jump to navigation

Abdul Hadi Awang: Majoriti Melayu Muslim Asas Kerajaan Pakatan Rakyat Oktober 5, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Islam ada pengalaman yang menarik dan elok jika dihimbau kembali dalam menghalusi kerumitan politik dewasa ini. Bagi Ibn Taimiyyah, adalah lebih penting pemimpin muslim yang zalim berbanding pemimpin kafir yang adil, asalkan shariat Islam maseh ditegakkan.

Jalur Ibn Taimiyyah ini sebenarnya ditentang oleh Khawajah Nasir ad-Din at-Thusi. Kini, dalam konteks penekanan PAS pada majoriti Melayu Muslim, wacana–antara nilai dan shariat–ini menarik untuk diangkat. Apatah lagi, al-Qur’aan menerusi Surah al-Maaidah, ayat 8 turut membicarakan kedekatan taqwa dengan keadilan. Wawancara Ummahonline.com bersama Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ini membuka medan perbahasan panjang.

Khalayak melihat Pakatan Rakyat (PR) memberi harapan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). PR menjanjikan penghapusan akta-akta yang menindas, pendidikan percuma, kebajikan yang meluas, dan sebagainya. Jadi, apakah ada lagi kebimbangan lain untuk kita memilih PR?

Saya rasa, bagi PAS tidak ada kebimbangan, kerana PAS konsisten dengan Islam yang diperjuangkan? di mana dalam penyertaan kita bersama PR, tidak disentuh idealogi perjuangan parti masing-masing. Dalam hal ini, PAS berhak untuk menyatakan Islam sebagai satu syarat yang penting kepada sebarang perubahan. Kepada PAS, sebarang perubahan dalam negara tanpa meletakkan Islam, tidak akan berjaya. Ini kerana, kita telah mengalami percubaan idealogi-idealogi yang lain daripada Islam, bukan sahaja di Malaysia, tapi di seluruh dunia, iaitu kegagalan komunisme, sosialisme, kapitalisme, dan liberalisme yang sedang kita hadapi ini. Ini kegagalan orang yang bukan Islam. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya kita mengemukakan Islam sebagai penyelesaian. Dengan sebab itu PAS meletakkan syarat Islam adalah syarat penting dalam sebarang penyertaannya di dalam PR.

Sebelum ini, Tuan Guru ada menyebut jumlah ahli parlimen PR mestilah majoriti Melayu Muslim. Persoalannya, mengapa Melayu?

Melayu ini kerana majoriti orang Islam (di Malaysia) adalah Melayu. Bahkan kalau kita baca Muqadimmah Ibn Khaldun, ada hadith yang menyebut, “pemimpin dari Quraisy.” Ini kerana, yang menjadi teras kepada penguasaan Islam pada masa itu adalah kabilah Quraisy. Maka, syarat kepimpinan mestilah Quraisy.

Di Malaysia, oleh kerana majoriti orang Islam adalah Melayu, dengan sebab itu kepimpinan Melayu Islam adalah lebih utama… kecuali kalau berubah, orang Cina masuk Islam ramai-ramai, dan mereka menjadi majoriti. Maka, sudah tentu mereka yang perlu menjadi teras. Itu pernah berlaku dalam sejarah Islam. Bila orang Turki yang menganut Islam, mereka merupakan orang Islam yang terkuat, maka mereka menjadi kepimpinan.

Di Malaysia, hakikat ini diterima oleh semua parti-parti politik, bahawa teras ialah Melayu Islam. Cumanya, kita mahu Islam dijadikan prinsip kepada penyelesaian masalah-masalah dalam negara. Ini satu perkara yang sering ditinggalkan.

Bukankah sudah memadai majoriti Muslim sahaja?

Muslim sahaja tidak cukup. Muslim lain, Islam lain. Muslim itu ada orang yang memelok Islam tapi tidak beramal dengan Islam. Kita mahu, Muslim yang beramal dengan Islam. Saya yakin, jika Islam dijadikan model? sepertimana yang kita pernah laksanakan di Kelantan, juga di Terengganu, dan seperti yang kita sedang laksanakan di Kedah dan di Perak. Dan, ini tidak menjadi masalah kepada orang bukan Islam. Apa salahnya bila Islam itu kita kemukakan dalam perubahan peringkat pusat? Bahkan peringkat pusat lebih wajar, sebab kuasanya lebih berbanding dari peringkat negeri lagi.

Tapi bukankah kedudukan Islam dan juga Melayu telah terjamin dalam perlembangaan, termasuklah menerusi institusi Yang Dipertuan Agong sendiri?

Yang penting kita menafsirkan perlembagaan menurut al-Qur’aan dan Hadith. Bukan menafsirkan mengikut barat. Islam dalam perlembagaan hari ini ialah Islam sebagai religion. Islam bukan religion, tapi ad-Deen, yang mempunyai makna yang lebih luas. Sebab itu, kita pakai perlembagaan itu juga, tapi Islam itu sebagai ad-Deen, bukan sebagai religion.

Tapi, bukankah PAS boleh menarik diri dari PR sekiranya berlaku masalah setelah pembentukan kerajaan PR nanti. Malah, dengan sendiri PR akan turut terbubar pada waktu tersebut?

Sehingga hari ini, kita maseh dalam PR. Kita tidak bersedia untuk keluar lagi. Kita maseh peringkat awal, peringkat perbincangan, peringkat mahu membuat perubahan, dan belum lagi peringkat memerintah negara. Saya yakin dan percaya, kerana hari ini parti-parti pakatan rakyat telah menerima majoriti Muslim. Ini mereka telah terima. Saya difahamkan DAP pun terima, Keadilan pun terima, iaitu mesti majoriti mesti Islam.

Bukan saya membuat kenyataan begitu sahaja, bahkan saya mendapat maklum balas, bahawa kalangan bukan-Islam menerima majoriti Islam dalam kerajaan. Ini perkara yang sangat penting.

Tapi, apakah PAS menaruh kecurigaan terhadap ahli parlimen bukan-Islam yang ingin menyeberang ke dalam Pakatan Rakyat?

Kita menghukum apa yang zahir. Itu yang diajar oleh Islam. Hakikat yang tersembunyi, itu di sisi Tuhan. Kerana, Tuhan mengajar kita dalam al-Qur’aan, sekiranya mereka mahu menipu kamu, maka Allah akan menjadi penolong kamu dalam menghadapi mereka.

Jadi, yang penting keikhlasan kita untuk melaksanakan Islam.

Sekiranya PAS mengancam untuk keluar dari Pakatan Rakyat, itu boleh membangkitkan soal penjanjian PAS dengan Pakatan Rakyat. Tidakkah tindakan tersebut menunjukkan PAS ingkar pada penjanjian?

Tidak ada ancaman. Ancaman tidak ada. Bahkan ini dibincang secara terbuka di dalam parti-parti pakatan rakyat.

Memang isu berkenaan majoriti Melayu Muslim telah lama timbul. Tapi, berkenaan berita tentang penarikan diri PAS dari Pakatan Rakyat hanya baru saja timbul?

Itu permainan media. Media yang menimbulkan isu PAS hendak keluar. Saya tegaskan, kita maseh lagi dalam Pakatan Rakyat.

Tapi, tidakkah PAS memerlukan muktamar khas untuk memutuskan sebarang kedudukannya dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak mahu menjawab soalan yang berupa andaian. Andaian bila tiba masa baru kita membuat keputusan. Muktamar khas bukan mesti. Kalau tidak perlu, cukup dengan keputusan PAS Pusat sahaja.

Tapi, kalau melihat kaitan isu majoriti Melayu Muslim ini, Nabi turut bertolak ansur dalam Penjanjian Hudaibiyyah. Tidak begitu?

Tapi, Nabi tidak bertolak ansur dalam perkara prinsip. Nabi hanya bertolak ansur dalam perkara cabang sahaja. Nabi tidak terima supaya pemerintahan Islam dibubarkan. Apa yang diterima ialah, Penjajian Hudaibiyyah itu memberi makna bahawa pemimpin mustrikin makkah mengiktiraf Madinah adalah sebuah kerajaan Islam. Ini yang penting dalam Penjanjian Hudaibiyyah.

Adapun syarat-syarat penjanjian tersebut, itu adalah cabang. Prinsip Penjajian Hudaibiyyah itu adalah mengiktiraf kerajaan yang dibentuk oleh Nabi di Madinah. Itu kita kena sedar.

Tapi dalam soal BN dan PR ini, bukankah PAS juga boleh memakai kaedah ?memilih kemudaratan yang lebih kecil??

Pakatan Rakyat belum lagi teruji pemerintahannya di peringkat pusat. Apa yang ada cuma di peringkat negeri. Dengan sebab itu, penekanan dibuat di peringkat negeri seperti yang ada sekarang? di mana kita telah diberi kepercayaan untuk memimpin dua buah negeri, di samping Kelantan. Ini satu kepercayaan yang sangat besar. Bahkan, kita turut menerima hakikat DAP memerintah Pulau Pinang, dan keadilan memimpin Selangor. Dan kita menyertai kerajaan tersebut. Jadi, sebab itu tidak timbul lagi soal keluar dari Pakatan Rakyat, sebab kita maseh bersama dalam kerajaan (negeri).

Jika PR?peringkat pusat?belum lagi teruji, mengapa PAS meletakkan batas-batas lebih awal sebelum diuji?

Itu sebelum mendirikan kerajaan, maka kita mestilah ada asas dahulu. Majoriti Melayu Muslim adalah asas kepada kerajaan ini. Asas itu kena ada. Macam kita nak mendirikan rumah juga. Tapak rumah tersebut mestilah diuji terlebih dahulu. Rumah tidak ada lagi, dan ujian rumah setelah membinanya adalah ujian kedua. Sebaleknya, ujian pertama ialah tapak rumah tersebut.

Tapi, kita melihat ada perbezaan sikap dengan DAP di Perak. Di Perak, DAP sedia memilih Menteri Besar dari kalangan PAS, meskipun mereka mempunyai suara majoriti dalam DUN. Ini menunjukkan satu tolak-ansur DAP dalam semangat Pakatan Rakyat. Jadi, adakah ini juga menunjukkan bahawa DAP sebenarnya lebih berjiwa besar berbanding PAS?

Alhamdulillah, kita lebih lama dari DAP. Kita ditubuhkan pada 1951, sebaleknya DAP dalam tahun 1960-an. Kita lebih awal. Dan kita menghadapi tribulasi lebih hebat dari DAP lagi. Kita berpengalaman memerintah kerajaan negeri. Kita berpengalaman menjadi kerajaan campuran bersama dengan BN. Kita berpengalaman menjadi pembangkang. Kita berpengalaman semua. DAP baru saja berpengalaman memerintah kerajaan Pulau Pinang. Kita lebih lama. Dan kita berjiwa besar kerana ketahanan kita pada prinsip kita. Dengan sebab itu, prinsip Islam yang kita perjuangkan ini adalah sangat penting. Inilah teras kepada jiwa besar kita.

Setelah kejatuhan Baghdad, banyak ilmuan Islam yang muncul. Ini termasuklah Ibn Athaillah dalam bidang tasawwuf, Ibn Katsir dalam bidang tafsir, Nasir al-Din al-Thusi dalam bidang falsafah, dan Ibn Taimiyyah dalam bidang aqidah, dan ramai yang lain lagi. Salah satu rumusan Ibn Taimiyyah dalam Minhajul Sunnah ialah ?pemimpin muslim yang zalim lebih baik dari pemimpin kafir yang adil.? Jadi, apa pandangan Tuan Guru tentang pandangan Ibn Taimiyyah ini?

Itu pandangan yang betul, dalam soal kepimpinan negara. Sebab itu saya rasakan bahawa majoriti Muslim itu penting. Kerana kepada kita, idealogi negara iaitu Islam adalah sangat penting. Bila kita memilih seorang Islam, idealoginya Islam, walaupun dia seorang yang zalim, tapi dia tetap melaksanakan shariat Islam. Jadi, ini yang kita mahu. Itu yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyyah. Apa yang berlaku hari ini tidak wujud. Yang berlaku hari ini ialah orang Islam yang tolak idealogi islam. Ini masalah yang kita sedang hadapi. Itu lain dengan maksud dari kitab Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah itu zaman Tartar menguasai Baghdad, di mana pada masa itu ada kerajaan-kerajaan Islam. Dan kerajaan Islam itu maseh melaksanakan shariat Islam. Walaupun rajanya minum arak, dan berfoya-foya, tapi rajanya tidak berani untuk membatalkan shariat Islam. Apa yang berlaku hari ini, pemimpinnya orang Islam, tapi menolak terus pemerintahan cara Islam. Ini masalah yang kita hadapi.

Jadi, ini bercanggah dengan pandangan Nasir al-Din al-Thusi yang meletakkan ?pemimpin kafir yang adil lebih baik dari pemimpin muslim yang zalim??

Itu pada zamannya. Zaman pemimpin Islam yang memerintah dengan Islam. Peribadi pemimpin itu sendiri memang buruk. Kita hari ini, ada pemimpin yang sembahyang, tapi tak laksanakan shariat. Jadi, kita perlu letakkan asas pemerintahan Islam sangat penting. Kita tidak ada pemeritahan Islam hari ini. Itu masalah kita.

Komen-komen»

1. Polemik Majoriti Melayu Muslim (3M) « Dengan Izin…â„¢ - Oktober 6, 2008

[…] Saya meneliti temubual seorang teman blogger, Sdr Aqil Fithri yang mengendalikan portal Ummahonline dengan YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang [TGHA]. Temubual tersebut berkisar persoalan pra-syarat Majoriti Melayu Muslim (3M) yang dikenakan oleh Pas kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk mereka terus kekal di dalam Pakatan sekiranya Pakatan kepingin untuk menghampiri Putrajaya sebagai kerajaan baru Malaysia. Temubual tersebut boleh diikuti di sini. […]

2. zainab binti ngah - Oktober 15, 2008

menyokong sepenuhnya dokongn tok guru

3. Syabab hizbut tahrir - September 1, 2009

Assalamualaikum,

Sekadar mencoret untuk renungan bersama…..

Hakikatnya, apabila sesebuah parti Islam berkoalisi dengan parti kufur/sekular, maka ia sesungguhnya telah mencampur adukkan haq dengan batil. Acap kali Islam dijadikan korban, kerana yang mereka titikberatkan bukan lagi ‘Islam’, tetapi ‘kepentingan dan sensitiviti’ rakan koalisi. Inti pati yang menjadi pegangan dalam koalisi adalah ‘kompromi’, bukannya ‘hukum syarak’. Kerana itulah, seringkali ideologi parti dan Islam itu sendiri dikorbankan dan diganti dengan pragmatisme dan kepentingan semasa. Malangnya, kompromi dalam koalisi justeru terjadi antara hukum Islam dan hukum sekular, dan hukum kufur/sekular selalu dimenangkan. Parti Islam mencampur adukkan yang halal dengan yang haram dan yang haq dengan yang batil. Sering kali parti Islam langsung tidak berani menyebut atau mencadangkan untuk menegakkan negara Islam atau hukum Islam, kerana ia bertentangan dengan kompromi dan aspirasi koalisi. Sungguh, apa yang parti Islam ini lakukan amat jelas bertentangan dengan firman Allah,

“Dan janganlah kalian mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kalian menyembunyikan kebenaran itu, sementara kalian mengetahuinya” [TMQ al-Baqarah (2):42].

Koalisi sememangnya tidak boleh lari dari amalan tolong-menolong. Apatah lagi semasa pilihan raya. Parti Islam tentunya akan menolong parti sekular/kufur untuk menang di dalam pilihan raya, malah mereka pastinya akan mengundi calon sekular/kafir yang diletakkan oleh rakan koalisi. Hujah mereka selama ini bahawa jika kita tidak keluar mengundi maka kita akan memberi kemenangan kepada orang kafir, ternyata umpama meludah ke langit terkena muka sendiri. Mereka (parti Islam) itu sendirilah yang hakikatnya memberi kemenangan kepada orang kafir/sekular di dalam setiap pilihan raya dengan mengundi calon tersebut. Tolong-menolong yang mereka lakukan ini adalah jelas haram, apatah lagi ia mengarah kepada penerapan hukum-hukum kufur, baik dalam kekuasaan eksekutif mahupun legislatif. Tolong menolong semacam ini telah dilarang oleh Allah SWT kerana firman Allah,

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” [TMQ al-Ma’idah (5):2].

Kerjasama dengan puak sekular/kafir pastinya menimbulkan kecenderungan (sikap pasrah/setuju) aktivis parti Islam kepada aktivis parti sekular/kufur. Padahal sikap cenderung ini dilarang oleh Allah SWT,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113].

Para aktivis parti sekular/kufur hakikatnya adalah orang-orang zalim atau para pelaku maksiat (ahlul ma’asi), kerana tidak menjadikan ajaran Islam sebagai asas dan pedoman dalam berpolitik. Dari sisi lain, koalisi juga melahirkan ramai golongan munafik di dalam parti Islam. Ini kerana, walaupun mereka tidak bersetuju dengan polisi atau pendapat/perbuatan yang dibawa oleh parti sekular/kufur, namun anggota parti Islam terpaksa menzahirkan kesetujuannya kerana ingin menjaga hati rakan koalisi atau demi menjaga kepentingan yang wujud dalam koalisi. Kemunafikan ini jelas haram dalam Islam.

Dengan berkoalisi juga, maka anggota parti Islam akan turut berada sebaris di dalam sistem pemerintahan sekular, seperti apa yang berlaku dalam pemerintahan beberapa buah kerajaan saat ini. Padahal telah ada hadis sahih yang melarang umat Islam menjawat apa jua jawatan dalam pemerintahan yang menyalahi syarak, seperti dalam sistem demokrasi-sekular sekarang. Sabda Nabi SAW,

“Sungguh akan datang pada manusia suatu zaman, di mana yang ada atas kalian adalah pemimpin-pemimpin yang bodoh (umara sufaha) yang mengutamakan orang-orang yang jahat dan mengalahkan orang-orang yang baik di antara mereka, dan mereka suka menunda-nunda solat keluar dari waktu-waktunya. Maka barangsiapa di antara kalian yang mendapati pemimpin-pemimpin seperti itu, janganlah sekali-kali dia menjadi kakitangan (’ariif), atau menjadi polis, atau menjadi pemungut, atau penyimpan harta.” [Musnad Abu Ya’la, 3/121; Ibnu Hibban no 4669

Wahai kaum Muslimin! Berdasarkan nas-nas yang jelas, termasuklah nas yang tidak dapat dibincangkan di sini, koalisi di antara parti Islam dan parti sekular/kufur adalah haram secara mutlak. Ingatlah wahai saudaraku bahawa matlamat sekali-kali tidak menghalalkan cara. Walau matlamat kita baik sekalipun, namun cara yang ditempuh hendaklah syar’i. Dilihat dari sudut pandangan Islam mahupun realiti yang wujud, tiada guna barang sedikitpun sesebuah parti Islam bersengkongkol dengan parti sekular, apatah lagi parti kufur demi political mileage yang dirasakan baik untuk Islam, kerana hakikatnya parti Islam tersebut telah bergelumang dengan noda dan dosa. Malah hingga ke tahap rakan koalisi menghina Islam pun, parti Islam masih mempertahankan rakan mereka. Masya Allah! Betapa hinanya keadaan ini. Jika beginilah sikap yang ditunjukkan oleh parti Islam, imejnya akan terus tercalar dan terhina, bukan sahaja di mata umat, malah di mata anggota-anggotanya sendiri. Kemuliaan telah tercabut dari parti Islam itu lalu jadilah ia setaraf dengan parti-parti sekular/kufur yang bersamanya.

Sedarlah wahai pejuang-pejuang Islam yang ikhlas! Kalian merupakan umat yang terbaik yang terpilih untuk memikul amanah Allah dan RasulNya. Fikirkanlah, untuk apa kalian berjuang jika tidak untuk mendaulatkan Islam dan menegakkan semula Negara Islam dan meraih sepenuh keredhaan dari Allah Azza Wa Jalla? Kalian sewajibnya bergerak memperjuangkan Islam di dalam ruang dan peluang yang dibenarkan syarak sahaja. Janganlah hendaknya kalian terpengaruh dengan bisikan syaitan yang akan membinasakan kalian. Berpalinglah segera dari syaitan yang sesat lagi menyesatkan! Jadilah pejuang agama Allah yang amanah lagi ikhlas, berusahalah bersungguh-sungguh di jalan yang diredhai Allah dan serahkanlah (urusan) kemenangan kepadaNya semata-mata. Sesungguhnya kita tidak memerlukan bantuan sedikit pun dari orang-orang sekular dan orang-orang kafir untuk menang. Kemenangan adalah janji Allah terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa. Demi sesungguhnya janji Allah terhadap orang-orang sekular (mengambil sebahagian Islam dan meninggalkan sebahagian) dan terhadap orang-orang kafir hanyalah neraka, bukannya kemenangan!!! Na’uzubillah min zalik.

Dipetik dari Sautun nahdah 187

4. TokPakirKD - Oktober 3, 2009

AlhamduliLlah !, bersetuju sepenuh-penuhnya dengan sahabatku Syabab HT.
Bagi mereka yang tersesat, kembalilah ke jalan nubuwwah.
Anda tiada pilihan lain.
Anda tidak akan berjaya.
TokPakir

5. Qutuz - November 17, 2009

Sokongan untuk Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang, walaupun persepsi dan sangka buruk kerap ditujukan kepada gerakan Islam oleh para pendakwa nas..


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: