jump to navigation

Mustafa Ali: DEB Untuk Kebaikan Semua! Mei 22, 2005

Posted by ummahonline in Wawancara.
comments closed

Ini merupakan sambungan daripada wawancara Ummahonline.com bersama dengan Datuk Mustafa Ali. Dalam wawancara ini, Ummahonline.com memberi tumpuan untuk melihat pandangan beliau tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB).

DEB merupakan satu dasar yang cuba dimuhasabah oleh banyak pihak ekoran amalan diskrimanasinya. Namun, tokoh PAS dari Terengganu ini masih lagi cenderung untuk mempertahankan pandangan kanan.

Menjelang 2020, keutuhan bangsa Malaysia masih lagi diragui. Apa komen cikgu tentang hal ini?

Evolusi masyarakat dan negara ini lambat laun akan tetap berlaku sekiranya ditangani secara betul dan baik. Jika kita bercakap dari segi nation building (pembinaan bangsa), kita tidak boleh lari dari prinsip-prinsip keadilan. Dari prinsip keadilan itulah kita mungkin akan mendapat kesejahteraan. Manakala yang mengukuhkan antara kita lagi ialah security seperti keamanan, sebab ini penting bagi sebuah negara. Keamanan memang sangat penting bagi sebuah negara.

Peranan sistem demokrasi dalam membantu dalam usaha ini?

Negara demokrasi, pada sayalah, boleh memberi keamanan yang lebih berbanding dengan sistem-sistem yang lain. Ini kerana, sistem selain demokrasi samada feudal dll tidak dapat menjamin – dalam jangka waktu panjang – bahawa kita akan dapat mengembalikan keadilan pada masyarakat. Jadi, kalau keadilan dapat diberikan pada semua kaum, maka saya rasa kita dapat membina sebuah negara-bangsa yang sempurna.

Tetapi, apa masalahnya kini di negara kita?

Masalah yang ada dalam negara kita ialah prinsip keadilan itu sendiri yang tidak mencakupi ruang dan spektrum yang luas. Saya maksudkan keadilan bukan dari sudut ekonomi semata-mata, sebaliknya ini termasuklah keadilan dari sudut kehakiman dan hak kebebasan individu untuk menyatakan pandangan sebagaimana apa yang diungkapkan dalam universal declaration of human right. Kalau ini dapat dipatuhi, kita akan mencapai satu bangsa yang harmonis antara satu sama lain – sesuai dengan suasana masyarakat majmuk dan unik di negara kita ini.

Ertinya, status Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa sudah baik?

Ya, Malaysia sebuah negara-bangsa dalam kemajmukan masyarakat. Cuma, keutuhan bangsa itu belum mampat, belum kompak dari sudut itu. Kadang-kadang timbul masalah, misalnya seperti yang terjadi di Kampung Medan, Petaling Jaya. Konflik sebegini mudah sekali nak terjadi. Ini kesannya dari persepsi yang berdasarkan stereotype dalam masyarakat. Dan, stereotype ini bila kita melihat sama saja di mana-mana pun.

Tetapi, tentunya ada ?dinding tebal? dalam usaha untuk merapatkan jurang hubungan antara kaum? Apatah lagi Malaysia sebuah negara multi-etnik?

Antara kaum itu satu perkaralah, tetapi prinsip keadilan itu lebih penting lagi. Keadilan hari ini lebih berdasarkan kepada kelompok-kelompok. Umno mungkin membela MCA, tetapi dia tidak membela orang yang lawan MCA. Hatta, barangkali peluang orang PAS ini lebih sulit berbanding MCA kalau nak cakap dari segi bangsa. MCA lebih banyak mendapat peluang walaupun dia bukan orang melayu macam Umno. Mereka boleh memperolehi sesuatu kerana sama kelompoknya. Sedangkan PAS yang juga orang Melayu tidak dapat keistimewaan seupama kelompok-kelompok lain yang bersama dengan Umno. Polarization itu berlaku kepada kelompok politik yang seperti itu. Sepatutnya keadilan itu jangan dibatasi oleh kaum dan kelompok politik. Misalnya kelompok politik BN di Terengganu yang sangat ketara sekali polarizationnya.

Malah, barangkali jangan dibatasi juga oleh sempadan agama sekalipun?

Agama mesti berbezalah, kerana kelainan itu tetap wujud. Tetapi tidak boleh ditindas sesuatu kelompok atas dasar berlainan agama. Tidak boleh! Dan kita, kalau orang miskin yang terdiri dari bukan Islam pun, kewajipan kerajaan untuk membantunya. Orang lain yang sudah kaya raya buat apa bantu lagi? Dari sudut nilai hidup, kita kena bantu orang susah walaupun dia Melayu, Cina, India dll. Prinsip keadilan mesti menjadi tonggak kepada pembentukan negara dan tidak harus agama menjadi sempadan.

Dalam soal DEB, bukankah ia satu dasar yang tidak adil di mana keistimewaan hanya diberikan untuk orang melayu sahaja? Mana pergi cita-cita perkongsian negara atau agenda nasional?

[Hmmm] Kita kena lihat sejarah itu sendiri. Seperti sejarah yang sekarang ini yang membahaskan antara pelajar luar bandar dengan bandar. Ok, kita ambil yang ini dulu sebelum kita pergi soal DEB. Pelajar yang tinggal di luar Bandar ini bukannya bodoh, mereka juga cerdik. Di sini yang berbezanya, pelajar bandar mendapat banyak akses seperti tuisyen dll serta ibubapanya juga lebih educated. Berbanding dengan pelajar luar bandar yang serba kekurangan. Ini satu perbezaan yang menyebabkan mereka (pelajar luar Bandar) tidak boleh maju ke hadapan oleh kerana wujud keadaan seperti itu. Apakah pelajar luar bandar tidak boleh di bantu supaya mereka dapat memanfaatkan dan diserlahkan kecerdikan dan kepintarannya? Saya rasa kita perlu di bantu, sebab mereka ada potensi untuk dibantu.

Kaitan ini dalam soal taraf bangsa melayu?

Demikian juga bangsa melayu. Jika dibandingkan dengan bangsa lain, kita terlalu ketinggalan ke belakang. Maka, mesti adalah tindakan-tindakan yang sekarang ini di istilahkan sebagai affirmative action. Saya rasa itu tak jadi masalah agar persaingan itu akan jadi lebih adil. Kalau melayu tidak di bantu langsung, seperti tidak memberikan biasiswa kepada pelajar melayu untuk melanjutkan pelajaran, saya rasa melayu masih lagi tertinggal di belakang sekarang ini. Dan, ini bukannya jadi salah satu dari ketidakharmoninya hubungan antara kaum dan masyarakat. Maka, dasar DEB itu adalah untuk kebaikan semua.

Jadi, cikgu setuju dengan DEB?

Dari segi prinsipnya saya setuju, tetapi dari segi pelaksanaannya masih ada kekurangan-kekurangan yang mesti diperbaiki. Banyak benda yang tidak betul dari segi pelaksanaanya. Sebab, kalau polisi betul sekalipun sebaliknya pelaksanaan salah, maka ia tidak akan sampai pada matlamatnya. Jadi, ini perlu di ambil kira. Walaupun polisi DEB sebahagian besarnya saya boleh terima, tetapi pelaksanaannya jauh daripada apa yang kita harapkan. Di kalangan Umno sendiri, bila bercakap tentang ekuiti melayu dia pun pening kepala sekarang ini, apalagi hal-hal yang lain. Tetapi kalau saya nak bercakap kejayaan utama dalam DEB ialah proses pendidikan. Ini yang membantu sedikit sebanyak orang melayu. Kalau penddikan ini tidak diberikan keutamaan, saya rasa lagi teruk orang melayu.

Baiklah, menyentuh soal ekonomi. Kita maklum sistem ekonomi kapitalisme seperti yang di amalkan oleh negara kita mempunyai beberapa kelemahan. Dari kacamata cikgu, sejauh mana sistem ekonomi Islam dapat menawarkan penyelesaian yang menyeluruh?

Orang yang mengkaji sistem ekonomi ini seperti kapitalisme, sosialisme dan Islam, mereka melihat sebahagian ciri-ciri kapitalis dan sosialisme ada terangkum di dalam Islam, tetapi dia tak sama. Misalnya, Islam membenarkan perrsaingan berlaku. Ini semacam kita bersetuju dengan laissez faire. Rakyat pula di beri kebebasan untuk berkerja apa-apa lapangan pun. Namun di sini ada obligasinya kepada negara sewaktu mereka sudah meraih kekayaan.

Dan, jika di lihat dari sistem sosialisme pula, mereka memaksa orang menjadi hamba kepada negara. Maksudnya, jika kamu berkerja sebanyak ini, kamu dapat sebanyak ini juga. Inikan bercanggah dengan fitrah manusia. Sebab fitrah manusia ini mahu kemajuan diri dapat diperolehi tetapi dengan keterbatasan-keterbatasan yang dibuat dan difikir supaya ada obligasinya kepada masyarakat. Sementara kapitalisme – dalam konteks fully capitalize ? ia tidak ada ruang sama sekali untuk belas kasihan pada masyarakat. Mereka tidak melihat dari sudut penindasan yang wujud ini. Tidak ada belas kasihan!

Islam pula?

Islam membenarkan kebebasan untuk kamu nak berniaga apa-apa pun, tetapi pastinya tidak ada ruang untuk mereka yang pemalas untuk tidak mahu berkerja. Sepatutnya begitulah. Peliknya, dalam dunia kapitalis macam di Britain, orang yang malas pun di beri employment benefit. Itu tak betul! Kalau dia memang tidak boleh berkerja bukan atas sebabnya, itu lain ceritalah. Ini, malas semata-mata malas. Itu akan memuakan mereka. Garis utamanya mestilah berdasarkan keupayaan masing-masing, tetapi dibatasi dengan obligations kepada masyarakat.

Dan, dalam Islam ini ia ditunjangi oleh akidah itu sendiri yang menyebabkan manusia apabila melihat sesorang itu kaya-raya, dia tidak akan timbul perasaan iri hati, sebab kekayaan tersebut diperolehi hasil usaha kerasnya. Dalam hal ini, sosialisme melarang orang menjadi kaya kerana di sifatkan telah menindas orang lain. Dalam Islam kaya tidak semestinya menindas, jika ada pun ia adalah kes yang terpisah dengan sistem. Justeru, sebab itulah hubungan antara orang kaya dengan miskin bukan di dasari atas hubungan permusuhan seperti yang tercermin dalam sistem kapitalis.

Ya, menarik di sini. Dalam sistem ekonomi kapitalis cikgu nyatakan ia didasari atas penindasan. Manakala dalam sistem sosialisme pula, hubungan atas apa?

Manakala dalam sistem sosialisme, hubungan antara miskin dan kaya ialah hubungan pemusuhan. Kapitalis antara jurang kaya dengan miskin berunsur penindasan. Oleh sebab itulah kita selalu menyebut bahawa bukan sahaja ekonomi yang harus kembali kepada asas-asas Islam, malah seluruh cara hidup insan itu balik kepada Islam. Bila kita sebut balik pada Islam, bukan semestinya kita memaksa orang menerima agama Islam itu. Islam itukan tiada paksaan. Sebaliknya persamaan-persamaan yang telah wujud di kalangan agama-agama ini. Dalam soal akhlak misalnya. Tentunya, tidak ada agama yang mendakwa mencuri itu perbuatan yang baik. Tidak ada! Jadi, ini persamaan-persamaan yang boleh kita perluaskan. Maka, bagi saya, sifat yang universal ini sememangnya boleh menjadi asas kepada pembangunan negara, bukan sahaja ekonomi, malah taraf sosio masyarakat kita.

Ini seperti cikgu ingin menyatakan bahawa sistem ekonomi Islam cerminan daripada kombinasi kapitalisme dengan sosialisme? Bukan begitu?

Ya, kalau ambil mudah begitulah. Maksudnya, mengadunkan nilai-nilai yang baik dan tidak menindas serta di tambah dengan ketaqwaan kitalah. Ingat, kalau kita buat apa pun, tentu ada obligationnya.

Bagaimana cikgu menilai tahap mentaliti rakyat kita dewasa ini? Membimbangkan?

Ya, pada saya mentaliti rakyat kita ketinggalan, tetapi saya tidak melihat mentaliti itu lebih teruk dari sesetengah negara lain. Saya rasa kalau tengok rate of literacy di kalangan negara-negara Islam, saya rasa Malaysia agak tinggi. Malah, jika di Afrika, kaum wanita misalnya tidak boleh hendak bersekolah pun. Namun, dari segi mind set melayu ini memang saya sendiri pun kecewa dan tidak puas hati. Mind set melayu ini nak cepat kaya, nak ambil mudah dll. Cara fikir ini bukannya terhad di kalangan orang-orang yang bertahap rendah sahaja, malah mereka yang berpangkat tinggi pun mahu cepat kaya, mahu selesa dan mahu hidup mewah.

Puncanya?

[Terdiam] Mungkin di sini ada beza antara mereka yang tinggal dalam negara sendiri dan tak pernah merantau berbanding dengan manusia yang mendatang dari sebuah negara lain. Melayu di sini ialah orang tempatan, sebaliknya bangsa-bangsa lain merupakan pendatang. Bila pendatang ini, mind set mereka sentiasa berdikari, sentiasa pandang ke hadapan dan ingin maju. Ini berbeza dengan cara fikir orang melayu sebagai penduduk tempatan. Bangsa melayu rasa selesa dan tidak tergugat apa-apa pun.

Lagi satu faktor yang mungkin boleh di ambil kira ialah keadaan iklim kita. Saya rasa iklim tropika ini juga merupakan punca yang menyebabkan mind set orang melayu ini terbentuk. Cuba kita bandingkan dengan negara-negara yang four sessions, saya rasa ada perbezaan pemikiran antara mereka yang mendiami di antara kedua-dua iklim ini.