jump to navigation

Negara Melampaui Agama Oktober 21, 2008

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Masa pemerintahan Mughal, tahun 1500-1600-an, dianggap sebagai zaman keemasan India. Anak Benua India berhasil dipersatukan secara politik sebagai sebuah bangsa, dan dikembangkan secara budaya sebagai masyarakat yang pelbagai agama dan pelbagai budaya.

Pada zaman Mughal, untuk pertama kali India menjadi sebuah pemerintahan yang disentralisasikan. Pemerintah berhasil membangun India dalam suasana perdamaian, ketertiban, dan kestabilan. Kestabilan politik dan kemakmuran melahirkan kehidupan budaya yang menakjubkan. Ilmu, filsafat, dan berbagai kesenian mencapai kemajuan pesat. Dalam seni rupa dan senibina, Kekaisaran Mughal melahirkan mazhab unik–Mazhab Mughal. Di sini, gaya Persia-Islam dan gaya India-Hindu berpadu dalam sintesis yang indah. Salah satu jejak budaya Mughal yang kecantikannya bertahan ratusan tahun adalah Taj Mahal.

Kebesaran Kekaisaran Mughal tidak dinisbahkan kepada pendirinya Babur, keturunan Timurlane, tetapi kepada Akbar, yang memerintah pada tahun 1542-1605. Sejarah mencatat, Akbar sebagai raja Muslim yang berhasil memerintah sebuah anak benua yang majoriti beragama Hindu. Ketika ia meninggal, semua pemeluk agama menangisinya. Ia dikenang sebagai sulthân-i ‘âdil, Raja Yang Adil.

Abul Fadhl menggambarkan pada kita pemerintahan Akbar serta ideologi yang mendasarinya dalam tiga jilid ‘Ain-i Akbari dan tiga jilid Akbarnamâ. Akbar ternyata seorang raja sufi yang menghabiskan malam dalam bermunajat kepada Tuhan. Ia mempraktikkan zikir seperti Yâ Hu dan Yâ Hâdî sepanjang malam. Ia sering berkhalwat, mengasingkan dirinya dari urusan duniawi, untuk beberapa waktu. Kadang ia pergi ke hutan dengan alasan berburu. Abul Fadhl menggambarkannya, “Ia terus-menerus berburu, tapi secara batiniah berjalan bersama Tuhan.”

Pada tahun 1575, Akbar mendirikan ‘Ibadat-khana, rumah ibadah. Di situ semua agama melakukan dialog antara-agama dan intra-agama. Semua aliran bebas mengeluarkan pendapatnya. Akbar menghidupkan airan tidak-sektarianisme dan memusatkan semua agama pada keadilan akal. Tak mungkin terjadi dialog antara-agama bila setiap agama membuktikan kebenarannya dengan merujuk kitab sucinya. Akbar percaya, dalam dialog yang terbuka tanpa campur-tangan kekuasaan, kebenaran akan lahir. Empat tahun kemudian, Akbar meminta Syaikh Mubarak, seorang yang dikenal sangat alim dan shalih, merancang “Halatuju Negara”. Di balik konsep ini terdapat padangan tentang Raja Yang Adil. Keadilan adalah esensi ajaran agama. Keadilan juga sifat Tuhan.

Untuk memerintah dengan adil, raja harus menjadikan akal sebagai pembimbingnya. Ia tak boleh membeza-bezakan rakyatnya berdasarkan agama atau keyakinannya. Bila seorang raja sudah mengistimewakan satu golongan—berdasarkan agama, ras, atau aliran—serta meremehkan golongan lain, ia telah bertindak tidak adil. Yang harus menjadi perhatian raja bukanlah golongan, tapi kepentingan seluruh bangsa. Untuk itu, ia boleh berijtihad. Selama tidak bertentangan dengan Al-Quran, ia dapat saja menetapkan keputusan-keputusan legal yang bermanfaat bagi rakyat. Raja Yang Adil tak boleh terikat pada satu mazhab fikih. “Manusia sejati ialah orang yang menjadikan keadilan sebagai petunjuk pencarian kebenaran, dan mengambil dari semua aliran apa saja yang sesuai dengan akal,” begitu bunyi dekri yang disahkan Akbar. Tujuan pemerintahan adala menyejahterakan rakyat, terutama rakyat kecil. Lepada Todar Mal, Menteri Kewangannya, Akbar menegaskan bahawa ibadah yang paling utama adalah menolong orang lemah.

Pembaharuan Akbar bukan tak mendapat kritik. Para ulama fikih menentang dekri Akbar. Berbagai tuduhan dilemparkan kepadanya: Shiah, murtad, Hindu, pendiri agama baru. Ia dituding Shiah kerana mempunyai guru dari Persia, Mir Abdullathif, seorang yang sangat terbuka. Menurut Abul Fadhl, Abdullathif disebut Shiah di India dan disebut Sunni di Persia, kerana keluasan pandangan dan sikapnya yang tidak fanatik. Ia dituduh murtad kerana berpegang pada paham wahdah al-wujûd. Ia dianggap Hindu kerana memperkerjakan orang-orang Hindu pada posisi-posisi penting dalam pemerintahan. Ia dipandang mendirikan agama baru kerana menegaskan bahawa untuk memperoleh kebenaran kita harus bersedia mendengar dan belajar dari semua agama. Ia memang mendirikan sebuah tarekat, yang disebut tauhîd-i ilâhî. Ia juga mengkritik agama yang formalitas dan berdasarkan pada taklid. Ia menyebutnya Islâm-i majazî wa taqlidî.

Ada yang menduga, Akbar memasuki tarekat kerana pengaruh aliran tarekat Chisytiyyah, yang didirikan Mu’inuddin Chisyti dari Sistan, Iran Timur. Tarekat Chisytiyyah mengajarkan, kita hanya dapat mendekati Tuhan dengan berkhidmat tanpa pamrih kepada makhluk Tuhan, apa pun agamanya. Seorang pengikut Chisytiyyah memulai perjalanannya menuju Tuhan dengan melayani keperluan orang miskin. Mu’inuddin sendiri mendapat gelaran Pembela Orang Miskin. Kuburannya di Azmer diziarahi oleh ribuan orang Islam dan Hindu.

Boleh jadi, Akbar terpengaruh ajaran Chisytiyyah yang menyatakan bahawa akhlak yang membuat Tuhan sayang kepada kita ada tiga: kedermawanan, seperti sungai yang mengalirkan airnya ke mana pun tempat yang lebih rendah darinya; kasih sayang matahari yang memberikan sinarnya kepada semua yang di bawahnya, besar atau kecil; dan keramahan, seperti bumi yang bersedia menerima intan dan sampah ke dalam pelukannya. Akbar berusaha mewujudkan doktrin ini dalam pemerintahannya. Yang didirikannya bukan negara agama, tetapi negara supra-agama.

Komen-komen»

1. enoz - Februari 4, 2010

sungguh akhbar yang sangat bernilai. terima kasih


Tinggalkan komen