jump to navigation

Islam Pop: Islamisasi atau komodifikasi? Ogos 27, 2010

Posted by ummahonline in Kolum, Vox Pop.
Tags: , , , ,
trackback

islam popMalaysia menyaksikan peningkatan fenomena Islam pop sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kebanjiran pelbagai produk budaya popular Islam berbentuk novel, rancangan televisyen, muzik dan sebagainya.

Pada penghujung 1990-an, kumpulan nasyid Raihan, dan kemudian diikuti kumpulan-kumpulan lain memenuhi medan budaya popular Malaysia, sehingga menjadi satu bahagian besar dalam muzik Melayu.

Setelah fenomena itu mula menyusut, terbaharu muncul pula novel-novel Islam pop, yang paling mendapat perhatian Ayat-Ayat Cinta, novel dari Indonesia yang kemudian difilemkan dan menjadi ikutan ramai.

Ayat-Ayat Cinta dipuji sebagai karya Islami atau dakwah yang bermutu, dan dijadikan seperti satu pentakrif karya Islam pop, iaitu mampu menarik audiens yang ramai dan berjaya “membawa mesej Islam.”

Penonton televisyen tempatan juga diterujakan oleh siri televisyen Nur Kasih, yang juga menjadi ikutan popular, dengan imej-imej Islami siri tersebut menjadi antara tarikan utama terhadap penonton.

Terbaharu, siri realiti tv Imam Muda mencapai satu status baharu dalam populariti produk budaya popular Islam di negara ini, yang menjadi ikutan popular dan dilihat menetapkan standard baharu Islam pop.

Penentuan kemenangan (dan penyingkiran) yang berdasarkan penilaian “mentor” yang merupakan tokoh agama, tanpa campurtangan undian mesej teks penonton memberi gambaran kredibiliti pemilihan dalam Imam Muda.

Liputan media luar negara dilihat sebagai antara bukti kejayaan rancangan ini, dalam menarik ikutan popular dan standard produk budaya popular.

Akhbar Wall Street Journal, BBC dan New York Times antara media Barat yang membuat liputan rancangan Imam Muda.

Laporan media Barat terbabit walau bagaimanapun mengandungi pelbagai salah faham, seperti menyifatkan peserta sebagai “clerics” (CNN) dan “mullahs” (Wall Steet Journal).

Perkembangan Islam pop di Malaysia ini menjelaskan beberapa perkembangan sosio-ekonomi masyarakat Muslim di negara ini, termasuk reaksi dalam menghadapi globalisasi budaya dan perkembangan Islam.

Produk-produk budaya popular yang muncul ini sebahagian daripada komodifikasi unsur-unsur agama, iaitu satu proses yang menjadikan unsur-unsur tersebut boleh dijadikan objek ekonomi yang boleh diniagakan.

Perkembangan ini menjanjikan masa depan yang berpotensi untuk pasaran yang menguntungkan kepada peniaga-peniaga yang terbabit dalam perniagaan melibatkan unsur-unsur atau simbol-simbol agama Islam.

Selari dengan perkembangan ini ialah populariti gerakan politik Islam PAS dan tokoh seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menjadi simbol paling jelas dan popular gerakan pembangkang Pakatan Rakyat, mengatasi populariti pemimpin de facto Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Potret fotografi Nik Abdul Aziz baru-baru ini terjual dalam satu lelongan sehingga mengumpulkan RM10,000, menunjukkan pemimpin ini menjadi objek komodifikasi utama dalam politik Malaysia.

Selain potret tersebut, peniaga-peniaga di ceramah-ceramah telah lama mendapat keuntungan dengan menjual poster, baju t, pelakat dan pelbagai produk lain yang mendapat nilai ekonominya melalui imej Nik Abdul Aziz.

Nilai ekonomi ini pula bukan dihasilkan semata-mata oleh imej Nik Abdul Aziz sebagai seorang politikus, tetapi didasarkan pada ketokohan agama pemimpin ini.

Pemilikan produk-produk berimej Nik Abdul Aziz itu seolah-olah satu usaha pembeli terbabit untuk mendapatkan unsur keagamaan itu, selain satu penegasan identiti politik.

Ini menunjukkan kaitan perkembangan Islam pop ini turut mempunyai sisi politik. Dari sudut profil pembeli, mereka yang menyukai novel Ayat-Ayat Cinta, rancangan Imam Muda, dan nasyid, mempunyai kebarangkalian yang besar untuk juga menyokong PAS – atau menganggotai kumpulan Islam lain – serta menjadi peminat Nik Abdul Aziz.

Populariti Nik Abdul Aziz ini merapatkan beliau dengan dunia budaya popular. Dalam satu kempen yang didasari kepentingan perniagaan, Nik Abdul Aziz menghadiri sebuah restoran yang antara seorang pemiliknya ialah Amy, bekas penyanyi kumpulan rock popular Search.

Pertemuan dua tokoh itu menjadi satu saat yang mentakrifkan dalam politik dan budaya popular Malaysia, dengan kedua-duanya mendapat manfaat daripada simbol yang dipancarkan melalui pertemuan itu.

Nama Nik Abdul Aziz juga muncul di buku-buku untuk melariskan jualan, dengan dikemukakan melalui variasi “kata pengantar” seperti “pandang sisi.”

Bagi penyanyi rock dan restoran – serta penerbit buku – tersebut, impak yang dibawa Nik Abdul Aziz sangat positif, dan menjelaskan kedudukan tokoh agama itu dalam budaya popular di negara ini.

Hal ini mendorong tanggapan bahawa berleluasanya Islam pop – seperti rancangan Imam Muda – bukan semata-mata melibatkan budaya popular tetapi juga satu bentuk Islamisasi, atau sekurang-kurangnya mampu membawa ke arah itu.

Isu Islamisasi di negara ini sudah muncul lama dalam wacana nasional, sekurang-kurangnya sejak tahun-tahun 1980 yang menyaksikan kegiatan aktif kumpulan-kumpulan Islam dengan parti politik pemerintah.

Tetapi berleluasanya imej-imej Islam, walaupun dalam bentuk yang popular dengan pengenalan mudah, menunjukkan satu usaha umat Muslim mencari alternatif sebagai konsumer budaya popular.

Dalam penggunaan produk harian lain, pengguna Muslim giat mencari produk-produk keluaran Muslim untuk kegunaan seharian mereka, dan hal yang sama berlaku dalam budaya popular.

Dari perspektif pengguna, Islam pop memberi pilihan daripada lambakan tidak berkesudahan produk budaya popular yang membawa nilai-nilai yang tidak selari dan bertentangan dengan pengguna Muslim.

Produk budaya popular Islam termasuk Imam Muda dan rancangan drama televisyen menyertai pasaran yang bergerak atas perkiraan ekonomi, menjadikannya satu saingan kepada produk-produk lain.

Dalam industri budaya yang berasaskan kapitalisme, populariti menjadi satu penentu kuasa. Populariti produk-produk Islam pop ini mampu menjadi sesuatu yang membentuk lanskap industri budaya tempatan, walaupun dalam bentuk yang superfisial.

Unsur-unsur wacana yang lebih mendalam juga berpotensi untuk muncul dalam Islam pop, akibat penegasan identiti yang merupakan reaksi kepada arus globalisasi budaya hari ini, walaupun sukar untuk melihat hal ini turut menjadi popular.

Di negara-negara Eropah, sebahagian belia Muslim menjadikan Islam pop salah satu medan ekspresi budaya dan politik yang dilihat tidak bertentangan dengan agama Islam, di tengah-tengah budaya popular yang tidak mesra dengan Islam.

Walau bagaimanapun, Islam pop tidak sewajarnya dilihat sebagai jawapan kepada persoalan tentang penghayatan Islam atau wacana yang sebenar.

Seperti juga bidang lain seperti alam sekitar, ekonomi dan politik, elemen pop berpotensi menjadikan sesuatu subjek itu popular, tetapi sering terhenti pada tahap itu sahaja, seperti yang dilihat dalam pop environmentalism.

Disebabkan populariti menjadi penggerak budaya popular, elemen yang lebih mendalam dan kritikal sukar untuk diterima industri budaya yang lebih selesa dengan apa yang paling mudah diterima ramai atau lowest common denominator, menyedari wacana yang sukar akan meminggirkan pengguna.

Usaha mengautkan keuntungan daripada Islam pop ini juga berupaya untuk menimbulkan salah faham terhadap beberapa hal dalam Islam, hasil terlalu memudahkan sesuatu isu, akibat penghasilan produk yang tidak bermutu.

Kewujudan produk Islam pop seperti Ayat-Ayat Cinta dan Imam Muda juga berlaku menurut formula biasa budaya popular.

Sukar untuk dibayangkan kemunculan rancangan realiti seperti Imam Muda dan Akademi al-Quran muncul tanpa didahului rancangan seperti American Idol dan Akademi Fantasia atau dalam industri budaya yang tidak didominasi kapitalisme.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: