jump to navigation

Mohammad Alinor Abdul Kadir: Falsafah Cara Terbaik Memahami Ilmu September 13, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir merupakan doktorat dalam matematik topologi dari Wales University.

Meskipun terdedah dengan pendidikan matematik tulen, tampaknya beliau arif dalam melihat sistem pendidikan yang mementingkan kebelakaan. Dalam temubual menerusi mel-e ini, pensyarah sains matematik UKM ini memadatkan hujahnya bagaimana seharusnya sebuah universiti dibangunkan, dan apa yang perlu dimuatkan dalam binaan universiti tersebut. Rumusnya, berfikir dan universiti umpama “aur dan tebing,” yang masing-masing patut bergandingan.

Menurut anda, apakah kegagalan terbesar sistem universiti kita?

Tidak melatih mahasiswa/i untuk memahami pengetahuan, yang mengimplikasikan mustahilnya mahasiswa/i kita untuk mengkritik pengetahuan lalu bagi mencadangkan bentuk pengetahuan yang jauh sama sekali baru.

Ada kehairanan bila kita melihat dalam susunan ranking, lebih-lebih lagi jika kita merujuk kepada sejarah. Mithalnya, Universiti Malaya dulu adalah gabungan dengan National University of Singapore (NUS). Tapi, hari ini kita melihat betapa jauhnya beza piawai antara kedua-dua universiti ini dalam penilaian Times Higher Education Supplement (THES). NUS berada pada tangga 33, berbanding dengan Universiti Malaya pada tangga 246. Sebenarnya, di manakah silapnya?

Itu adalah bersebabkan kurangnya atau tiadanya penumpuan diberikan kepada isu-isu yang besar seperti yang saya jawab untuk soalan pertama, dan hanyalah memberikan penumpuan kepada prasarana seperti komputer, bangunan, kerusi-meja dll. Sedangkan yang memajukan universiti adalah produk yang terhasil daripada warganya yang berfikir.

Universiti-universiti Malaysia tampaknya ghairah mengejar tanda aras THES yang lebih baik. Mithalnya, UKM sendiri—menerusi pengejaran universiti APEX—menyasarkan untuk mencapai kedudukan 20 terbaik dunia pada tahun 2018. Tapi, apakah penggunaan THES itu kaedah terbaik dalam menyukat tanda aras universiti dunia? Dan bukankah THES itu merupakan kaedah sukatan yang paling diterima umum di seluruh dunia?

Sebenarnya tidak kisahlah THES atau apa-apa sahaja sukatan tempatan atau antarabangsa. Yang pastinya sukatan tersebut mestilah mengukur universiti menggunakan pembolehubah-pembolehubah universiti. Bukan mengukur universiti menggunakan pembolehubah kilang atau indistri lainnya. Kalau ambil mana-mana sukatan yang sebenarnya mengukur tahap pencapaian universiti sebegitu, saya pasti semua orang yang berfikiran menerimanya dengan baik

Kalau kita melihat senarai THES tahun 2007, barangkali hanya Universidad Nacional Autónoma de México dan University of Cape Town dari universiti negara dunia ketiga yang digolongkan dalam senarai 200 universiti terbaik di dunia. Itupun di tangga 192 dan tangga 200. Apakah ini boleh menunjukkan ada hubungan antara kebebasan intelektual dengan mutu universiti. Sebab, lumrahnya, universiti Negara dunia ketiga seperti Malaysia tentunya tidak memiliki kebebasan sepenuhnya sepertimana yang dinikmati oleh universiti di negara dunia pertama atau sebahagiannya di negara dunia kedua. Apakah kebebasan akademik berhubungan langsung dengan mutu sesebuah universiti? Dan bagaimana hal ini dapat dijelaskan?

Saya pernah berkunjung ke Mexico pada tahun 2005. Saya percaya bahawa Universidad Nacional Autonama de Mexico memang tergolong dalam 200 terbaik. Saya katakan begini sebab kedai-kedai buku di bandar biasa yang saya kunjungi di sana menjual buku-buku yang mustahil dijual di kedai-kedai sama di Malaysia. Buku-buku akademik bidang falsafah yang banyak katakan, dan mendapat tempat di hati pembeli pula. Jurnal-jurnal akademik juga banyak yang dijual. Kedai-kedai buku universiti di sana pastinya menjual buku-buku yang jauh lebih tinggi tahapnya. Saya percaya itu jugalah keadaannya kepada University of Cape Town dan masyarakat sekitarnya.

Bagaimana anda melihat suasana universiti Malaysia sekarang? Sebab, apa yang kita lihat dewasa ini, universiti-universiti di Malaysia giat memberi tumpuan dalam mengejar indeks yang berdampak besar (KPI). Ini termasuklah para pensyarah dan pelajar dikerah untuk memuatkan jurnal, atau kertas-kertas akademik dalam jurnal yang berindeks, yang sekurang-kurangnya bertaraf Scopus umpamanya. Manakala kegiatan terjemahan pula tidak termuat dalam senarai KPI. Mungkinkah pengejaran KPI ini adalah langkah terbaik untuk universiti Malaysia berada setanding dengan universiti-universiti di negara dunia pertama, kalaupun tidak mengatasi mereka?

Tidak mungkin mampu mengatasi pencapaian universiti-universiti terbaik dunia, malah menyamainya sahajapun tidak mungkin. Andaian dasarnya adalah masyarakat universiti kita di Malaysia tidak berfikir tentang pengetahuan, dan juga tidak menyuburkan budaya berfikir di kalangan masyarakatnya. Kita sebenarnya memahami indeks tersebut secara terbalik. Kefahaman sebenarnya adalah indeks tersebut diwujudkan untuk mengukur pencapaian universiti-universiti yang bersaing menjadi terbaik di kalangan yang baik. Kita menganggap sebaliknya, iaitu indeks diwujudkan untuk kita mencapainya atau menjadikan kita baik. Kita sebenarnya tidak layak pun untuk masuk indeks tersebut, sebab kita bukannya kalangan yang baik, jauh lagi menjadi terbaik.

Di Malaysia terdapat 4 buah universiti yang digolongkan sebagai universiti penyeldikan: UM, UPM, UKM, dan USM. Pemilihan universiti ini dikatakan berdasarkan jumlah jurnal penyelidikan mereka yang melebihi berbanding dengan universiti-universiti yang lain. Dengan status universiti penyelidikan, 4 universiti ini akan menerima lambakan peruntukan bagi membiayai penyelidikan masing-masing, terutamanya dalam bidang sains dan kejuruteraan. Walau bagaimanapun, timbul persoalan, sejauh manakah kegiatan penyelidikan kita mempunyai fokus serta haluan yang betul? Dan, apakah yang sebenarnya dinamakan dengan penyelidikan bertaraf dunia?

Dalam penyelidikan, penumpuan sebenarnya patut diberikan kepada tiga aspek utama, iaitu; penghasilan ilmu, penghasilan sistem dan penghasilan teknologi. Kita tidak langsung melakukan ketiga-tiganya. Cumalah sedikit-sedikit bertatih untuk menggunakan teknologi baru yang dibeli terhadap bahan-bahan ujikaji tempatan. Teknologi-teknologi yang menyokong industri nuklear katakan, ataupun bioteknologi, ataupun teknologi nano, dll. Kita langsung tidak pernah menghasilkan sistem, contohnya sistem pendidikan yang baru, ataupun sistem komputer yang baru, atau sistem masyarakat yang baru, dll. Dan jauh benar lagilah untuk menghasilkan ilmu atau pengetahuan yang baru. Bagaimana mungkin boleh, sebab kita tidak pernah mencabar ilmu yang sedia ada kita pelajari atau kuliahkan.

Apakah jurnal yang berbahasa Inggeris melambangkan mutu kepada sesuatu jurnal? Sampaikan apa yang kita lihat dewasa ini, penerbitan jurnal-jurnal berbahasa Melayu memang jatuh merudum. Mungkin hanya tinggal jurnal Sains Malaysiana yang maseh lagi menghargai penerbitan jurnal berbahasa Melayu.

Tidak langsung sebab penghasilan ilmu/sistem/teknologi yang baru, yang sepatutnya dibincang dalam jurnal, mestilah datang daripada kefahaman yang jitu, kritikan yang bernas, dan sudut pandang yang baru tentang sesuatu ilmu/sistem/teknologi. Itu hanyalah boleh dicapai jika kita berkarya dalam bahasa sendiri. Itu sebab haruslah dipertahankan berkarya tentang sesuatu hal yang tinggi-tinggi dalam bahasa sendiri.

Di samping itu, apakah benar dasar menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya di semua peringkat universiti—sarjana muda, sarjana, dan kedoktoran—dapat membantu meningkatkan tanda aras antarabangsa universiti kita? Sebab, dengan dasar ini, universiti kita dikatakan akan menjadi lebih mesra terhadap pelajar-pelajar antarabangsa. Tidak begitu? Apakah ada sesuatu yang kita hilang dari pelaksanaan ini?

Kenapakah universiti-universiti di UK tidak mesra kepada pelajar-pelajar Arab, Iran, Turki dan Malaysia/Indonesia dengan mengajar dalam bahasa Arab, Parsi, Turki dan Melayu? Penggunaan bahasa Inggeris hanyalah berupaya memperbaiki satu pembolehubah dalam indeks berkenaan, iaitu indeks pelajar-pelajar luar negara. Indeks-indeks lain masihlah seperti biasa. Indeks penghasilan ilmu/sistem/teknologi baru masihlah tidak boleh ditambah. Pengalaman saya mengajar Matematik Tulen dan Falsafah Matematik kepada beberapa pelajar Arab/Iran menunjukkan bahawa beberapa banyak pelajar merasakan tertipu kerana kuliah-kuliah peringkat master/sarjana yang disampaikan adalah ulangan bagi mereka kerana telah mengambilnya pada tahap BSc/Sarjanamuda. Ini menunjukkan sistem kita rendah berbanding sistem negara-negara asal pelajar-pelajar antarabangsa kita. Sedangkan kehendak pelajar-pelajar ini tidak boleh kita penuhi.

Kalau kita menyemak silibus pendidikan universiti di barat, mereka lazimnya memuatkan pengajian falsafah sekaligus dengan pengajian teknikal. Lihat saja di Massachusetts Institute of Technology (MIT), yang mana seorang pelajar boleh menamatkan sarjana muda matematik dan falsafah secara sekaligus. Matematik yang objektif, dan falsafah yang subjektif tampaknya tidak berseberangan. Jelas sekali, pendidikan mereka sangat mementingkan kebelakaan (holistic). Sayangnya, hal ini tidak berlaku, ataupun langsung tidak wujud di dalam sistem pendidikan universiti kita. Apakah pengajian falsafah begitu penting, lebih-lebih lagi dalam displin teknikal? Dan jika memang penting, di manakah hubungan antara teknikal dengan falsafah itu?

Saya sentiasa percaya bahawa kita tidak boleh menghasilkan sesuatu ilmu yang baru jika kita bergelumang dengan ilmu itu. Bagi menghasilkan sesuatu yang baru, kita mesti melihat sesuatu yang lama dalam segala genap. Pokoknya memahami benar kekuatan dan kelemahan sesuatu itu. Ini hanyalah boleh dilakukan kalau kita mempelajari ilmu yang mampu melakukannya dengan baik, iaitu selalunya falsafah. Falsafah selalunya digunakan untuk membahas dengan kritis apakah yang baik dan buruk dalam segenap hal tentang sesuatu ilmu. Kemudiannya falsafah menunjukkan cara bagaimana untuk menghasilkan andaian-andaian yang baru tentang sesuatu perkara, yang mampu memperbaiki ilmu yang sedia ada ataupun menghasilkan sesuatu ilmu yang baru.

Tapi jika kita perhatikan dalam sistem pendidikan universiti di Malaysia, bukan sahaja falsafah terpinggir dari displin teknikal ataupun sains tulen, bahkan pengajian sains kemanusiaan sendiri turut mengesampingkan falsafah. Pengalaman pendidikan universiti kita tidak pernah sampai ke tahap menawarkan pengajian sarjana muda (falsafah). Manakala kursus yang kita tawarkan tidak diselitkan dengan subjek falsafah bidang tersebut. Mereka yang belajar fizik kuantum mithalnya, hanya belajar persamaan gelombang Schrödinger semata tapi tidak pernah memikirkan kenapa berlakunya keruntuhan gelombang. Malah, kalau bukan kerana pembacaan luaran, tidak mungkin akan ada pelajar kita yang didedahkan dengan teks-teks klasik Greek, ataupun teks-teks klasik Islam, ataupun juga tulisan-tulisan falsafah yang dituliskan oleh saintis barat. Sebenarnya, sejauh mana pincangnya sistem pendidikan jika kita tidak melampirkan pengajian falsafah di dalamnya?

Pendidikan yang kita amalkan di universiti-universiti Malaysia tidak akan mampu menghasilkan kritik terhadap ilmu yang ada, apalagi menghasilkan suatu bentuk ilmu yang baru. Sebab falsafah yang berguna untuk melakukannya tidak wujud dalam sistem pendidikan kita.

Akhir sekali, menurut anda, sepatutnya bagaimana cara untuk kita membangun universiti yang terbaik sesuai dengan hambatan globalisasi dewasa ini?

Kita mesti membentuk sistem pendidikan universiti dalam semua bidang, atau bidang-bidang yang disepadukan, yang mampu memberikan kefahaman yang jitu tentang sesuatu ilmu yang dipelajari, seterusnya mampu memberikan kritik terhadap kelemahan-kelemahan ilmu ini, dan kemudiannya boleh mencadangkan bentuk-bentuk ilmu yang baru terubahsuai atau baru langsung.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan komen