercicir. Benar seperti ungkapan, “yang dikejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran.”

Lagi satu, apa pula takrif kepada bahasa Melayu tinggi itu?

Maknanya, bahasa Melayu yang baik. Iaitu bahasa Melayu yang betul dari segi nahunya. Bahasa Melayu yang tidak ada campur aduk dengan bahasa Inggeris sepertimana yang kita lihat dalam bahasa rojak. Dan, satu lagi, bahasa tinggi ialah bahasa persuratan. Bahasa ini berbeza dengan bahasa basahan. Iaitu bahasa percakapan harian. Mithalnya begini, kalau bahasa persuratan kita sebut, “kasihan”. Tapi, kalau bahasa basahan kita sebut, “kesian”. Bahasa Melayu basahan ini pun tak banyak menggunakan imbuhan. Kalau bahasa Melayu tinggi, “saya membaca buku.” Kalau bahasa Melayu tak tinggi, “saya baca buku.” Tapi itu bukan pencemaran bahasa.

Kita pun kena tengok juga, macam sekarang, walaupun temubual ini tidak seberapa formal, maka dalam suasana begini takkanlah saya nak bercakap seperti saya memberi hujah dalam mahkamah. Itu tidak kena tempatnya. Kalau saya ke pasar tani, takkan saya bercakap bahasa Melayu tinggi. Mesti saya nak bercakap menggunakan bahasa Melayu basahan tadi.

Mungkin itulah dinamiknya bahasa?

Ya.

Sebenarnya, berbanding dengan bahasa-bahasa lain yang wujud di dunia, sama ada pada waktu dulu atau kini, maka apa sebenarnya kelebihan bahasa Melayu berbanding dengan bahasa-bahasa lain? Adakah semua bahasa itu sama sifatnya?

Beginilah. Lebih kurang begini. Kita sebagai orang linguistik ini kena menyatakan bahasa semua bahasa adalah sama saja. Kalau kita nak fikir emosional sikit, Tuhan cipta semua bahasa sama sahaja. Hanya saya sebagai ahli bahasa dapati cara pengungkapan setiap bahasa sahaja yang berbeza. Maksudnya, orang Melayu mungkin perlu perkataan yang lebih untuk mengungkapkan sesuatu. Manakala bahasa Inggeris sudah ada istilah. Jadi, bahasa Inggeris lebih ringkas. Itu saja. Dan itu pun dalam bidang-bidang tertentu sahaja.

Jadi, adakah itu menunjukkan ketidaksempurnaan bahasa itu?

Kita tidak boleh kata bahawa bahasa tidak sempurna.

Jadi, bahasa memang sempurna? Maksudnya, semua bahasa adalah sempurna?

Bahasa itu memang Tuhan bagi adalah sempurna. Mungkin yang tidak sempurna adalah penuturnya. Penutur sesuatu bahasa tidak kreatif. Penuturnya kurang menguasai bahasa itu. Bukan semua orang yang pandai berbahasa, bukan? Jadi, Tuhan bagi bahasa itu adalah sama saja. Kalau kita mahu jadikan bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu—yang mana kita tidak mempunyai suatu tradisi ilmu yang panjang—maka kita rancanglah bahasa kita sepertimana yang Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) buat. Setelah 52 tahun DBP ditubuhkan, sudah banyak kemajuan dalam bahasa Melayu. Kalau dalam ilmu linguistik sekarang, bahasa Melayu kini telah disebut sebagai bahasa moden sepertimana bahasa Inggeris.

Tapi, bahasa itu, kalau ikut Noam Chomsky katakan, adakah ia merupakan sebahagian daripada binaan biologi kita?

Ya. Maksudnya, sebahagian daripada akal yang Tuhan bagi untuk menguasai bahasa. Jadi, Tuhan bagi kita kebolehan untuk menguasai bahasa. Kalau anak orang cina pun, jika bagi orang Melayu bela, boleh dia cakap Melayu faseh. Ada Language Acquisition Device (LAD) yang Tuhan bagi.

Berkenaan yang Chomsky kata itu betullah. Tapi dalam saya mengajar bahasa ini, saya suka mengajar pelajar-pelajar saya supaya jangan sangat kita ikut tradisi barat. Mungkin kita juga patut lihat tradisi Arabnya, tadisi Islamnya, dll. Jadi, kalau kita kaji betul-betul, Islam pun ada hal-hal di mana Tuhan memberi kebolehan pada manusia untuk menguasai bahasa. Malah, benda itu disebut dalam al-Qur’an jauh lebih lama daripada Chomsky sebut pada tahun 1970-an itu. Mungkin Chomsky tidak tiru daripada al-Qur’an. Mungkin Chomsky fikir sendiri. Tapi, rupa-rupanya, ilmuan Arab fikir sudah lama berabadnya. Jadi, tamadun Arab sudah maju lebih lama.

Jadi, saya suka tengok begitulah: mengambil hikmah tanpa terbatas pada satu-satu tamadun sahaja.

Advertisements

Komen-komen»

1. Citra - September 22, 2008

Choamsky tidak ikut al-Quran. Tetapi beliau adalah seorang Jew. Dan pendapat beliau berkenaan bahasa didasari oleh pendapat di dalam Old Testament dan juga Talmu:d. Al-Quran dan Taurat merupakan dua kitab suci yang diturunkan oleh Allah. Terdapat persamaan teori tentang bahasa misalnya tentang kesucian bahasa Ibrani dan bahasa Arab.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: