jump to navigation

PAS akan bersama Mahathir, atau Pak Lah? Jun 8, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanPastinya ramai pengunjung Harakahdaily terkilan kerana laman ini sukar dilayari pada waktu kritikal ketika Muktamar PAS ke-52 hangat berlangsung di Kedah. Kami memohon maaf di atas masalah teknikal itu. Ia dikatakan berpunca daripada terlalu ramai yang mahu mengunjunginya.

Saya sendiri “kehilangan kata-kata” dengan apa yang berlaku itu, mengulangi apa yang terjadi menjelang hari-hari terakhir kempen pilihan raya umum 2004 apabila Harakahdaily gagal dilayari di saat-saat yang cukup genting.

Tambah pedih memandangkan ketika ini banyak isu-isu yang memerlukan respons segera, terutama kenyataan keras Dr Mahathir terhadap kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Bagi saya, gerak awal Mahathir itu mungkin akan mencorakkan perkembangan politik selepas ini, dan tidak mustahil boleh membentuk satu fenomena baru yang cukup menarik.

Secara terbuka Mahathir mengakui Pak Lah bukan pilihan utamanya, sambil mengakui beliau ditikam daripada belakang oleh tokoh yang dipilihnya sebagai Perdana Menteri ke lima. Tanpa berselindung beliau nampak lebih menyenangi timbalan Pak Lah, iaitu Najib Razak, yang mengesahkan lagi keretakan hubungan antara pemimpin nombor satu dan dua.

Benar, Najib seperti dijangka mempertahankan habis-habisan bosnya sekarang, walaupun kita sukar meramalkan gerak hatinya yang sebenar. Perwatakan Najib diakui bukan sebagai pejuang, dan lebih senang memilih jalan mudah daripada menanggung risiko, namun bagi mana-mana ahli politik, apa saja ruang terbuka tentu tidak akan disia-siakan!

Saya kira suara lantang Mahathir itu juga akan menyentak perhatian perwakilan PAS di muktamarnya. Sememangnya PAS tidak boleh memandang sepi gelanggang baru yang dirintis Mahathir; rakyat menunggu langkah terbaru PAS memanfaatkan ruang dan peluang, tetapi bukan pula sebagai parti oportunis yang rela mempertaruh prinsip demi mengejar laba.

Meskipun Mahathir terus menyindir PAS, khususnya merujuk kenyataan Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub yang menggelarkannya “Ketua Pembangkang Negara”, namun ia tidak menutup potensi kemungkinan berlaku persefahaman politik antara Mahathir dengan parti Islam itu selepas ini.

Tidak kurang yang membuat ramalan nakal, iaitu Anwar Ibrahim pula akan memihak kepada Pak Lah, untuk menentang Mahathir yang ketika itu bersama PAS. (Seorang teman wartawan membisik: “Orang yang paling mengharapkan Pak Lah akan bertembung Mahathir dan mengheret sama Najib ialah Anwar! Dari situ peluangnya untuk kembali aktif dalam politik arus perdana terbuka luas.”)

Dalam pada itu, ada pihak lain melihat di sebaliknya pula: Jika Mahathir berjaya membentuk satu pakatan politik baru dalam Umno – yang mungkin diterajui Najib dan dibantu Tengku Razaleigh – maka Anwar pula yang akan membawa PAS bersamanya untuk berganding dengan Pak Lah!

Sejarah merakamkan, politik Malaysia memang terbuka kepada segala kemungkinan. Siapa sangka Ku Li akan bersama PAS pada akhir 80-an dan menghadiahkan Kelantan kepada Tok Guru Nik Aziz. Siapa jangka Anwar yang tinggal selangkah untuk menerajui takhta dipecat dan diaibkan semahunya oleh Mahathir, dan Abdullah yang pernah bersama Ku Li dalam Team B akan dilantik Mahathir menggantikan Anwar.

Dan kini, Mahathir yang melantik sendiri Pak Lah, sedang berperanan aktif sebagai pengkritik utama kerajaan, termasuk mempersoalkan kewibawaan Perdana Menteri. Sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan komen