jump to navigation

Taman, Prasasti Ingatan Oktober 24, 2008

Posted by ummahonline in Cerpen, Seni.
trackback

Tak ada hujan dalam dua hari ini. Kemarau –musim yang kubenci– tampaknya mulai bertandang. Pagi tadi, wap embun pun tak kurasakan bersisa di hujung pohon ubi kayu, yang memagari taman belakang rumahku. Udara memang masih dingin, dingin yang kering. Mawar ungu, yang dahan berdurinya menjuntai, kelopak kembangnya tak menyisakan bintik air dari sisa malam. Juga keladi hutan, telapak daunnya mengasap, menahan kering.

Aku pun telah merasakan kemarau, di dadaku.

Kemarau adalah bunga yang menguning satu persatu, lalu layu. Keladi yang berubah hijau tua, juga tanah yang ditinggalkan rerumputan, menandus, dan merekah, beretakan. Aku tahu betul metamorfis alam itu. Dari jeriji jendela kamarku yang berhadapan taman, perubahan itu selalu membaui hidungku. Setiap tahun, jika kemarau semakin hampir, dauran fenomena tetumbuhan di tamanku itu nyaris sama. Di sisi kanan taman, yang dipagari koral-koral bulat sekepalan, akan terbaring selang. Pagi dan petang, jika sempat, kusemburkan air, menepikan kemarau.

Kerana, hanya taman itulah yang boleh mengusir kemarau, di dadaku.

Tamanku berada di bahagian belakang rumah. Tak luas, 9×7 meter, di lingkari teras. Di taman itulah masa kanakku terpahatkan. Rumput lembut yang menjadi alas tanah, membuat aku bebas bermain, tanpa takut jatuh dan terluka. Pokok Pain separuh hayat besarnya, menjadi tempat bersandar ketika lelah mulai menggoyahkan kakiku. Saat menyandar di Pokok Pain itu, dapat kulihat seluruh bahagian belakang rumah. Meskipun memang tidak lama aku dapat melepas lelah bertopang dagu. Lazimnya, Papa yang biasanya duduk sembari membaca akhbar, akan memanggilku, memintaku masuk dalam pelukannya, memangku aku. Papa akan meminumkan teh dari gelasnya, mengusap keringat dari keningku sebelum mendaratkan ciumannya, dan berbisik pelahan di telingaku, “I love you.” Papa lalu membacakan akhbar dengan suara yang cukup keras, meski aku kerap tak mengerti. Tak lama, Papa pasti memasang kolam-kolaman plastik, mengisikan air, dan membiarkan aku bermain di dalamnya, sepuasnya. Sesekali Papa akan mengangsurkan gelasnya, memaksaku mereguk teh pahit hangat kesukaannya.

Itulah rutin pagiku di hujung minggu. Bertahun lalu.

Di taman, masih kulihat jelas jejek-jejak kemesraan itu. Pokok Pain itu telah kian menua, dengan batang yang membersih di bahagian bawahnya, kerana terlalu sering kusandari. Mawar ungu telah berganti beberapa kali. Nyaris tiap awal tengkujuh, ditanam mawar-mawar baru, mengganti mawar lama yang pasti mati. Hanya keladi hutan itu yang kuat bertahan, dengan cara menuakan kehijauan daunnya. Rerumputan pun menguningkan diri, sebahagian mati. Meski nanti ketika hujan datang, seperti disihir, mereka menghijau lagi.

Kemarau memang mengubah tamanku. Tapi setiap tengkujuh, mereka akan kembali. Utuh lagi.

Cuma aku yang tak boleh kembali. Ditinggalkan masa lalu, masa kanakku.

“Menjadi gadis,” kata Papa, “adalah meluangkan waktu untuk diri sendiri. Menjadi gadis adalah rajin bertanya, apa yang aku mahukan untuk hidupku.”

Aku mahu kembali menjadi anak kecil Papa, yang disuap ketika lapar, dan dipangku sembari minum teh bersama. Aku mahu bermain air bersama, bergulingan di taman, dan berpura-pura jatuh dan terluka. Aku mahu digendong, diayun-ayunkan, atau duduk di bahu Papa, dan memandang taman dari ketinggian tubuhnya. Aku mahu dibedakkan, diminyakkan, diwangikan, sebelum dipakaikan kemeja atau seluar. Aku mahu semua hal yang dulu begitu indah dan mengundang tawa. Aku mahu….

Tapi, “Bukan itu, Ila. Bukan itu. Semua yang kamu inginkan itu masih ada. Akan selalu ada, dalam wujud yang berbeza. Ila cuma harus menerima perubahan kemesraan kita. Kerana Ila sudah dewasa,” jelas Papa.

Papa, kalau harus kehilangan semua itu, aku tak mahu jadi gadis, apalagi dewasa. Aku tidak mahu, Papa…

Komen-komen»

1. aqil fithri - Oktober 24, 2008

prasasti = baru bersurat


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: