jump to navigation

Teo Kok Seong: Bahasa Melayu Boleh Diperkayakan Oktober 14, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Tiada bahasa yang dapat berdiri sendiri sepanuhnya. Semua bahasa meminjam dan menggunakan pendekatan penerapan, termasuklah bahasa Inggeris sendiri. Tapi, itu tidak bererti bahasa yang meminjam punya kekurangan.

Bahasa Melayu–sebagai salah satu bahasa bukan-rumpun, dan dikatakan bukan dari mana-mana serpihan dari bahasa yang lain–turut tidak terkecuali untuk meminjam. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku dewasa ini, kita lebih banyak meminjam dari memperkayakan kekuatan kosakata kita sendiri. Mari kita jelajahi keluhan professor Teo Kok Seong dalam wawancara siri terakhir ini.

Anda pernah menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa moden. Apa takrif bahasa moden?

Sebenarnya, istilah bahasa moden ini adalah diberikan kepada bahasa yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang tersurat mahupun tersirat, dan dalam apa jua bidang ilmu sekalipun. Bahasa Melayu sudah diiktiraf. Maka, kita sebenarnya sudah capai taraf sebagai bahasa moden.

Tapi, adakah pengiktirafan bahasa melayu ke tahap bahasa moden ini bererti bahawa bahasa Melayu mampu untuk mengantikan bahasa Inggeris? Atau lebih jelas lagi, bahasa Melayu sebenarnya tidak ada cita-cita dan tekad untuk mengambil-alih peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia, sekurang-kurangnya pada waktu yang mendatang?

Saya kira begini saja. Maksudnya, kalau bahasa Melayu, atau bahasa-bahasa lain boleh capai taraf antarabangsa, selalunya kita pun kita akan jadi bahasa kedua atau ketiga. Bahasa Inggeris akan tetap akan jadi bahasa utama. Saya kira, sukar untuk mana-mana bahasa untuk mengambil-alih tempat bahasa Inggeris sekarang. Memang sukar bagi kita untuk lawan bahasa Inggeris.

Tapi, adakah ini menunjukkan bahawa bahasa Inggeris lebih handal?

Bukan lebih handal. Tapi kerana banyak penuturnya, dan bahasa Inggeris juga lebih kukuh tradisi ilmunya. Maksud saya, kalau kita kata bahasa Sepanyol itu boleh mengatasi bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia yang utama, hakikatnya ia takkan berlaku. Bahasa Sepanyol, atau bahasa Melayu, tidak mungkin dapat mengatasi bahasa Inggeris.

Tapi, kalau kita tidak ada tekad yang tinggi, ataupun meletakkan penarafan yang tinggi terutamanya dalam konteks perjuangan bahasa Melayu, kita takkan capai satu tahap yang lebih tinggi dari sekarang. Tidak begitu?

Kita telah ada usaha. Buat permulaannya, kita nak jadikan bahasa Melayu itu sebagai bahasa ASEAN, iaitu sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara ini. Satu waktu dulu, idea ini ada tindakan yang agak agresif juga. Malah, dulu juga ada juga ada usaha-usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Tapi nampaknya hari ini orang tidak bercakap lagi soal itu. Sebaleknya, tiba-tiba saja di negara kita pun sudah dianjak kepada bahasa Inggeris. Kalau kita lihat di mana-mana pun, sudah berlaku apa yang dinamakan sebagai “kekeliruan.”

Saya tengok sudah dua kali hal ini berlaku. Yang paling ketara apabila kereta nasional kita dilancarkan pada Jun 2006 iaitu Satria Neo, dan kemudiannya Persona. Pada waktu itu, ketua pegawai eksekutif (CEO) Proton bercakap dalam bahasa Inggeris. Hanya Pak Lah saja yang bercakap dalam bahasa Melayu sewaktu melancarkannya. Saya pun tidak tahu kenapa hal ini berlaku. Tidak ada segan silu ke CEO itu sehingga bercakap dalam bahasa Inggeris? Dan saya pun tengok siaran langsung dalam televisyen itu, para hadirinnya pun perkerja-pekerja EON saja, yang pakai baju warna biru. Rata-rata dalam program itu adalah orang-orang Melayu saja. Jadi, mengapa CEO nak bercakap dalam bahasa Inggeris? Itu program pelancaran kereta nasional. Malah, majlis rasmi pun. Dan, kita tahu bila majlis rasmi di Malaysia mesti menggunakan bahasa kebangsaan.

Jadi, bila hal-hal macam ini berlaku, rakyat pun kelirulah. Dan tentu ada rakyat yang menganggap bahawa bahasa Melayu itu tidak penting lagi. Sebaleknya bahasa Inggeris yang nampaknya lebih penting. Saya kira kerajaan perlu perbetulkan perkara ini.

Kalau kita kembali pada sejarah lagi, bagaimana asal-usul bahasa Melayu ini? Sebab bahasa Melayu ini tentu diperkaya oleh bahasa-bahasa lain, terutamanya bila menyentuh soal penerapan bahasa dan istilah? Kalau menurut sejarah, apakah mungkin bahasa Melayu ini berasal dari bahasa Sanskrit? Maksudnya saya, adakah bahasa Melayu adalah serpihan dari bahasa-bahasa besar yang lain?

Tidak ada. Bahasa Melayu adalah tetap bahasa Melayu. Cuma, kemudiannya bahasa Melayu diperkayakan kosa-katanya oleh bahasa-bahasa lain: Sanskrit, India, Arab, dll. Jadi, memang secara aslinya bahasa Melayu itu adalah berdiri sendiri. Sebab banyak perkataan asli kita adalah perkataan asal Melayu. Yang pinjamnya itu, memang banyak juga. Tapi perkataan asli dari bahasa Melayu itu jauh lebih banyak juga. Maka, tidak betullah kalau orang kata bahawa bahasa Melayu itu semuanya pinjam. Saya ingat pernah ada yang dakwa bahawa bahasa Melayu itu asalnya dari ada empat perkataan sahaja: padi, besi, babi, dan paku.

Saya rasa dakwaan itu keterlaluanlah. Kalau kita tengok, orang asli pun ada lebih empat perkataanlah. Walhal, Melayu itu tamadunnya lebih tinggi. Bangsa Melayu boleh buat perahu di Terengganu, maka takkanlah ada empat perkataan sahaja. Mesti ada satu jumlah perkataan yang mencukupi untuk kita berkomunikasi. Bila datang benda-benda yang tidak ada, mereka pinjamlah. Seperti kita pinjam perkataan kedai dalam bahasa tamil. Sampai hari ini orang India sebut kedei. Orang India sebut kapel, kita pinjam jadi kapal.

Manakala yang dipinjam dari Arab memang banyaklah: fardhu, feel, dan lain-lain lagi. Kalau Inggeris pun banyak. Jika kat kampong disebut opis, rokok sigeret, pintu gate, semuanya kita pinjam. Jadi, akhir-akhir ini dengan adanya perkembangan ilmu, lagi banyaklah kita pinjam. Tapi dari segi ilmu linguistik, apabila kita pinjam dan serap, kita kemudiannya mengenakan sistem bahasa kita. Sebab itu ejaan tidak sama. Maka setelah kita pinjam kita tak sebutlah “credit card”, kita sebut “kad kredit”, berubah sekali dengan sebutannya sekali. Semuanya dalam sistem bahasa Melayu. Sepatutnya, setelah kita pinjam, bukannya dikenali sebagai emel, tapi mel-e. Mithalnya lagi, kalau “setem” itu, dalam bahasa Inggeris kita sebut stamp. Namun, bila dipinjam jadi bahasa Melayu kita tukar jadi “setem.” Banyaklah lagi contoh yang seperti itu.

Tapi, mengapa kita tidak boleh mengekalkan keaslian kata tersebut? Sekurang-kurangnya supaya ia tidak mengelirukan.

Memang biasanya ditukar. Sebab ikut sebutan bahasa kita. Kalau kita tengok, mula-mula orang Melayu pinjam perkataan Arab pun dia tukar. Bahasa Melayu dulu tidak ada sebutan “f”. Mithalnya, “engkau pikir tengok,” bukannya, “engkau fikir tengok.” Peel (sebutannya) juga begitu, padahal yang asalnya ialah feel. Akhir-akhir ini saja yang kita terima sebutan asli dari Arab.

Jadi, pertukaran ini dipengaruhi oleh fonologi sesuatu sistem bahasa tersebut?

Ya. Ini berlaku kerana faktor sebutan dan fonologi, iaitu sistem bunyi bahasa kita. Semua bahasa pun macam itu. Jaranglah kita ambil secara bulat-bulat. Sebab, bila kita sebut benda dalam bahasa-bahasa lain pun, ia mestilah sesuai dengan lidah kita.

Tapi, sejauh mana pula pengaruh bahasa-bahasa lain telah mempengaruhi bahasa Melayu. Adakah hingga jauh bezanya di antara keaslian bahasa Melayu asal, berbanding dengan pengaruh yang kemudiannya didatangkan oleh bahasa-bahasa lain.

Saya rasa tidak ada. Hanya penutur saja. Maksudnya, atau umpamanya kita sudah ada perkataan rombongan. Tapi saya tidak tahu atas alasan apa kita nak pinjam “delegation” dan kita tukar jadi “delegasi”. Bila ada deligasi dan rombongan, sikap orang kita lebih suka yang perkataan delegasi. Ramai yang tidak suka perkataan rombongan. Jadi, kalau sikap yang macam ini, lama-kelamaan perkataan asli Melayu itu akan hilanglah. Kalau boleh macam saya, kita guna yang Melayu dulu. Kalau betul-betul tidak ada, baru kita pinjam yang Inggeris. Macam “assimilation” tidak ada dalam bahasa Melayu. Maka kita gunalah asimilasi. Kalau yang Melayu ada seperti “randau,” maka buat apa kita nak guna “dialog.”

Randau?

Ya. Randau adalah bahasa Melayu Serawak yang maksudnya dialog. Maksudnya bukannya dialog dalam berborak-borak itu. Tapi randau bermaksud untuk menyelesaikan hal ini kita mesti melakukan satu perbincangan. Tapi akhirnya orang lebih suka guna perkataan dialog. Tapi, bagi kita orang linguistik, kita lebih suka menonjolkan randau ini. Sama juga macam perkataan berkesan, tapi sekarang rata-rata orang sekarang lebih cenderung mahu menggunakan perkataan efisen. Jadi, kita pun boleh tengok sendirlah sikap kita tersebut. Dalam sikap kita itu, kebanyakan orang sebut perkataan bahasa Inggeris dahulu, baru kemudian yang bahasa Melayunya. Patutnya, kita sebut yang Melayunya dahulu. Ini penting untuk memastikan ketakatan bahasa kita.

Ketakatan? Takat?

Itu perkataan jawa. Yang maksudnya “terus bertahan.” Atu dalam bahasa Inggerisnya, “survive”.

Komen-komen»

1. Teo Kok Siong: Bahasa Melayu Boleh Diperkayakan « DeMoLoNi - Oktober 19, 2008

[…] Teo Kok Siong: Bahasa Melayu Boleh Diperkayakan Dikirim pada Oktober 19, 2008 oleh ffataah Bahasa Melayu–sebagai salah satu bahasa bukan-rumpun, dan dikatakan bukan dari mana-mana serpihan dari bahasa yang lain–turut tidak terkecuali untuk meminjam. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku dewasa ini, kita lebih banyak meminjam dari memperkayakan kekuatan kosakata kita sendiri. Mari kita jelajahi keluhan professor Teo Kok Seong dalam wawancara siri terakhir ini. baca lagi>> […]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: