jump to navigation

Muslihat Kapitalisme Oktober 7, 2008

Posted by ummahonline in Surat.
trackback

“Kita tidak boleh menyelesaikan sesuatu masalah dengan pemikiran yang kita guna ketika menemui masalah tersebut.”-Albert Einstein. (1879-1955)

Namun kita tetap berbuat sedemikian. Secara umumnya, sistem ekonomi barat menggunakan idea-idea yang dipelopori oleh Adam Smith (1723-1790). Smith berhujah bahawa sistem pasaran bebas di mana yang kaya berkemampuan untuk melabur dan mengaut kentungan sepuas hati mereka, adalah sistem kapatalisme yang terbaik. Sementara yang kaya menjadi lebih kaya, yang miskin akan mendapat faedah kerana penglibatan mereka adalah perlu dalam satu sistem yang memerlukan semua pihak untuk berfungsi. Kutipan cukai (yang tidak tinggi) boleh digunakan ke atas mereka yang tidak berkemampuan untuk bersaing.

Walaupun semua orang tidak dapat bersaing dengan yang kaya, tetapi kesaksamaan akan wujud kerana semua orang berpegang kepada nilai-nilai sistem tersebut. Semua orang berpeluang untuk bersaing, sama ada kuasa persaigan itu adil atau tidak, Tidak perlu dipersoalkan selagi prinsip-prinsip liberalisme dipatuhi.

Kebahagiaan akan menjadi faedah pulangan hasil daripada pemakaian sistem ekonomi yang diutarakan Smith, kerana semua orang akan mempunyai wang untuk melakukan apa yang mereka mahu mengikut kemampuan mereka. Kebahagiaan dilihat sebagai keupayaan untuk memiliki harta.

Hakikatnya, eksploitasi sifat ketamakan merupakan modus operandi utama kapatalisma bebas. Lebih tamak individu, lebih cenderung sifatnya untuk kuat bekerja untuk mencari wang untuk membeli apa yang perlu dan ingin dimiliki, konon-kononnya untuk kebahagiaan diri. Bagi individu yang tidak didorong sifat ketamakan pula akan sekadar mencari wang yang memadai untuk keperluannya sahaja.

Kita teliti pula dua negara jaguh pasaran bebas yang telah dipengaruhi hujah-hujah Smith sekian lama, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya percaya masyarakat dalam sistem ekonomi Keynesian tersebut tidak menemui kesaksamaan sepertimana yang dijanjikan oleh Smith. Saya percaya masih ramai golongan wanita yang tertindas dengan skala gaji yang mendiskriminasi gender, saya percaya masih ramai yang menghadapi masalah kewangan akibat kadar faedah yang menindas oleh bank. Saya percaya masih ramai yang tidak mampu untuk menyekolahkan anak-anak mereka, dan saya percaya masih ramai yang mengemis di ?subway-subway? New York city dan persekitaran London.

Tidak dinafikan, bahawasanya semua orang mempunyai peluang untuk menyara hidup masing-masing. Namun, ramai yang menganggur kerana tidak boleh mencari kerja atau tidak dapat mencari kerja kerana berdepan dengan masalah yang dicipta oleh propaganda liberalis yang memberi nilai kepada kelayakan pendidikan yang tinggi.

Pendidikan dijadikan suatu komoditi yang hanya boleh dimiliki oleh mereka yang berkemampuan. Tanpa kelayakan pendidikan ini, ilmu yang diperolehi adalah tidak bermakna kerana industri hanya melihat kepada kertas-kertas kelayakan yang dikeluarkan oleh institusi-institusi yang menjual pendidikan.

Kita pula harus menerima hakikat bahawa akan sentiasa wujud mereka yang tiada tempat berteduh, dan terpaksa berlapar atau makan dari tong sampah jika tidak menerima ehsan belas kasihan golongan berada. Tetapi, usah resah, kem pendokong idea-idea kapitalis telah berhujah bahawa akan wujud persatuan-persatuan kebajikan yang akan menjaga komuniti-komuniti seperti ini, dengan sumbangan ikhlas ehsan belas kasihan golongan yang berkemampuan. Saya yakin dan berasa amat tenang mendengar hujah-hujah yang begitu meyakinkan itu.

Jika kita lihat Amerika Syarikat, saya akur ramai yang sedang mengejar kekayaan atau kebahagiaan, tetapi ramai juga yang sudah tidak pasti lagi apa itu kebahagiaan. Mereka ini adalah golongan yang terpaksa merayu untuk mendapatkan bantuan perubatan, mereka yang terpaksa menerima hakikat yang mereka tidak mempunyai kuasa untuk tawar-menawar dengan mana-mana gergasi kapitalis.

Dibebani hutang, dan kemurungan, hidup mereka penuh dengan tekanan sosial masyarakat yang tamak haloba. Golongan ini seterusnya berundur kepada budaya ?escapism? untuk lari sebentar daripada kehidupan ekonomi Keynesian yang bercelaru dan tidak tentu, malah sentiasa dipenuhi manipulasi, eksploitasi dan tipu helah yang sungguh mengecewakan.

Dadah, alkohol, judi dan pelbagai lagi alat-alat ?escapism?, yang turut menjadi antara komoditi terlaris jualan kapitalis menjadikan golongan yang ditindas ini ketagihan dan seterusnya memusnahkan masa depan mereka.

Jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin kian melebar sehinggakan kedua-dua kelas ini semakin tidak mengenali satu sama lain (satu contoh yang baik ialah kelahiran golongan yang menyokong pasaran bebas yang tidak dikawal, mereka tidak kenal akan masalah sosio-ekonomi kelas pertengahan mahupun rendah). Kelas pertengahan yang makmur semakin berkurangan, akibat peralihan kelas sama ada menjadi kaya atau miskin, sementara yang lain kehilangan kerja, keluarga, kehormatan diri, dan pegangan hidup.

Tetapi yang kaya akan sentiasa menyokong pasaran bebas, kerana faedah yang mereka perolehi daripada mekanismanya. Mereka kini jauh lebih kaya daripada mana-mana generasi sebelumnya, mereka menguasai media massa yang membentuk budaya dan pemikiran mayarakat. Mereka terus mencorak moral masyarakat (sekaligus membentuk masyarakat yang hedonis), sehinggalah ke polisi-polisi kerajaan yang memberi kelebihan kepada perniagaan mereka. Generasi muda pula tidak mempunyai apa-apa pilihan melainkan akur kepada telunjuk pasaran.

Kebahagiaan? Mungkinkah ini adalah muslihat kapitalis yang paling canggih? Mengeksploitasi kelemahan manusia demi mengaut keuntungan dengan alasan kebebasan individu? Tulisan ini tidak berniat untuk memberi sebarang penyelesaian (yang akan terbuka kepada kritik mana pihak-pihak yang berhasrat untuk tunduk kepada telunjuk pasaran), sebaliknya bertujuan untuk menyedarkan orang ramai akan kelemahan atau secara lebih tepatnya helah pasaran bebas.

Apa yang lebih membimbangkan adalah hakikat bahawa pasaran bebas kapitalis yang tidak terkawal terus berkembang dan institusi-institusi pendidikan terus menerapkan kurikulum yang menyediakan generasi muda untuk keluar sebagai modal insan industri-industri kapitalis.

Langkah pertama bukanlah untuk memikirkan cara berubah, langkah pertama adalah untuk sedar bahawa wujudnya keperluan untuk berubah. Perubahan akan menentukan sama ada generasi muda hari ini keluar menjadi pemimpin corak pasaran atau hamba kehendak pasaran.

Nota: Penulis merupakan salah seorang daripada rakan dalam Diskopi, sebuah perkumpulan wacana yang dibangunkan di kalangan mahasiswa.

Komen-komen»

1. Sheikh Hafidz - Oktober 8, 2008

Satu penulisan yang baik dan membuka mata. Saya bersetuju dengan penulis, namun apakah penyelesaian kepada permasalahan yang diwujudkan oleh sistem kapital yang sedia ada. Saya juga amat tertarik dengan model ekonomi skandanavia, yang berjaya menghapuskan kemiskinan. Mungkin penulis boleh memberi input berhubungnya.

2. hamidi - Oktober 14, 2008

Suatu penulisan yang membuka mata dan menarik. Tahniah penulis

1. Di manakah penulis meletakkan elemen corporate social responsibility dalam ekonomi pasaran bebas?

2. Adakah generasi muda yang gagal mendapat tempat dalam ekonomi bebas disebabkan pasaran itu sendiri atau tiada rangsangan yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan? kerana berdasarkan idea liberal, masih terdapat ‘limited government’, bukankah dalam idea libertarian (classical libertarian), pasaran dibiarkan menjalankan fungsinya, tapi tidak pula mengatakan bahawa kerajaan tidak perlu merangsang ekonomi seperti (di Malaysia) mewujudkan skim pinjaman usahawan dan penubuhan Yayasan TEKUN, skim pinjaman kementerian pembangunan usahawan, SME bank dan koperasi usahawan? Adakah golongan muda ini gagal mendapat tempat kerana pasaran bebas atau kerana tidak diberi peluang melalui skim-skim yang diwujudkan atau mungkin saja mereka malas untuk mencari peluang tersebut?


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: