jump to navigation

Osman Bakar: Bangkitkan Kembali Epistemologi Islam November 6, 2009

Posted by ummahonline in Wawancara.
Tags: , , , , ,
trackback

osman bakarMutakhir ini, wacana epistemologi Islam mula mendapat sorotan. Sama ada kita menyedari atau tidak, merasakan atau tidak, tapi perlahan-lahan buku, institusi serta gerakan penyelidikan mengenai epistemologi Islam kian bercambah. Namun, tampaknya denyut keghairahan ini seperti terabai—terutamanya dari kalangan muslim di Malaysia—sehingga tidak melihat peri-pentingnya peranan epistemologi dalam kehidupan beragama. Maka, atas hasrat untuk menanam kefahaman inilah yang mempertemukan kita dengan Osman Bakar, Timbalan CEO, International Institute of Advanced Islamic Studies, Malaysia(IAIS). Bersama AQIL FITHRI—zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, Nippon Foundation, Jepun—maka, murid dekat Seyyed Hossein Nasr ini sempat ditemuramah sewaktu kunjungannya ke Center for Islamic Philosophical Studies and Information (CIPSI), Jakarta baru-baru ini.

Kita tahu, tidak semua yang kuno adalah kuno. Sebab itu, dewasa ini wacana klasik tentang ilmu hushuli dan ilmu hudhuri mulai diangkat dalam wacana Islam, khususnya wacana falsafah Islam. Difahamkan pembahagian ini—ilmu hushuli dan ilmu hudhduri—ini dibuat oleh Suhrawardi. Kebetulan, anda pula pernah menulis buku “The Classification of Knowledge in Islam.” Justeru, buat pergenalan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini?

Dalam tradisi Islam, terdapat beberapa pengelasan ilmu. Tentunya ada persoalan, mengapa terdapat beberapa sistem pengelasan ini? Ini kerana, ada perspektif yang mendorong kita melakukan pengelasan tersebut. Sebagai contoh, ada pembahagian ilmu antara fardu ‘ain dan fardu kifayah. Ini juga sebenarnya adalah satu contoh pembahagian. Walau bagaimanapun, itu bukan bermakna hanya terdapat satu pembahagian saja dalam pengelasan ilmu-ilmu Islam. Sebaleknya, setiap pembahagian dilakukan kerana ada asasnya, serta ada juga kegunaannya yang penting bagi masyarakat. Jadi, pembahagian ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini adalah termasuk dalam satu contoh pembahagian ilmu yang terdapat dalam Islam. Namun, pembahagian ini dibuat lantaran ada perbezaan kaedah, iaitu merujuk kepada pemerolehan sumber ilmu. Perlu diketahui, pembahagian ini—ilmu hushuli dan ilmu hudhuri—sebenarnya sudah terdapat dalam tulisan al-Ghazzali lagi, iaitu sebelum Suhrawardi al-Maqtul. Yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli ini adalah, ilmu yang manusia peroleh dengan kognitifnya, dengan daya-usahanya, sama ada dengan menggunakan pancaindera atau dengan akalnya (acquired knowledge). Manakala ilmu hudhri, itu merujuk kepada ilmu yang berdasarkan pengalaman keruhanian manusia, yang mana ini berasaskan kepada penerimaan langsung dari Tuhan (presential knowledge). Jadi, ilmu hudhuri ini sudah tentu ada kaitan dengan perkataan, “hadhir,” “hadhrah,” “hudhur,” yang mana kata-kata ini dari akar yang sama—yang semuanya mengusung makna kehadhiran Ilahi. Dalam kata lain, ini juga semacam ilmu laduni, iaitu datang dari sisi Tuhan. Sungguhpun demikian, perlu ditegaskan, bahawa ilmu ini bukan hanya untuk para Nabi saja, tapi juga termasuk untuk manusia-manusia seperti wali, awlia, ulama, ilmuan, hukamak, dll, yang mana Tuhan mahu anugerahkan keistimewaan pada manusia-manusia pilihannya. Sebab itu, ilmu ini dikaitkan dengan pengalaman keruhaian (spiritual life) yang dicapai oleh individu tertentu. Jadi, memang berbeza dengan ilmu hushuli, iaitu ilmu yang dikaitkan dengan pancaindera dan rasional yang sarat dengan nalar dan logik. Maka, ilmu hudhuri lebih khusus, lebih istimewa, lebih terpilih, yang mana ini disebut oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, “walaupun semua ilmu itu berasal dari Tuhan, tapi terdapat banyak cara untuk ilmu tersebut sampai kepada manusia.” Salah-satu daripadanya adalah ilham/inspirasi/intuisi. Inilah kaedah untuk memperoleh ilmu hudhuri. Namun, perlu diingat juga, ilham itu ada pelbagai peringkat, dan ilham inilah yang akhirnya membuahkan ilmu hudhuri.

Namun, bagaimana pula kita dapat menentukan, atau mengelaskan, tingkat-tingkat yang terdapat dalam ilmu hudhuri ini?

Penentuan tingkat ini adalah berdasarkan keakrabannya dengan sumbernya. Jika kita bermula dari atas, maka sumber yang tertinggi, ialah Tuhan. Kemudian, ada ilmu yang datang dari sisi Tuhan, yang dikurniakan kepada manusia-manusia terpilih, selain dari para Nabi. Jadi, kita boleh letakkan ilmu wahyu itu sebagai contoh ilmu hudhuri, tapi hanya khusus untuk para para Nabi saja. Kemudian, ilham boleh saja dianugerahkan pada manusia-manusia terpilih. Tapi, harus diperhatikan bahawa sebuah ilmu itu bukan saja merujuk kepada caranya sampai pada manusia, tapi juga merujuk kepada mauduk (objek/bahan yang disampaikan). Jadi, di sini, bukan saja tingkat ilham, tapi juga tingkat objek yang dikaji oleh ilmu tersebut. Persoalan tentang adakah objek tersebut merujuk pada alam rendah, atau alam sederhana, atau alam tinggi, itu semua adalah bergantung pada tingkat alam. Sebab itu, dalam buku “The Classification of Knowledge in Islam” itu ada tiga pengelasan, iaitu berasaskan ontologi (berhubung dengan martabat maujud yang dikaji), kaedah, dan etika. Jadi, hakikatnya, martabat yang tertinggi adalah apabila Tuhan menjadi objek kajian.

Disebut bahawa ilmu hudhuri itu adalah bernuasakan kata “hadhir.” Maknanya, pengalaman peribadi dalam kehadhiran Tuhan. Namun persoalannya, apakah pengalaman peribadi ini dapat diluaskan sebagai sebuah ilmu universal, tidak hanya untuk peribadi saja?

Ya, memang! Ilham itu berdasarkan kepada ajaran al-Qur’an, dan hadith-hadith, yang memang dengann jelas menunjukkan ilham itu adalah sebuah fenomena universal. Maknanya, yang berpeluang untuk mengalami itu bukan hanya muslim, tapi juga seluruh anak Adam. Walau bagaimanapun, kekerapan penerimaannya adalah bergantung kepada pengalaman keruhaniannya, dan juga tahap intelektualnya, serta sukatan ilmunya. Islam percaya bahawa pengalaman ilham ini boleh disuburkan, atau dikerapkan, melalui sebuah cara hidup yang dianjurkan dalam keruhanian Islam. Jadi, kita boleh menyemarakkan pengalaman ilham ini, dan ternyata ilmu ini adalah universal. Mithalnya, kita tahu bahawa dalam sejarah sains moden terdapat saintis bukan Islam yang menemui ilmu baru dari ilham. Maknanya, ada alam ideal yang terbuka pada semua manusia. Terbukti, bahawa Tuhan tidak bataskan ilham ini pada muslim saja. Kalau berbalek pada ilmu hudhuri itu, memang dari tingkat tertinggi, iaitu wahyu, adalah tidak khusus. Wahyu hanya untuk para Nabi saja. Namun, pada tingkat yang lebih bawah—ilmu atau hikmah yang berdasarkan kepada pengalaman keruhanian, serta pencapaian intelektual—ini terbuka, dan boleh diterima oleh bukan-Islam.

Tapi, persoalannya, bagaimana kita dapat menerangkan bahawa sesuatu ilmu dapat juga diperoleh bukan hanya melalui pancaindera dan akal?

Tentu sekali mereka yang menerima ilmu di luar pancaindera dan akal ini dapat mengetahui. Bahkan, kita juga dapat mengesahkan dakwaan tersebut dengan menguji kebenaran ilmu itu—sama ada berdasarkan logik, atau sebarang kaedah yang terima dalam epistemologi. Tapi, prinsipnya tetp sama, iaitu apa saja ilmu yang dihebahkan, oleh sesiapa saja, maka kita boleh buat pengesahan. Ini seperti juga ilmu emperikal. Jika ada seorang saintis menemui sebatian, atau formula, maka kita akhirnya boleh uji penemuan tersebut. Begitu juga dengan ilmu hudhuri. Tapi, harus diingat, hanya mereka yang berkelayakan saja boleh menguji ilmu-ilmu tersebut. Tidak perlu kita takut pada kata “kelayakan” ini. Sebab, untuk penemuan ilmu emperikal, memang terdapat ramai yang dapat mengesahkannya. Sebaleknya, ilmu yang berdasarkan pengalaman keruhanian, barangkali adalah lebih sedikit. Sebab, kelayakan ini adalah sesuatu yang normal, sekalipun pada ilmu emperikal. Mithalnya kalau kajian tentang bunyian, sudah mereka yang pekak tidak boleh mengambil bahagian. Kalau kita nak buat kajian tentang warna, sudah tentu mereka yang buta tidak boleh ambil bahagian. Jadi, ada kelayakan untuk mereka yang mahu membuat pengesahan ilmu ini. Demikian juga al-Qur’an mendakwa bahawa solat itu dapat mencegah kemungkaran. Itu dakwaan al-Qur’an. Tapi, bagaimana untuk kita mengesahkannya? Maka, kita kumpul ambil data dari mereka yang telah melakukan solat. Namun kita perhatikan tetap mereka yang solat juga melakukan kemungkaran. Maka, kita perlu semak pula apakah solat itu telah dilakukan dengan syarat-syaratnya, dengan kehadhiran ruhaninya, dengan sepenuh hatinya. Jadi jelas, prinsipnya tetap sama untuk ilmu hushuli mahupun ilmu hudhuri. Hanya jumlah individu yang melibatkan diri dalam membuat pengesahan saja yang terbatas.

Jadi, nampaknya ilmu wahyu boleh disahkan melalui data-data emperikal?

Ilmu wahyu hanya boleh disahkan pada peringkat rasional. Kita himbau balek, al-Qur’an yang turun pada kurun ke-7, itu membentangkan beberapa fenomena alam, dan hari ini kita sudah saksikan pengesahan tersebut melalui sains. Pada kurun ke-7 itu, memang tidak ada yang mampu untuk mengesahkan. Mereka terima saja ayat tersebut atas nama keimanan. Urusan pengesahan kemudian.

Maka, apakah ini menunjukkan ilmu hudhuri, yang diperoleh dari ilham tersebut, adalah lebih bermutu berbanding ilmu hushuli, yang diperoleh dari pancaindera dan akal?

Ini soal kegunaan, soal aplikasi, jadi mungkin kurang tepat kita membuat perbandingan begitu. Ini semacam mahu membandingkan buah pauh dengan buah mempelam. Justeru, tidak wajar untuk kita membandingkan dua sumber ilmu, yang masing-masing mempunyai objektif yang berlainan. Memang benar, ilmu hudhuri itu lebih merujuk kepada objektif pembersehan jiwa. Tapi, kalau mahu menyelesaikan masalah-masalah praktikal dalam masyarakat, kita sudah tentu memerlukan ilmu hushuli pula. Jadi, keduanya diperlukan, dan kita tidak boleh menilai dari aspek mutu.

Atau, mungkinkah kita juga boleh katakan bahawa ilmu hudhuri juga adalah sebuah rasional yang tidak terungkap?

Sebenarnya, soalan ini adalah menyentuh mengenai peranan bahasa dalam mengungkapkan kebenaran. Sebab, bahasa ada batasannya dalam mengungkapkan kebenaran—saatnya bersangkutan dengan fenomena yang dikaji. Ilmu hushuli adalah mengkaji fenomena yang fizikal. Jadi, bahasa lebih mampu untuk mengungkapkan kebenaran alam kerana itu juga adalah pengalaman bahasa kita seharian (alam fizikal). Sementara, ilmu hudhuri pula merujuk kepada keruhanian. Jadi, bila kita mahu mengungkapkan realiti keruhanian, maka penggunaan bahasa seharian memang ada batasannya. Sebab itu, ada bahasa tanda. Ini semacam juga al-Qur’an, jika mahu menceritakan mengenai alam keruhanian, disampaikan dalam bahasa perumpamaan… masalu, masalu, masalu.

Tapi, ada persoalan menarik hubungan antara ilmu hudhuri dengan kosmologi. Dikatakan, soal mikrokosmos ini mendapat sorotan besar dari Imam Ali Abi Thalib, terutamanya saat disemak dari bukunya, Nahjul Balaghah. Apakah ini benar?

Mikrokosmos itu adalah prinsip penting yang digunakan dalam banyak ilmu, termasuklah dalam ilmu kosmologi, dalam ilmu psikologi, dalam ilmu sains politik, dalam ilmu kimia, malah betapa banyaknya lagi ranting-ranting ilmu yang menerapkan prinsip mikrokosmos dalam sejarah ilmu Islam. Sebagai contoh, persoalan hikmah itu sebenarnya sangat dekat dengan persoalan mikrokosmos. Ini juga adalah antara ilmu hudhuri sepeti yang kita bicarakan itu. Dalam sejarah, idea alam as-Saghir itu ditemui oleh Saidina Ali bin Abi Thalib, yang mendapat idea itu menerusi himpunan data wahyu, serta kemudian menggunakan akal kullinya, atau kuasa inteleknya, atau kecerahan sukmanya, untuk menafsirkan data-data tersebut. Itu memang sumbangan intelektual terbesarnya. Kita boleh memahami hal ini kerana banyak ayat al-Qur’an yang mengungkapkan mengenai penciptaan manusia. Memang, dalam sesetengah ayat, hanya menyentuh sebahagian unsur-unsur manusia saja. Tapi, dalam ayat-ayat lain, turut disentuh unsur-unsur yang lain pula. Justeru, kalau kita mahu mendapat gambaran menyeluruh tentang manusia, maka kita kena kumpulkan semua ayat yang berkaitan dengan penciptaan manusia, sebelum melakukan sebuah “renungan akal.” Lalu, pada kesimpulannya, kita akan berkata, “setiap hal yang ada di luar diri kita, maka sebenarnya turut ada di dalam diri kita.” Itulah idea mikrokosmos, iaitu alam as-Saghir, atau alam kecil. Jadi, terdapat keselarian antara dua semesta: semesta luar diri kita dengan semesta dalam diri kita, iaitu one to one correspondence antara kedua semesta tersebut. Hal inilah yang menarik minat kalangan saintis barat untuk dikembangkan dalam penyelidikan mereka. Sebab itu, dalam pengertian inilah, Ikhwan as-Safa berkata, “kalau kita mahu mengetahui hakikat alam ini, tidak perlulah kita menjelajah ke angkasa, cukup hanya pergi ke alam diri kita saja.” Kerana, sebenarnya diri kita ini juga adalah satu universe, atau satu semesta. Ini juga sebenarnya pesan al-Qur’an di mana Tuhan memanifestasikan tanda-tandanya bukan saja dalam makrokosmos, tapi juga dalam mikrokosmos.

Lantaran dengan adanya kesejajaran antara makrokosmos dan mikrokosmos ini, maka apakah kerana itu Islam turut menekankan mengenai tazkiyatun nafs, sebagai satu kaedah untuk mendekatkan diri pada Tuhan? Dan, apakah tazkiyatun nafs ini dapat dirasionalkan?

Sebelum itu, kita harus melalui proses-proses pembersihan jiwa, atau tazkiyatun nafs ini dahulu. Perlu diingat, tazkiyatun nafs ini bukan proses sembarangan, bukan proses yang tidak berperaturan, dan bukan proses yang tidak berprinsip. Malahan, tazkiyatun nafs ini juga adalah satu sains dan satu seni. Satu sains, sebab terdapat prinsip yang perlu kita faham tentang jiwa iaitu; apa itu jiwa, apa itu realiti jiwa, apa itu juzuk jiwa, apa itu komponen jiwa, dll. Jadi, bila kita mahu melakukan tazkiyatun nafs, maka kita perlu tahu apa itunafs. Dalam konsep manusia, nafs itu adalah salah-satu komponen manusia. Kemudian, perlu dirungkai persoalan lain, tentang hubungan nafs dengan akal, dengan qalb, dengan ruh—dan, semua ini sebenarnya adalah sebahagian dari sains yang kita perlu belajar kalau benar-benar mahu melakukan tazkiyatun nafs. Satu seni pula, sebab ada tahap praktikal, dan inilah seni yang kita warisi dari pada Nabi, yang diturunkan pada sahabat, lalu pada tabiin, dll. Persoalannya dewasa ini, adakah kita mewarisi amalan ini dari ulama-ulama kita, atau dari intelektual-intelektual kita, ataupun secebis saja? Jadi, untuk menjernihkan hal ini, maka kita perlu mengenal siapa pakar dalam ilmu tazkiyatun nafs ini. Dalam sejarah, ulama yang ada kepakaran dalam bidang ini adalah ulama dari kalangan tasawuf atau sufi, sebab ini memang keahliannya. Bukan ulama fekah. Tidak hairanlah, ulama tasawwuf memang sering membicarakan tentang tazkiyatun nafs, supaya mereka lebih dekat dengan Tuhan.

Menyentuh mengenai sufi, atau tasawwuf ini, apakah bezanya dengan ‘irfan, yang begitu dekat dengan tradisi Iran?

Itu ada persamaan dan perbezaaan. Sebenarnya, ‘irfan ini merujuk kepada satu bentuk ilmu, atau suatu pengalaman manusia di mana aspek keruhanian dan intelektual itu terjalin dalam satu kesatuan yang indah. Justeru, ‘irfan ini kita harus bezakan dengan aliran keruhanian lain yang tidak menekankan aspek keintelektualan, iaitu tentang peranan akal dalam pengalaman keruhanian.

Jadi, adakah itu bermakna dimensi intelektual tidak ada dalam tasawwuf atau sufi?

Bukan. ‘Irfan itu juga satu bentuk tasawwuf. Kalau kita ambil tasawwuf sebagai satu genus, maka ‘irfan itu adalah salah satu spesis darinya. Maknanya, ‘irfan itu juga adalah dari aliran tasawwuf yang objektifnya untuk membersehkan jiwa dan mendekatkan diri pada Tuhan. Soal bagaimana cara mencapainya, itu ada perbezaan pendekatan. Sebab itu, ada tiga asas dalam hubungan manusia dengan Tuhan. Ini adalah hal yang lazim dalam tasawwuf, iaitu makhafah, mahabbah, makrifahMakhafah iaitu berdasarkan pada rasa takut. Jadi, sebilangan manusia, mereka lebih menekankan dimensi takut, untuk mendekatkan diri pada Tuhan. Kedua, mahabbah ini pula berdasarkan pada cinta, iaitu kita lakukan sesuatu kerana cinta, dan tidak memikirkan ganjaran. Ketiga ialah makrifah, yang berdasarkan pada ilmu, di mana kita melaksanakan sesuatu dengan kefahaman dan keyakinan.

Berbalek dalam soal ilmu hudhuri. Dalam sorotan, terlihat ada ketidakseimbangan perbicaraan mengenai ilmu hudhuri ini. Kesendengan ini jelas terlihat dalam konteks dua tradisi, Islam iaitu Sunni dan Shi’ah. Dewasa ini, dalam dunia Shi’ah, begitu rancak membicarakannya, dengan kehadhiran filsuf-filsuf mereka seperti Allama Thaba’thaba’e, Murtadha Muthahhari, Mehdi Hairi Yazdi, malah Ruhollah Khomeini sekalipun. Apakah memang benar ada perbezaan penegasan dalam dua tradisi ini mengenai ilmu hudhuri ini?

Itu tidak berlaku dalam sejarah Islam. Cuma, kalau kita bercakap dalam konteks dewasa itu memang ada kebenarannya. Ini kerana gagasan tasawwuf al-Ghazzali yang kemudiannya mempengaruhi Suhrawardi, Qutbuddin Shirazi, dll. Ini akhirnya yang menjalinkan hubungan keruhanian dengan keilmuan menerusi dimensi rasional, logik, dll. Jelas, pemikiran dan pendekatan seperti ini maseh lestari dengan baik di Iran. Manakala warisan al-Ghazzali—yang melihat peranan penting akal ini—di dunia Sunni menuju jalan yang lain. Jadi, kita kena berbalek pada al-Ghazzali semuanya. Dari al-Ghazzali, ada dua arus warisan. Satu warisan yang sampai di dunia Shi’ah, iaitu Iran, dan satu lagi di dunia Sunni, mithalnya di Alam Melayu ini. Ini penting. Dua sintesis berlaku. Dewasa ini, tampaknya sintesis yang berlaku di dunia Shi’ah memang lebih luas dan kaya kerana sarat dengan dimensi-dimensi falsafahnya.

Mengapa boleh berlaku perbezaan tersebut?

Itu berbalek pada soal bagaimana wacana falsafah diterima oleh kaum ulama. Ternyata, kaum ulama Shi’ah lebih bersedia untuk menerima pengaruh falsafah berbanding dari ulama Sunnah. Itu perbezaan besarnya.

Dalam zaman moden, Barat amat menekankan dua epistemologi, iaitu empeiria dan ratio. Ini pergelutan panjang mereka. Namun, sejauh mana pula Barat mula menyedari bahawa sumber epistemologi intuitif, atau ilham ini, juga penting?

Di Barat, intuisi atau ilham sebagai fenomena nyata dan hakiki maseh belum diterima oleh golongan majoriti. Hanya minoriti saja yang menerima. Memang ada, sebilangan kecil ilmuan Barat yang menerima, seperti kalangan ahli matematik, yang menerima ilham dalam penyelesaian matematik. Ini yang disebut mazhab intuisionisme. Hal ini memang ada perbahasan yang terus-menerus. Tapi, ada juga yang melihat matematik tidak lebih dari sistem formal, yang tidak lebih dari bersifat logik. Ini yang disebut mazhab formalisme. Walau bagaimanapun, boleh dikatakan, bahawa dewasa ini penerimaan terhadap intuisi nampaknya semakin meluas terutamanya di kalangan masyarakat sains Barat. Ini kerana, mereka merasakan sekiranya disingkirkan unsur-unsur intuisi dari sejarah sains, maka banyak ilmu mereka yang terpaksa dibuang. Keadaan ini, kata mereka, “akan memiskinkan sains.” Terlepas dari persoalan sama ada mereka menerima atau tidak ilmu hudhuri ini secara teologi, namun jelas sekali rentak Barat sekarang telah membuka ruang agar persoalan intuisi dibahas, dan ternyata ada yang menerimanya.

Persoalan terakhir, kita tahu, muslim dewasa ini bergelut dengan pelbagai persoalan nyata, sama ada dari aspek fizik mahupun metafizik, atau dari aspek semesta nyata (kehidupan seharian) mahupun semesta jiwa (keruhanian). Apakah ini menunjukkan muslim sedang berdepan dengan masalah epistemologi?

Dari segi teori, muslim tidak mempunyai masalah dalam persoalan epistemologi. Kita mewarisi tradisi epistemologi yang lengkap, yang serba mencakupi di mana pada teorinya mencukupi untuk menangani persoalan-persoalan semasa. Ini dari segi teori. Namun, dari segi realiti, tidak begitu. Sebab, sebahagian besar tradisi epistemologi Islam itu tidak dibangkitkan. Epistemologi Islam hanya wujud dan hidup dalam teks semata, tidak dalam wujud dan hidup dalam konteks kita. Itulah masalahnya. Maka, apa yang patut kita lakukan? Yang patut kita lakukan ialah, seluruh ajaran Islam tentang epistemologi harus ketengahkan kembali pada khalayak. Kita mesti menanam di sanubari masyarakat tentang kepentingan epistemologi Islam ini. Tentunya, dengan langkah ini, kita akan menghadapi banyak pertanyaan, juga kritikan, barangkali juga cercaan. Walau apapun, kita harus jelaskan dengan menggunakan bahasa terkini, dengan bidalan terkini, dengan ungkapan terkini, yang mungkin dengan kekiniaan ini akan membantu khalayak untuk lebih memahami mengenai epsitemologi Islam ini.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: