jump to navigation

Anwar Ibrahim, PAS dan Politik Melayu Disember 11, 2008

Posted by ummahonline in Kolum, Vox Pop.
trackback

Kongres tahunan Parti Keadilan Rakyat, PKR, telah pun berlangsung hujung minggu lalu, di Shah Alam, Selangor, negeri yang pentadbirannya dikuasai oleh PKR. Hal ini menjadikan kongres tahun ini dianggap sebagai kongres menyambut kejayaan, dan menurut lidah rasmi PKR, kongres menjelang kejayaan untuk tiba di Putrajaya.

Bagaimanapun, kongres kali ini juga dijalankan dengan latar kegagalan merampas kerajaan pusat yang diuar-uarkan terjadi 16 September lalu. Ketiadaan penjelasan daripada presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan usaha untuk mengelak daripada membicarakan isu itu, mungkin untuk memfokuskan pada prospek kejayaan dan bukan kegagalan.

Menurut Anwar, usaha menuju Putrajaya masih diteruskan. Sarawak dikemukakan sebagai harapan terbaru untuk mencapai cita-cita tersebut. Walaupun boleh dikatakan moral ahli, penyokong dan penyokong dalam kalangan beberapa pemimpin PAS berhubung cita-cita ini tidak sehebat sebelum 16 September lalu, dapat dilihat masih banyak harapan yang disimpan untuk melihat apa yang dicitakan itu tercapai, apatah lagi Anwar yang menjanjikannya.

Hubungan dengan PAS

Jelas dapat diperhatikan melalui kongres ini hubungan yang semakin merosot dengan PAS, sekutu dalam Pakatan Rakyat dan kerajaan Selangor. Kehadiran hanya seorang pemimpin tertinggi PAS, iaitu Datuk Husam Musa menjelaskan lagi keadaan ini. Kehadiran beliau boleh dijangka, disebabkan hubungan baik beliau dengan Anwar dan dilihat sebagai anggota kem Erdogan. Apa pun alasan ketidakhadiran pemimpin tertinggi PAS, secara mudah, hal itu menggambarkan hubungan kedua-dua parti.

Kekeruhan hubungan itu sangat jelas memandangkan dua tokoh yang pro-Anwar dalam PAS Selangor, Khalid Abdul Samad dan Saari Sungib dipecat daripada jawatan mereka tidak lama sebelum kongres PKR kali ini.

Hubungan ini bakal menjadi ujian pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti, dengan tumpuan diberikan pada kerjasama kedua-dua parti yang melalui ujian pada pilihan raya Permatang Pauh Ogos lalu. Hubungan dua pemimpin kedua-dua parti, Datuk Mustafa Ali sebagai pesuruh jaya PAS Terengganu dan Anwar juga sudah pun menjadi tumpuan, antaranya disebabkan kenyataan Mustafa yang kritikal terhadap projek 16 September Anwar.

Pemilihan calon untuk Parlimen Kuala Terengganu bermula awal, apabila pemilihan calon mula diperkatakan hanya beberapa hari selepas penyandangnya meninggal dunia. Kedua-dua kumpulan Erdogan dan PAS Terengganu dikatakan mahu calon mereka ditempatkan di situ, tetapi akhirnya Mohamad Sabu – yang sememangnya wajar dicalonkan – disokong oleh Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tindakan yang dilihat sebagai satu kompromi, kerana Mohamad Sabu tidak mewakili kem Erdogan atau kem penentangnya.

Politik Melayu

Kongres kali ini turut memperlihatkan satu perubahan dalam bahasa pemimpin PKR apabila isu kekebalan raja-raja ditimbulkan, sesuatu yang boleh ditafsir sebagai tidak selari dengan aliran demokrat dan liberal PKR. Isu raja-raja ini menunjukkan satu usaha memenangi hati raja-raja, yang diharapkan oleh PKR untuk menyokong agendanya menggantikan kerajaan hari ini.

Bagaimanapun, isu Melayu masih kurang dibicarakan oleh PKR, yang melihat dirinya sebagai telah melepasi politik berdasarkan kaum. Malangnya, hal ini menimbulkan sikap kritikal pengundi-pengundi Melayu terhadapnya, yang dilihat hanya membicarakan isu kepentingan Melayu sebagai afterthought, atau agenda yang hanya penting ketika sokongan Melayu diperlukan.

Di Selangor, sikap terhadap Melayu dan/atau Islam ini telah menjejaskan hubungan PKR dengan PAS, dan menurut sesetengah pihak, mendorong ramai pengundi-pengundi Melayu mula hilang kepercayaan dan berhasrat kembali kepada Umno.

PKR sering kelihatan seperti mengelak untuk memperjuangkan isu-isu Melayu untuk membuktikan sifatnya yang liberal dan berbilang kaum.

Kultus personaliti Anwar

Di seluruh negara hari ini, Anwar boleh dikatakan politikus paling popular, yang dilihat sebagai bersih dan bakal membawa Malaysia menjadi jauh lebih baik berbanding apa yang ada sekarang. Harapan besar ini, hampir keseluruhannya dicetuskan oleh pengkultusan tokoh politik bernama Anwar Ibrahim itu.

Realiti politik sememangnya akan menjadikan personaliti seseorang politikus itu satu bahagian besar asas tarikan orang ramai kepadanya. Bagaimanapun, amat malang sekiranya personaliti itu menjadi segala-galanya, dan mengabaikan penilaian yang wajar terhadap seorang pemimpin politik. Kultus personaliti (personality cult) ini mengalihkan fokus pada isu yang lebih penting. Amat tidak wajar seluruh proses politik negara ini dipermudahkan kepada seorang pemimpin sahaja.

Pengkultusan Anwar seperti yang berlaku di negara kita ini sejak akhir tahun 1998 tidak menyumbang langsung ke arah pendidikan politik kepada rakyat negara ini, malah, dalam banyak hal, bertindak bertentangan dengan usaha ke arah itu. Hal ini masih dapat diperhatikan dalam kongres PKR kali ini.

Dalam kempen, seperti kempen pilihan raya Permatang Pauh Ogos lalu, Anwar dan jentera kempennya sendiri lebih menekankan isu-isu sensasi (seperti menurunkan harga minyak dengan segera) dan perang psikologi terhadap pemimpin-pemimpin Umno (seperti menyimpulkan semua tuduhan terhadapnya sebagai fitnah dan konspirasi semata-mata), berbanding menerangkan dasar-dasar yang bakal dilaksanakan jika berjaya memerintah.

Kempen seperti ini menjadikan orang ramai, yang sebahagian besarnya Melayu, terlalu memberi perhatian kepada personaliti Anwar dan bukan ideologi (sekiranya ada) dan haluan parti yang beliau pimpin. Akhirnya, sebahagian besar rakyat terpesona dan menumpukan pada personaliti, ketika dunia yang mencabar hari ini menuntut pengetahuan lebih luas untuk memahami dan mengambil bahagian dalam proses politik.

Politik jauh lebih luas daripada personaliti yang menghiasinya. Masa depan sesebuah negara ditentukan bukan oleh seorang pemimpin politik. Politikus tidak dapat lari dari kesilapan dan pelbagai bentuk muslihat politik. Kesilapan langkah atau kepentingan diri seorang politikus boleh menjejaskan sebuah negara. Maka rakyatlah yang perlu menjadi pemerhati dan bersikap kritikal terhadap politikus.

Politikus, dari latar belakang apa pun, termasuk tokoh agama, perlu dinilai dengan ukuran yang standard, yang digunakan untuk mengukur semua politikus tanpa mengira parti. Kebenaran dan keadilan tidak boleh disandarkan pada individu tertentu, termasuk Anwar dan ulama dari apa parti sekalipun.

Anwar perlu dinilai dengan lebih kritikal, walau apapun pendapat seseorang itu terhadapnya. Amat tidak adil kekaguman terhadap Anwar membutakan seseorang itu daripada kebimbangan-kebimbangan yang dirasakan banyak pihak, seperti satu bentuk liberalisme yang tidak menghormati identiti dan jati diri negara Malaysia.

Kongres di Shah Alam minggu lalu sepatutnya menjadi permulaan kepada pendidikan politik yang sewajarnya, dan usaha-usaha membina politik baru yang rasional dan bersih, bukan hanya menukar tempat dengan Umno dan BN. – 3 Disember, 2008

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: