jump to navigation

Buah Fikiran Mantiq Al-Tayr Karya Sufi Persia Fariduddin Attar (Bahagian 1) Mei 31, 2009

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

attarAlamat apa yang mencerminkan adanya dunia lain
Di sebalik dunia yang tampak ini?
Perubahan-perubahan besar, terhapusnya masa lalu
Hari baru, malam baru, zaman baru
Dan bahaya-bahaya baru yang mengancam kehidupan
Dalam setiap zaman selalu ada fikiran baru
Kesenangan baru dan juga kekayaan baru — (Jalaluddin Rumi dalam Divan-i Shams Tabriz)

Yang paling dekat adalah Tuhan
Namun sukar difahami dengan fikiran
Jika bahaya datang mengancam
Baru orang berbondong-bondong cari keselamatan — (Hoelderlin dalam “Patmos”)

Di sini saya diminta berbicara tentang keruhanian dalam sastera Islam. Oleh kerana hal ini sangat luas, saya ingin batasi perbincangan ini dengan membahas salah satu karya sufi yang masyhur, iaitu Mantiq al-Tayr (Musyawarah Burung) karangan seorang sufi Persia terkenal Fariduddin `Attar (1132-1222 M). Hingga sekarang karya sufi dari Nisyapur ini masih jadi perbincangan hangat di kalangan sarjana dan masyarakat sufi antarabangsa, di Timur maupun di Barat, disebabkan peri-pentingnya. Tetapi sebelum itu ada baiknya dihuraikan secara ringkas sejarah tasawuf sebagai bentuk keruhanian Islam dan sumbangan sufi terhadap kesusasteraan serta kebudayaan Islam secara umum.

Sebelum memperoleh namanya seperti yang kita kenal sekarang, tasawuf mula muncul sebagai gerakan sosial keagamaan yang dipelopori oleh ahli zuhud (asketik) pada awal abad ke-2 H. Oleh kerana itu, gerakan ini disebut juga gerakan kaum asketik, iaitu kelompok orang yang mengutamakan ibadah dan kesalehan sosial dalam menjalankan perintah agama. Di antara tokoh yang dipandang utama dalam kelahirannya ialah ahli zuhud seperti Hasan al-Basri, Makruf al-Karkhi, Rabi’ah al-Adawiyah, Hasan al-Muhasibi, Dhu al-Nun al-Misri, Sumnun, Hasan al-Nuri, dan lain sebagainya. Pada mulanya gerakan ini lahir sebagai protes terhadap kecenderungan pada hedonisme dan materialisme yang meluas dalam masyarakat Islam, terutama yang tinggal di kota-kota besar yang merupakan pusat kegiatan politik dan perdagangan ketika itu seperti Damaskus, Baghdad, Basra, dan lain sebagainya. Tetapi lambat laun, dengan berjalannya waktu dan keterlibatan para tokohnya dalam berbagai pemikiran keagamaan, falsafah dan pengetahuan, wacana pengetahuan dan pemikiran mereka juga meluas merangkumi berbagai aspek persoalan keagamaan dan sosial budaya.

Pada abad ke-10 – 12 M, tasawuf muncul bukan saja sebagai gerakan kerohanian (tariqa) yang memuatkan disiplin kerohanian dalam mencapai kebenaran. Tetapi juga menjadi disiplin ilmu tersendiri dalam Islam, yang berasaskan corak pemikiran falsafah tersendiri pula. Demikianlah tasawuf tidak hanya menjelma sebagai gerakan kerohanian (tariqat) dan gerakan sosial keagamaan, tetapi juga sebagai gerakan ilmu keagamaan dan falsafah. Pada abad ke-13 M, kerana banyaknya sufi Arab dan Persia memaparkan gagasan dan pengalaman kerohanian mereka dalam puisi dan alegori-alegori mistik yang menarik perhatian pembaca sastera, maka tasawuf pun menjelma menjadi gerakan estetik. Sejak itu sampai abad-abad akhir menjelang munculnya gerakan pembaruan dan munculnya pengaruh Barat dalam masyarakat Muslim, para sufi ini memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera di Dunia Islam. Peranan penting mereka ini tidak hanya dapat dilihat dalam sejarah kesusasteraan Arab dan Persia, tetapi juga dalam sejarah kesusasteraan Turki Usmani, Melayu, Urdu, Sindhi, Swahili, dan lain-lain.

Sebagai cabang dari ilmu-ilmu Islam, ahli-ahli tasawuf yang disebut sufi ini menekankan pembahasan pada masalah-masalah berkenaan dengan dimensi batin atau keruhanian ajaran Islam. Keseluruhan ilmu dan falsafah mereka mencakupi bidang-bidang seperti metafizika, kosmologi, psikologi kerohanian, epistemologi, etika, falsafah ketuhanan, estetika, puisi, hermeneuitika (ta’wil), dan lain sebagainya. Sebagai disiplin keruhanian sering disebut sebagai ilmu suluk atau ilmu makrifat. Suluk ertinya jalan keruhanian, dan orang yang menempuh ilmu suluk disebut salik. Disebut ilmu makrifat kerana tujuan mereka mempelajari dan mempraktikkan ilmu suluk ialah mencapai makrifat, iaitu pengenalan masalah ketuhanan secara mendalam. Adapun perkumpulan tempat mereka mempelajari ilmu suluk dan amalannya disebut tariqa (tarekat), yang sering diertikan juga sebagai persaudaraan sufi.

Kata-kata tasawuf sendiri dibentuk dari tiga kata yang ertinya berbeza-beza, tetapi masing-masing memiliki kaitan makna dengan erat dengan kegiatan sufi. Pertama, kata suf yang ertinya kain dari bulu domba atau wool. Ini berkaitan dengan kebiasaan para sufi yang awal yang selalu mengenakan baju dari bulu domba yang bersahaja, sebagai lambang kesederhanaan. Kebiasaan yang sama sebelumnya tampak di kalangan rahib-rahib Kristian. Bulu domba juga merupakan lambang pengorbanan diri demi tujuan-tujuan ilahiah. Kedua, kata safi yang ertinya dalam bahasa Arab ialah suci. Jalan tasawuf ialah penyucian diri (thadkiya al-nafs), iaitu melenyapkan egonsentrisme dalam setiap laku sosial dan amal ibadah. Ketiga, kata sophia yang dalam bahasa Yunani ertinya kearifan atau kebijaksanaan. Tetapi para sufi memandang bahawa kearifan tidak hanya diperoleh melalui logik dan penalaran akal (rasio), tetapi terutama juga menggunakan metode intuitif dan penilaian-kembali. Misalnya melalui muraqabah dan tafakkur. Metode intuitif sering dipadankan dengan cinta, iaitu penyaksian mata hati secara langsung atas kebenaran yang ingin dicapai.

Pengertian-pengertian yang diberikan itu sesuai dengan hakikat tasawuf itu sendiri, iaitu sebagai ilmu yang membicarakan cara-cara terbaik jiwa manusia berhubungan dengan Realiti Tertinggi dan mengenal-Nya secara mendalam. Dalam perjalanan-Nya menapai Yang Haqq itu banyak pengalaman yang ditemui para sufi dan setiap pengalaman itu memberi dampak kepada jiwa sang pencari. Kerana itu ilmu tasawuf pada dasarnya membicarakan tahapan-tahapan rohani (maqamat) dan keadaaan-keadaan jiwa (ahwal) yang dialami seorang penempuh ilmu suluk sehingga mencapai makrifat. Begitu pula dengan sastera sufi, yang dipaparkan ialah pengalaman dan gagasan sufi berkenaan dengan tahapan rohani dan keadaan jiwa, iaitu yang dialami secara langsung oleh penulisnya.

Pada abad ke-12 dan 13 M, iaitu masa berkecemuknya Perang Salib dan pencerobohan Mongol, yang menyebabkan hancurnya kekhalifahan Baghdad dan terjadinya diaspora besar-besaran orang Islam; tarekat-tarekat sufi berkembang subur dan pecah ke dalam banyak aliran. Mereka memiliki jaringan-jaringan luas di seantaro Dunia Islam. Terdapat juga tarekat memiliki organisasi sosial keagamaan yang disebut futuwwa yang disebut ta`ifa dengan jaringan-jaringan yang luas pula. Pada masi inilah sastera sufi mulai mencapai puncak kesuburan dan kematangannya, yang terus tumbuh pesat setidak-tidaknya hingga abad ke-19 M. Pada abad ke-20 M sekalipun sebagai gerakan estetik telah terhenti, namun pengaruh sastera sufi dan estetikanya tetap tampak di kalangan penulis-penulis Muslim tertentu.

Fariduddin `Attar adalah sufi Persia terkenal yang dipandang sebagai pelopor kebangkitan sastera sufi dalam kesusasteraan Persia bersama-sama dengan Sana’i. Pengaruhnya sangat besar bukan hanya terhadap pengarang-pengarang sufi Persia seperti Jalaluddin Rumi, tetapi juga bagi penulis fusi di Turki, Asia Tengah, India, kepulauan Melayu, dan lain sebagainya. Di kepulauan Melayu, pengaruh kepenyairannya tampak dalam karya Hamzah Fansuri, sufi Melayu dari Aceh yang hidup pada abad ke-16 M. Disebabkan kewajarannya, terutama Mantiq al-Tayr (Musyawarah Burung), sampai sekarang karya-karya `Attar masih luas diperbincangkan di kalangan masyarakat tasawuf dan dijadikan bahan perbincangan di kalangan sarjana-sarjana Timur dan Barat.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: