jump to navigation

Falsafah Perempuan Mac 19, 2008

Posted by ummahonline in Telaah Buku.
trackback

Oleh: R. Valentina Sagala

Judul Buku: Falsafah Berperspektif Feminis
Penulis: Gadis Arivia
Penerbit: Yayasan Jurnal Perempuan
Halaman: 336 Mukasurat

Falsafah Barat yang kita kenal, berkisar pada pengetahuan objektif, rasional, universal, dan kehendak bebas. Nama dan para failasuf yang akrab di telinga kita, seperti Plato, Aristoteles, Descartes, Hume, Dewey, Wittgenstein, Heidegger, yang berfalsafah dengan “keabsahan, kebenaran, dan keseriusan”, berwajah lelaki, atau maskulin.

Jadi, di manakah perempuan dalam falsafah? Bagaimanakah pandangan failasuf lelaki tentang perempuan? Apakah pandangan yang disampaikan para failasuf lelaki tentang manusia, cinta, Tuhan, seks, kerja dan moraliti, merupakan pandangan dengan dakwaan universal? Apakah falsafah telah ‘menangkap’ suara-suara pinggiran di sekelilingnya?

Jadi, pertanyaan-pertanyaan ini menjadi menarik jika kita mulai mengaitkan feminisme dan falsafah.

Umpamanya, di manakah suara dan pengalaman ketubuhan dan keseksualan perempuan (her-story) dalam falsafah? Bagaimanakah pemikiran para failasuf perempuan? Mengapakah failasuf perempuan sangat jarang kita dengar, padahal sejak abad ke-17 telah ditemukan karya-karyanya yang membahas persoalan kefalsafahan seperti metafizik, epistemologi, teori moral, falsafah sosial dan politik, estetika, falsafah teologi, falsafah ilmu dan falsafah pendidikan?

Tak seperti kaum ‘awam’ yang tak duduk di bangku kuliah falsafah dan jauh dari tumpukan kitab serta diskusi falsafah akademik, wahana teori falsafah nampaknya adalah kecintaan Gadis Arivia, seorang penulis.

Gadis Arivia adalah seorang tenaga pengajar di Fakulti Ilmu Pengetahuan Budaya, Universiti Indonesia (UI). Ia lahir di New Delhi, 8 September 1964, Gadis belajar falsafah di UI (1989), menyelesaikan studi sarjananya di EHESS (Ecole Haute Scientifique Sociale), Perancis (1994), dan menyelesaikan Program Doktoral Falsafahnya di UI pada tahun 2002.

Sebagai hasil penyelidikan disertasi penulis yang dipertahankan di hadapan sidang akademik UI, buku ini kaya akan pertanyaan kritis reflektif yang mengajak pembaca memandang falsafah bukan dari sesuatu yang selalu masa silam, yang jauh dari realiti dan yang bukan juga terlalu mengawang-awang.

Di sinilah kemudian feminisme, sebagai sebuah gerakan, teori, dan praksis perempuan yang menyuarakan kesetaraan, hak reproduksi, perbezaan seksual, dan penindasan perempuan, masuk ke lorong dan sudut-sudut falsafah yang oleh para failasuf lelaki, meninggalkan kesan menampilkan kebenaran tunggal falsafah dan metanarasi yang kuat sehingga ontologi dan epistemologinya menjadi statik.

Dominasi jumlah failasuf lelaki dan tradisi Barat yang cenderung sendeng terhadap perempuan memang sangat jelas terlihat. Gadis menunjukkan hal ini dalam pemaparan sejarah, telaah karya-karya, bahkan “lingkungan pribadi (private sphere)” failasuf lelaki dalam pemetaan diskriminasi falsafah terhadap perempuan. Persoalan tidak sekadar berhenti pada kuantiti praktis falsafah yang kebanyakan lelaki, melainkan juga berkait dengan cara pandang tertentu yang maskulin, hingga menampakkan wajah falsafah yang maskulin.

Semak saja pandangan failasuf-failasuf Yunani, Abad Pertengahan, Abad Moden, hingga Abad ke-20 tentang perempuan yang dikaji Gadis. Mulai dari Plato dengan konsep manusia perempuannya yang sama dengan haiwan dan tidak perlu berpendidikan. Kemudian Aristoteles yang menempatkan lelaki bebas (free males) sebagai satu kelas manusia yang harus hidup secara penuh dan melihat yang lainnya sebagai alat untuk mencapai tujuannya.

Malah, Thomas Aquinas juga pernah mengatakan bahawa perempuan sebagai defect male, bukan ciptaan dari produksi pertama seperti halnya lelaki, hingga pernyataan kontroversial Baudrillard bahawa perempuan sebenarnya adalah sebuah permukaan/penampakan.

Tak menghairankan bila failasuf-failasuf perempuan semasa menuduh bahawa sepanjang zaman telah ada semacam “siasah” dari failasuf lelaki untuk menindas perempuan. Para feminis menunjukkan bahawa sistem patriarki yang telah dibangun jauh sebelum sistem kefalsafahan yang mapan telah mempengaruhi pemikiran sebahagian besar failasuf. Namun yang berat kemudian, para failasuf ini melegitimasikan perendahan perempuan sehingga berdampak pada kehidupan awam.

Plato, Aristoteles, Thomas Aquinas, dan Francis Bacon banyak berhujah soal pentingnya perempuan berada di domestik dan berfungsi sebagai makhluk bereproduksi. Failasuf seperti Arthur Schopenhauer dan Friedrich Nietzsche, berhujah akan sifat perempuan yang memang sudah buruk. Friedrich Nietzsche bahkan bertegas bahawa perempuan memiliki mentaliti kehambaan.

Pada akhir abad ke-19 para feminis cuba mendefinisikan perempuan melalui pendekatan kesedaran feminis. Para feminis bertanya, apa benar falsafah telah memberikan pandangan mendalam dan menyeluruh bagi persoalan-persoalan kehidupan mahupun akademik?

Mereka menyimpulkan bahawa pada kenyataannya, pemunculan falsafah Barat tidak bijaksana dalam memperhitungkan suara-suara feminis. Falsafah mempunyai hubungan keganjilan terhadap perempuan, sehingga pandangan mengenai perempuan seringkali sendeng, seksis, atau sama sekali diabaikan.

Para feminis (khsususnya Kate Millet dan Shulamith Firestone) berusaha menunjukkan bahawa sistem patriarki menpengaruhi dalam memperspektif perempuan. Simone de Beauvoir memulai dengan pertanyaan “Apa itu perempuan?” dan buku klasiknya Le Deuxieme Sexe yang turut memuat perbendaharaan baru seperti “kesetaraan”.

Berbeza dengan pemikiran falsafah yang abstrak, universal, dan rasional, feminisme mengutarakan pengalaman-pengalaman perempuan, mengajukan pertanyaan yang konkrit serta mempersoalkan perdebatan seksual yang menyebabkan ketidakadilan sosial.

Feminisme diakui memiliki pemikiran progresif yang mampu mengadakan perubahan sosial mahupun intelektual selama era modenisme dan memberi kesan yang bererti dalam kemunculan teori postmodenisme. Perdebatan wacana feminisme postmoden inilah yang kelak berhasil mendekonstruksi wacana sentralistik dan narasi falsafah Barat yang dominan. Pengetahuan tentang manusia lelaki dan perempuan tidak lagi satu, melainkan tekstual.

Feminisme hadir dan diperlukan untuk terus-menerus membongkar wacana-wacana misoginis. Pada saat bersamaan, menurut failasuf Perancis Jean Jacques Derrida, dekonstruksi penting bagi feminisme.

Pertama, pemahaman mengenai esensi perempuan dapat dibongkar kerana dianggap hanya sebagai “teks”. Kedua, pembongkaran tersebut menghasilkan tafsiran berbeza dengan teks-teks yang ada. Pengalaman perempuan muncul, memperlihatkan perbedaan, bahkan menunjukkan bagaimana konstruksi nilai perempuan sama sekali tidak inferior. Ketiga, pembongkaran teks maskulin melahirkan teks-teks feminisme serta suara feminin yang akhirnya melahirkan tafsiran perempuan yang sepanjang sejarah telah menjana pemikiran besar falsafah maskulin.

Dengan dekonstruksi, tafsiran perempuan muncul baik secara kefalsafahan mahupun feminis. Bagi falsafah feminis sendiri, kaedah dekonstruksi memberikan amunisi untuk melihat keterpinggiran failasuf feminis, membawa suara-suara mereka ke sentral, mengeluarkan pemikiran kefalsafahannya dan memahami keterkaitan antara pemikiran falsafah mereka dan eksistensinya sebagai perempuan.

Dengan demikian, masa depan falsafah adalah juga falsafah feminis yang menghormati asas pengetahuan pada titik piawai, adanya en-gendering knowledge, partikulariti/kebenaran plural, dan “yang politik adalah kefalsafahan”.

Falsafah kini diselamatkan oleh failasuf feminis yang mengingatkan bahawa cara berfalsafah adalah cara “bercakap”, bernarasi dari satu teks ke teks lain, dan falsafah hanya teks yang dapat didekonstruksi. “Percakapan” dan bukan pencarian kebenaran, merupakan modus yang membebaskan feminisme dalam falsafah, sekaligus membebaskan falsafah itu sendiri.

Sebagai sebuah buku kajian ilmiah falsafah feminis, di tengah gersangnya diskusi dan kajian feminisme terhadap falsafah mahupun sebaliknya, buku ini sungguh menyegarkan dan memberi sumbangan signifikan bagi masa depan falsafah dan feminisme. Sayang, kupasan mengenai pemikiran dan wilayah personal para failasuf perempuan dirasakan tidak sedalam yang dilakukan penulis pada bagian failasuf lelaki.

Justeru, mungkin kerana bahan seputar ini sulit dicari, atau mungkin juga kerana benar bahawa sejarah mereka tenggelam dalam falsafah maskulin yang selama ini jauh dari “percakapan”.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan komen