jump to navigation

Zahra Karimi: Iran Tidak Seperti Kata Barat September 20, 2009

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

iranDalam waktu pilihanraya Presiden Iran baru-baru ini, berlaku persaingan sengit antara Mahmoud Ahmadinejad dan Mir Moosavi Hossein. Selain itu terdapat dua calon lain juga, Mehdi Karroubi dan Mohsen Rezaei. Hasilnya, Ahmadinejad memperoleh kemenangan, serta meneruskan penggal kedua pemerintahannya. Di sebalik itu, media di barat melaporkan itu bukanlah sebuah pilihanraya yang adil. Tema-tema seperti, wanita, Islam, penafian pendapat orang-muda, dictator, itu semua menjadi pusat perbicaraan tentang Iran. Apakah benar begitu? Wawancara Mohamed Omar, dari Sweden ini cuba melihat sebaliknya. Bersama Zahra Karimi, seorang guru, yang baru usai menjadi mahasiswa, maka pandangan bawahan rakyat Iran ini dikongsi.

Adakah anda fikir pilihanraya Iran berjalan dengan adil?

Pertamanya, saya harus nyatakan bahawa terdapat perbezaan antara pilihanraya Iran dengan pelbagai negara-negara lain di dunia. Sebelum waktu pilihanraya, mereka yang berminat untuk terlibat dalam pilihanraya ini boleh mendaftar. Semua yang berminat, dengan sekurang-kurangnya memiliki tingkat pendidikan tahap diploma adalah dibenarkan untuk mendaftar sebagai calon. Setelah pendaftaran, calon-calon ini akan dinilai mutu kelayakannya menerusi satu badan bagi memastikan kemampuan yang memadai.

Jadi, sebenarnya kita dapat melihat sebenarnya pilihanraya ini adalah proses terbuka. Meskipundi banyak tempat untuk pilihanraya ini dikawal, tapi setiap calon tetap saja mempunyai agennya di kawasan pengundian tersebut. Malah, sudah tentu terdapat juga pegawai ini ditugaskan untuk menjangka sebarang kemungkinan terhadap kawalan keselamatan. Atas semua ini, proses ini sama sekali terbuka. Jadi, saya percaya pilihanraya Iran pada 22 Khordad sebelum ini adalah adil dan saksama.

Apakah anda memberi undi pada Dr. Ahmadinejad?

Ini adalah pilihanraya presiden adalah yang pertama untuk saya. Dan, undi saya adalah untuk Dr. Ahmadinejad. Saya merasa bangga memilihnya, apatah lagi melihat keberaniannya dalam penggal pertama kepimpinannya. Dr. Ahmadinejad adalah pemimpin yang lantang di PBB, iaitu ucapannya lima bulan setelah menjadi presiden penggal pertama. Dalam ucapan tersebut, sempat Dr. Ahmadinejad menyelitkan tentang keperibadian puteri Nabi Muhammad saw, Fatima Zahra. Dr. Ahmadinejad juga satu-satunya ahli politik di dunia ini yang tegas menentang Zionis dan berbicara mengenai Holocous. Ia tak takut pada sesiapa, melainkan pada Tuhan. Malah, dalam waktu yang sama, Dr. Ahmadinejad turut memperjuangkan kebebasan untuk Palestin, khususnya Gaza dan semua rakyat di mana tanahnya diceroboh oleh Amerika Syarikat, Israel dan tentera-tentera bersekutu.

Tak dinafikan, Dr. Ahmadinejad turut mendapat sokongan dari Rahbar, Ayatollah Khamenei, yang juga Vali-eFaqih bagi kami di Iran. Paling konsisten, presiden kami tak lepas menyentuh mengenai Imam Mahdi dalam setiap pidatonya. Malah, ia bangga dengan tindakan itu serta tak pernah kesah sama ada dipanggil fundamentalis atau berkhayal. Sebagai seorang beragama, sudah tentu ini membuatkan saya makin tertarik untuk memberikan undi saya untuk Dr. Ahmadinejad bagi penggal kedua kepresidenannya.

Lagi pun, sewaktunya dalam penggal pertama kepresidenannya, jelas sekali Dr. Ahmadinejad begitu prihatin dengan masyarakat marhaen di kampong-kampong kecil, dan sikapnya ini menunjukkan bahawa semua wilayah adalah penting, tak hanya kota-kota besar saja.

Dalam media barat, mereka kadang-kala mendakwa bahawa pemerintahan Iran adalah bersifat diktator. Ini merujuk pada sistem Velayat ul-Faqih, Mejlis-e Khubregan, dll. Adakah kita bersetuju dengan dakwaan tersebut? Dan, apakah itu Velayat ul-Faqih?

Mereka yang berbicara tentang Velayat ul-Faqih, terutamanya media barat, kemudian membandingkan sistem tersebut dengan kediktatoran adalah sama sekali tak mempunyai kapasiti untuk berkata demikian. Velayat ul-Faqih sebenarnya bersentuhan langsung dengan Islam, khususnya kepercayaan Shi’ah kami, di mana itu menuntun kita kepada pengatahuan sempurna dari Imamah, yang sudah tentu termasuk juga Nabi Muhammad saw. Tuhan yang memandu kita sepanjang sejarah tak pernah meninggal kita, meskipun berakhirnya sebuah nubuwwah. Dalam al-Qur’an itu sendiri, telah dinyatakan bahawa Nabi itu juga adalah seorang Imam, seperti Nabi Ibrahim as di mana beliau adalah lebih bersifat Imam berbanding Nabi.

Tapi, setelah 11 orang para Imam syahid, maka Imam ke-12 telah dighaib-kan Tuhan dari masyarakat yang tampak dan kemudian akan zuhur kembali pada waktu yang ditentukan-Nya. Ini berlaku sehingga Tuhan menentukan saat untuknya meluruskan kembali agama Tuhan. Justeru, sewaktu keghaibannya, maka perlu ada kepimpinan agama. Menurut pada kepercayaan dan prinsip kami, iaitu Shi’ah, hanya Velayat ul-Faqih saja yang dapat memandu kami untuk memahami Islam, dan doktrin Shi’ah. Dengan sistem itu juga, Velayat ul-Faqih bermakna adanya seorang pemimpin keruhanian bagi masyarakat Islam dan beliau tentunya ada hubungan istimewa dengan Imam Mahdi yang ghaib itu. Itu turut menandakan restu yang diberikan Imam Mahdi pada kepimpinannya, serta harus difahami juga merupakan restu dari Tuhan untuk sebuah pemerintahan Islam.

Apakah makna Revolusi Islam Iran pada anda?

Saya lahir beberapa tahun setelah revolusi tersebut. Namun, saya tentunya sering mendengar tentang kebangkitan tersebut, serta alasan-alasan yang mendasari kebangkitan rakyat itu untuk menjatuhkan regim sebelumnya. Peristiwa ini sekali lagi dapat dikaitkan dengan kepercayaan agama kami. Sebagai seorang fundamentalis, saya dengan jiwa raga mendukung revolusi Islam ini. Ini bukan semata hanya sebuah revolusi, tapi sebuah revolusi yang berhubungan langsung dengan pemerintahan Imam Mahdi (as). Justeru, saya mendukungnya dengan bangga. Saya juga senang dengan kehadiran pemerintahan ini, yang sekaligus juga menandakan satu-satunya pra-pemerintahan dari Imam Mahdi, utusan terakhir Tuhan—dalam konteks Imamah—yang bangkit menyelamatkan kemanusiaan dari seluruh kejahatan-kejahatan di dunia.

Di Iran, 63% mahasiswanya adalah wanita. Malah, anda sendiri pernah menjadi mahasiswa. Apakah anda fikir wanita di Iran ditindas dan didiskriminasi?

Mereka yang mendakwa memperjuangkan kebebasan untuk wanita kebanyakannya percaya bahawa mereka juga sepatutnya dibiarkan bebas memakai apa saja yang mereka mahukan. Itu mereka namakan sebagai kebebasan. Sebenarnya, kebebasan bukanlah sebuah pilihan antara memakai apa saja fesyen. Itu bukan makna hakiki sebuah kebebasan. Tapi, makna kebebasan yang seharusnya ialah kebebasan berfikir. Sewaktu masyarakat dunia dimomok dengan media, perdagangan, kapitalis, marxis, dan sesetengahnya merupakan pemerintahan fanatik yang rakus dengan kekuasaan, maka mereka tak pernah memikirkan apakah makna sebenar dari sebuah kebebasan. Malah, selain mereka tak pernah berfikir kembali makna kebebasan itu, mereka juga tak pernah memikirkan kembali apa yang mereka tuduh pada kami (Iran) sebagai penindas dan merampas kebebasan rakyat. Dalam kebudayaan Iran, di mana rakyatnya juga adalah muslim, kami sentiasa meletakkan penghormatan yang tinggi pada wanita. Pada kami, ini bukan saja kebudayaan Iran, malah juga merupakan bahagian dari Islam. Barangkali alasan kenapa mahasiswa di universiti di Iran terdiri dari ramai wanita adalah kerana setiap keluarga di sini lebih memprihatinkan wanita berbanding lelaki. Sebagai seorang wanita, seorang guru bahasa Inggeris, saya sendiri merasa ria dan bebas dengan kerja yang saya lakukan. Tiada batas untuk saya sebagai wanita, sekurang-kurangnya untuk menjadi guru, dalam sebuah revolusi Islam Iran ini.

Apa sebenarnya kedudukan wanita dalam Islam?

Merujuk pada hukum Islam yang terdapat dalam al-Qur’an, sebenarnya tiada beza antara setiap manusia. Semua adalah sama. Yang membezakan sesamanya adalah keyakinannya pada Tuhan. Justeru, dalam Islam itu juga bermakna tiada beza antara lelaki dan wanita. Inilah yang harus dipertahankan selagi masing-masing tak melampaui batas. Saya tak tahu mengapa mereka yang menentang Islam cuba untuk menunjukkan bahawa perbezaan antara lelaki dan wanita dalam Islam. Walhal, hukum Islam sendiri hakikatnya banyak mempermudahkan kehidupan bagi setiap lelaki dan wanita. Jika di sana terdapat propaganda media untuk merendahkan Islam dan muslim terhadap kehormatan wanita, itu semua adalah kerana mereka tak dapat bertoleransi dengan orang lain.

Laporan media barat barangkali selalu terpilih. Bila Neda Agha-Soltan ditembak, mati, wajahnya terpanpang di setiap media massa. Tapi, hal yang sama tak berlaku pada Marwa El-Sherbini. Apa reaksi anda?

Sekali lagi, hal yang sama, iaitu media! Dalam wacana kritisisme terdapat perbincangan mengenai pengajian budaya. Dalam wacana ini, mereka merujuk kepada budaya baru yang dibentuk oleh media seluruh dunia. Di sini juga mereka berbicara mengenai pengiklanan dan cara-cara untuk menghasilkan pitis sembari dengan paparan-paparan yang lunak serta cuba menangkap minda masyarakat. Kita seharusnya melihat siapa yang di sebalik tabir ini? Apa yang mereka peroleh dari media ini? Dan, apa matlamat mereka? Sudah tentu, mereka gentar dengan Islam, terutamanya Revolusi Islam kerana hanya pemimpin dalam pemerintahan Islam saja yang menyedari hal ini. tidak seperti banyak pemimpin dunia Islam lain. Mereka (media barat) jelas mahu memusnahkan imej Revolusi Islam, sekurang-kurangnya dalam minda khalayak. Mereka berfikir bahawa melalui kematian Neda, mereka akan berjaya! Tapi, ternyata tidak. Beberapa minggu setelah kematian Neda, dunia menyaksikan bagaimana seorang muslimah dibunuh di Jerman. Tapi, lihatlah, apa yang media barat paparkan? Jelas, ada dwi-piawai dalam laporan mereka!

Justeru, siapa yang membunuh Neda?

Saya secara peribadi yakin bahawa Neda tak dibunuh oleh pemerintahan Iran, atau apa yang dipanggil, Basij. Pembunuhan atasnya seluruhnya adalah dicatur lebih awal, dan terdapat pula kamera sewaktu kejadian yang merakamkan saat-saat akhir kematiannya. Bagaimana boleh ada kemungkinan itu? Saya memang tak pasti siapa yang membunuhnya secara tepat. Tapi tentu tak mustahil itu disusun oleh musuh Revolusi Islam, yang mana mereka tak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya presiden Iran.

Apa pendapat anda tentang laporan media barat mengenai pilihanraya Iran baru-baru ini?

Anda dapat melihat sendiri, apapun yang kita bicarakan, akhirnya kita kembali pada media. Media cuba memenjara pemikiran khalayak. Mereka cuba untuk mengelabui mereka yang tak mampu untuk berfikir sendiri. Justeru, akhirnya penilaian yang diberikan adalah tak seimbang. Barat dan kepentingan media mereka lebih bertujuan untuk meruntuhkan pemerintahan Iran, dan memusnahkan sistem Velayat ul-Faqih, dan mengantikannya dengan sistem baru di Iran. Sebuah sistem baru yang mereka impi-impikan. Iran, tentunya adalah negara yang kaya serta penting dalam wilayah Asia Tengah ini. Jadi, kerana kepentingan ini, mereka (barat) mahukan negara ini jatuh dalam tangan mereka. Tapi, itu hanya mimpi mereka. Mereka akhirnya akan saksikan bahawa Islam di Iran itu adalah dalam pemeliharaan Tuhan. Tentu sekali, Tuhan Maha Perkasa dari semua kekuatan yang dimiliki mereka.

Di Sweden, banyak laporan yang memaparkan wanita secara umumnya menolak republik Islam. Selalu ada lintas berita yang berjudul, “Menyokong wanita Iran.” Mereka (media di Sweden) tak pernah menunjukkan imej bahawa wanita Iran juga mendukung Dr. Ahmadinejad.

Memang ada sebahagian wanita Iran yang tak gemarkan hijab. Itu adalah realiti. Wanita tersebut mahu memakai apa yang mereka inginkan bila berdepan di khalayak. Tapi, seperti yang kita tahu, di Iran, hijab adalah kewajipan bagi wanita sewaktu keluar dari rumah. Bagi mereka yang menentang Dr. Ahmadinejad, kita dengan mudah mengenalpasti mereka. Kelompok inilah yang dekat dengan retorika kumpulan yang menentang Dr. Ahmadinejad, atas nama seruan-seruan kebebasan, dan senada dengan kemahuan wanita tersebut. Wanita ini bukanlah separuh dari wanita di Iran, malah bukan satu pertiga sekalipun! Jadi, seruan “menyokong wanita Iran” oleh media barat itu bermakna hanya untuk memenuhi sekelompok kecil kemahuan wanita tersebut. Dan, secara sedar atau tak sedar, itu juga sekaligus menepati kehendak propaganda barat.

Media barat juga mendakwa bahawa orang muda turut menentang Dr. Ahmadinejad. Mereka, kononnya, mahukan perubahan. Tapi, menurut kepada bancian yang dikendalikan tiga minggu menjelang pilihanraya, majoriti dari orang muda memilih Dr. Ahmadinejad. Orang muda ini berusia sekitar, 18-24 tahun.

Benar, bahawa majoriti yang mengundi Dr. Ahmadinejad adalah orang muda. Saya sendiri adalah salah seorang dari majoriti tersebut, juga teman-teman saya, yang memang mengundi untuk Dr. Ahmadinejad. Adakah kami bukan orang muda Iran? Apakah hanya sebahagian demostran muda di jalan raya dan memusnahkan harta-awam, maka itu bermakna mewakili seluruh orang muda Iran? Inilah yang sepatutnya kita tanyakan kepada media barat dan kepura-puraan mereka. Kita tak seharusnya melupakan bahawa 24 juta undi adalah untuk Dr. Ahmadinejad, sedangkan hanya 13 juta saja untuk Moosavi, dan beberapa lagi untuk dua calon yang lain. Majoriti rakyat Iran adalah orang muda, justeru undi majoriti pada Dr. Ahmadinejad juga adalah undi orang muda.

Di Sweden, kami ada masyarakat Iran di mana mereka begitu lantang dalam pandangan politik mereka. Mereka dibiayai oleh kerajaan Sweden melalui “kumpulan hak asasi wanita” dan beberapa organisasi yang lain. Sebahagian dari mereka juga mendakwa bahawa kebanyakan rakyat Iran adalah tak-beragama. Tapi, menurut Gallup bahawa 95% dari rakyat Iran ada beragama. Pada siapa yang harus kita percayai? Adakah rakyat Iran beragama?

Untuk mengetahui realiti, anda seharusnya datang ke Iran, dan lihat rakyat kami secara personal. Bertemu mereka dengan bentuk kehidupannya, serta bandingkan dengan negara-negara lain. Bukan saja bandingkan dengan bukan-muslim, tapi juga dengan muslim-muslim di seluruh dunia. Sudah tentu, dari semua itu anda akan membuat satu rumusan bahawa Iran adalah benar-benar beragama dan utuh pada aqidahnya. Perlu juga diinsafi, bahawa budaya kami sudah memamah ribuan tahun, di mana rakyat Iran yang terdiri dari muslim Shi’ah yang begitu dekat dengan perintah Tuhan. Dengan menunaikan shalat, berpuasa di bulan Ramadhan, dll, itu adalah sesuatu yang lazim di kalangan kami. Juga di kalangan muslim-muslim di belahan yang lain. Budaya kami juga sarat dengan kerendahan dan kesucian, di mana ini sukar ditemui di belahan lain, dan itu semua adalah menjadi bahagian kental dari kami. Jadi, tak ada alasan untuk mereka ang mendakwa bahawa bangsa ini tak beragama. Apa pula pandangan agama pada mereka???

Di barat, wanita mereka bertarung untuk dari kelelahan mental, fizikal dan kesendirian. Angka penceraian sangat tinggi. Begitu juga bunuh diri menjadi makin lazim. Adakah anda fikir barat dapat belajar sesuatu dari Islam dan model dari Iran?

Anda tentu tahu bahawa saya mematuhi ajaran Tuhan dan percaya bahawaNya akan menjaga saya setiap saat dari masalah-masalah demikian. Jiwa manusia adalah datang dari Tuhan, dan takkan hanya bertakuk pada khayalan keduniaan. Ada yang berfikir bahawa anggota tubuh adalah alat semata, dan memberi perhatian pada tubuh bukanlah keutamaan. Tapi sebenarnya, perlu ada keseimbangan antara kesehatan fizikal dan kesegaran mental, supaya jiwa kita tenang dan aman. Sebagai muslim, kita elakkan membuang waktu untuk hal yang tak berfaedah. Dalam diri kami sebagai muslim ada sesuatu yang kami belajar bahawa agama memang menenangkan kami, dan jarang kita temui umat beragama mengalami gangguan mental, dan sebagainya. Model terbaik kami tentunya adalah putri Nabi Muhammad saw yang menjadi suri teladan pada semua umat di dunia, pada sepanjang zaman pada setiap keadaan. Fatima Zahra (as) adalah wanita yang dibatasi ruang dan waktu, maka barat juga seharusnya dapat belajar sesuatu darinya.

Adakah anda fikir Iran sepatutnya meneruskan dukungannya pada perjuangan rakyat Palestin? Dan, apakah caranya Iran dapat menyumbang keamaan dan kestabilan pada wilayah tersebut?

Seharusnya muslim seluruh dunia adalah satu-kesatuan dan mereka sepatutnya hidup di bawah satu bendera, iaitu Islam. Islam yang sebenarnya telah muncul pada waktu Nabi Muhammad saw, dan ketika itu muslim benar-benar dalam satu kesatuan. Sekarang kita lihat negara-negara Arab sekitar 18 buah negara tak lagi berdiri atas satu kesatuan bangsa, bahkan tak bersimpati sesama mereka. Adalah tak benar bahawa Islam (seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad saw dan para Imam) dan pemerintahannya adalah korup. Ini kerana tuduhan itu datang dari pandangan Amerika Syarikat atau Zionis atau England. Mereka tak menghormati pemerintahan Islam kerana mereka memahami Islam dengan sebaiknya. Malah, mereka juga menggunakan Islam gaya Amerika untuk menentukan bentuk-bentuk Islam. Adalah sesuatu yang memalukan jika kita menilai Islam dari kacamata Arab, atau kacamata Amerika. Justeru, sebagai anggota Kesatuan Islam, kita semua harus bertanggungjawab untuk seluruh muslim di seluruh dunia, daripada ini kita dengan mudah dapat memahami sesama muslim. Bila ada tentera luar merampas tanah dan rumah dari bumi Islam sendiri, maka seluruh muslim juga bertanggungjawab. Jika mereka mengabaikannya, maka mereka adalah bukan muslim sama sekali.

Apa harapan anda untuk masa depan Republik Islam?

Kami rakyat yang mendukung Revolusi Islam berharap pemerintahan ini terus dipelihara dan berakhir dengan revolusi Imam kami, dari leluhur Nabi Muhammad saw, Imam Mahdi as, inshaAllah!

Nota: Untuk wacana lanjut, Zahra Karimi boleh dihubungi menerusi: persian.navigate@gmail.com.

Komen-komen»

1. Clarissa Lee - Oktober 25, 2009

Yang menjadi masalah, jika saya melihatnya, bukanlah lagi pada agama, tetapi mereka yang mendukung kekuasaan di atas nama agama secara meblih-lebih, dan mereka yang memanggil nama Allah dan mendakwa diri mereka pendokong perintahNya tetapi enggan melihat penyalahgunaan kuasa dan kebejatan pemimpin2 yang mereka percaya pada secara membuta tuli. Ini juga masalah saya dengan mereka yang mendukung juga wacana anti-agama; mereka tidak lari juga dari kebutaan dan kesanggupan memutar-belit situasi utk mengehadapankan wacana mereka. Tapi bukankah itu memang juga kelemahan manusia, tidak kira mereka yang memandang diri sebagai beragama atau tidak. Dan anehnya, aku rasa, ramai yang melihat diri sebagai mengikut putri-putri Nabi atau isteri-isterinya tidak mengenali secara keseluruhannya kehidupan dan pendirian wanita2 ini. Dan juga keadaan sejarah yang mereka huni.

Memang Iran jauh lebih demokratif dari Malaysia, kalau kau melihat prosesnya sahaja. Itu tidak boleh dinafikan Mereka ada pilihanraya sampai ke tahap paling bawah. Tapi ramai yang cuba menggunakan ini sebagai contoh sentiasa ‘lupa’ untuk melihat yang Majlis ulamak yang paling tinggi (yang diketuai Ayatollah) yang akan menentukan segala-galanya, samada calon itu berhak atau tidak. Dan mereka secara mutlak boleh mengubah perundangan atas nama Islam, dan bukan dalam bentuk yang seperti wujud pada zaman khalifah2.

Juga mesti ingat, sesetengah rakyat Iran yang hidup di negara lain juga merupakan agen pengintip utk rejim Iran, dan fungsi mereka adalah utk menghantar informasi pulang. Dan mereka wujud di sepelusuk golongan warga Iran, dari pelajar hingga mereka yang menghuni darjat paling tinggi. Kalau kau merupakan seorang yang terpengaruh di luar atau dalam kerajaan dan duduk di Iran, kau akan sentiasa diawasi, telefon anda akan diletakkan alat intip. Polis rahsia mereka sama kuat dgn Mossad.

Adakah si penemurahmah ini mahu menceritakan bagaimana ramai penganut agama lain, terutamanya Bahai, telah dizalami pada masa zaman revolusi. Adakah beliau sanggup mengakui yang revolusi AWAL di Iran BUKANLAH revolusi Islam seperti yang didakwanya? Itu hanya berlaku kemudian utk menjustifikasikan perampasan kuasa oleh Khomeini dan gang-gangnya. Atau mahukan beliau berterusan dgn sejarah revisionism beliau semata-mata utk meneruskan agenda beliau dan golongan yang sealiran beliau? Beliau sendiri mendakwa yang beliau tidak lahir pada masa revolusi. Maka, pengetahuan beliau lebih mencerminkan kehidupan dan kepercayaan beliau dan tidak menambahkan pengetahuan pembaca kepada “apa yang sebenarnya belaku”?

Dan dalam perebutan dan kedudukan kekuasaan Ayatollah yg kerap juga dicabar (tetapi hal ini kerap tidak diketahui) dan pelbagai percaturan politik yang berlaku. Dan adalah sungguh salah hendak samakan Ayatollah dgn Khalifah2, sbb Ayatollah bukan lagi hidup di zaman khalifah dan cara beliau mendapatkan kuasa, kekalkan kuasa dsbgnya sungguh berbeza.

2. Clarissa Lee - Oktober 25, 2009

Juga, keadaan Iran sama seperti di Malaysia dalam satu segi. Bukan semua umat Islam yang mendakwa diri sebagai Muslim adalah benar-benar Muslim. Mereka mempunyai sebab untuk tidak mahu memberitahu hal sebenar. Di bawah negara polis seperti Iran, memang merbahaya utk seorang “ummah” mendakwa diri Atheist. Sebab pada bila-bila masa sahaja, mereka dengan senangnya akan ‘dihilangkan’

Apa yang saya nak katakan di sini, hal di Iran jauh lebih kompleks dari yang ingin dicerminkan oleh Zahra yang mungkin juga ada agenda sendiri (siapakah yang boleh lari dari agenda sendiri?)

Kalau kita nak samakan orang Iran yang menulis ttg hal ini sebagai mereka yang mempunyai agenda “barat”, kita boleh katakan hal yang sama ttg rakyat Malaysia yang memperjuangkan hak rakyat Malaysia.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: