jump to navigation

Mengamati Hiburan Masa Kini Oktober 16, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: ZulfadliSuatu hari, sedang seorang hamba Allah berjalan-jalan di sebuah pasar di salah sebuah bandar terkemuka di Malaysia, tiba-tiba kedengaran suara seorang anak memujuk ayahnya, “Abah, abah..adik nak baju tu”, sambil si anak menudingkan jarinya ke arah baju-baju yang bergantungan.

Dipendekkan cerita, rupa-rupanya si anak tadi telah jatuh hati dengan baju t-shirt yang mempunyai gambar seorang penyanyi tersohor tanahair hasil produk daripada salah sebuah akademi hiburan paling popular di Malaysia. 

Rasanya, para pembaca sekalian dapat meneka siapakah gerangan orang yang dimaksudkan. Apa pun, artikel ini di tulis bukanlah bertujuan untuk memburukkan sesiapa, cuma sekadar ingin membuka minda kita tentang fenomena hiburan yang melanda masyarakat di Malaysia.

Apabila ditanya kepada seorang teman, mengapa perlunya hiburan dalam kehidupan seseorang insan, penulis pasti ramai yang akan bersetuju bahawa jawapan yang paling ringkas dan konkrit adalah untuk menenangkan jiwa dan fikiran. Jika kita perhatikan perkembangan hiburan di tanahair kita kini, tentu kita sedar betapa luasnya pengaruh selebriti-selebriti yang terdiri daripada insan seni yang bergelar pelakon, penyanyi, seniman, primadona, diva dan banyak lagi gelaran yang diberikan kepada mereka yang berperanan untuk menghiburkan masyarakat ini.

Suka penulis merujuk kepada harapan si anak kecil tadi, situasi yang digambarkan tadi barangkali banyak terjadi pada segenap masyarakat, tidak kiralah kanak-kanak, remaja mahu pun golongan dewasa yang juga turut sama meraikan semangat anak-anak mereka ini. Apa yang ingin penulis cetuskan di sini adalah tentang bagaimana kita melihat pro dan kontranya industri hiburan di tanah air kita dewasa ini.

Secara umumnya, definisi hiburan pada masa kini merangkumi satu skop yang amat luas. Lebih-lagi dalam menyusuri arus globalisasi ini, pelbagai bentuk hiburan baru dicipta, Jika pada zaman dahulu, pemahaman masyarakat tentang hiburan ini adalah agak sempit dengan hanya terhad kepada para bintang filem dan penyanyi sahaja, namun situasi tersebut telah berubah.

Sebagai contohnya, sekarang kita dapat lihat terdapatnya hiburan yang berbentuk maya dipromosikan dengan begitu hebat, umpamanya permainan video. Di arena sukan pula, kita lihat kebanyakan atlit sukan telah diberi gelaran selebriti sukan. Ironinya, perkembangan industri hiburan ini amatlah pesat hinggakan ia mampu meneroka pelbagai dimensi baru yang boleh menjadi tapak untuk masyarakat berhibur.

Apa yang pasti, realiti yang kita dapat lihat, semua individu yang menyumbang kepada proses perkembangan hiburan ini, semuanya mempunyai pengaruh yang amat menonjol di dalam masyarakat dan apa yang lebih menarik sebahagian besarnya telah diangkat menjadi idola. Namun demikian, jikalau dibuat perbandingan antara pelbagai jenis bentuk hiburan ini, nampaknya masyarakat lebih cenderung untuk memilih hiburan yang memberi fokus kepada alunan suara dan lakonan.

Oleh yang demikian, fokus penulis dalam penulisan ini adalah lebih kepada hiburan seumpama ini yang akan dikupas secara terperinci dengan merujuk kepada pendekatan hakiki kita iaitu melalui petunjuk agama.

Sebagai seorang Muslim, kita mengakui bahawa agama Islam telah mengggariskan panduan-panduan tertentu dalam pelbagai aspek untuk dipraktikkan oleh individu Muslim. Dalam Al-Quran telah dijelaskan, Islam sebagai satu cara hidup yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan.

“ ..Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu…”(Al-Maidah:3)

Sudah tentu, dalam aspek hiburan juga, Islam telah menetapkan garis panduan yang khusus untuk umatnya. Asasnya sesuatu hiburan itu diharuskan selagi mana ia tidak melalaikan kita daripada kewajipan sebagai Muslim, dan inilah pandangan yang dipersetujui oleh ulama’ yang mengharuskan hiburan.

Ada juga yang tegas dengan mengharamkan terus unsur-unsur hiburan ini dalam kehidupan. Kedua-duanya ada hujah yang jelas, namun saya yakin bahawa masyarakat masa kini sudah tentu sukar untuk menerima pandangan yang kedua. Oleh itu, secara dasarnya hiburan disekeliling kita kini, telah dicampuradukkan antara elemen-elemen yang dibolehkan dan sebaliknya.

Untuk menjelaskan hal ini secara mendalam, segalanya perlulah dikembalikan kepada matlamat asal hiburan itu. Sebagai contoh, hiburan yang diharuskan itu mestilah tidak menjejaskan pegangan kita sebagai Muslim. Ini adalah kerana, jika dipantau, banyak hiburan berbentuk muzikal sekarang ini yang menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, sedangkan ini jelas bertentangan dengan prinsip hidup sebagai Muslim.

Dalam Islam, syor yang terbaik untuk kita mencapai ketenangan hati adalah dengan mendengar dan menghayati zikrullah. Dalam Al-Quran Allah berfirman, yang maksudnya:

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.(Ar-Ra’d:28)

Jelas di sini, salah satu cara mudah yang efektif untuk kita berhibur adalah dengan menghayati isi kandungan Al-Quran. Di dalamnya terkandung seribu satu pedoman yang berharga bahkan ganjaran pahala bagi para pembacanya. Begitu mudah untuk kita berhibur sambil mendapat saham Akhirat. Islam juga mengharuskan nasyid-nasyid Islami yang pada dasarnya bertujuan untuk menaikkan semangat jihad kaum Mujahidin yang turun ke medan juang.

Namun seiring dengan peredaran masa, elemen-elemen nasyid tradisonal telah diberi nafas baru untuk menarik masyarakat meminati nasyid. Ia dilihat sebagai salah satu alternatif kepada pelbagai hidangan hiburan dalam arus perdana masa kini. Strategi ini, jelas telah melonjakkan nama beberapa kumpulan nasyid terkenal tanahair. Namun demikian, pada hemat penulis, lirik-lirik nasyid ini semakin tersasar dalam melahirkan individu yang cintakan Islam.

Ini jelas berlaku apabila nasyid-nasyid ini lebih menekankan nilai komersil daripada peringatan dan teladan yang berfaedah untuk umat. Ada sebahagiannya telah menobatkan cinta manusia lebih tinggi daripada cinta kepada agama dan Ilahi.

Apa yang kita bimbangkan, masyarakat dari kalangan muda-mudi mungkin mudah terkeliru dengan bait-bait indah memuja makhluk dalam lagu nasyid itu walupun secara halusnya turut mengungkapkan cinta kepada Allah sebagai alasnya. Namun hakikatnya, prioriti cinta kepada ad-deen dan al-Ilah itulah yang perlu lebih ditonjolkan daripada pelbagai cinta yang lain.

Termasuk juga dalam ruang lingkup kita untuk mendapat ketenangan fikiran, kita juga boleh terhibur dengan melihat keindahan alam. Sesetengah insan seni juga kebanyakannya mendapat inspirasi dalam cetusan kreatif mereka melalui kaedah seumpama ini. Situasi ini menunjukkan betapa berharganya setiap makhluk yang diciptakan Allah yang Maha Agung. Allah menggalakkan supaya setiap Muslim memperhatikan kejadian alam melalui mata hati anugerah dariNya.

Dalam satu pandangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi, beliau telah menghuraikan antara bentuk hiburan yang berlaku pada zaman baginda Nabi s.a.w dahulu adalah seperti memanah, menunggang kuda dan berlumba lari yang semuanya telah disabdakan dalam banyak hadis shahih yang masyhur.

Imam Al-Ghazali juga telah menyatakan bahawa hiburan ini termasuk dalam apa yang diistilahkan sebagai al-lahwu dan menjelaskan hukumnya adalah harus bagi Muslim untuk berhibur dengan syarat tidak berlebih-lebihan. Beliau telah mengungkapkan:

“Jika al lahwu disertai dengan niat ibadah, ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang mendengar nyanyian dan muzikal janganlah menganggapnya sebagai sifat terpuji! Tapi hanya sekadar mendapatkan kelazatan dan kerehatan semata-mata”

Pandangan-pandangan ulama’ ini telah memberi gambaran yang jelas bahawa hukum asal muzik ini harus seandainya ia mematuhi ketetapan agama. Namun begitu fenomena yang berlaku kini, agak menyedihkan kita. Hiburan yang dihidangkan kepada masyarakat hampir kebanyakannya telah terpesong daripada matlamatnya yang sebenar. Ia mungkin bertitik-tolak daripada sikap kita yang mudah terpengaruh dengan budaya-budaya asing daripada luar.

Kita akui bahawa fenomena berhibur secara melampau ini telah menyerang seluruh dunia, bahkan sebahagian besar maksiat yang wujud di dalam masyarakat kini, tercetus daripada budaya berhibur yang tidak terkawal ini.

Dalam konteks nyanyian contohnya, semakin banyak lagu-lagu yang boleh dikatakan berunsur seks dicipta sama ada daripada artis tempatan mahu pun antarabangsa. Bidang lakonan juga menyaksikan watak-watak yang dilakonkan semakin ‘berani’ untuk menyajikan hidangan penjamu ‘selera mata’ dengan memperlihatkan saudara-saudara Muslim kita tidak segan silu untuk melakonkan adegan-adegan yang dikatakan ‘panas’, di samping lambakan drama dan filem dari luar negara yang turut sama mengeruhkan lagi keadaan.

Di tambah pula dengan pergaulan bebas yang cuba dipromosikan melalui saluran konsert-konsert yang semakin kerap dianjurkan. Begitu juga program-program realiti TV yang realitinya telah berjaya meruntuhkan akhlak masyarakat.

Kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada generasi akan datang apabila hiburan seumpama ini terus dihidangkan dan terus menjadi pilihan masyarakat. Peningkatan gejala sosial di kalangan muda-mudi begitu membimbangkan kita dalam situasi negara yang mengharapkan penjanaan modal insan yang berkualiti dikalangan generasi muda.

Kes-kes jenayah juga tidak dapat dinafikan banyak dimanifestasikan oleh kebejatan moral di dalam masyarakat yang juga telah dinodai oleh unsur-unsur hiburan yang songsang. Lihat sahaja kes-kes rogol, ragut, bunuh dan sebagainya seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya. Penulis optimis sekiranya budaya berhibur ini tidak dikoreksi, suatu masa nanti pasti maruah bangsa dan agama kita akan terjual.

Penulis berpandangan bahawa masyarakat kita perlu dididik melalui pendekatan yang tepat berlandaskan kehendak agama. Apa yang dapat kita lihat, seringkali kita memilih pendekatan hiburan sebagai aset penting dalam menyatupadukan masyarakat. Kita tidak nafikan keberkesanannya dari satu aspek, namun apabila budaya-budaya berhibur yang tercemar dibawa masuk, objektif tersebut sudah pasti akan meleset.

Formula yang tepat adalah dengan kita memantapkan asas-asas agama itu sendiri terlebih dahulu sebagai tunjang kepada jati diri yang teguh. Kemudian, apabila jati diri telah mantap maka mudahlah untuk kita menepis unsur-unsur yang merosakkan ini, dan dalam masa yang sama hiburan yang lebih Islamik boleh dihidangkan sebagai alternatif kepada budaya hiburan yang melampau.

Penulis percaya bahawa masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang celik mindanya dengan menilai sesuatu perkara seadilnya sebelum diterjemahkan di dalam kehidupan. Secara mudahnya kita boleh tafsirkan, dalam keadaan arus perdana dunia pada ketika ini yang sebahagiannya telah dicemari dengan unsur-unsur negatif dan songsang, penulis yakin kita dapat menapis unsur-unsur tersebut daripada mencemari pegangan agama dan budaya kita.

Sebagai kesimpulannya, kita mengharapkan budaya berhibur secara melampau ini dapat disita daripada menjadi virus perosak di dalam masyarakat secara sedar atau pun tidak sedar. Tindakan yang drastik perlulah diambil secara kolektif oleh semua pihak bagi memastikan keseimbangan antara keperluan duniawi dan ukhrawi dipenuhi sebaiknya. Setidak-tidaknya unsur-unsur negatif ini hendaklah dikurangkan daripada terus membarah di dalam masyarakat. Cegahlah sebelum parah!

Komen-komen»

1. shuhada - Julai 23, 2008

saya bersetuju dengan pendapat saudara.saya rasa hiburan pada zaman sekarang terlalu melampau-lampau…masyarakat disajikan dengan pelbagai jenis hiburan yang melekakan dan melalaikan.. belah tak saudara tolong beri pendapat tentang hiburan,fitrah @ fitnah berdasarkan dalil-dalil Al Quran dan hadis yang kukuh?

2. shuhada - Julai 23, 2008

saya bersetuju dengan pendapat saudara.saya rasa hiburan pada zaman sekarang terlalu melampau-lampau…masyarakat disajikan dengan pelbagai jenis hiburan yang melekakan dan melalaikan.. boleh tak saudara tolong beri pendapat tentang hiburan,fitrah @ fitnah berdasarkan dalil-dalil Al Quran dan hadis yang kukuh?


Tinggalkan komen