jump to navigation

Memahami Kezaliman ISA (2) Oktober 1, 2006

Posted by ummahonline in ISA, Kolum.
trackback

Oleh: Saari Sungib Kolum ini memuatkan himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini menerusi abuurwah@gmail.com.

DARI MANA ASAL USUL ISA?
ISA, Komunis, Subversif dan Kuasa Darurat

ISA pada asalnya diwujudkan dengan tujuan utama untuk berhadapan dengan ancaman bersenjata daripada komunis serta kegiatan-kegiatan subversif.

ISA diluluskan oleh Parlimen pada 1 Ogos 1960. Darurat telah diisytiharkan berakhir pada 30 Julai 1960 walaupun kesan utamanya telah lama surut pada tahun 1955 lagi.

Namun Peraturan 17 yang terkandung dalam The Emergency Regulation Ordinance 1948 yang telah dimansuhkan pada tahun 1960 tetap dimasukkan dalam peruntukan ISA.

Mengisytiharkan Darurat telah berakhir tetapi pada masa yang sama menggubal serta meluluskan satu undang-undang yang memasukkan peruntukan-peruntukan Darurat memberi satu isyarat awal bahawa ISA adalah satu undang-undang yang bersifat politik bagi tujuan untuk melindungi serta mengukuhkan kedudukan serta kepentingan politik mereka yang sedang berada ditampuk pemerintahan.

Keperluan Menjaga Keselamatan Negara Selepas Darurat

PKM, Parti Komunis Malaya telah berjaya dibubarkan pada tahun 1945.

Namun dasar pentadbiran British pada masa itu yang menghalang anggota-anggota PKM untuk terlibat secara aman dalam kesatuan sekerja melalui Trade Union Ordinance telah menyebabkan mereka membuat keputusan sekali lagi untuk mengangkat senjata secara gerila pada tahun 1948.

Di atas keputusan bekas anggota-anggota PKM inilah, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948.

Pihak British telah melakukan beberapa inisiatif untuk berdamai dengan pihak komunis sejak bermulanya Darurat, namun tidak ada satu pun usaha ini berjaya.

Menjelang pencapaian kemerdekaan daripada British, Tuanku Abdul Rahman turut mengadakan pertemuan di Baling. Perundingan ini turut gagal.

Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan menjelang kemerdekaan Malaya bagi merundingkan perdamaian dengan komunis dan mengambil kira kemungkinan tamatnya Darurat.

Jawatankuasa yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pasukan polis dan tentera inilah yang merumuskan asas-asas penting bagi peraturan-peraturan selepas berakhirnya Darurat.

Peraturan-peraturan inilah yang menjadi tonggak kepada ISA pada tahun 1960.

Peruntukan permohonan bagi pencegahan atas penahanan tanpa bicara dimasukkan demi menjustifikasikan dua hingga tiga ratus tahanan yang disyaki pengganas komunis yang sedang ditahan pada masa itu.

Tun Razak ketika membentangkan rang undang-undang ISA menjelaskan bahawa pada masa itu masih terdapat seramai 583 anggota komunis bersenjata di Perlis, Kedah dan bahagian barat Kelantan dan di sempadan Malaya dan Thai.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa keselamatan Persekutuan masih menjadi isu penting dan orang ramai masih perlu dilindungi daripada kegiatan-kegiatan subversif anggota-anggota komunis.

Tun Razak juga memberi jaminan bahawa ISA akan digunakan secara berhati-hati untuk mengelakkan daripada disalahgunakan.

Semasa membentangkan rang undang-undang tersebut, Tun Razak menjelaskan undang-undang seperti ISA telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk tamat dalam tempoh selepas satu tahun dan Dewan Rakyat boleh membuat resolusi membatalkannya pada bila-bila masa sahaja.

Menjustifikasikan Undang-undang Darurat dalam Keadaan Bukan Darurat

Mengambil kira keadaan Darurat yang masih belum diisytiharkan berakhir, Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956 ditugaskan untuk mencadangkan satu perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang bakal diberikan kemerdekaan pada Ogos 1957.

Walaupun menghadapi realiti pada masa itu, deraf perlembagaan tersebut meletakkan asas-asas hak-hak kebebasan asasi serta kedaulatan undang-undang yang cukup mantap bagi seluruh negara yang bakal merdeka.

Mengambil kira ancaman yang wujud, peruntukan bagi kuasa-kuasa khas untuk menangani kegiatan-kegiatan subversif dan berkenaan Darurat dimasukkan dalam deraf perlembagaan tersebut.

Walau bagaimanapun, kerajaan Perikatan pada masa itu membuat pindaan-pindaan terhadap deraf perlembagaan yang disediakan oleh Suruhanjaya Reid tersebut bagi memberi lebih kuasa kepada pihak kerajaan yang memerintah, atau pihak eksekutif dalam sistem demokrasi berparlimen.

Perubahan-perubahan ini memberikan kebebasan yang lebih luas kepada eksekutif dan Parlimen di mana pada masa yang sama mengurangkan jaminan terhadap hak-hak individu rakyat biasa.

Kerajaan Perikatan juga pada masa itu lagi tidak mahu apa-apa sekatan terhadap hak kebebasan individu ditentukan oleh mahkamah. Sebaliknya, ia mahu apa-apa pengecualian terhadap hak-hak kebebasan individu ini ditentukan oleh Parlimen.

Setelah tiga tahun merdeka dan pentadbiran kerajaan berjalan menurut Perlembagaan Merdeka 1957, timbullah pula isu untuk mengisytiharkan berakhirnya Darurat dan menguatkuasakan satu undang-undang keselamatan yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Untuk membolehkan perkara ini dicapai maka tidak ada pilihan lain selain daripada meminda Perlembagaan Merdeka 1957 yang peruntukan-peruntukannya terhadap kuasa-kuasa khas mengecualikan hak kebebasan individu dirasakan belum cukup menyebelahi pihak eksekutif sepenuhnya.

Constitution (Amendment) Act yang diluluskan pada tahun 1960 adalah pindaan besar pertama yang mengubah corak perjalanan mahkamah dan sistem kehakiman serta menyekat hak-hak kebebasan individu di negara ini selepas tercapainya Merdeka pada 1957.

Pindaan ini mengukuhkan asas-asas untuk membolehkan dikuatkuasakan undang-undang menentang kegiatan subversif yang terkandung dalam Artikel 149 Perlembagaan Merdeka di samping memperluaskan ruang lingkup kuasa-kuasa Darurat.

Undang-undang yang Mencabul Hak Asasi Manusia Bernaung di bawah Perlembagaan Negara

Bernaung di bawah Artikel 149 inilah pada tahun yang sama ISA dibentang dan diluluskan di Parlimen.

ISA 1960 yang mendapatkan justifikasi daripada Artikel 149 Perlembagaan yang dipinda pada 1960 itu sepatutnya hanya dikuatkuasakan bagi tempoh satu tahun, tambahan pula sekiranya undang-undang seumpama itu diluluskan oleh Parlimen ianya akan hanya sah untuk tempoh satu tahun sahaja.

Pindaan perlembagaan pada tahun 1960 membatalkan perenggan (2) dalam Artikel 149 yang memperuntukkan kuatkuasa undang-undang anti-subversif hanya untuk satu tahun. Sebaliknya peruntukan ini mengatakan ianya boleh dibatalkan melalui resolusi yang diluluskan dalam kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Dengan itu apa yang pernah dijanjikan oleh Tun Razak dalam Dewan Rakyat pada 22 April 1960 bahawa undang-undang seperti ini akan dimansuhkan pada bila-bila masa tidak pernah menjadi kenyataan.

Kuasa ISA Semakin Diperketatkan

Kes mahkamah pada tahun 1969, dalam Karam Singh v. Menteri Dalam Negeri menetapkan bahawa kuatkuasa ISA di bawah kuasa Menteri dan polis adalah subjektif.

Oleh itu mahkamah tidak boleh menuntut Menteri atau polis untuk mengemukakan bukti-bukti secara objektif mengapa kuatkuasa di bawah ISA dilakukan.

Mahkamah juga pada tahun 1988 dalam kes Theresa Lim Chin Chin & Ors v. Inspector General of Police, membuat keputusan bahawa ISA adalah satu undang-undang yang bukan hanya terhad untuk kegiatan-kegiatan komunis dan subversif sahaja.

Pada tahun 1989, ISA sendiri dipinda untuk menghalang mahkamah membuat sebarang penilaian dan semakan terhadap apa yang diputuskan ataupun diabaikan oleh Menteri dalam menguatkuasakan peruntukan ISA.

Tajuk kepada bahagian XI di mana terkandung Artikel 149 dalam Perlembagaan Persekutuan diperluaskan bagi mengukuhkan penggunaan ISA sebagai satu instrumen yang menghalang sebarang usaha menggugat kuasa yang sedang memegang tampuk pemerintahan.

Usaha untuk membangkitkan semula bahawa ISA adalah undang-undang yang digubal oleh Parlimen bagi tujuan menghadapi ancaman komunis dibawa dalam kes Mohamad Ezam Moh. Nor & Ors v. Ketua Polis Negara, tetapi hakim tetap memutuskan bahawa ISA bukan hanya terbatas kepada ancaman dan kegiatan komunis.

Menurutnya, tujuan dan hasrat ISA adalah untuk membendung segala bentuk kegiatan subversif yang pada ketika undang-undang ini diluluskan lebih tertumpu kepada kegiatan-kegiatan komunis.

Tajuk yang panjang bagi Artikel ini menunjukkan bahawa ia tidak hanya dikhususkan kepada kegiatan komunis walaupun ucapan-ucapan dalam Parlimen ketika itu tertumpu kepada bentuk-bentuk kegiatan mereka.

Menurut Tun Mohamad Suffian Hashim, ISA adalah contoh terbaik pembentukan akta di bawah Artikel 149 yang membenarkan berlakunya tahanan tanpa bicara walaupun Darurat tidak diisytiharkan.

Sejak itu ISA terus diperketatkan bagi memastikan keputusan dan kuasa pihak eksekutif tidak boleh dipersoal sama ada di luar mahupun di dalam mahkamah.

Komen-komen»

1. Akta Keselamatan Dalam Negeri « Berjalan - Jun 26, 2008

[…] Kezaliman ISA , tulisan kajian Abu Urwah atau Saari Sungib –  1, 2, 3, 4, 5, 6 hingga 14 siri […]

2. amy - September 8, 2008

apakah peranan perlembagaan dalam keadaan darurat dalam konteks hubungan etnik


Tinggalkan komen