jump to navigation

Mat Rofa Ismail: Sains Islam Tidak Memisahkan Kualitatif dan Kuantitatif Disember 18, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Meskipun Sains Islam mendapat tentangan, namun gagasan ini sentiasa diperkuatkan dari waktu ke waktu. Dalam wawancara bersama Prof. Dr. Mat Rofa Ismail ini, Pensyarah Institut Penyelidikan Matematik, UPM, beliau menjelaskan betapa perlunya Sains Islam sebagai alternatif terhadap Sains Barat. Selain dari menggunakan pendekatan sejarah, beliau turut melihat bahawa Sains Barat, atau Sains Moden ini hakikatnya hanya didasarkan kepada aspek kuantitatif (emperikisme) semata-mata, sekaligus mengabaikan hubungan yang bersifat kualitatif (keruhanian).

Elok kita teroka pandangannya dalam wawancara ini:

Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia? Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail Faruqi?

Istilah sains, ilmu, makrifat, knowledge dan scientia sering terkeliru oleh masyarakat. Setiap masyarakat dan budaya memahami istilah tersebut dalam konotasi budaya masing-masing. Saya pernah huraikan maksud ini dalam buku kecil saya Mantik dalam Pemikiran (DBP, 1997) seperti ringkasan yang berikut:

“Haji Khalifah, pengarang Kasyf al-Zunun memberi lima belas takrif ilmu termasuk: ilmu ialah kepercayaan, makrifat, persepsi dan keyakinan yang bertepatan dengan realiti manakala buah atau matlamat ilmu, menurut al-Ghazali ialah takutkan Allah s.w.t. manakala orang berilmu merupakan orang yang takut kepada Allah s.w.t…

”Perkhabaran wahyu merupakan satu bentuk ilmu, manakala pemerhatian dan ujikaji juga diakui sebagai sumber ilmu. Dengan pengertian ini, ilmu lebih umum daripada makrifat. Ilmu tabii atau dikenali dalam bahasa Arab sebagai al-’Ulum (sebenarnya al-’ulum al-tabiyyah) dikenali sebagai sciences dalam bahasa Inggeris. Al-Ulum ialah kata jamak daripada al-’ilm (yakni ilmu). Oleh itu, kita selalu menyebut ilmu kimia, ilmu botani dan seumpamanya yang amat bergantung pada ujikaji dan pemerhatian yang mendalam, suatu bentuk makrifat dalam pengertian asalnya….

”Menurut Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, pengarang kitab tauhid Aqidat al-Najin, berbahasa Melayu, ilmu dan makrifat mempunyai maksud yang sama kecuali apabila diitlakkan kepada Allah s.w.t. hanya perkataan ’alim sahaja sesuai untuk-Nya, bukan perkatan ’arif kerana pengertian ’arif bermaksud mengetahui sesuatu yang sebelumnya dalam keadaan tidak mengetahui. Ilmu bagi tokoh Nusantara itu adalah pengetahuan sesuatu yang bertepatan dengan hakikatnya.” (petikan bab 2)

Sains tabii Arab mengalir ke Eropah menjelang kurun ke-13M. Penulis Eropah  mengungkapkan kalimah sains tabii iaitu al-`ulum al-tabi`iyyah sebagai scientia naturalis dalam bahasa Latin. Ketika itu Latin menjadi bahasa perantaraan terjemahan ilmu Islam ke Eropah. Sama seperti tradisi Arab, apabila disebut al-`ulum maka yang dimaksudkan ialah al-`ulum al-tabi`iyyah, maka penulis Eropah hanya menulis scientia sahaja untuk merujuk scientia naturalis kerana kalimah makrifah al- dalam kalimah al-ulum itu sudah difahami sebagai ilmu yang khusus tentang tabii. Apabila penulis Inggeris mula mempelajari sains Islam menerusi penterjemahan Latin, mereka turut menggunakan kalimah scientia Latin yang disuaikan iaitu the sciences yang bermaksud the natural sciences sebenarnya. Hal ini bolehlah dibandingkan dengan orang Melayu yang merujuk daging lembu sebagai daging sahaja, sedangkan daging ayam disebut ayam pula, sedangkan kedua-duanya berupa daging haiwan. Inilah yang mengelirukan khalayak yang tidak memahaminya menerusi susur galur bahasa asalnya.

Adapun perkataan knowledge yang digunakan dibarat lebih longgar daripada al-`ilm yang digunakan oleh penulis Islam. Dalam al-`ilm ada paradigma ketuhanan dan keyakinan, namun knowledge di sisi Barat merujuk kepada pelbagai status ilmu sama ada bersifat yakin seperti teorem dan makrifat atau bersifat konjektur seperti maklumat, teori, hipotesis, postulat dan seumpamanya. Bahkan, ilmu biologi Barat diasaskan di atas paradigma Darwinisme yang ternyata menyimpang daripada takrifan ilmu pada peringkat yang paling asas. Maklumat yang diperolehi menerusi  teknologi maklumat tidak mencapai takrifan ilmu yang dmaksudkan ilmuawan Islam. Hanya apabila maklumat yang benar lagi yakin selepas tapisan perkaedahan ilmiah barulah boleh diangkat ke tahap ilmu.

Apabila sains moden yang dibina di Barat didasarkan kepada aspek kuantitatif cerapan indera semata-mata tanpa hubungan dengan aspek kerohanian sama sekali. Ini secara jelas menafikan maksudkan asal kajian sains tabii Islam yang melihat kebenaran alam sebagai manifestasi keagungan ciptaan Ilahi. Maka, sains Barat telah berubah maksud yang sebenarnya. Fahaman positifisme Barat tidak mengizinkan aspek kualitatif dan kutuhanan dijadikan premis sains meraka. Positifisme yang menjadi ”alam tanpa pencipta” sebagai paksi kajian mereka. Inilah yang perlu diperbetulkan. Gagasan Pengislaman Sains ialah usaha untuk mengembalikan semula takrifan sains seperti yang dimaksudkan oleh ilmuwan Islam silam, bukan satu usaha bidaah baru seperti yang disangkakan oleh pengkagum sains Barat. Pengislaman Sains berusaha untuk memberi roh kepada kajian sains tabii sebagai kajian yang berakhir dengan pengkiktirafan Pencipta yang Maha Agung dengan melihat domain kajian yang luas yang merangkumi aspek kuantitatif dan kualitatif yang mempunyai matlamat akhir pengiktirafan keagungan Ilahi. Teknologi hanya dianggap hasil sampingan bukan matlamat asas sains. Namun, Barat menjadikan teknologi sebagai matlamat utama sains mereka.

Pengisalaman Sains dicadangkan kerana hakikat sains yang dibina mengikut citarasa pembinanya. Di sebalik sains, di sana ada rohnya. Roh sains yang dibina berbeza-beza, seperti roh Muslim dan roh bukan Muslim berbeza. Mereka yang melihat sifat luaran tidak menyedari perbezaan roh Muslim dengan bukan-Muslim kerana dari segi jasadnya dan biologinya, kedua-dua makhluk itu tiada bezanya. Roh itulah yang menentukan destinasi akhir hidupnya. Pengislaman Sains melihat kesepaduan kedua-dua aspek tersebut. Alam semesta dianggap kitab terbuka yang harus dikaji secara bersepadu dengan al-Qur’an sebagai kitab tertulis di atas paksi Tauhid. Itulah maksud Pengislaman Sains atau Islamisation of Sciences.

Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu? Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?

Tokoh utama yang membahaskan persoalan ini menjelang pertengahan kurun ke-20, termasuklah Ismail Faruqi, Sayyed Hossein Nasr, Syed Mohammad Naguib al-Attas, Ziauddin Sardar, Osman Bakar dan angkatannya. Di samping itu, terdapat kecenderungan saintis Barat untuk mengkaji al-Qur’an dalam perspektif sains. Di antara saintis Barat yang begitu berminat dengan sains al-Qur’an termasuklah Maurice Bucaille, Keith Moore, Garry Miller dan lain-lain. Namun mereka pada hakikatnya cuba menyatakan kembali wajah sains yang dibina oleh tamadun Islam silam. Kalimah Islam tidak disebut dalam kajian sains silam, sebab memang paradigma yang dihayati oleh seluruh umat Islam ketika itu ialah Islam. Apabila mereka menyatakan ilmu astronomi, maksudnya astronomi yang berpaksikan kegiatan umat Islam, yakni astronomi Islam. Apabila sains telah disekularkan oleh Barat, maka usaha ini dilakukan untuk mengembalikan kajian sains umat Islam di atas landasan yang asal.

Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu? Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?

Harun Hahya, Nasr dan Bucaille bukanlah golongan awal membincangkan hubungan sains dengan al-Qur’an bahkan saintis silam seperti al-Biruni dan Fakhrul-Razi atau Sa`id Hawwa dan Zaghlul Najjar pada zaman moden ini, turut mentafsirkan al-Qur’an dengan sains. Kita jangan keliru. Ada dua pendekatan di sini. Pertama, ada yang menjadikan sains sebagai kebenaran mutlak, lalu dengan merujuk kepada sains sebagai rujukan, mereka mentafsirkan al-Qur’a agar disesuaikan dengan penemuan sains. Ini merupakan fahaman Bucaillisme, andainya ingin disebut demikian. Pendekatan ini menimbulkan konflik yang hebat kerana sains bersifat kebenaran relatif yang berubah dengan penemuan baru.

Pendekatan kedua, seperti yang dilakukan oleh al-Biruni, Fakhrul al-Razi, Sa`id Hawwa dan Najjar ialah menjadikan al-Qur’an sebagai rujukan dan kebenaran mutlak. Al-Qur’an menggesa agar manusia berfikir tentang kejadian alam semesta dan diri mereka sendiri. Ayat al-Qur’an menggesa agar dikaji alam semesta dengan nama Allah swt, lalu ditemui fakta sains yang disokong oleh al-Qur’an. Kebenaran al-Qur’an tidak bergantung kepada penemuan sains. Inilah pendekatan ulil-albab.

Ada golongan intelektual kita, yang kononnya penuh iman di dada, mengkritik hebat lalu mengulas secara borong akan pendekatan pertama dan kedua yang dilabelkan dengan fahaman Bucailisme tanpa membezakan pendekatan kedua-duanya yang berlainan premis itu. Ini kritikan yang tidak cermat. Bahkan Nabi Allah Ibrahim as sendiri meminta Allah swt memperlihatkan kepadanya bagaimana Ia menghidupkan yang mati. Lalu, Allah swt bertanya kembali kepadanya: Apakah anda tidak percaya? Namun dengan penuh keimanan Nabi Ibrahim as menyebut, bahkan ia beriman, namun permohonannya sekadar menenangkan perasaan hatinya sahaja. Pendekatan inilah yang diambil oleh golongan kedua kerana keyakinan ada perlbagai tahap: ainul-yaqin, haqqul-yaqin dan seumpamanya.

Zaghlul Najjar menempelak golongan intelektual seperti ini kerana melihat Islam dalam ruang lingkup sempit takrifan sendiri. Tiga buah buku beliau yang bertajuk al-Ard fi’il-Qur’an (geologi mengikut al-Qur’an) , al-Sama` fi’l-Qur’an (kosmos mengikut al-Qur’an) dan al-Hawayan fi’l-Qur’an (haiwan mengikut al-Qur’an) adalah antara buku terbaik yang pernah saya saksikan dalam pendekatan ini. Demikian pula Sa`id Hawwa menerusi kitab tafsirnya al-Asas fi al-Tafsir (11 jilid) turut menghuraikan ayat-ayat al-kauniyyah dengan penemuan sains terkini menerusi pengetahuan balaghah al-Qur’an yang mendalam beliau mentafsirkan kembali maksud ayat al-Qur’an yang mutlak sifatnya, yang mengesahkan penemuan terkini sains. Ini bukan Bucaillisme. Ini sebahagian pengertian ulil-albab yang merenungi kejadian langit dan bumi, mengkaji, menganalisis yang berkhir dengan kesimpulan bahawa: Mahasuci Engkau wahai Tuhan-ku, tidaklah Engkau jadikan semuanya ini dengan sia-sia. Justeru, lindungilah diriku ini daripada siksaan Neraka. Pendekatan kedua ini ssesuailah kalau diberikan nama pendekatan ulil-albab, yang berbeza  sekali dengan pendekatan Bucailisme.

Dari segi sejarahnya, al-Biruni pernah merenungi ayat dalam surah al-Kahfi yang menceritakan Zul-Qarnain pernah sampai ke satu destinasi yang penduduknya hampir tidak dapat berlindung dearipada cahaya matahari. Lalu, dengan menjadi al-Qur’an sebagai panduan beliau membuat kajian untuk melihat  tempat yang dinyatakan al-Qur’an itu, lalu menemuinya tempat itu di kutub utara yang pada musim tertentu siangnya 24 jam atau hampir 24 jam.

Manakala Sa`id Hawa mencadangkan pendekatan ulil-albab ini dijadikan sebagai media dakwah yang berkesan kepada generasi muda Islam sendiri kerana kekuatan hujah menerusi pendekatan ini. Bahkan, Zaghlul Najjar menyatakan dalam seminar di Moscow pun ada ahli geologi Rusia yang mengisytiharkan syahadah apabila mendengar hujah beliau yang menghuraikan kejadian gunung mengikut al-Qur’an. Diberitakan penduduk Belanda dan Moscow kini menerima Islam secara mendadak menerusi pendakwahan ini. Pertambahan penduduk asal Eropah ke dalam Islam banyak dipengaruhi pendekatan ini.

Masyarakat Eropah kini menempa keagungan dalam pemikiran saintifik manakala umat Islam tertinggal jauh mengekori dari belakang. Inilah roda hidup. Ketahuilah roda hidup sentiasa berputar. Sekali ke atas, sekali ke bawah. Satu masa dulu, umat Eropah duduk pada titik paling bawah dalam putaran roda tersebut, manakala umat Islam ketika itu berada di puncaknya. Hari silih berganti. Kini giliran umat Islam pula berada di bawah, manakala umat Eropah dipuncaknya. Ingatlah roada akan terus berputar. Allah swt tidak mengubah nasib sesuatu umat, tanpa daya dan usaha yang diberikan sebagai ikhtiar umat tersebut. Adakah umat Islam sudah memberikan usahanya serbagaimana umat terdahulu memberikan usahanya dengan jiwa dan seluruh penghayatan?

Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?

Kita menikmati teknologi moden daripada tamadun Barat. Alhamdulillah. Bahkan Barat menerima sains daripada tamadun Islam. Tamadun Islam pula muncul dengan pengutusan Rasulullah saw. Al-Qur’an menjadi paksi sains Islam ketika itu. Walaupun sains Yunani dibawa masuk, tetapi sains silam itu ditapis berdasarkan paradigma al-Qur’an terlebih dahulu. Sains Yunani pula bermula daripada wahyu kenabian Adam as, Shith as, dan Idris as yang diwarisi oleh Pithagoras, Aristotle, Thales dan angkatannya. Maknanya, sains ialah ilmu kurniaan Ilahi kepada manusia generasi demi generasi. Setiap tamadun ada sumbangan sainsnya. Akan tetapi kita jangan lupa, sains silam terputus sanadnya ketika kerajaan Rom melarangkan kajian ilmu silam, lalu dibuka dan dikembangkan kembali oleh rangkaian pemikiran saintis Muslim. Eropah pula ketika itu berada dalam zaman kegelapan. Di Eropah, dalam pada kurun ke-16, saintis awal mereka seperti Bruno dan Servetus dibakar hidup-hidup oleh gereja kerana menyatakan pemikiran saintifik mereka yang bercangggah dengan gereja. Kurun ke-17 atau 18 barulah Eropah membina tamadun asli mereka yang dibina di atas keruntuhan sains Islam. Sains menghasilkan teknologi kerana Barat hanya menjadikan teknologi sebagai matlamat kajian sains. Sesungguhnya teknologi barat kini memang hebat. Tetapi, sekali lagi jangan lupa, buah yang kita nikmati di kebun buah-buahan yang kita warisi, hakikatnya benih asalnya mungkin disemai oleh moyang kita generasi yang ketiga atau keempat dulu. Jangan lupa orang yang menyemaikan benih apabila kita menuaikan hasilnya. Bahkan, orang yang menyemai benih lebih penting daripada orang yang menikmati hasilnya kemudian menerusi penjagaan rutin yang seadanya.  Jangan lupa semaian algoritma yang diasas al-Khawarizmi apabila kita menikmati teknologi komputer hari ini. Jangan lupa semaian benih yang dilakukan oleh Hassan al-Rammah dalam teknologi torpedo, apabila kita melihat NASA Amerika menerokai angkasa raya dengan teknologi canggihnya. Jangan lupa alat pembedahan al-Zahrawi apabila kita berdepan dengan teknologi moden perubatan moden. Malah, jangan lupa juga benih kajian atom di kalangan ulama tauhid silam apabila kita menikmati teknologi nano hari ini.

Bagi peminat bola sepak pula, apabila Dimitar Berbatov dari Manchester United (MU) menjaringkan gol kemenangan, maka jangan lupa kesepuluhan pemain yang lain yang turut menyumbang penguasaan bola sejak dari bawah lagi, lalu dihantar kepada beliau yang sememangnya berada di posisi penjaring gol. Kemenangan ialah kemenangan semua. Kemenangan teknologi hari ini pun melalui pelbagai perkembangan ilmu peringkat teori, analisis, gunaan dan akhirnya teknologi yang merupakan rantaian yang bersambung-sambung setiap generasi manusia. Barat tidak mungkin menghasilkan teknologi tanpa perkembangan teori sains dalam tamadun lain sebelumnya.

Sains Islam tidak menawarkan teknologi moden? Islam tidak berubah bahkan umat Islam yang tidak menghasilkan teknologi yang dimaksudkan. Inilah kelemahan umat Islam yang rata-ratanya hilang identiti hari ini. Ketika mereka berpegang teguh kepada Islam suatu ketika dahulu, khususnya ketika kerajaan Abasiah di Baghdad, atau lanjutan kerajaan Muawiyyah di Sepanyol, mereka ialah golongan pembinan sains dan teknologi dunia yang paling utama  ketika itu. Bahasa Arab menjadi bahasa sains dan teknologi ketika itu. Teknologi terbaik Eropah berada di Andalusia Islam. Selepas Islam tidak lagi menjadi paradigma hidup, mereka berubah menjadi umat yang lemah di dunia. Mereka ditindas dan dijajah.

Masyarakat Barat pula berbeza. Ketika mereka berpegang kuat dengan agama dan gereja, ketika itulah mereka berada di tahap kemunduran yang melarat dalam sains, apatah lagi teknologi. Bahkan, sesiapa di kalangan mereka yang menerbitkan pemikiran sains yang  bercanggah dengan doktrin resmi mereka, mereka akan diancam hukuman bunuh. Ketika itu mereka gelarkan diri mereka berada dalam zaman kegelapan. Selepas revolusi Perancis mereka bebas dari gereja. Mereka menolak agama dan sistem nilai. Lalu mereka membina pemikiran sains dan teknologi yang akhirnya teknologi mereka berkembang. Mereka membina tamadun kebendaan semata-mata. Eropah maju kerana menolak agama. Umat Islam pula maju kerana berpegang kepada agama. Pandangan kerdil saya, carilah kembali paradigma Islam, seperti yang dipegang generasi emas dulu, nescaya umat Islam kembali menghasilkan teknologi moden yang penuh dengan sistem nilai.

Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Budhha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain?

Jangan samakan Islam dengan agama lain. Islam adalah Islam. Islam ialah al-Din, bukan sekadar agama yang berkaitan urusan kerohanian sahaja. Kristian, Lao-Tze, dan yang lain-lain ialah agama yang berkaitan dengan kerohanian dan etika semata-mata. Saya harap pernyataan ikhlas saya ini diterima baik. Barat tidak menamakan sains Kristian kerana di bawah pengaruh gerejalah ribuan saintis dibakar di atas pentas. Sains dan Kristian berkonflik ratusan tahun. Gereja mempertahankan teori geosentrik, misalnya. Manakala penemuan sains bercanggah secara total dengan pegangan tersebut. Bahkan Descartes, Laplace dan Kronecker berusaha membebaskan sains mereka daripada Kristian. Akhirnya lahirlah sekularisme Barat yang turut dianuti oleh kebanyakan negara umat Islam. Kegiatan sains Barat yang terpisah daripada Kristian, dilengkapkan lagi oleh Darwin yang mendakwa spesies bukan dicipta Tuhan tetapi berevolusi ansur-ansur daripada spesies ringkas kepada spesies kompleks termasuk manusia. Tuhan dinafikan sama sekali oleh barat. Barat berusaha keras menafikan ketuhanan dalam sains seperti yang dilakukan oleh Kumpulan Viena dan rangkaian mereka termasuk urusetia Hadiah Nobel. Hadiah ini hanya untuk mereka yang berpegang kepada positifisme semata-mata. Saintis yang menyebut ketuhanan pasti ditolak oleh urusetia ini. Sains Barat kini ialah sains tanpa ketuhanan secara total. Jadi, mana boleh hendak dinamakan sains Kristian?

Yang ada hanyalah sains Islam sebab Islam menentukan cara hidup yang menyeluruh dan segala kegiatan yang dilakukan manusia secara syumul, termasuklah juga di dalam kajian sains. Sains yang dibina di atas paksi Tauhid layak mengambil nama ini. Tiada pengertian ini dalam mana-mana agama lain, selain Islam. Alangkah sesatnya mereka yang menyatakan semua agama sama sahaja untuk membawa kebaikan. Ini ajaran sesat. Hanya Islam agama Ilahi yang diakui.

Umat Islam melihat sains dan al-Qur’an perlu dikaji secara sepadu dan selari. Kedua-duanya tidak mungkin berkonflik sebab kedua-duanya daripada sumber yang satu,  dan mutlak. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Dalam tauhid, bukti sains disebut dalil aqli sedangkan bukti al-Qur’an disebut dalil naqli. Kedua-duanya digunakan untuk memerihalkan kewujudan Allah swt.

Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1? dalam Islam dengan nombor “1? dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?

Bahkan apabila anda melihat seorang Islam dan seorang bukan Islam, tiada sebarang perbezaan apabila anda hanya merujuk kepada jasad kasarnya. Yang membeza antara kedua-duanya ialah roh mereka. Roh tidak mudah dilihat oleh pendokong sekularisme Barat. Mereka hanya melihat aspek kuantitatif semata-mata. Paradigma sains Islam tidak mudah dilihat oleh pengkagum sains Barat ini.

Prinsip kepelbagaian hayat (bio-diversity) misalnya dibina di Barat di atas asas Tuhan tidak wujud atau relavan. Organisma hidup, menurut mereka,  berevolusi secara pilihan tabii, berlaku by chance, kebetulan dan rawak. Manusia yang dianggap sains ini berevolusi daripada monyet, tentulah bercanggah secara berdepan dengan wahyu Ilahi yang menyatakan Adam diciptakan daripada Tanah. Sains Barat tidak membezakan manusia daripada haiwan. Hidupan bagi mereka, hanya terbahagi kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Tentulah premis ini bercangah dengan premis sains Islam yang melihat manusia sebagai khalifah yang diciptakan khusus oleh Allah swt. Andainya, konsep ini sudah berbeza pada peringkat paling asas, maka bolehkah kita samakan antara sains Barat dengan sains yang dibina di atas paradigma Tauhid? Ini tidak masuk ke dalam dunia antropologi Barat lagi yang penuh mitos ini dalam kajian mereka. Ini pun belum mengambilkira cabang fahaman tersebut seperti behaviourism atau kelakuanisme yang diamalkan dalam kaedah pendidikan yang melihat manusia sebagai susur galur haiwan yang boleh dilatih seperti haiwan, contohnya dalam latihan tubi pelajar matematik. Demikian pula kimia Barat diasas kepada teori Dalton yang menyebut atom tidak dapat dibina atau dimusnah. Ini bercanggah secara total dengan sains Islam, kerana semua makhluk adalah ciptaan Ilahi termasuk atom. Dalam perubatan pula, Barat hanya melihat ubat dan doktor yang menyembuh penyakit tanpa melihat siapakah yang menentukan penyakit dan penyembuhnya yang sebenar? Sains Barat hanya melihat sebab terdekat, tanpa melihat sebab ketuhanan yang hakiki dalam semua peristiwa tabii. Mereka rabun jauh dalam soal ini.

Sains Islam ada dua aspek yang bersepadu iaitu aspek kualitatif dan kuantitatif, manakala sains Barat hanya memandang aspek kuantitatif yang berkaitan data yang boleh dicerap sahaja. Yang disebut nombor “1” yang sama tadi, itu merujuk kepada aspek kuantitatif semata-mata, bukan kualitatifnya. Contoh yang mudah, kenapa Barat menggunakan simbol salib + untuk penambahan aritmetik?  Ini tentunya ada aspek kualitatif yang anda belum faham. Kenapakan de Broglie misalnya menyatakan jirim mempunyai dua tabii zarah dan gelombang? Tentu ada aspek kualitatif yang tersembunyi di sebalik pernyataaan beliau, yang mungkin anda belum mengetahuinya. Contoh-contoh ini adakah menunjukkan sains bebas nilai?

Kadang-kadang apabila kita cuba melihat perbezaan sains Islam dengan sains Barat, menerusi kacamata sekularisme, kita tidak boleh melihat perbezaan apa-apa pun. Ini bukan kedua-duanya sama, tetapi cermin mata anda yang anda pakai itu cermin mata hitam. Hari terang dan hari nak hujan pun kelihatannya sama. Tukarlah cermin mata dulu, kemudian bukakan pintu hati seluas-luasnya untuk merasakan perbezaan tersebut.

Definisi sains yang dikemukakan oleh Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?

Perlu dingati kaedah penyelidikan saintifik yang dikenali di Barat sebagai kaedah hypothetico-deductive method atau kaedah emperikal hipotesis deduksi diasaskan saintis Muslim kurun ke-10. Kaedah ini digunakan oleh Ibn al-Haitham dalam ilmu optik. Kaedah ini dikenali juga dengan nama al-istiqra’ wa al-tajribah di kalangan saintis Islam, kerana kaedah ini melibatkan cerapan dan pungutan data untuk dianalisis. Kaedah inlah yang dibawa ke Eropah oleh Roger Bacon yang menjadi kaedah emperikal saintifik yang sejagat. Kita tidak persoalkan perkaedahan saintifik tetapi yang berbeza ialah tabii sains itu sendiri. Ibn al-Hitham menggunakan kaedah ini, secara sarat nilai, untuk menunjukkan alam yang berjalan secara harmoni ini pada hakikatnya mengikut sunnatullah. Alam mematuhi hukum Ilahi. Alam patuh dan tunduk kepada peraturan kettentuan Ilahi. Inilah maksud asal Muslim, yakni yang patuh kepada Iradah Ilahi. Tetapi saintis Barat menggunakan kaedah yang sama, tetapi tanopa system nilai asalnya, lalu mendakwa yang dikaji secara saitifik itu ialah hukum tabii, lalu menamakan hukum tersebut dengan nama mereka seperti Hukum Newton, Hukum Kepler dan lain-lain. Kaedah emperikal inilah yang ditekankan oleh saintis Muslim ketika Eropah masih bergelumang dengan tahyul. Gagasan sains Islam bukan gagasan baru, tetapi mengembalikan semula takrifan asalnya seperti yang dipelopori saintis Muslim zaman kegemilangannya. Kaaedah emperikal inilah merobah zaman kegelapan Eropah kepada zaman kecerahannya, walaupun penulis sejarah Barat bermati-mati ingin menafikan hubungan tersebut.

Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya? Dan di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?

Islam datang sebagai rahmat ke seluruh alam. Ini diyakini setiap mereka yang beriman. Ambillah Islam keseluruhannya, nescaya anda selamat. Sains Islam bukan datang secara terpencil daripada wadah Islam keseluruhnnya. Kegiatan sains di kalangan umat Islam bukan kegiatan terpencil daripada kehidupan harian mereka. Islam diturunkan Allah swt untuk seluruh manusia. Umat timur dan Barat ialah ciptaan Ilahi. Islam perlu diambil secara pakej keseluruhannya, termasuk perkaedahan saintifiknya, barulah keindahan metologi ini dapat disaksikan. Perlu dingati bahawa andainya anda kagum dengan pencapaian saintis Barat, anda perlu lebih kagum kepada Pencipta saintis itu sendiri. Hikmah Ilahi memberikan kelebihan kepada sesiapa yang dikehendakinya, umat di timur atau di Barat. Gagasan sains Islam tidak menolak aspek sejagat sains Barat, tetapi pengambilannya perlulah menerusi tapisan dan ditambah dan diberi roh Islam supaya sains itu sesuai dengan paradigma Tauhid yang dihayati umat Islam turun temurun. Secara umumnya, keliahtannya saintis Melayu kini yang menerima sains Barat membawa balik sains tersebut secara pukal tenpa sebanrang tapisan. Kita tidak belajar sejarah kemasukan sains Islam ke Eropah zaman yang silam. Kumpulan mereka menapis semua unsur Islam yang terdapat dalam sains Islam. Mereka memberi roh Kristian pada awal kegiatannya kepada sains itu. Ini umpamanya dilakukan oleh Paracelsus dan Gilbert. Thomas d’Aquinas dan Robert de Magnus menjadi peneraju mereka. Dalam hubungan ini, sebagai contoh, Fibonacci mengambil aljabar al-Khawarizmi dengan membuang unsur fara’id dan wasiat yang menjadi latar belakang ilmu alajbar Islam. Lalu, barat membawa aljabar yang diasas oleh al-Khawarizmi dalam wajah baru, yakni wajah bebas nilai, sedangkan aljabar takrifan al-Khawarizmi penuh dan sarat dengan nilai keislaman. Aljabar yang sama perlu diambil kembali apabila kita mempunyai kesempatan mempelajarinya di Barat, tetapi harus dihidupkan kembali dengan roh dan system nilai Islam. Ambillah jhikmah di mana sahaja anda temui, kerana hikmah merupakan anugerah Ialhi yang ditaburkan kepada seluruh umat manusia, sama ada Islam atau bukan Islam.

Akhir sekali, apa halangan yang maseh wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?

Saya tidak pernah melihat sains Islam secara terpisah daripada Islam itu sendiri. Saya berminat dengan sains Islam kerana saya berminat dengan Islam itu sendiri. Saya melertakkan diri saya sebagai peguam bela Islam mengikut kapasiti kecil saya. Di atas asas itu saya membela sains Islam. Kawan-kawan kita yang tidak bersetuju melihat gagasan ini penuh sinis. Inilah halangannya. Mereka kebanyakannya bukan sahaja melihat sinis terhadap sains Islam tetapi sinis kepada kebanyakan yang dikaitkan dengan Islam. Mereka sinis terhadap budaya Islam. Sinis terhadap perundangan Islam. Sinis terhadap ekonomi Islam. Sinis terhadap pentadbiran Islam. Bahkan di pusat pengajian pun, mereka turut serong dan juling kepada Persatuan Mahasiswa Islam. Ini persoalan persepsi dan iman. Kita sangat lama memakai kacamata sekularisme dan berfikir dalam rangka rujukan dimensi ini. Kita tidak boleh memaksa orang lain menerima gagasan Islam. Yang hanya boleh dilakukan, kita sendiri yang membuka minda seluas-luasnya untuk menerima atau menolak dengan alasan yang lebih kuat. Tolaklah gagasan ini, andainya anda dapat membawa hujah yang kukuh daripada hujah yang diperturunkan di sini. Anda bebas memilih tetapi dengan penuh tanggungjawab akibat daripada pemilihan itu, sama ada menerima atau menolaknya. Ingat, kalau kita tidak boleh membawa kebaikan yang lebih jelas, jangan pula kita yang jadi penghalang kebaikan. Halangan sentiasa ada. Di sebalik halangan itulah terletak keindahan perjuangan ini. Allah swt tidak melihat kejayaan yang kita perolehi, tetapi niat dan usaha yang kita berikan ke arah itu, walaupun kecil. Saksikanlah perkataan ini!

Komen-komen»

1. candra mulia - November 13, 2009

?????? ?????
prof, saya seorang pelajar kolej dar al-hikmah dan mengaji sama dengan prof pada mata kuliah al-Qur’an dan sains.
prof, saya mau tanya tentang manusia yang boleh ke bulan, pendapat prof, bolehkah manusia kesana ? kerana saya kurang percaya berdasarkan qisoh isra’ & mi’raj Nabi SAW, Belia seorang manusia MULIA diatas bumi ini,malaikat penjaga langit bertanya lagi kpd malaikat Jibril siapa yg bersamanya. lalu Jibril menjawab Muhammad.Adakah dia sudah disuruh datang kat sini,kata mereka. dan jibril menjawab “YA” baru pintu langit dibuka. Orang termulia dipertanyakan lagi untuk masuk kat langit apalagi manusia awam macam kita ini,ini lah yang membuat saya Syak (ragu) prof, akantetapi yg membuat saya lagi Syak iaitu firman Allah dlm Surat Ar-Rahman ayat 30. berdasarkan ayat ini ada betulnya juga. Melalui email ini saya mohon jawabannya prof pada masalah ini (ayat yang dua ini ). mudah2 kita sama2 mendapat ridho Allah. Amin. Wassalam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: