jump to navigation

Memahami Kezaliman ISA (14) Mac 29, 2007

Posted by ummahonline in ISA.
trackback

Oleh: Saari Sungib

Kolum ini memuatkan himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini menerusi abuurwah@gmail.com.

DITAHAN SELAMA 60 HARI UNTUK SOAL-SIASAT POLIS

Tiba ke Lokasi Penahanan 60 Hari Pertama Anda

Sebaik anda tiba ke PRC atau lokasi-lokasi lain, anda akan melalui satu lagi urusan pentadbiran seperti mengisi borang, diambil cap jari dan diarah membuka pakaian anda.

Saya syorkan anda memprotes arahan ini di atas sebab-sebab kepercayaan agama.

Anda sebenarnya tidak perlu mematuhi sesuatu arahan yang anda yakini melanggar ajaran agama anda.

Hj. Saari Sungib atau lebih dikenali sebagai “Abu Urwah” adalah presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang pertama, iaitu dari tahun 1990 sehingga 1999. Beliau pernah ditahan di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewaktu era reformasi. Kini beliau terlibat aktif dalam aktivisme politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS), di samping giat memberi kesedaran kepada khalayak tentang kezaliman dari ISA. Beliau dapat dihubungi menerusi abuurwah@gmail.com.

Selain itu, mempertahankan kehormatan anda dengan tidak sewenang-wenangnya diarah berbogel di hadapan orang lain adalah hak asasi anda yang tidak boleh dicabuli oleh sesiapa.Pendirian anda untuk ‘berdegil’ dan tidak mudah mematuhi arahan polis pada tahap ini akan banyak membantu kehidupan anda yang mungkin terpaksa melalui sepenuhnya 60 hari di bawah penahanan polis.

Selepas semua urusan pentadbiran anda selesai anda akan diberikan segala kelengkapan di tempat baru anda.

Biasanya anda tidak akan diberikan selipar dan tilam serta bantal. Selipar, tilam dan bantal adalah ‘aset berharga’ pegawai-pegawai penyiasat untuk dijadikan collateral atau sandaran untuk menagih anda memberi kerjasama sepanjang sesi soal-siasat.

Maksudnya, lebih cepat anda ‘memberi kerjasama’, maka lebih cepat anda mendapat selipar, tilam, bantal, ubat nyamuk, cadar, sarung bantal dan seumpamanya. Tidak memberi anda selipar juga bertujuan untuk mematahkan semangat anda yang keluar masuk dan berada dalam bilik air dan tandas yang kotor dengan tanpa memakai alas kaki.

Rumah Baru Anda yang Hapak, Hancing, Berdebu dan Bersawang serta Dipenuhi Nyamuk

Apabila anda diberikan sel tempat tinggal anda, apa yang pasti sel itu pasti kotor, bersawang, berbau hapak atau hancing dan berdebu.

Tiada siapa yang akan membersihkan tempat tersebut selain daripada anda sendiri.

Berfikiran positiflah dan paling utama, jika anda seorang muslim dan penganut agama yang mengamalkan ibadat-ibadat tertentu, pastikan sel tersebut mesti bersih sebersih-bersihnya dan suci bagi membolehkan anda mengerjakan solat waktu dan solat-solat sunat atau ibadat-ibadat agama anda.

Sebagai mukmin yang beriman, yakinlah walaupun mereka berniat untuk mematahkan semangat anda dengan mencampakkan anda ke tempat yang kotor dan busuk itu, tetapi apa yang berlaku sepanjang anda di tempat tersebut menjadi saluran anda meningkatkan keyakinan anda terhadap agama.

Biasanya, sekiranya anda tiba ke PRC atau mana-mana lokasi lain untuk soal-siasat 60 hari pertama pada petang atau sebelah malam.

Sesi soal-siasat anda tidak akan bermula sehingga keesokan harinya.

Oleh itu, manfaatkan malam pertama anda di sel anda dengan solat malam, zikir dan tilawah Al-Quran daripada mana-mana ayat dan surah yang anda hafaz.

Elakkan daripada tidur sehinggalah anda benar-benar letih dan mengantuk. Ini untuk mengelakkan anda terbangun pada satu waktu di tengah malam yang anda tidak tahu pukul berapa yang akan membuatkan anda melengung dan merenung siling sel anda.

Pastikan anda ada tanda-tanda panduan waktu. Ini kerana beberapa hari atau minggu pertama, pengawal-pengawal yang menjaga anda telah diarahkan agar tidak menjawab sekiranya anda bertanyakan tentang waktu kepada mereka.

Kalau anda berada di PRC, anda dapat mendengar seruan azan bagi solat-solat maghrib, isya’ dan subuh. Seruan azan amat berguna sebagai panduan bagi waktu anda dalam sel yang sunyi sepi itu.

Bermulanya Sesi Soal-Siasat yang Menggerunkan

Bila sesi soal-siasat bermula, jika itulah kali pertama anda disoal-siasat di bawah ISA, pasti ia merupakan satu trauma atau kejutan kepada diri anda.

Berbagai-bagai teknik digunakan dan pelbagai kombinasi pasukan-pasukan pegawai-pegawai penyiasat digunakan untuk mematahkan semangat anda.

Teknik-teknik menggertak, mengancam, menakut-nakutkan, memujuk, merayu, mahu menolong dan menyelamatkan anda, memuji-muji anda dan macam-macam lagi digunakan.

Jika usaha menggunakan teknik kombinasi beberapa pasukan pegawai-pegawai penyiasat terhadap anda, pertama sekali anda akan berhadapan dengan pasukan pegawai-pegawai penyiasat yang bengis, menengking-nengking dan menghentak-hentak meja sepanjang soal-siasat.

Selepas itu anda akan bertemu satu pasukan lain yang berlembut dengan anda, menyatakan tidak setuju dengan rakan-rakannya yang bengis, tak setuju buat kerja-kerja aniaya orang dan merayu agar anda bekerjasama dengan pasukannya agar anda tidak lagi perlu berhadapan dengan pasukan pegawai-pegawai penyiasat yang bengis lagi bengkeng itu!

Kalau anda dianggap penting oleh mereka, Pengarah SB dan pegawai kanan SB sendiri akan menemui dan berkhutbah berjela-jela kepada anda.

Berhadapan dengan pasukan yang diketuai oleh bos SB ini, pasti bertubi-tubi anda kena lanyak dengan bermacam-macam tuduhan agar anda benar-benar rasa bahawa anda telah melakukan satu kesalahan besar terhadap negara, bangsa dan agama anda!

Selepas itu anda akan berhadapan dengan satu pasukan pegawai-pegawai penyiasat yang gedebe yang berkelakuan seperti samseng untuk tujuan menakut-nakutkan anda.

Pasukan ini akan mengulang-ulang apa yang telah dikatakan sebelum ini oleh Ketua Pengarah SB. Pasukan gedebe ini akan menengking-nengking anda, menghina anda dan memperbodohkan anda tentang apa yang telah anda lakukan.

Selepas itu anda bertemu sekali lagi pasukan pegawai-pegawai penyiasat yang bersimpati kepada anda dan berulang kali menyatakan bahawa mereka tidak setuju dengan pendekatan pasukan gedebe tadi! Demikianlah lakonan mereka untuk mematahkan semangat anda.

Sepanjang sesi soal-siasat dengan mana-mana pasukan sekalipun, apa yang pasti mereka akan mengatakan bahawa anda perlu berlaku jujur memberitahu anda apa yang mereka soal.

Anda diminta tidak berbohong kerana mereka ada semua maklumat tentang anda dan mereka sudah tahu segala-galanya. Apa yang mereka mahu hanyalah agar anda berlaku jujur menceritakan segala-galanya kepada mereka.

Selain itu jika teknik pelbagai pasukan digunakan terhadap anda, setelah anda menjawab soalan satu pasukan pegawai-pegawai penyiasat, esoknya pasukan pegawai-pegawai penyiasat yang lain akan menuduh bahawa anda telah tidak bekerjasama sepenuhnya, anda menyembunyikan banyak lagi maklumat, anda telah memutar-belitkan cerita dan bahkan menuduh anda sengaja mahu mengelirukan pasukan pegawai-pegawai penyiasat tersebut.

Oleh itu anda diminta sekali lagi mengulang kepada pasukan pegawai-pegawai penyiasat ini apa yang telah anda jelaskan kepada pasukan pegawai-pegawai penyiasat pada hari semalamnya.

Kadang-kadang tanpa menuduh anda tidak berlaku jujur, satu pasukan pegawai-pegawai penyiasat akan menyoal anda perkara-perkara yang telah disoal oleh pasukan pegawai-pegawai penyiasat sebelumnya.

Jika anda memprotes menyatakan anda telah menjawab soalan-soalan tersebut, mereka hanya menyatakan kepada anda : “tak apalah, you ulanglah sekali lagi”. Tujuannya adalah agar anda bosan, penat, letih dan patah semangat.

Untuk mengelakkan anda patah semangat, mintalah pen dan kertas untuk anda menjawab soalan-soalan itu sekali lagi.

Ataupun sekurang-kurangnya gunakanlah kertas tersebut untuk menconteng gambar-gambar kartun untuk anda serahkan kepada pegawai-pegawai penyiasat!! Kalau mereka memarahi anda katakan sahaja kepada mereka: “apa boleh buat.. saya dah boring ni!”

Kalau anda kena tahan buat kali kedua, sandiwara soal-siasat dengan menggunakan beberapa jenis pasukan pegawai-pegawai penyiasat seperti ini tidak akan berkesan lagi.

Oleh itu, buat kali kedua sekiranya anda ditahan di bawah ISA, mereka akan hanya menggunakan satu pasukan dengan rata-rata teknik yang sama, iaitu tegas pada satu dua hari pertama dan cuba berbaik-baik dan memenangi hati anda pada hari-hari berikutnya.

Didesak Agar Mengaku Suatu yang Anda Tidak Lakukan

Sepanjang soal-siasat 60 hari di bawah penahanan SB ini juga anda mungkin terdedah dengan teknik-teknik soal-siasat yang mengugut anda untuk mengaku perkara yang tidak anda lakukan.

Pegawai-pegawai penyiasat mengugut akan menyerahkan anda kepada CID, iaitu Jabatan Penyiasat Jenayah, di mana pegawai-pegawai penyiasat menggunakan teknik penyeksaan dan penderaan untuk membuat anda mengaku.

Dengan teknik ugut seperti ini juga, jika anda tidak bernasib baik dan tidak berdaya melawan mereka akan memerintahkan agar anda membuka pakaian dan berbogel di bilik soal-siasat.

Soal-siasat di bawah kuasa polis tidak ikut sebarang jadual dan tajuk-tajuk yang dibincangkan selama 60 hari adalah “anything under the sun”, atau segala-gala apa yang ada di bawah langit biru ini!

Semua Benda Dijadikan Collateral

Selain daripada selipar, bantal dan tilam dijadikan collateral oleh pegawai-pegawai penyiasat agar anda ‘memberi kerjasama’ kepada mereka pada peringkat awal soal-siasat, pada peringkat kemudiannya satu lagi collateral yang diasak kepada anda adalah lawatan keluarga anda.

Pegawai-pegawai penyiasat akan memberitahu lagi cepat ‘kerja selesai’, iaitu penyiasatan dan maklumat yang mereka kehendaki maka lagi cepat anda akan dibenarkan bertemu dengan keluarga anda.

Sepanjang tempoh menjadikan lawatan keluarga anda sebagai collateral itu, pegawai-pegawai penyiasat akan membebel-bebel menyatakan bermacam-macam cerita tentang isteri, anak-anak dan keluarga anda.

Mereka akan memberitahu bahawa anda di dalam mana anda tahu apa dah jadi kepada isteri dan keluarga anda yang berada di luar. Mereka akan memberitahu bahawa isteri anda kini telah diperalatkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan.

Tetapkan Pendirian Anda di Atas Prinsip-prinsip Kebenaran

Sekiranya anda seorang suami yang bertanggungjawab dan yakin telah mendidik isteri dan anak-anak serta membangunkan keluarga anda di atas dasar-dasar keluarga bahagia yang teguh, persetankan saja bebelan mereka itu. Jangan layan sedikit pun fitnah mereka terhadap isteri dan keluarga anda.

Sebahagian pegawai-pegawai penyiasat memang merasa kelazatan dan kenikmatan hidup ini dengan menghambur fitnah terhadap keluarga muslim yang beriltizam dengan Islam dan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan.

Pada masa yang sama, sekiranya anda teguh keimanan kepada Allah dan yakin anda berada di atas jalan yang benar, yakinlah bahawa Allah akan menjaga isteri, anak-anak dan keluarga anda.

Serahkan mereka kepada Allah. Jangan jadikan tawaran pegawai-pegawai penyiasat untuk membenarkan anda bertemu keluarga anda sebagai satu pintu ke arah melemahkan semangat anda dan menjadikan anda mengalah.

Tanamkan tekad dalam hati anda, kalau ada lawatan keluarga, alhamdulillah baik, kalau tak ada pun tak apa. Namun sekiranya anda dapat peluang untuk bertemu keluarga anda tanpa perlu anda menggadaikan apa-apa, patah semangat atau mengalah, maka rebutlah peluang itu.

Pentingnya Bertemu Keluarga Anda

Pertemuan dengan keluarga membuka diri anda kepada dunia luar dan memberi peluang kepada isteri dan keluarga anda melihat keadaan semasa anda di segi fizikal, mental dan emosional.

Apa yang disaksikan oleh isteri dan anak-anak amat penting agar dapat disalurkan kepada dunia luar, khasnya berkenaan dengan hal-ehwal writ habeas corpus yang dikemukakan oleh peguam-peguam anda ke mahkamah.

Anda Ditegah daripada Membuat Permohonan Habeas Corpus

Itu sebabnya, secara pasti semua tahanan ISA,anda tidak terkecuali, akan diberitahu oleh pegawai-pegawai penyiasat agar jangan buang masa buat permohonan habeas corpus. Kata mereka hasil tak ke mana, duit melayang ke lawyer!

Jangan hiraukan kata-kata mereka itu. Manfaatkan pertemuan anda dengan keluarga untuk mengesahkan kepada isteri dan keluarga anda bahawa anda mahu permohonan habeas corpus diteruskan.

Memberitahu perkara ini tidaklah mudah memandangkan semasa lawatan keluarga ini beberapa SB ditugaskan mendengar dan mencatat perbualan anda sekeluarga.

Lagipun, secara psikologinya anda tahu selepas tamat lawatan keluarga anda akan balik ke tempat tahanan dan bertemu lagi dengan pegawai-pegawai penyiasat.

Oleh itu sudah pasti anda tidak mahu butiran-butiran yang berlaku dalam lawatan keluarga tadi menjadi bebanan terhadap diri anda tatkala pegawai-pegawai penyiasat mengasak anda dengan pelbagai soalan yang membebankan ekoran daripada apa yang telah anda katakan kepada isteri dan keluarga semasa lawatan keluarga.

Oleh itu sebaik-baiknya, jika anda seorang aktivis dan pejuang yang jelas terhadap perjuangan anda ‘wasiatkanlah’ awal-awal lagi kepada isteri dan keluarga anda jika anda ditahan di bawah ISA, mereka mesti membuat permohonan habeas corpus ke mahkamah pada kadar yang segera.

Laporkan Perkara Sebenar kepada Doktor yang Memeriksa Anda

Satu lagi saluran anda ke dunia luar adalah rawatan doktor. Sepatutnya anda akan bertemu doktor setiap minggu atau dua minggu sekali.

Doktor adalah orang luar, pihak ketiga. Mereka bukan sebahagian daripada sistem dan rangkaian SB dan Bukit Aman.

Jika anda sakit katakan anda sakit. Kalau makanan tak berkhasiat katakan demikian kepada doktor. Apa-apa ubat anda perlu minta saja.

Anda boleh cuba minta daripada doktor yang anda mahu vitamin atau ubatan khas daripada keluarga anda sendiri.

Kalau nasib anda baik, doktor akan buat arahan untuk SB memenuhi permintaan anda.

Jika anda benar-benar merasakan bahawa anda perlu rawatan di hospital, nyatakan setegas-tegasnya kepada doktor agar anda dibawa keluar ke hospital.

Sebahagian besar doktor adalah insan profesional yang akan membuat keputusan mereka di atas dasar profesionalisme bebas daripada tekanan dan desakan SB.

Jika anda bernasib baik, anda akan berhadapan dengan insan profesional semasa berada dalam tahanan 60 hari di bawah tahanan polis.

Rebutlah peluang ini. Untung-untung anda dibawa ke hospital. Mana tahu rezeki anda, anda bertemu dengan doktor-doktor, jururawat-jururawat, petugas-petugas hospital yang mengenali anda atau keluarga anda.

Insya’ Allah pertemuan seumpama ini boleh menyuntik sedikit kekuatan kepada diri anda yang sudah berhari-hari dikurung dan dianiaya oleh pegawai-pegawai penyiasat.

Collateral Terbesar

Sepanjang pengalaman anda melalui proses soal-siasat anda akan menyedari bahawa sebesar-besar collateral agar anda ‘bekerjasama’ adalah tentang tahanan ke Kem Kamunting selama dua tahun.

Mereka akan mengulang-ulang mengatakan kepada anda bahawa mereka tidak ada apa-apa kuasa. Tugas mereka hanya membuat penyiasatan dan menyediakan ‘statement’ tentang penyiasatan ke atas anda.

Mereka tidak boleh tolong apa-apa. Itu semua kuasa Menteri Dalam Negeri. Kata mereka apa yang boleh menyelamatkan anda daripada dihantar ke Kem Kamunting untuk ditahan selama dua tahun adalah diri anda sendiri.

Oleh itu, menurut mereka jika anda memberi kerjasama secukupnya, anda tidak akan dihantar ke Kem Kamunting.

Semua tahanan, saya dan anda tidak terkecuali, sudah pasti tidak mahu dihantar untuk menjalani perintah tahanan dua tahun di Kem Kamunting! Memang sepanjang tahanan 60 hari itu anda berharap dan berdoa tidak akan dihantar ke Kem Kamunting.

Namun sekiranya anda adalah aktivis dan pejuang kebenaran, yakinlah bahawa sama ada anda ditahan dua tahun atau tidak ke Kem Kamunting adalah satu keputusan politik yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri.

Keputusan ini tidak ada satu habuk pun kena mengena dengan keselamatan negara!

Sediakan Roh dan Jiwa Anda untuk Ditahan ke Kamunting

Di samping doa dan harapan anda tidak terus ditahan, bersedialah anda untuk melalui kehidupan sekurang-kurangnya dua tahun di Kem Kamunting.

Sekiranya anda aktivis dan pejuang kebenaran, anggaplah itu permulaan lembaran baru dalam perjuangan anda dalam mengejar cita-cita anda untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

Mana tahu dengan izin Allah, pengorbanan yang anda tanggung akan menjadi sumbangan kecil ke arah pemansuhan ISA dan undang-undang zalim lain serta tertegaknya sistem yang lebih adil dan diredhai oleh Allah di atas bumi Malaysia tercinta ini.

Satu lagi kemungkinan yang diharap-harapkan oleh kita semua adalah dibebaskan selepas atau dalam tempoh tahanan 60 hari ini.

Namun, kebebasan anda mungkin kebebasan tanpa syarat sepertimana yang berlaku pada saya selepas dibebaskan dari tahanan ISA tahun 1998.

Walau bagaimanapun bebas tanpa syarat ini tidak bermaksud anda akan lepas dari gangguan-gangguan SB yang akan sering menelefon anda dan bertanyakan perkembangan anda dari masa ke semasa.

Atau, kebebasan anda mungkin merupakan kebebasan dengan sekatan kawasan tertentu, sebagaimana yang berlaku dalam kes Sejaratul Dursina@Chomel.

Anda akan diminta untuk melapor diri di balai polis yang ditetapkan setiap minggu dan bagi setiap 6 bulan, anda diminta bertemu Lembaga Penasihat di Kem Kamunting.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan komen