jump to navigation

Tasawwuf Positif Mei 16, 2010

Posted by ummahonline in Editorial, Kolum.
Tags: , , , ,
trackback

the_sufi_mg56Neosufisme, kata ini pertama kali dipakai Fazlur Rahman dalam buku Islam-nya. Di Indonesia, wacana neosufisme ini dicambahkan oleh Azyumardi Azra, Nurcholish Madjid, dll–dengan pemaknaan pengembalian tasawwuf sebagai sebuah gerakan yang tidak anti-dunia. Atau, dalam kata lain, pendekatan seperti ini turut terkenal dengan frasa, “tasawwuf positif. “

Sebelum pergi lebih jauh, elok kita berkaca dulu pada sebuah kesah; tentang seorang guru agama yang tinggal di birai pantai, dan setiap hari kerjanya adalah nelayan kecil-kecilan. Hasil tangkapannya, pasti dibahagi dua. Bahagian kepala untuknya, dan bahagian daging pula diagihkan untuk para tentangga. Kepala ikan itulah yang kemudiannya menjadi sajiannya. Setiap hari, demikianlah rutinnya. Namun, sampai suatu kali, ada muridnya yang mahu berkunjung ke Andalusia. Lalu, guru agama ini pun menitipkan sebuah pesan pada muridnya tersebut. Pintanya, agar disampaikan dimohon pesan-nasehat daripada sheikhul akbar-nya di sana. Sampai waktunya, muridnya ini pun menuju Andalusia, dan berkesempatan menemui sheikhul akbar tersebut. Pada awalnya, muridnya rasa kehairanan. Terbersit, “apakah benar rumah mewah ini milek sheikhul akbar?” Melihat kezuhudan guru agamanya di birai pantai itu, “masakan masuk akal, muridnya hanya memakan kepala ikan, tapi gurunya di sini berlenang di rumah semewah ini.”

Lantas, murid itu diterima masuk, disambut baik, serta dijamu juga dengan makanan enak-enak. Hujungnya, berkatalahnya pada sheikhul akbar, apakah ada sebarang-dua titipan pesan-nasehat buat gurunya? Lalu, sheikhul akbar itu pun berkata, “sampaikan pada gurumu, janganlah terlalu meninggalkan dunia.” Lalu, pulanglah murid tersebut dan bertemu kembali dengan gurunya di birai pantai itu.

Nah, kata Haidar Bagir yang menceritakan kesah ini, “sheikhul akbar di Andalusia tersebut adalah Ibn ‘Arabi.” Cerita dari Haidar–filantropi ilmu dari Indonesia–ini dikongsinya sewaktu Seminar Nasional Ibn ‘Arabi dan Mulla Sadra yang diadakan di Shahida Inn, UIN Sharif Hidayatullah Jakarta pada 16 Januari 2010 sebelum ini. Beliau ketika itu hadhir membentangkan tajuk berkisar “Neosufisme dan Ibn ‘Arabi.”

Seperti diungkapkan sebelumnya, Haidar memaknai neosufisme sebagai sebuah gerakan tasawwuf yang tidak anti-dunia. Tapi malangnya, Fazlur Rahman tidak memahami wajah “tasawwuf yang sebetulnya.” Hatta, lanjut aktivis falsafah ini, “Fazlur Rahman sampai bilang dalam bukunya bahawa Mulla Sadra itu sama sekali tidak ada tasawwufnya.” Memang, sikap Fazlur Rahman ini menimbulkan sebuah kerumitan intelektual dalam dirinya, sepertinya sejarah Imam al-Ghazzali juga. Sebelumnya, al-Ghazzali dikenali atas kritik kerasnya terhadap falsafah. Meskipun, kalau diracik halus-halus ternyata banyak sekali bunga-bunga falsafah tertanam dalam pemikirannya. Tegas Haidar, lihat saja pandangannya tentang hati (qalb), yang lantaran kemiripan inilah sampai-sampai pernah ada yang menyatakan sebuah buku al-Ghazzali tentang qalb asalnya adalah buku Ibn Sina.

Begitulah Fazlur Rahman, pengagum Ibn Taimiyyah ini. Apapun buat Haidar, “betapapun radikal pandangan Ibn Taimiyyah terhadap Ibn ‘Arabi dan tasawwuf, itu sama sekali tidak memadamkan simpati Ibn Taimiyyah pada tasawwuf, atau yang disebutnya dalam kata suluk.” Menarik di sini, untuk kita membezakan antara tasawwuf dengan suluk. Tasawwuf barangkali lebih lazim. Tapi, kalau kata suluk, “itu ibarat kata lakoni dalam bahasa Jawa, bermakna pelaku,” ungkap Haidar yang kini turut terlibat dalam IIMaN Center.

Benar, setiap manusia tidak lekang dari kesalahan. Termasuk Fazlur Rahman juga, yang menyelesaikan disertasinya mengenai kitab an-Najat-nya Ibn Sina. Inilah hal yang dikesan Sayyed Hossein Nasr. Bukan kebetulan, Haidar memang pernah mencerna kuliah di George Washington University bersama Nasr. Ketika itu, Nasr menceritakan pada Haidar usahanya untuk menanggapi sikap pemikir Pakistan tentang neosufisme ini. Sayangnya, bahan dan manuskrip untuk rencana tersebut musnah akibat Revolusi 1979. Jadi, semuanya terbakar sama sekali, termasuk rumahnya. Ini gara-gara kedekatan Nasr dengan Shah Iran. Sebab itu, kenang Haidar, sampai dewasa ini Nasr trauma untuk kembali ke Iran, biarpunnya adalah teman dekatnya kepada Sayyed Mohammed Khamenei, kekanda pada Rahbar Republik Islam Iran sekarang.

Tapi, apakah pembakaran rumahnya meleburkan terus usaha Nasr untuk meluruskan kembali salah-faham terhadap tasawwuf? Tentu tidak, kerana akhirnya Nasr menulis juga sebuah buku kecil, Sadr Al-Din Shirazi and His Transcendent Theosophy. Buku ini adalah jawapan sederhananya terhadap Fazlur Rahman, yang menurutnya memang sudah sangat keliru. Pada Nasr, kekeliruan Fazlur Rahman yang paling ketara kerana memikirkan Mulla Sadra tidak punya dimensi tasawwuf-nya. Seperti yang dikutip Haidar, Nasr menepis kesimpulan ini. Tentu, spektrum tasawwuf di sini harus jelas, yang setidaknya termuat dua jalur; jalur neosufisme-nya, Fazlur Rahman, Hossein Ziai, dll. Atau, jalur ‘irfani-nya seperti Nasr, Imam Khomeini, dll.

Walau bagaimanapun, dalam jalur kedua, mungkin ada pecahan-pecahan lagi. Mithalnya, Haidar cenderung menggolongkan Khomeini dalam kedekatannya dengan Ibn ‘Arabi, berbanding dengan Sadra. Manakala, murid Khomeini pula, iaitu Mesbah Yazdi, tampaknya lebih dekat dengan masya’iyyah (Ibn Sina), berbanding ‘ishraqiyyah (Sohrevardi).

Shahdan, yang pasti adalah kata dan makna neosufisme ini perlu dijernehkan. Bagi Haidar, tasawwuf ini sama sekali bukanlah, “yang konon cenderung untuk memuja kemiskinan, seperti yang sudah ditentang al-Hujwiri tersebut. Sebab itu, “kalau dimaksudkan untuk mengatakan bahawa tasawwuf itu anti-kehidupan dunia, maka tentu sekali Ibn ‘Arabi tidak dikenal sebagai pemuji zuhud atau fathir, dan tidak menunjuk-nunjuk hidup miskin,” tekan Haidar lagi.

Seraya mengusulkan buku Alwi Shihab, “Akar Tasawwuf di Indonesia” sebagai bacaan rinci, Haidar juga menjelaskan bahawa tasawwuf-nya Ibn ‘Arabi bukanlah aliran tak-rasional. Ini kerana, seperti yang diterangkan sebelumnya, tasawwuf itu sendiri ada ragam-pengenalannya, termasuklah ada tasawwuf urban, yang marak mutakhir ini. Mantan Zamil ISTAC ini turut mengakui pernah mendengar pertama kali istilah “tasawwuf positif” dari Sheikh Taqi Ja’fari, yang bericta-cita mengangkat tasawwuf yang membangun. Namun, dalam ragam kosa dan takrif ini, apa yang lebih meresahkan Haidar adalah kerancuan yang dimunculkannya. Contohnya, selain kata tasawwuf dan suluk, sebenarnya terdapat kata lain, seperti ‘irfan, akhlak, tareqah–yang kadang-kala semua kata ini jelas boleh membingungkan, serta boleh mengelirukan.

Ketika ini, Haidar cuba mengingat kembali, saatnya menghadhiri sebuah seminar di luar negara. Kebetulan, waktu itu ada seorang orientalis, yang baru saja berkenalan dengan tasawwuf di Iran. Kata oritentalis tersebut, “tasawwuf di Iran telah ditindas.”

Mendengar kata demikian, Haidar bingkas mohon bicara, dengan niat untuk meluruskan fakta tersebut. Kata Haidar, “kita mestilah takrifkan dulu apa itu tasawwuf. Kalau tasawwuf itu ‘irfan, maka ‘irfan sangat mendapat tempat di Iran, lebih-lebih lagi setelah revolusi.” Tapi, apakah bukti bahawa tasawwuf, atau ‘irfan, makin mendapat tempat di Iran setelah Revolusi Islam 1979? Ungkap Haidar lagi, “Khomeini itu begitu faseh dengan Ibn ‘Arabi. Pernah dalam kuliyyahnya, terdapat anak-anak kecil yang disuruh melempar batu padanya.” Kemudian, baru setelah revolusi dipimpinnya dan murid-murid ‘irfani-nya, maka ‘irfan terbukti meraih harakat yang tinggi. Jadi, “jika ada lagi tuduhan bahawa tasawwuf di Iran itu ditindas, ternyata adalah pandangan yang salah sama sekali.” Maka, hurai Haidar, khalayak haruslah tahu bahawa ‘irfan itulah sebenarnya ruh dari Revolusi Islam Iran.

“Malangnya,” kesal Haidar, “apa yang berlaku dewasa ini, lantaran fikiran kita yang tidak jerneh tentang tasawwuf.” Lihat saja, “sarjana barat yang melakukan kajian tasawwuf terlalu mudah mengelompokkan semuanya, sampai wujud kekaburan kaitan tasawwuf-nya dengan ajaran Ibn ‘Arabi, al-Ghazzali, Mulla Sadra, dll,” rintih Haidar. Jadi, adalah amat penting menjernehkan kembali tasawwuf, “supaya kesalah-fahaman itu tidak memberi peluru kepada yang anti-tasawwuf,” seru Haidar lagi. Di samping itu, Haidar turut menyatakan bahawa tasawwuf seperti yang difahaminya bukanlah memusatkan diri pada keajaiban, pada karamah, dan menolak shari’ah. “Sufi yang paling terbaik sekalipun,” kutip Haidar, “tidak seharusnya melihat cara lain untuk dekat pada tuhan, melainkan melalui shalat.” Soalnya, “sejak bila tasawwuf dinilai dari keajaiban, dan dari karamah, dan apa guna karamah-karamah ini,” demikian pertanyaan-kritis Haidar sembari mengajak hadhirin berfikir matang.

Di samping itu, Haidar sempat menegaskan bahawa al-Quran juga tidak kenal pemisahan antara ‘aqal dan qalb. “Tasawwuf yang memisahkan keduanya,” rungkai Haidar, “adalah tasawwuf yang keliru.” Padanya, tasawwuf itu meliputi seluruh fakulti yang ada, dari intelektual hingga ruhani. Jadi, usah hairan sekiranya Ibn Sina menciptakan konsep ‘aqal yang bertahap-tahap, sama seperti nafsu juga. Hatta, petik Haidar, “ini juga sejajar dengan rumusan Ibn ‘Arabi bahawa berfikir rasional itu adalah langkah penting, sebelum hati hadhir menjernehkannya lagi.”

Di sini, memang Ibn ‘Arabi senada dengan Ibn Sina, bahawa penalaran itu penting ke arah membersehkan cermin fikiran kita. Namun, barangkali ada persoalan lain; apakah benar Imam al-Ghazzali anti-‘aqal? Dari satu pandangan, barangkali tidak sepenuhnya benar. Sebab, menerusi al-Munqidh min al-Dalal, al-Ghazzali jelas menyatakan ‘aqal akan mengantarkan kita pada satu titik. Justeru, untuk sampai pada titik itu, tetap saja memerlukan ‘aqal. Walau bagaimanapun, kata Haidar, itu tidak memadai. Maka, anjurnya, kita perlu menghimbau Mulla Sadra yang meletakkan ‘aqal dalam kemampuan untuk jelaskan semua pengalaman keagamaan. Demikian juga Mehdi Hairi Yazdi, filsuf besar dari Iran dewasa ini, yang kental menyakini bahawa seluruh pengalaman tasawwuf merupakan warna-warni dari dunia agama itu sendiri.

Sudahnya, melirik waktu yang diperuntukkan padanya, lalu Haidar berkongsi sebuah kesah lagi. Kesah Imam Ali Abi Thalib dalam Nahjul Balaghah; kesahnya tatkala melawat rumah pengikutnya, Ziyad. Kebetulan Ziyad memiliki sebuah rumah yang amat mewah.

Tapi, ketika sampai di sana, Imam Ali tidak pernah bilang pada Ziyad supaya tinggalkan kemewahan tersebut. Sebaleknya, kata Imam Ali, “kalau kamu mahu menjadikan rumahmu seperti ini di akhirah, maka manfaatkan rumah ini untuk tujuan-akhirah.” Maksudnya, penuhi rumah tersebut dengan ibadah, dan hal-hal yang baik. Namun, kenang Haidar, Imam Ali sebagai Imam, sebagai pemimpin, sebagai teladan, sentiasa mengekalkan hidupnya secara sederhana. Mengapa? Kerana tidak mahu rakyat kecil berfikir bahawa dirinya lebih selesa berbanding rakyatnya. Pada Imam Ali, kekayaan bathin jauh lebih kaya dari seluruh kekayaan yang pernah ada. Melihat keadaan ini, Haidar pun membandingkan dengan para pemimpin dewasa ini, di mana “pemimpinnya kaya, sementara pengikut pula yang miskin.”

Di hujungnya, Pengarah Mizan Publishing ini sekali lagi mengutarakan sikapnya, bahawa: sekiranya tasawwuf difahami dan dilaksanakan dengan kaedah yang benar, maka itulah sebenarnya Islam. Bukannya difahami secara herot, seperti paparan dari Fazlur Rahman. Padanya, “tasawwuf itu sendiri adalah pemaknaan Islam.” Bahkan, “Islam hanya akan berkembang kalau muslim itu dapat memahami Islam sepertimana kaum sufi memahami Islam,” akhiri Haidar dengan wajah harapan.

Komen-komen»

1. a.rahman - Mei 24, 2010

Membaca kisah Tok Guru nelayan yang zuhud kalau dibawa kepada senario hari ini guru berkenaan sudah hilang mata pencarian kerana pantai sudah tercemar oleh kemodenan.Atau tok guru masih miskin tetapi tinggal ditempat lain kerana tanahnya sudah di ambil oleh kerajaan atau pemaju untuk didirikan hotel dan chalet mewah.Dia mungkin dapat pampasan atau mungkin dihalau begitu sahaja. Kalau dia menerima pampasan mungkin dia sudah berubah hidup mewah bersetuju dengan saranan Tok Guru dia.
Tok guru dia Ibn Arabi dalam senario hari ini adalah seorang jutawan yang memiliki rangkaian kilang,supermarket
restoran dan yayasan untuk menolong bangsanya dan agamanya dengan menyediakan pekerjaan dan makanan yang halal dan berbagai jenis bantuan yang wajib dia berikan.
Orang yang macam inilah yang sepatutnya banyak untuk menyemarakkan Islam.Tok guru nelayan tidak banyak sumbangan yang boleh dia berikan untuk perkembangan Islam.Makanan, pakaian dan tempat tinggal dia pun tersedia hasil daripada titik peluh , kreativiti dan kerja keras orang bukan Islam.
Orang anti dunia pun perlu makan untuk memanjangkan umur,
perlu berpakaian untuk menjaga maruah dan tubuh daripada ancaman cuaca, perlu mempunyai tempat tinggal untuk berlindung dan menyimpan harta benda. Kalau orang Islam tidak mampu menghasilkan semua keperluan asas tersebut kita terpaksa meminta- minta dengan orang bukan Islam.
Jatuh maruah kita.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: