jump to navigation

Budaya Poyo Oktober 9, 2008

Posted by ummahonline in Congak, Kolum.
trackback

Perkataan Poyo sangat popular dikalangan remaja masa kini dan juga dikalangan para pelajar termasuk di IPTA. Maksud perkataan Poyo ini adalah seperti ’tunjuk pandai’ atau’menunjuk-nunjuk’ atau ’melebih lebih’ atau ’terlebih semangat’. Asal usul sebenar perkataan ini tidak diketahui dengan jelas. Apa yang ingin disentuk mengenai budaya atau pemikiran ini adalah kerana pemikiran ini nampaknya merupakan penyebab utama mengapa para pelajar IPTA, kususnya tahun dua dan ke atas, pasif dalam kelas. Tidak mahu menanya soalan dan tidak mahu menjawab soalan ketika dalam kuliah.

Alasan saya bahawa budaya melabel Poyo kepada pelajar yang aktif dalam kuliah benar-benar berlaku adalah jika diperhatikan, ketika sesorang pensyarah itu sedang menyampaikan kuliah, tiada seorang pun pelajar yang berani untuk membuka mulut mengajukan soalan yang bernas atau pandangan yang kritis. Tetapi setelah pensyarah mengatakan ’kuliah kita sampai di sini sahaja’, maka dapat dilihat para pelajar berdedai-dedai ke depan dewan kuliah untuk bertemu dengan pensyarah itu sendiri. Berapa banyak kalikah perkara sebegini berlaku? Pada pandangan saya sebagai pelajar, hampir setiap kuliah berlaku sebegini.

Menanyakan soalan(yang bernas, bukan soalan seperti ’bilakah tarikh akhir menghantar tugasan?’) dan memberi pandangan yang kritis sewaktu perkuliahan berlangsung seakan-akan suatu taboo dikalangan para pelajar. Sekiranya ada pelajar yang berbuat demikian, maka pelajar tersebut akan diberi gelaran Poyo. Dan kebiasaannya pelajar sebegini, hubungannya dengan pelajar lain tidak berapa rapat. Dan juga kadang-kala, pelajar lain akan menjauhi pelajar ini kerana mungkin takut turut dilabel sebagai Poyo atau tergolong dalam golongan poyo.

Saya cukup yakin bahawa ini adalah penjelasan yang paling tepat untuk menerangkan situasi yang berlaku di dalam dewan kuliah pada masa kini walaupun kajian secara empirik, atau survey tidak pernah dilakukan untuk membuktikan perkara ini benar-benar berlaku.

Masalah yang akan timbul adalah jelas. Pelajar yang kritis tidak dapat menyampaikan buah fikiran, ilmu sukar bercambah dan dalam jangka masa panjang, mungkin akan meruntuhkan tamadun sesebuah masyarakat. Ini semua mungkin berlaku apabila individu dalam sesebuah masyarakat itu segan atau takut untuk menyuarakan pendapat dan bertanya soalan sedangkan buah fikiran yang ada mungkin adalah sesuatu yang bernas. Mereka yang lantang bersuara akan diejek entah kenapa alasannya.

Walaupun begitu, berdasarkan pemerhatian dan pandangan saya, budaya Poyo ini wujud hanya di dalam dewan kuliah yang besar sahaja, tidak berlaku dalam bilik-bilik tutorial atau perbincangan yang kecil. Dan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri, rasa takut untuk bertanya dan menyatakan pendapat ini timbul dengan kuatnya sekiranya dalam sesuatu majlis itu terdapat orang yang dikenali. Sekiranya dalam sesebuah dewan kuliah itu, setiap individu tidak kenal antara satu sama lain, kemungkinan mereka tidaklah sepasif seperti yang berlaku di dewan-dewan kuliah.

Memandangkan golongan cendikiawan yang ada sekarang ini mendapat pendidikan dalam suasana yang tidak kenal apa itu Poyo, maka soalannya ialah, apakah cendikiawan yang akan wujud akan datang yang lahirnya dari generasi yang mempunyai budaya Poyo?

Asal usul pembentukan pemikiran ini perlu dikaji dan difahami untuk memperbaiki keadaan. Mungkin pada awal pembentukan pemikiran ini, berlaku suatu kejadian dimana seorang pelajar yang aktif dalam dewan kuliah, ditegur oleh rakannya selepas tamat kuliah seperti dengan ayat ’Dahsyat la kau, dalam kuliah tadi nampak ko je, sebab ko la yang paling banyak beri idea’. Kemudian komen-komen sebegini yang pada awalnya sebagai suatu bentuk pujian telah bertukar menjadi ejekan. Dan apabila berlaku untuk jangkamasa yang panjang, maka terlahir suatu bentuk ’mental block’ berkenaan perbuatan memberi pandangan dalam dewan kuliah. Mana mungkin perdebatan berlaku dengan aktifnya di dalam dewan kuliah jika dalam minda para pelajar ada suatu penghalang untuk membuka mulut. Mana mungkin ilmu dapat dikembangkan dengan cara ini. Mana mungkin kemajuan dapat dikecapi sekiranya sikap ini berterusan. Dan mana mungkin tamadun yang hebat akan lahir dari kalangan manusia mempunyai sikap begini? Mungkin juga hal ini timbul gara-gara proses sosialisasi masyarakat timur yang berpegang kepada prinsip merendah diri adalah suatu yang mulia. Namun, akibat terlalu ingin merendah diri, masalah lain pula yang timbul.

Mungkin juga rasa takut dalam hati para pelajar diejek oleh rakan sekiranya pandangan yang diberi adalah sesuatu yang salah, tetapi situasi ini tidak saya istilahkan sebagai Poyo. Ingin ditekankan sekali lagi bahawa Poyo ini timbul akibat tidak mahu menunjuk-nunjuk. Atau mungkin boleh saya katakan sikap rendah diri yang melampau mewujudkan pemikiran sebegini.

Satu lagi alasan yang mungkin dapat menerangkan mengapa perkara ini berlaku adalah rasa iri hati dikalangan para pelajar lain yang melihat pelajar yang aktif berbicara dalam dewan kuliah sebagai orang yang terkenal. Tidak dinafikan perasaan hasad dengki sebegini memang wujud dalam masyarakat. Sekiranya terdapat seorang pelajar yang aktif dalam dewan kuliah, golongan yang iri hati ini akan memikir cara untuk ’mengetuk’ pelajar tersebut supaya menjadi lebih pendiam. Antara tindakan yang dilakukan mungkin mengejek pelajar tersebut sebagai tukang bodek, ataupun mungkin mencapub (capub = cari publisiti). Tekanan psikologi sebegini wujud dalam minda para pelajar sekarang. Sekiranya terdapat individu yang berpotensi untuk menonjol, maka individu tersebut akan diberi tekanan sehingga mungkin ada yang patah hati atau timbul rasa malu diejek dan mendiamkan diri.

Mungkin juga perkara sebegini berlaku kerana kurang matangnya para pelajar di universiti tempatan, tetapi sekiranya perkara ini berlaku di institusi yang sepatutnya melahirkan cendikiawan, maka masalah besar mungkin akan terjadi. Daya kemampuan untuk bercakap di khalayak ramai adalah kurang. Ini juga mungkin menerangkan mengapa graduan tempatan kurang kemahiran untuk berkomunikasi. Sebenarnya tiada silapnya dengan sistem, tetapi masalah adalah pada pangkalnya, iaitu minda pelajar itu sendiri.

Ayat-ayat seperti ’kau fikir kau hebat? Hendak berdebat atau tidak bersetuju dengan pensyarah?’ atau ’Dia tu professor, dengar je la, kau tu, degree pun tak habis lagi’ seperti ini kadang-kadang memang terkeluar daripada mulut para pelajar. Tidak mungkin perdebatan berlaku di tepi-tepi jalan, di denai-denai atau lorong-lorong seperti zaman Aristotle sekiranya majoriti individu dalam masyarakat kita berpendapat sedemikian. Mungkinkah ilmu logik akan bercambah dalam masyarakat yang mempunyai pemikiran sebegini?

Berdasarkan perbualan dengan seorang professor sains sosial, dapat saya perhatikan bahawa pemikiran sebegini tidak wujud di kalangan para pelajar ketika beliau belajar di universiti 30-40 tahun dahulu. Adakah ’penyakit’ ini baru menular pada generasi saya?(Adakah hal ini turut berlaku di dewan-dewan kuliah di universiti 10-20 tahun dahulu?) Ini mungkin penting untuk membuat ramalan bilakah sebenarnya pemikiran sebegini mula muncul dalam masyarakat. Dan sekiranya kesan yang timbul adalah begitu menjahanamkan bangsa dalam pembentukan ilmu, apakah yang akan berlaku 30-40 tahun akan datang? Apakah tingkat pengetahuan cendikiawan pada waktu itu? Apakah yang mampu dihasilkan oleh cendikiawan pada ketika itu? Adakah pemikiran ini mampu untuk membuat masyarakat kita mengundur kebelakang dalam bidang penerokaan ilmu pengetahuan? Atau mungkin membantutkan terus penerokaan ilmu-ilmu baru, kerana jelas sekali budaya Poyo ini menghalang para pelajar untuk mengkritik dan menyuarakan pendapat. Boleh saya katakan di sini bahawa pemikiran sebegini merupakan ’barah’ yang jika tidak diteliti dan diatasi akan membawa parah kepada masyarakat.

Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah mungkin adalah untuk memahami masalah itu sendiri dan saya yakin, masalah ini belum difahami dengan mendalam. (Dari segi asal usul perkataan, dan penularannya dalam masyarakat kita)

Mudah-mudahan penulisan ini membuka ruang untuk memahami dan mengatasi masalah tersebut.

Nota: Penulis merupakan Graduan Sains Aktuari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2008.

Komen-komen»

1. professor bukan kangkung - Oktober 9, 2008

aku setuju dengan artikel ni. aku kat IPTA nampak jelas budaya ni berlaku. cuma yang aku tak setuju bila penulis cakap yang pangkalnya adalah minda pelajar itu sendiri. ini aku tak setuju sebab untuk aku minda tu datang dari sistem yang wujud.

lagi pun hujah-hujah penulis yang lain tentang budaya poyo ini menjurus kepada melihat ke dalam sistem. jadi minda individu itu tidak membentuk tingkahlakunya tetapi tingkahlakunya itu dipengaruhi oleh sistem di mana dia hidup.

kalo ko hidup di bawah sistem feudal dah tentu kepala otak ko pon jadi feudal jugak. samer dengan kiter sekarang memandangkan universiti dikongkong oleh UMNO, maka budak-budak U sekarang pon ramai yang perangainya macam UMNO.

untuk aku budaya poyo ini timbul disebabkan oleh UMNO! UMNOlah yang membawa masuk budaya poyo ini. UMNO yang maner? UMNO zaman Mahathir. Inilah asal usul “poyo”. Ko tak boleh lebih dari mahathir, kalau lebih jer, gerenti kener sembelih. Contoh orang-orang “poyo” yang dah disembelih oleh mahathir ialah Tengku Razaleigh Hamzah a.k.a. Ku Li, Musa Hitam dan Anwar Ibrahim.

jadi budaya UMNO yang dibawak oleh mahathir ni dah meresap masuk ke dalam universiti. kita kener ingat yang mahathir telah memerintah selama 22 tahun. satu tempoh yang sangat lama. kalo kerbau, dah 10 kali bunting! budak-budak U sekarang semua membesar dalam zaman mahathir. dan pada zaman mahahirlah universiti dikongkong dengan ketat oleh UMNO.

jadi tidak hairanlah kalau budaya poyo yang dibawa oleh UMNO Mahathir meresap masuk sampai ke universiti.

2. la_abwa - Oktober 9, 2008

Ada baguih gak idea prof bukan kangkung.. kira poyo gitu :)
Sekali derap ajer dia lambakan kesalahan tu kpd UMNO dan bapa pembanganun (??) TDM, ader ker patut. Sekalipun saya bukan. pemuja TDM malah tak ada satu ayat yang berasal dari TDN yg saya mabil pot… semuanya tak relevan, ttp untuk melambakkan semua kesalahan kpd beliau agak keterlaluan.

TDM ni cerdik, dia beri peluang sesiapa pun untuk mencanai idea dari situ lah di membina empayar setelah tahu idea orang lain. Sebab tu dai dapat perangkap musuh politiknya. Kalau dia tak bagi peluang orang lain menyarakan pendapat tentu dia pun tak tahu apa idea orang lain, macam mana dia nak pasang jerat… jadi sistem auta TDM ni perlu juga dikenal pasti sebagai idea yang logik . tapi satu hal yang kita kena yakin, bak kata pepatah melayu, sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.Kita tunggu dan lihat apa akan jadi kepada sejarah TDM ini, insyaAllah.

Berbalik kpd persoalan poyo ni , saya rasa bukan salah pemimpin bukan juga salah ibu mengandung. Bukan salah pelajar semata-mata. Sebenarnya sikap dan kualiti pensyarah turut memainkan peranan utama. Begitu juga dengan polisi IPT/IPTS yang berkenaan. Pensyarah sudah tidak lagi menjadi al Mualim (guru) seperti sepatutnya. Ada, malah ramai pensayarah yang punya ego yang tinggi. Ramai pula pensayrah tak ada pengalaman bekerja malah menjadi pensyarah sejurus selepas menjadi pelajar. Belajar teori dan mengajar teori juga.

Pengalaman saya penah menjadi pelajar undergrad dan pernah pula menjadi mahasitua yang mengambil Dip lepas ijazah (selepas 12 tahun bekerja).Saya melihat budaya poyo ini banyak dipengaruhi juga oleh sikap pensyarah . Semasa menjadi siswazah saya tak ada pengalaman, ilmu pun ciput kata orang sekarang memang wajar saya menjadi pelajar yang pendiam dan hanya menerima apa yang di’ajar’ oleh pensyarah. Berbeza bila saya mengambil Dip lepas ijazah,saya masuk kuliah yang sama dihadiri oleh siswazah yg undergrad.. silibus sama ttp pengalaman bekerja menjadikan saya lebih berpengetahuan dari siswazah dan mungkin lebih dari pensyarah.

Ini tidak bermakna saya perlu asyik bertanya atau mengaju soalan hanya kerana ingin mencabar pensyarah atau sekadar mencetus budaya berbincang. Saya memilih untuk berbincang dgn pensyarah saya secara face to face supaya air muka beliau dapat diselamatkan sekiranya tak mampu menjawap soalan saya. Apa yg saya lihat, pensayarah saya (salah seorang) sangat skeptikal dengan keupayaan orang melayu. Memandangkan egonya yg tinggi saya bertindak buat bodoh…kerana dia adalah pensayrah yang akan menyelia thesis saya. So i have to play safe. Jgn tunjuk poyo.

Saya biarkan dia memuji seorang pelajar India yang kununnya mahir ICT. Pelajar ni menggunakan Visual basic dlm presentation projeknya. So pensayrah tu ingin saya juga guna Visual Basic untuk presentation saya. Ok, saya kata saya cuba walaupun saya tahu ianya buang masa. Kalau sekadar nak dapatkan impact interface seperti yg ditunjukkan , sebenarnya Access boleh memberikan natijah yg sama malah lebih baik kerana saya tak perlu menggabung dua sofware untuk mengasilkan satu persembahan berasaskan database. Saya mengambil keputusan tak mahu bertekak dgn pensayarah ni w.pun saya tahu apa yg dia tak tahu. Sekali lagi saya tak memilih untuk tidak bertindak poyo. Biarlah dia (pensyarah tu) perasan pandai… :)

Seamasa saya membuat persembahan untuk projek saya, saya tidak beritahu apa software saya guna . Dia betul2 fikir saya guna visual basic sebab paparan canggih walhal saya guna Access sahaja. Habis persembahan saya masuk bilik dia dan terangkan yg saya guna satu package sahaja iiatu Access yang ada kombinasi database dan interface. Apa yg saya tunjuk ialah ‘interface to the database.’. hasilnya response time cepat dan mudah sebab guna satu sistem. Kalau guna visual basic response time slow krn system jadi ‘resource hungry’. Maka tersipulah pensyarah yg fikir dia baguz.. terpaksalah bagi markah tinggi kan?

Kesimpulannya saya fikir mindset pelajar ni perlu ada kualiti sebenarnya. saya pun tak suka pelajar yg suka menunjuk2 ni, kadang2 ada yang kurang adap dengan pensyarah. Saya kadang2 terpaksa memuji pelajar cina, bukan kerana mereka lebih cerdik tetapi mereka lebih taat, sopan dan lebih serius balajar. Saya amat berterimakasih kepada pelajar2 cina tahun 4 fakuliti sains yg belajar sama saya semasa postgrad, banyak membantu kefahaman saya berbanding pelajar melayu yg poyo. Maaf kalau tersinggung. Inilah hakikat sebahagian sikap orang melayu kita yang ‘poyo’ (bukan semua tapi ketara kesannya).

Bila saya bekerja, saya juga berkesempatan menerima pelajar2 IPT yang mahukan taklimat jabatan kami . Di sini sekali lagi saya berasa terkilan dengan sikap pelajar melayu IPT, mereka ini adalah bangsa subsidi. Di ternak oleh kerajaan sebagai bangsa yg hanya mengharap semuanya disuap sehingga saya merasa macam kuli mereka pula untuk menyediakan teks keperluan kajian mereka. Sedangkan pelajar cina berusa mengumpul rakan2 mereka dan membuat temujanji untuk mendapat satu ceramah/taklimat ttg jabatan kami. Bukankah cara pelajar cina ini lebih rasional dan professional?

Itu belum cerita penyakit pensyarah lagi…nanti jenuh pula saya kena ‘serang’.. eloklah dihentikan dulu sampai disini.

3. Sosialis Kanan - Oktober 14, 2008

kalau macam tu aku bangga jadi poyo! haha. Hidup pemikir!

bak kata Cikgu Azmi TERAS:

“melayu ni ada 2 jenis. Mindset and Mindless”.

4. Berekspresi Untuk Kesedaran « Agenda Anak Muda - Oktober 15, 2008

[…] untuk berekspresi. Manusia lebih suka merasa malu dengan kebolehan dan kekutan yang mereka ada. Budaya poyo ini juga ada benarnya. Kita tidak langsung merasakan keperluan untuk sedikit berani dalam keadaan […]

5. Hasbullah Pit - Oktober 15, 2008

Betulkan Poyo maksudnya sebegitu?

ada yang kata ia membawa maksud orang yang “blur-blur”

ada yang kata membawa maksud “low class”

6. hamidi - Oktober 16, 2008

Mungkin ada tafsiran yang berbeza. Tapi setahu saya, untuk kes di UKM contohnye, lebih bermaksud menunjuk-nunjuk..

7. Hasbullah Pit - Oktober 16, 2008

Seorang pengunjung blog saya, mengatakan poyo adalah orang yang gedik.

http://hasbullah.pit.my/2008/10/dia-poyo-engkau-poyo-malaysiakini-poyo.html?showComment=1224110460000

8. zool - Oktober 16, 2008

Poyo ni cam berlagak cam tau..
Kadang2 tak tau apa pun..
he he he.. ini tafsiran saya…
Mungkin betul mungkit kat..

9. hamidi - Oktober 17, 2008

heheh.. takpe zool, memang nak tau mungkin tempat berbeza, tafsiran pun berbeza… ada orang kate (Dr Alinor) perkataan ‘poyo’ berasal daripada ‘fuh yoo’.. bile ade yg semangat nak bersoal jawab dalam kuliah, orang akan kate ‘fuh yoo’ and perkataan tu ter evolusi menjadi ‘poyo’…

10. MK - Oktober 19, 2008

Poyo ni dah jadi istilah yang common, rasanya kami pelayar IPT sendiri tak dapat nak memberi definasi yang pasti. Lebih kurang macam ‘berlagak pandai’, ‘berlagak hensem’, camtu la. Cuma orang poyo ni, biasanya cakap tak serupa bikin.

Tapi rasanya, apa yang tuan terangkan kat sini lebih tepat kepada ‘pulun’. Seorang pelajar yang pulun selalu bertanya bila tak tahu, selalu menjawab bila ditanya pensyarah, dan kalau tahap tinggi sket, sampai mintak assignment.

Kalau pelajar pulun ni tak pandai bawa diri, agak mudah untuk dia dibenci. Tapi kalau dia duduk diam tak kacau orang, orang tak kisah.

Dah tentulah, bukan orang pulun ni yang kita risaukan. Tapi golongan majoriti yang takut tergolong bersama golongan ini :)

Saya mungkin akan berikan penerangan lebih lanjut lagi dalam blog saya, sebagai pandangan seorang pelajar IPT.

11. phantom voter - Oktober 27, 2008

Istilah ‘poyo’ ini seringkali aku dengari sejak dari bangku sekolah lagi. Aku juga kurang pasti dari mana asalnya perkataan ini. Tetapi aku memuji individu yang mencipta perkataan ini kerana berani mencipta sesuatu yang baru. Pada fahaman aku perkatan ‘poyo’ ini dilabel sebagai sikap keterlaluan, berlagak, sombong, angkuh.

Mahasiswa yang berani bertanyakan soalan dan buah fikiran akan seringkali dilabel sebagai ‘poyo’ ini oleh segelintir individu yang tidak boleh menerima kelebihan orang lain. Bagi aku pedulikan orang-orang sebegini sekiranya mahasiswa itu mahu lebih berketrampilan dan maju. Saya bersetuju dengan saudara penulis hamidi yang mengatakan bahawa ini juga antara penyakit graduan IPT tempatan yang kurang berketrampilan akibat daripada perkataan ‘poyo’ ini yang melingkungi pemikiran mahasiswa yang kurang bertamadun pemikirannya..kadang-kadang rakan mahasiswa itu cuba menguji kekuatan individu tersebut dengan mengejek dan menggunakan perkataan ‘poyo’ tersebut.

Sekiranya di sisihkan, tidak mengapa kerana mahasiswa tersebut boleh mencari rakan yang lebih realistik dan bersikap terbuka dari segi idea. Saya juga tidak mahu 10 atau 20 tahun akan datang percambahan idea akan terbantut akibat daripada perkataan ini. Perkataan ini boleh digunakan, tetapi ia harus digunakan pada tempat yang berlainan dan bukan di dalam bidang akademik.

Dari sudut yang lain juga kadang-kadang terdapat pensyarah yang ego. Pensyarah juga ego dengan title dirinya sebagai pensyarah dek kerana hendak mempertahankan kredibiliti. Pensyarah juga manusia dan seharusnya sedar diri, bahawa bukan semua perkara ia hebat dan juga di dalam pengkhususan bidangnya. Keterbatasan ilmu itu tetap ada bagi setiap individu. Ada juga pensyarah yang mengajar menggunakan nota yang di beri dan apabila tiba peperiksaan jawapan haruslah serupa dengan ayat di dalam nota. Ini juga akan mengakibatkan pelajar tidak akan berfikiran kritikal dalam melontarkan idea kerana kesan daripada ‘mind in box’ telah di wujudkan sebagai framework kepada jawapan. Sekian sampai di sini dahulu..

12. asal usul poyo - Oktober 28, 2008

Nak tau asal usul perkataan poyo????
Ia berasal dari sekolah aku….
Itu adalah fakta. Mase aku form 3 tahun 1997, ustazah sekolah aku ( B. arab ) suke bercerita & buat lawak utk menarik minat kitorang belajar subjek ni. Ustazah aku jenis yg beriya kalau mengajar & bercerita coz nak kasi kitorang faham & supaye kitorang gelak ngan gaye die mase mengajar so kitorang x la boring n ngantuk mase kelas die. Ayat yng die suke gune bile buat lawak ialah sopo yo? ( bahase jawa) bermaksud sapa ya ataupon ayat penuh siapa ya…dan dengan gaye n mimik muke die bercerita kompon kitorang gelak n hilang ngantuk terutama bile da t/hari. Lepas tu budak2 lelaki pon suke la ngajuk ustazah sopo yo. Asalnye kitorang sebut perkataan ni berulang iaitu poyo-poyo.Waktu itu poyo lebih kepada maksud beriya-iya ( macam gaye ustazah bercerita kat dalam kelas). Cth ayat ialah, ” aku dah poyo-poyo dah nak pegi bandar tp x jadi”. Poyo-poyo itu menggantikan ayat beriya-iya. Sampai sekarang perkataan itu masih digunakan terutama dikalangan pelajar sekolah dan IPT. Waima generasi yang sezaman dengan saye pon terus menggunakan perkataan ini di tempat kerja. Pada saya poyo bukan budaya. Same jugak kesnya dengan jipang dan skema. Saya x tau samaada pengawas sekolah skrng masih dilabel jipang atau tidak. Tolong jangan salahkan perkataan kalau mindset sendiri yang salah. Pelajar x nak tanye kat dalam kelas sebab memang mereka xnak bertanye. Bukan sebab takut dilabel macam2 perkataan. Satu lagi sebab MALU. orang melayu kan memg terkenal dengan MALUnye. Takut soalan salah lah, takut tertanye soalan bodoh lah, takut pelajar lain ketawakan soalan kita lah, paling takut lecturer jawab balik, ” tadikan kan saye dah terangkan yg itu awak buat ape mase saye bercakap td!!??, berangan??” lepas tu satu kelas pon ketawe, ha kan dah MALU.

13. asal usul poyo - Oktober 28, 2008

So kepada semua, poyo bukan lah gedik, menunjuk-nunjuk, blur-blur, low class, berlagak pandai, berlagak hensem, cakap x serupa bikin dan pelbagai lagi istilah teruk yang lain. apatah lagi poyo langsung tiada kaitan dengan mane-mane parti politik seperti umno, pas, pkr, gerakan, mca, mic serta kelab-kelab dan persatuan yang lain seperti perkida, perbayu, permasa, abim, gpms dan gakum. Pada saya dan rakan-raka sek saya dulu poyo ini digunakan untuk menggantikan perkataan beriya-iya. samalah dengan perkataan jipang -gila pangkat, skema – terlalu ikut peraturan dan lain-lain istilah yang kita guna mase sekolah dulu. So, selamat mempoyokan diri kepada semua…… : )

14. tak betul - Oktober 28, 2008

tak betul tuh.

sebenarnya perkataan poyo pertama kali digunakan terhadap sorang makcik kat kampung aku. masa tu makcik tu jual goreng pisang kat tepi paya. tapi lama2 perkataan makcik jual goreng pisang kat paya jadi jadi makcik poyo… sebab gorong pisang dia tak sedap! tak laku!

lama2 orang kampung kat lenggor tu femes ar dgn perkataan poyo yang bermkasud, mengada2!

itu berlaku pada tahun 1996.

15. Entahapentah - Oktober 28, 2008

Agaknya bahasa “Pasar” yg takde dalam Kamus Dewan Bahasa Pustaka (DBP)…..

Salam…

16. la_abwa - Oktober 28, 2008

Macam macam lah korang buka sejarah perkataan poyo…sebutan yang betul ialah macam kita sebut perkataan inggeris ‘pour your’. Macam sebut nama bekas MB selangaor Khir Toyo (Sebut Khir ‘Tor your’). ini dialek jawa.

Poyo ni kan perkataan jawa, tak percaya gi tanya sapa2 orang jawa. (sebenarnya saya pun tak pasti.. sebab saya bukan jawa..) .poyo -beriya2 (over acting).

17. aweks - Oktober 30, 2008

wei La_abwa,
x baik taw!!!
Khir toyo tu bekas menteri besar selangor la…
ko ejek2 die pulaks….
aku pon owang jawe gaks taw….
kecik ati aku….

18. banjar - Oktober 30, 2008

muahahahaha! la_abwa rasis?

19. hamidi - Oktober 30, 2008

Saudara editorrrrrrr,

you know what i mean..

ahahhaha

ngok ngek toll

20. aqil fithri - Oktober 30, 2008

hola hamidi,

:-) uol mendukung pasaran ide, hehehe!

dan, kalau kita campur-tangan, maka akan berlaku kekacauan. kesempurnaan hanya lahir bila kita tidak kacau (sambil garu2 kepala). ingat tuh? hahaha!

21. Anak khir toyo - Oktober 30, 2008

Wallahuallam..mcm2 versi.. hehe.. sy masih xbrpuashati dengan asal usul dan masih mencari perkara yang sebenarnya. Tapi yang penting adalah persoalan tentang mahasiswa yang lebih utama berbanding asal usul perkataan..Tq..

22. hamidi - November 1, 2008

Saudara editor,

ya betul saya bersetuju dengan saudara, tapi harus diingat, pasaran bebas perlu didokongi dengan ‘indivudal right’ yang mana ia bermaksud setiap individu bebas memasuki dan keluar daripada pasaran (sambil usap2 janggut).

jgn lupe tuh.. wink wink* :)

23. la_abwa - November 27, 2008

aweks,

bukan ejek, beri contoh car menyebut perkataan poyo tu jer…
jgn salah anggap,. salah makan tak per :)

saya racis ke banjar?
suka hati ko la nak poyo pun.

anak khir toyo tak payah ler cari asal usul perkataan poyo,a sal tahu guna dan tau maksud sudah..nanti kita usul supaya perkataan ni masuk kamus DBP, bartambah satu khazanah bahasa.

24. Poyo : serangan Psikologi di kalangan mahasiswa ? « Unpredictable - September 20, 2010

[…] memetik artikel ini dari blog ummah online. Saya ubah sedikit dari tajuk asal. untuk kita selaku mahasiswa menilai bersama. […]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: